Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Kedatangan Hijrah: Bertafakkur Demi Meningkatkan Kualiti Beragama

Lembaran tahun baru Hijrah 1428 telah terbuka, meninggalkan pelbagai kejadian yang dapat dijadikan i‘tibâr oleh manusia sejagat. Kejadian ngeri seperti bencana alam dan peperangan telah melanda banyak negara di seluruh dunia sehingga mengakibatkan korban jiwa yang ramai dan kerosakan harta benda yang bernilai puluhan juta ringgit. Banjir, gempa bumi dan taufan adalah antara fenomena bencana alam yang mengundang ketakutan kepada manusia dan peperangan yang meletus antara negara-negara dan puak-puak yang bertelagah mengorbankan darah orang awam yang tidak berdosa. Apa yang menyedihkan lagi, negara-negara Islam juga tidak terkecuali daripada ditimpa kejadian seumpama ini.

Tangan ditadah bagi memohon do‘a kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ akan keselamatan para mangsa, bantuan dihulurkan untuk mengurangkan bebanan dan hati dipenuhi perasaan kasihan terhadap penderitaan mereka, namun siapakah di antara manusia yang diam sejenak dan berfikir; apakah sebab kejadian seumpama ini berlaku? Adakah manusia berfikir tentang hikmat di sebaliknya, dan muhâsabah diri (menghisab diri) agar dapat menilai kelemahan pada diri dan memperbaikinya? Tidak dinafikan walaupun ramai yang mengambil ringan terhadap bencana-bencana yang berlaku, namun masih ada manusia yang memikirkannya dan mengambil i‘tibâr daripada kejadian-kejadian tersebut.

Perintah Untuk Bertafakkur

Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memerintahkan umat Islam untuk tafakkur (memikirkan) dan tadabbur (meneliti) pada perkara-perkara yang tidak dapat dihitung banyaknya dan pujian diberikan olehNya kepada golongan yang selalu berfikir, sebagaimana firmanNya:

Tafsirnya: Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan (pada) pertukaran malam dan siang, ada (tanda-tanda kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati semasa mereka berdiri dan duduk, dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi. (Surah Âli ‘Imran: 190-191)

Al-Qur’an contohnya, tidak hanya dibaca sahaja, malahan hendaklah difahami isi kandungannya. Bertafakkur dalam memahami kandungan al-Qur’an, akan mendekatkan manusia kepada penciptaNya iaitu Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Penjelasan tentang semua perkara ada disebutkan di dalamnya, hanya memerlukan penelitian terhadap isi kandungannya untuk mencari rahsia-rahsia alam dan kehidupan yang belum terjawab.

Antara perkara yang perlu diambil perhatian untuk meningkatkan lagi kekuatan rohani kepada diri seseorang adalah perkara yang disukai dan dibenci oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Ia terbahagi kepada dua:

1. Perkara Zahir

Ia adalah apa yang berkaitan dengan anggota-anggota yang tujuh iaitu mata, telinga, lidah, perut, kemaluan, tangan dan kaki serta keseluruhan tubuh badan. Ia terbahagi kepada:

i. Perkara-perkara ketaatan iaitu bertafakkur pada perkara-perkara fardhu yang telah diwajibkan oleh agama, adakah ia telah menunaikannya, bagaimana menjaganya daripada ketidaksempurnaan, bagaimana menampal kekurangannya dengan banyak melakukan perkara-perkara sunat dan lain-lain lagi.

Kemudian pada setiap anggotanya, iaitu memikirkan perbuatan yang dilakukan oleh anggota-anggota yang tujuh dan adakah semua anggotanya melakukan sesuai dengan apa yang diperintahkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

ii. Perkara-perkara kemaksiatan iaitu menyelidiki atau meneliti pada setiap pagi anggota yang tujuh (sebagaimana yang disebut di atas) dan kemudian pada tubuh badannya, adakah ia pada ketika itu sedang berbuat maksiat. Jika ia (anggota atau tubuh badan) melakukan maksiat, maka hendaklah segera ditinggalkannya (maksiat itu). Atau dia melakukan maksiat pada hari sebelumnya, maka hendaklah diinsafinya dengan ditinggalkan (maksiat itu) dan menyesal (kerana telah melakukannya).

