Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Hukum Membawa Alat-Alat Yang Mengandungi Perisian Al-Quran Ke Tandas

Dalam era kemajuan sains dan teknologi ini, manusia melalui keajaiban akal dan ilham yang dikurniakan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah berjaya mencipta alat-alat yang serba canggih. Al-Qur’an yang dahulunya hanya dapat dibaca melalui kertas ataupun Mushhaf kini sudah dapat dimuat turun ke dalam alat-alat seperti telefon bimbit ataupun PDA (Personal Digital Assistant).

Oleh kerana alat-alat seperti telefon bimbit ataupun PDA ini sangat penting penggunaannya dalam kehidupan masa kini, maka sudah semacam kemestian ia sentiasa dibawa bersama ke mana-mana sahaja termasuklah ke tandas.

Sebagaimana yang dimaklumi, ayat-ayat al-Qur’an adalah Kalâmullâh yang wajib dihormati, dimuliakan dan dijaga sedaya upaya atau sebaik-baiknya agar ia tidak terdedah kepada sebarang pencemaran atau penghinaan yang boleh menjejaskan kesuciannya.

Jadi di sini, timbullah persoalan mengenai kehormatan perisian al-Qur’an yang terdapat pada alat-alat tersebut. Adakah membawanya bersama masuk ke tandas, ataupun membawanya dalam keadaan berhadas akan mencemarkan kesucian al- Qur’an?

Hukum Membawa Tulisan Ayat Al-Qur’an ke Tandas

Membawa apa sahaja benda yang tertulis padanya ayat-ayat al-Qur’an mahupun dzikrullâh ke tandas hukumnya adalah makruh. Termasuk juga dalam hal ini nama-nama yang dimuliakan seperti nama-nama Allah, para nabi dan malaikat-malaikatNya sebagaimana yang disebutkan dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj.

Imam asy-Syirazi Rahimahullâh berkata dalam kitabnya al-Muhadzdzab: “Jika ada seseorang ingin memasuki tandas dan bersama-samanya ada sesuatu yang terdapat padanya zikir-zikir Allah, maka baginya menjauhkan benda tersebut dari dirinya (tidak membawanya masuk ke tandas), kerana telah diriwayatkan oleh Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, bahwasanya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam apabila hendak memasuki tandas, Baginda meletakkan cincin Baginda itu di luar, ini kerana di atas cincin Baginda itu ada tertulis perkataan “ حممدد رسدول هللا ”

yang Baginda jadikan sebagai mohor atau cap Baginda dalam urusan surat menyurat.”

Imam an-Nawawi Rahimahullâh ketika mengulas kata-kata pengarang kitab al- Muhadzzab ini telah berkata: “Para ulama asy-Syafi‘eyyah telah bersepakat mengatakan bahawa adalah sunat dijauhkan sesuatu yang ada padanya zikir-zikir Allah ketika seseorang itu hendak masuk tandas dan tidaklah wajib ia dijauhkan dari dirinya (membukanya).”

Imam an-Nawawi Rahimahullâh seterusnya menambah: “Sama ada benda yang tertulis padanya zikir-zikir Allah itu duit perak (dirham), emas (dinar), cincin atau lainnya, begitu juga jika ada bersama-samanya tangkal ataupun azimat, sunat dijauhkan benda-benda itu dari dirinya ketika hendak memasuki tandas.”

Ini bertujuan bagi memuliakan ayat-ayat al-Qur’an yang terdapat pada alat-alat tersebut dan sebagai mencontohi perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang meletakkan cincin Baginda (di luar) apabila hendak masuk ke tandas kerana terdapat padanya ukiran perkataan “ حممد رسولهللا ”.

Adakah Alat Yang Mengandungi Perisian Al-Qur’an Itu Dihukumkan Sebagai Al-Qur’an?

Para ulama berpendapat bahawa ayat yang ditulis pada sesuatu dengan tujuan untuk membaca atau mempelajari ayat al-Qur’an adalah haram untuk disentuh atau ditanggung oleh orang yang berhadas. Sementara ayat-ayat yang ditulis bukan kerana tujuan membaca atau belajar membaca ayat tersebut, umpamanya ayat al-Qur’an yang ditulis sebagai tangkal dan azimat maka harus ia disentuh atau ditanggung oleh orang yang berhadas.

