Waswas Dalam Sembahyang: Bagaimana Mengatasinya?
Memperolehi kesempurnaan dalam sembahyang merupakan impian setiap Muslim. Mereka cuba sedaya upaya untuk menghadirkan hati agar khusyû‘ dalam sembahyang, di samping melaksanakan perkara rukun dan sunat sembahyang dengan sempurna. Untuk khusyû‘ dalam sembahyang pula bukanlah suatu yang mudah, tetapi ia juga bukan suatu yang mustahil untuk dicapai.
Khusyû‘ dalam sembahyang boleh terganggu dengan adanya perasaan waswas yang wujud di dalam hati, seperti waswas ketika mengangkat takbîratul-ihrâm, waswas pada bacaan dalam sembahyang dan yang seumpamanya.
Dari manakah punca perasaan waswas ini dan bagaimanakah pula cara mengatasinya? Ikutilah penjelasan berikut mengenai perkara ini.
Apa Dia Waswas?
Waswas menurut Kamus Dewan bererti perasaan sangsi, curiga dan khuatir. Menurut istilah Bahasa Arab pula bererti sangkaan buruk yang merunsingkan hati atau fikiran dan godaan batin.
Dalam kitab Mausû‘ah al-Fiqhiyyah al-Muyassarah pula, waswas bermaksud kesibukan fikiran dengan pemikiran yang mengganggu dirinya dan ini menggalakkannya untuk melakukan perkara-perkara yang bodoh.
Menurut Imam al-Qurthubi Rahimahullâh, al-waswasah ( الوسوسة) adalah bisikan hati (dalam diri).
Waswas merupakan salah satu daripada perbuatan syaitan (bertujuan untuk mengganggu manusia). Oleh yang demikian, seorang Muslim itu hendaklah tidak patuh pada (bisikan atau hasutan) syaitan yang mengganggu dirinya dengan perasaan waswas. Bahkan hendaklah dia mengambil langkah berhati-hati yang menghalangnya daripada berperasaan waswas itu.
Waswas Semasa Sembahyang Dan Dalam Sembahyang
Menurut al-‘Allâmah Sayyid al-Bakri Rahimahullâh, sembahyang tidak batal jika waswas timbul kerana ia adalah fikiran yang datang tanpa pilihan (ia hanyalah mainan fikiran).
Walau bagaimanapun adalah menjadi tanggungjawab individu mencari jalan atau cara untuk mengatasinya agar sembahyang dapat dilakukan dengan penuh khusyû‘.
Antara waswas yang sering terjadi pada sesetengah individu ketika bersembahyang ialah:
1. Waswas pada niat sembahyang dan takbîratul-ihrâm.
Seseorang yang seringkali dilanda waswas ketika mengangkat takbîratul-ihrâm akan menyangka bahawa niat yang dilakukan ketika takbîratul-ihrâm itu tidak sempurna atau iringan antara niat dan takbîr itu salah dan yang seumpamanya. Waswasnya itu menyebabkan dia terpaksa mengulang niat dan takbîratul-ihrâm itu kerana takut sembahyang yang dilakukannya itu tidak sempurna atau batal disebabkan niat dan takbîratul-ihrâm yang tidak sempurna atau salah itu.
Menurut al-‘Allâmah asy-Syarbini al-Khathib Rahimahullâh, waswas yang datang ketika takbîratul-ihrâm adalah permainan syaitan dan itu menunjukkan lemahnya akal fikiran dan kurangnya ilmu mengenai agama.
Mengetahui niat sembahyang dengan jelas, cara melafazkannya sama ada sebelum atau seiring dengan takbîratul-ihrâm, sebenarnya membantu mengelak daripada timbulnya waswas ketika berniat dan mengangkat takbîratul-ihrâm.
Lafaz Niat dan Cara Takbîratul-Ihrâm
Niat dari segi syara‘ bererti kemahuan untuk melaksanakan sesuatu perkara sambil terus melakukan perkara tersebut.
Seseorang yang hendak melakukan sembahyang fardhu wajib menghadirkan di dalam hatinya tiga perkara, iaitu:
i. Qashd (tujuan hendak sembahyang). ii. Ta‘yîn (menentukan sembahyang Zhuhur dan sebagainya). iii. Ta‘arrudh al-fardhiyyah (pernyataan fardhu).
Maka daripada ketiga-tiga perkara tersebut, inilah contoh niat yang wajib bagi sembahyang fardhu:
Ertinya: Aku sembahyang fardhu Zhuhur.
Begitu juga wajib pernyataan qashar bagi musafir, dan pernyataan “imam” dan “makmum” bagi yang sembahyang berjemaah.
