Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصيام

Hari ‘Âsyûrâ’: Berpuasalah Sehari Sebelum Dan Selepasnya

Bulan Muharram merupakan bulan pertama dalam kalendar tahun Hijrah. Maka satu (1) Muharram atau awal Muharram adalah lebih dikenali juga dengan sebutan awal tahun baru Hijrah.

Keutamaan bulan Muharram ialah kerana ia termasuk antara bulan-bulan haram yang mempunyai banyak kelebihan. Bulan-bulan haram itu terdiri daripada bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Bulan-bulan haram merupakan waktu yang sangat afdhal untuk mengerjakan dan memperbanyakkan ibadat puasa selain bulan Ramadhan.

Di antara empat bulan haram tersebut, yang lebih afdhal untuk melakukan puasa ialah pada bulan Muharram. Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Puasa yang afdhal sekali selepas puasa di bulan Ramadhan ialah (puasa) di bulan Allah iaitu bulan Muharram.

Amalan Berpuasa Di Bulan Muharram

Dalam bulan Muharram, selain daripada hari kesepuluh yang sudah dikenali dan diketahui ramai dengan panggilan hari ‘Âsyûrâ’, terdapat juga beberapa hari lain yang disunatkan untuk berpuasa. Hari-hari yang dimaksudkan itu ialah hari kesembilan (Tâsû‘â’) dan hari kesebelas.

Bahkan Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh dalam kitab al-Umm dan al-Imlâ’ menyatakan bahawa digalakkan untuk berpuasa pada ketiga-tiga hari tersebut.

Selain daripada tiga hari yang telah disebutkan di atas, adalah sangat digalakkan juga untuk berpuasa pada sepuluh hari terawal di bulan Muharram, bahkan sepanjang bulan Muharram, berdasarkan hadits di atas.

Tuntutan Berpuasa Hari ‘Âsyûrâ’, Sebelum Dan Selepasnya

Tuntutan untuk berpuasa pada sembilan, sepuluh dan sebelas Muharram itu adalah berdasarkan hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam antaranya:

1. Puasa hari Tâsû‘â’.

Berpuasa pada hari kesembilan bulan Muharram adalah berdasarkan hadits daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas Rahimahullâh ‘anhumâ dia berkata:

Maksudnya: Ketika Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam berpuasa pada hari ‘Âsyûrâ’ dan Baginda memerintahkan (para sahabat Baginda) untuk melakukan puasa pada hari itu, mereka berkata: “Wahai Rasulullah! (Bukankah) sesungguhnya hari ‘Âsyûrâ’ itu hari yang diagungkan oleh orang-orang Yahudi dan Nashrani?” Maka Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Apabila pada tahun yang akan datang, insyâ’ Allah kita akan berpuasa pada hari yang kesembilan”. Berkata (‘Abdullah bin ‘Abbas): “Belum sempat menjelang tahun hadapan, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telahpun wafat.”

Adapun antara hikmat berpuasa pada hari ‘Âsyûrâ’ itu bersama-sama dengan hari Tasû‘â’ (hari kesembilan daripada bulan Muharram) itu agar tidak menyerupai dengan amalan orang Yahudi yang hanya berpuasa pada hari ‘Âsyûrâ’sahaja. Ini jelas sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ:

Maksudnya: Berpuasalah kamu pada hari kesembilan dan kesepuluh Muharram dan jangan meniru (menyerupai) cara orang-orang Yahudi. (Hadits riwayat al-Baihaqi)

2. Puasa hari ‘Âsyûrâ’.

Puasa hari ‘Âsyûrâ’, iaitu pada hari kesepuluh Muharram, merupakan sunat yang sangat dituntut (mu’akkadah) untuk dikerjakan.