Adapun alat-alat seperti telefon bimbit atau PDA yang terdapat padanya perisian al-Qur’an, tidaklah dihukumkan sebagai al-Qur’an sungguhpun ia diniatkan untuk mengaji atau mempelajari ayat-ayat al-Qur’an tersebut. Ini kerana pancaran tulisan al-Qur’an pada skrinnya adalah berbentuk elektronik dan tidak kekal. Begitu juga bacaan al-Qur’an yang berbunyi daripada alat tersebut adalah berbentuk rakaman. Ia akan terpadam dan hilang jika alat tersebut dimatikan atau dialihkan ke program yang lain.

Maka tidaklah menjadi kesalahan untuk menanggung atau menyentuhnya dalam keadaan berhadas kerana sebagaimana yang telah disebutkan tadi bahawa alat-alat tersebut tidak dihukumkan sebagai al-Qur’an.

Hukum Membawa Masuk Alat Perisian Al-Qur’an Ke Tandas

Dalam kitab Nihâyah al-Muhtâj karangan Imam ar-Ramli Rahimahullâh, beliau berpendapat bahawa benda-benda yang tidak dihukumkan sebagai al-Qur’an atau nama-nama yang tidak dimuliakan adalah harus untuk dibawa masuk ke tandas. Begitu juga jumhûr ulama tidak menegah daripada membawa benda-benda selain zikir Allah ke tandas.

Maka dapatlah diambil kesimpulan di sini bahawa adalah harus hukumnya membawa masuk alat-alat seperti telefon bimbit atau PDA yang mengandungi perisian al-Qur’an atau tafsirnya ke tandas dengan syarat unsur tulisan dan bacaan ayat al-Qur’an itu tidak terpapar daripada alat-alat tersebut ketika berada di tandas.

Dalam erti kata lain, alat-alat seperti telefon bimbit atau PDA yang mengandungi perisian al-Qur’an atau tafsirnya itu hendaklah dimatikan ataupun dialihkan program al-Qur’an itu ke program yang lain sebelum masuk ke tempat-tempat kotor seperti tandas supaya unsur tulisan dan bacaan ayat al-Qur’annya tidak terpapar daripada alat-alat tersebut ketika berada dalam tandas.

Ini berdasarkan pendapat Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj, beliau berkata: “Sekiranya seseorang masuk ke tandas dengan membawanya (cincin yang tertulis padanya al-Qur’an), walaupun dengan senghaja, maka sunat untuk menyembunyikannya seperti menggenggamnya dalam tapak tangan.”

Dengan mematikan alat-alat seperti telefon bimbit atau PDA yang mengandungi perisian al-Qur’an atau tafsirnya itu, ataupun mengalihkannya kepada program lain sebelum memasuki tandas, maka terpeliharalah kesucian ayat al-Qur’an atau tafsirnya yang terdapat dalam alat-alat tersebut kerana ia tidak akan terpapar ketika berada dalam tandas.

Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh turut menjelaskan bahawa selain tandas, semua tempat kotor atau tempat maksiat dihukumkan sebagai tempat-tempat yang menjijikkan. Maka menurut pendapat ini, tempat-tempat tari-menari, kawasan perzinaan, kedai judi, tempat yang mengamalkan riba dan yang seumpamanya, dan termasuk juga dalam hal ini tanah perkuburan orang-orang kafir adalah sama keadaannya sepertimana hukum membawa ayat-ayat al-Qur’an ke tandas.

Kesimpulan

Tidak kira di mana pun ayat-ayat al-Qur’an tersebut, sama ada pada kertas, tangkal, dinding dan sebagainya ia masih lagi dinamakan ayat-ayat al-Qur’an. Maka dalam permasalahan alat-alat seperti telefon bimbit atau PDA yang mengandungi perisian al-Qur’an ini, adalah sangat mustahak pemiliknya bersikap lebih berhati-hati dalam menjaga kesucian ayat-ayat al-Qur’an yang terdapat pada alat-alat tersebut dengan memastikannya ditutup ataupun dialihkan kepada program lain sebelum memasuki tempat-tempat yang tidak wajar seperti tandas ataupun mana-mana tempat yang dihukumkan sebagai tempat-tempat yang menjijikkan sepertimana yang telah dijelaskan tadi.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6828