Manakala niat dengan lafaz-lafaz sunat sebagaimana berikut:
i. Ta‘arrudh li adâ’i aw qadhâ’i (pernyataan untuk sembahyang tunai atau qadha’). ii. Ta‘arrudh ‘adadi rak‘ati (pernyataan bilangan rakaat). iii. Idhâfah ilallâhi Ta‘âlâ (disandarkan kepada Allah Ta‘ala).
Contoh niat yang wajib disertakan dengan lafaz yang sunat pula ialah:
Ertinya: Aku sembahyang fardhu Zhuhur empat raka‘at tunai kerana Allah Ta‘ala.
Seseorang yang hendak sembahyang fardhu Zhuhur, hendaklah menghadirkan dalam hatinya tujuan untuk sembahyang fardhu Zhuhur, dan sunat menyebut lafaz niatnya dengan lidah, seperti ِ أُصَةةلِى فةَةرْض َ الظُّهْةر (ertinya: Aku sembahyang fardhu Zhuhur) lalu terus mengangkat takbîratul-ihrâm dengan ucapan: َُ هللا ُ أَكْةر (ertinya: Allah Maha Besar) sambil di hatinya masih menghadirkan atau masih ada niat untuk sembahyang fardhu Zhuhur sehingga selesai mengucap takbîr itu.
Sunat melafazkan niat sebelum mengangkat takbîratul-ihrâm agar lidah dan hati saling bantu-membantu untuk menghadirkan niat, dan mengelak waswas.
Menurut al-‘Allâmah al-Bujairimi Rahimahullâh, pendapat yang mu‘tamad adalah memadai menghadirkan niat beriringan dengan takbîratul-ihrâm menurut ‘urf (kebiasaan); iaitu menghadirkan niat pada mana-mana bahagian ucapan takbîratul-ihrâm. Sebagai contoh, tujuan untuk sembahyang fardhu Zhuhur dihadirkan pada mana-mana bahagian ucapan takbîratul-ihrâm.
Menurut Imam al-Ghazali Rahimahullâh, adalah memadai menghadirkan niat beriringan dengan takbîratul-ihrâm mengikut ‘urf (kebiasaan) bagi orang biasa, kerana melaksanakan yang sedemikian itu dianggap sudah menghadirkan niat untuk sembahyang. Berlainan bagi orang-orang tertentu (seperti sahabat-sahabat Nabi Radhiallâhu ‘anhum), mereka mampu menghadirkan niat beriringan dengan takbîratul-ihrâm dengan cara yang hakiki; iaitu menghadirkan niat yang beriringan dengan keseluruhan ucapan takbîratul-ihrâm
Menurut sebahagian ulama, berhati-hatilah jika syaitan menyerang dengan keburukan waswas (ketika takbîratul- ihrâm). Jika terjadi sedemikian atau terjadi di luar kemampuan, maka lakukanlah seperti apa yang telah disebutkan oleh Imam al-Ghazali Rahimahullâh sebagaimana di atas, bagi tujuan memudahkan (untuk menghadirkan niat).
2. Waswas pada bacaan dalam sembahyang.
Terdapat juga sebahagian orang ramai yang berasa waswas pada bacaannya dalam sembahyang sehingga menimbulkan sikap yang keterlaluan dalam pengucapan huruf, lantas kurang perhatian untuk memahami apa yang dibaca.
Menurut Ibnu al-Jauzi Rahimahullâh: “Antara tipu daya Iblis terhadap orang yang sembahyang ialah mendatangkan waswas pada makhraj huruf. Ada yang membaca “اْلمةد... اْلمةد …” berulang kali sehingga menyebabkannya terkeluar daripada adab sembahyang. Adakalanya Iblis mendatangkan kepadanya waswas ketika membunyikan tasydîd (huruf bersabdu), sehinggakan terkeluar air ludahnya kerana terlalu kuat tekanannya pada tasydîd (huruf bersabdu) tersebut dan adakalanya ketika membunyikan huruf dhâd pada kalimah “املغضوب” (al-maghdhûb) dalam surah al-Fâtihah.”
Penyebutan huruf secara keterlaluan dan melampui batas adalah waswas yang didatangkan oleh iblis untuk menyibukkan orang mu’min pada sebutan makhraj sehingga perhatian untuk memahami bacaan berkurangan.
Adapun yang dikehendaki pada bacaan itu adalah menyebut makhraj huruf dengan betul, bukanlah keterlaluan menyebutnya sehingga memberatkan diri sendiri.
Punca Timbulnya Perasaan Waswas Dan Cara Mengatasinya Ketika Bersembahyang
Waswas timbul kerana lemahnya akal fikiran dan kurangnya ilmu agama.