2. Perkara Batin

Ia terletak di dalam hati, iaitu:

i. Sifat-sifat yang membawa kepada kebinasaan iaitu syahwat, marah, bakhil, sombong, ‘ujub, riya’, hasad dengki, lalai, tipu daya dan sebagainya.

ii. Sifat-sifat yang menyelamatkan iaitu taubat, menyesali dosa-dosa yang dilakukan, sabar terhadap bala yang ditimpakan, syukur di atas segala ni‘mat, mempunyai rasa takut, sentiasa mempunyai harapan, zuhud di dunia, ikhlas, jujur pada ketaatan, menyintai Allah dan mengagungkanNya, redha atas ketentuanNya, sentiasa rasa rindu padaNya, khusyû‘ dan tawâdhu‘ terhadapNya dan lain-lain lagi daripada sifat-sifat yang menyelamatkan.

Begitu juga dengan tafakkur dan tadabbur akan segala ni‘mat yang dianugerahkan Allah dan pada setiap kejadian yang ditimpakan ke atas makhlukNya yang merupakan tanda-tanda kekuasaanNya seperti keni‘matan, bala dan seumpamanya, seterusnya memerintahkan manusia untuk mengambil pelajaran dan i‘tibâr daripada semua itu.

Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:

Tafsirnya: Maka insaflah dan ambillah pelajaran (daripada peristiwa itu) wahai orang-orang yang berakal fikiran serta celik matahatinya. (Surah al-Hasyr: 2)

Perkara atau kejadian di muka bumi tidaklah berlaku dengan sia-sia. Manusia ditunjukkan dengan pelbagai macam keadaan yang berupa ni‘mat, bala, kesenangan hidup, kesusahan atau kesempitan hidup dan lain-lain. Semua ini adalah merupakan ujian Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ untuk menguji sejauh mana kemampuan manusia menerimanya dan memikirkan hikmat di sebaliknya.

Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh berkata: “Lapangkanlah ke atas percakapan dengan diam dan carilah penghuraian dengan berfikir.”

Beroleh Pengetahuan Dengan Tafakkur

Tafakkur dengan meluaskan pemikiran kepada perkara-perkara yang memerlukan ketelitian untuk difahami adalah permulaan atau kunci kepada seluruh amal kebajikan, yang menyebabkan berkembangnya ilmu pengetahuan dalam diri seseorang dan menghasilkan pengetahuan.

Ilmu adalah buah hasil penanaman minda orang-orang yang berfikir. Apabila ada ilmu di dalam hati, maka akan berubah keadaan hati, dan apabila berubah keadaan hati, berubahlah segala perbuatan anggota tubuh badan.

Dengan ilmu hasil daripada tafakkur inilah, maka manusia akan dapat mengishlâh diri (memperbaiki diri) supaya tidak akan melakukan kemaksiatan dan akan sentiasa mencari ilmu sebagai pelita hidup demi mencapai keredhaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Tafakkur Dapat Meningkatkan Iman Dan Amal

Memperkasa iltizam hidup beragama dapat dilaksanakan jika iman dan amal selalu dipertingkatkan. Tafakkur pada memahami isi kandungan al-Qur’an dan pada keadaan di sekeliling adalah salah satu wasîlah dalam meningkatkan keimanan seseorang terhadap Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, kerana melalui keagungan dan kekuasaanNya, manusia dapat mengambil i‘tibâr.