Oleh yang demikian, bagi mengatasi masalah waswas ketika sembahyang, seorang Muslim itu hendaklah mengambil langkah-langkah sebagaimana berikut:
1. Mendalami ilmu agama.
Mempelajari ilmu mengenai ibadat secara mendalam, dari sudut kebersihan, kaifiyyah (cara) memasang niat untuk sembahyang, mengangkat takbîratul-ihrâm, bacaan-bacaan yang betul dalam sembahyang dan sebagainya adalah antara perkara yang boleh membantu menjauhi perasaan waswas yang ditimbulkan oleh syaitan.
Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Seorang faqîh (ahli ilmu agama) lebih susah bagi syaitan (mendatangkan waswas di hatinya) daripada seribu orang ahli ibadat (yang jahil). (Hadits riwayat at-Tirmidzî)
Menurut Ibnu al-Jauzi Rahimahullâh, kejahilan merupakan jalan utama iblis masuk pada diri manusia, iaitu iblis masuk (menghasut dan membisik-bisik waswas pada) orang-orang yang jahil dengan cara aman (mudah). Manakala pada orang yang berilmu, dia mencuri-curi (lantaran susah untuk dia menghasut atau membisik-bisik waswas).
2. Menghadirkan hati untuk khusyû‘ ketika sembahyang.
Salah satu cara yang boleh membantu menghilangkan rasa waswas adalah menghadirkan hati ketika menunaikan sembahyang.
Apabila hati tidak dapat hadir di dalam sembahyang (tidak dapat menjiwai perkataan dan perbuatan sembahyang), maka ia tidak akan kosong, bahkan berputar memikirkan perkara-perkara dunia. Oleh kerana itulah, terdapat antara kita yang zahirnya sembahyang, namun hati dan fikiran melayang ke tempat lain.
Menurut Imam al-Ghazali Rahimahullâh, antara cara menghadirkan hati ketika sembahyang adalah dengan mengosongkan hati daripada segala perkara yang mengganggu fikiran. Perkara-perkara yang mengganggu fikiran itu dapat dicegah dengan menolak penyebabnya.
Antara penyebab yang menganggu fikiran sehingga kita tidak mampu menghadirkan hati ketika bersembahyang ialah:
i. Persekitaran.
Penyebab persekitaran adalah apa-apa yang terdengar oleh telinga atau ternampak oleh mata.
Seseorang yang kuat niat dan azamnya untuk sembahyang tidak akan terganggu dengan apa yang didengar atau dilihatnya.
Namun, orang yang lemah niat dan azamnya akan bercelaru fikirannya. Maka cara untuk mengatasinya adalah dengan menundukkan pandangan ke tempat sujud, atau sembahyang di tempat gelap, membuang benda yang boleh mengganggu fikiran, atau bersembahyang dekat dinding bagi membataskan pandangan dan mengelak daripada bersembahyang di tempat laluan atau atas tikar yang berukir.
ii. Diri sendiri.
Penyebab daripada diri sendiri juga menghalang daripada menghadirkan hati ketika bersembahyang, umpamanya sembahyang sambil lewa atau hanya untuk menunaikan kewajipan semata-mata. Mengatasi penyebab ini adalah lebih ditekankan.
Antara cara untuk mengatasi penyebab daripada dalam diri adalah dengan berusaha mengosongkan fikiran daripada hal-hal keduniaan sebelum mengangkat takbîratul-ihrâm dan menumpukan perhatian pada memahami apa yang dibaca dalam sembahyang.
Seseorang yang hendak sembahyang perlu mengingat akan dahsyatnya suasana akhirat ketika dia akan berdiri di hadapan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kelak.
Zikir-zikir Yang Boleh Diamalkan Untuk Mengelak Waswas
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah memerintahkan kita untuk memohon perlindunganNya daripada kejahatan syaitan yang sentiasa mengintai peluang untuk mendatangkan waswas (hasutan) kepada manusia. Dalam surah an-Nâs, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku berlindung dengan (Allah) Pemelihara sekalian manusia, Yang Menguasai sekalian manusia, Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, daripada kejahatan pembisik, penghasut yang timbul tenggelam, yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, (iaitu pembisik dan penghasut) daripada kalangan jin dan manusia. (Surah an-Nâs:1-6)
Terdapat beberapa pendapat mengenai maksud al-Khannâs (الخناس) antaranya:
i. Syaitan atau anak iblis. ii. Sifat syaitan yang selalu tersembunyi dan tidak kelihatan. iii. Sifat syaitan yang berundur lari jika seseorang hamba itu ingat kepada Allah.
Berikut beberapa amalan yang diajarkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
1. Daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Barang siapa yang membaca pada waktu pagi: ِ ُ ِِهلل ِ السَّةمِيع ِ الْعَلِةيم أَعُةوس مِةن َ الشَّةيْطَان ِ الةرَّاِيم (ertinya: “Aku berlindung dengan Allah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui daripada syaitan yang direjam”), maka dipelihara dia daripada (gangguan) syaitan sehingga petang. (Hadits dikeluarkan oleh Ibnu as-Sunni)
2. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam juga mengajarkan cara menghindarkan perasaan waswas sebagaimana dalam hadits riwayat Muslim:
Maksudnya: Sesungguhnya ‘Utsman bin Abu al-‘Ash Radhiallâhu ‘anhu menghadap Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam lalu beliau berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya syaitan telah menghalangi sembahyangku dengan bacaanku. Dia menimbulkan keraguan kepadaku”. Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam menjawab: “Itulah syaitan yang dipanggil Khinzib. Jika engkau merasakannya, mohonlah perlindungan Allah daripadanya. Kemudian meludahlah ke sebelah kiri sebanyak tiga kali”. (‘Utsman berkata:) “Aku pun melakukan seperti apa yang dianjurkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan Allah pun melenyapkannya daripadaku. (Hadits riwayat Muslim)
Terdapat juga amalan yang diajarkan para ulama, antaranya:
1. Jarir bin ‘Ubaidah al-‘Adawi mengatakan yang ertinya: “Aku mengadu kepada al-‘Ala’ bin Ziyad: “Aku dapati waswas pada dadaku”. Beliau pun berkata: “Itu seperti rumah yang diawasi oleh pencuri, jika didapatinya ada sesuatu (lalai) dalam rumah itu, maka dia bersegera kepadanya. Jika tidak, dia pergi meninggalkannya”. Maknanya, jika hati disibukkan dengan zikir (mengingati) Allah, tiada peluang bagi syaitan untuk mengganggu. Tetapi syaitan mengambil peluang untuk mendatangkan waswas apabila lalai daripada zikir (mengingati) Allah.
2. As-Sayyid al-Jalil Ahmad bin Abu al-Hawari berkata: “Aku mengadu kepada Abu Sulaiman ad-Darani Radhiallâhu ‘anhu tentang waswas yang menimpaku”. Beliau menjawab: “Jika engkau ingin menghilangkannya, maka apabila saja engkau merasainya, bergembiralah, kerana jika engkau bergembira, waswas itu akan terputus daripadamu. Tidak ada sesuatu yang paling dibenci oleh syaitan daripada kegembiraan orang yang beriman. Jika engkau bersedih hati tentulah waswas itu akan bertambah-tambah lagi menyerang dirimu.”
3. Al-Ustaz Abu al-Hasan asy-Syazali Rahimahullâh pernah mengajarkan sahabat-sahabatnya amalan yang boleh menghindarkan waswas dan lintasan fikiran yang tidak baik. Beliau mengatakan kepada mereka: “Barang siapa yang merasa sedemikian rupa, hendaklah dia meletakkan tangan kanannya di atas dadanya, sambil membaca sebanyak tujuh kali sebelum mengangkat takbîratul-ihrâm:
Ertinya: Maha Suci Allah yang Maha Berkuasa, Yang Maha Suci (daripada kekurangan), Yang Maha Menciptakan (sekalian makhluk) dan Yang Maha Melakukan (apa yang dikehendakiNya).
Kemudian membaca surah Ibrahim, ayat 19-20:
Tafsirnya: Jika Dia kehendaki nescaya dibinasakanNya kamu (dengan sebab kekufuran kamu) dan didatangkan pula dengan makhluk-makhluk yang baharu. Dan yang demikian itu tidaklah sukar bagi Allah melakukannya.
4. Menurut sebahagian ulama, digalakkan bagi orang yang berperasaan waswas ketika berwudhu’, sembahyang dan lain-lain untuk membaca ال لةه ال هللا sebab syaitan berundur apabila mendengar kalimat zikir, lebih-lebih lagi kalimat tersebut adalah induk segala zikir.
Banyak lagi bacaan yang boleh diamalkan untuk melindungi diri kita daripada gangguan dan hasutan syaitan. Sentiasa membaca al-Qur’an di waktu pagi dan petang juga adalah salah satu amalan pelindung diri dengan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ daripada waswas yang dibisikkan oleh syaitan.
Perlu kita sedar, bahawa perasaan waswas yang wujud dalam hati ketika kita melaksanakan sembahyang, hanya gangguan syaitan semata-mata. Walau bagaimanapun jika waswas dibiarkan di hati, maka keinginan untuk memperolehi kekhusyû‘an di dalam sembahyang tidak akan dapat dicapai.
Oleh itu, berusahalah sedaya upaya untuk menghilangkan perasaan waswas ini dengan memantapkan ilmu agama, agar tidak mudah diri kita dijahilkan oleh syaitan yang berusaha memalingkan manusia daripada beribadat kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6852