Kejadian bencana alam yang sering menjadi berita hangat, bukanlah hanya kejadian atau malapetaka semata-mata tetapi merupakan petunjuk ke arah kemantapan iman bagi orang-orang yang sentiasa berfikir. Ombak besar Tsunami contohnya, adalah kejadian bencana alam yang dahsyat. Para saintis berpendapat bahwa ia merupakan satu fenomena yang berlaku akibat perubahan pada struktur bumi. Begitu juga pendapat mereka tentang kejadian banjir besar yang dianggap sebagai proses semula jadi bumi yang sememangnya sudah seringkali terjadi sejak berkurun yang lampau. Walaupun dari sudut lahiriah, pendapat para pakar sains ini tidak disangkal kebenarannya, namun pada satu sudut yang lain pula, akal dan hati yang taqwa perlu pula dipertajamkan untuk memikirkan apakah sebenarnya punca dan hikmat yang dapat dijadikan i‘tibâr daripadanya.

Di dalam al-Qur’an, terdapat banyak ayat yang menyebut mengenai dengan bencana yang ditimpakan kepada umat-umat yang terdahulu. Banjir besar menimpa kaum Nabi Nuh ‘Alaihissâlam, angin ribut ditimpakan ke atas kaum Nabi Luth ‘Alaihissalâm, ribut kencang yang menimpa kaum Nabi Hud ‘Alaihissalâm dan banyak lagi peristiwa yang berupa bala dan petaka yang dapat dijadikan perbandingan dengan bencana yang berlaku pada hari ini. Semua yang berlaku adalah kerana maksiat dan kemungkaran yang berleluasa, maka bencana ditimpakan sebagai peringatan.

Bagi orang-orang yang berfikir, setiap kejadian atau bencana yang melanda akan mendatangkan keinsafan dan menambah keimanan mereka. Melalui keinsafan dan kesedaran inilah mereka tidak akan lalai dan alpa dengan kesenangan dunia dan beroleh petunjuk agar mendekati kebaikan dan menjauhi maksiat. Mereka akan sentiasa menyebut dan mengingati Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ serta memohon agar diberi perlindungan daripada azab yang lebih dahsyat lagi iatu azab neraka:

Tafsirnya: Wahai Tuhan kami, tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha suci Engkau, peliharalah kami daripada azab neraka. (Surah Âli ‘Imran: 190)

Dalam kitab Ihyâ’ ‘Ulûmûddin, ada disebutkan mengenai pendapat-pendapat ulama salaf mengenai fadhilat tafakkur dan natijahnya, antaranya:

Berkata ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz Rahimahullâh: “Berfikir mengenai ni‘mat-ni‘mat Allah adalah sebaik-baik ibadat.” Berkata al-Bisyar Rahimahullâh: “Jikalau manusia bertafakkur pada keagungan Allah, mereka tidak akan berbuat maksiat terhadap Allah ‘Azza wa Jalla.”

Berkata Hatim Rahimahullâh: “Daripada i‘tibâr dapat menambah ilmu, daripada ingatan dapat menambah kecintaan, dan daripada tafakkur dapat menambah ketakutan.”

Apa yang jelas, tafakkur akan dapat menambah ilmu, dan ilmu tersebut akan dapat menambah kecintaan dan ketakutan terhadap Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Dengan wujudnya perasaan inilah, maka segala kemungkaran dan kemaksiatan akan ditinggalkan.

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Sesungguhnya orang-orang yang sentiasa bimbang disebabkan takut kepada (kemurkaan) Tuhan mereka. Dan orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Tuhan mereka. Dan orang-orang yang tidak menyekutukan sesuatu yang lain dengan Tuhan mereka. Dan orang-orang yang memberi akan apa yang mereka berikan sedang hati mereka gerun gentar, kerana mereka yakin akan

kembali kepada Tuhan mereka. Mereka itulah orang-orang yang mengerjakan kebaikan, dan merekalah orang-orang yang mendahului mencapainya. (Surah al-Mu’minûn: 57-61)

Oleh itu, sudah semestinyalah kedatangan tahun hijrah ini direnungi agar keimanan di jiwa dan amal kebajikan dapat dipertingkatkan lagi demi mencapai keredhaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6824