Puasa hari ‘Âsyûrâ’ lebih dikenali oleh masyarakat umum berbanding puasa hari kesembilan dan kesebelas Muharram. Adapun tuntutan untuk berpuasa pada hari ‘Âsyûrâ’ telah disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Mu‘awiyah bin Abu Sufyan Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa dia mendengar Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Ini adalah hari ‘Âsyûrâ’ dan Allah tidak mewajibkan kepada kamu mengerjakan puasa padanya. Namun demikian aku berpuasa pada hari ini. Maka barang siapa yang menghendaki (untuk berpuasa), bolehlah dia berpuasa dan barang siapa yang menghendaki untuk berbuka yakni tidak berpuasa, maka boleh sajalah dia berbuka. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Sungguhpun berpuasa pada hari ‘Âsyûrâ’ itu hanya merupakan puasa sunat, akan tetapi terdapat banyak hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang menyebutkan keutamaan dan fadhilat berpuasa pada hari ‘Âsyûrâ’. Oleh itu jangan dipandang ringan atau disia-siakan. Antara hadits-hadits itu:

i. Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ menceritakan dalam sebuah hadits, katanya:

Maksudnya: Aku (Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ) tidak pernah melihat Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bermaksud untuk mengerjakan puasa pada suatu hari yang Baginda lebih mengutamakannya daripada hari-hari yang lain, kecuali hari ini, iaitu hari ‘Âsyûrâ’ dan berpuasa dalam bulan ini, yakni bulan Ramadhan. (Hadits riwayat al-Bukhari)

ii. Manakala dalam hadits yang lain pula daripada Abu Qatadah Radhiallâhu ‘anhu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Puasa hari ‘Âsyûrâ’ bahawasanya aku mengharapkan daripada Allah moga mengampunkan dosa-dosaku pada tahun yang sebelumnya.

iii. Puasa hari kesebelas Muharram.

Terdapat satu riwayat yang menganjurkan supaya kita berpuasa sehari sebelum dan sehari selepas hari ‘Âsyûrâ’. Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Berpuasalah kamu pada hari ‘Âsyûrâ’ dan janganlah menyerupai orang Yahudi dalam perkara ‘Âsyûrâ’. (Oleh itu) berpuasalah kamu sehari sebelumnya atau sehari sesudahnya. (Hadits riwayat al-Baihaqi)

Walau bagaimanapun menurut pendapat ulama, disunatkan berpuasa pada hari kesebelas Muharram; sama ada dia telah berpuasa ataupun tidak pada hari kesembilan Muharram.

Bagaimana Jika ‘Âsyûrâ’ Itu Jatuh Pada Hari-Hari Yang Makruh Berpuasa?

Adapun hari-hari yang dimaksudkan makruh berpuasa itu ialah hari Jumaat, Sabtu atau Ahad semata-mata.

Pada dasarnya hukum berpuasa pada hari Jumaat sahaja tanpa digandingkan dengan berpuasa sehari sebelumnya (hari Khamis) atau sehari selepasnya (hari Sabtu) adalah makruh. Perkara ini adalah berdasarkan tegahan atau larangan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melalui hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu katanya: “Aku mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Jangan (sekali-kali) salah seorang daripada kamu berpuasa pada hari Jumaat melainkan (dia berpuasa) sehari sebelumnya atau (sehari) selepasnya. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Begitu juga makruh hukumnya berpuasa pada hari Sabtu sahaja atau pada hari Ahad sahaja tanpa sebab lain yang dianjurkan untuk berpuasa. Ini kerana hari Sabtu adalah hari yang diagungkan oleh orang-orang Yahudi, sementara hari Ahad pula adalah hari yang diagungkan oleh orang-orang Nashrani.

Walau bagaimanapun jika digandingkan atau digabungkan hari yang dimakruhkan berpuasa tadi dengan hari yang lain; umpamanya Jumaat dengan Sabtu atau Sabtu dengan Ahad, maka tidak dihukumkan makruh. Begitu juga halnya gabungan atau gandingan Jumaat dengan Khamis atau Ahad dengan Isnin.

Namun tidak makruh hukumnya berpuasa pada hari Jumaat, Sabtu atau Ahad semata-mata jika puasa tersebut ada sebab lain yang dianjurkan. Misalnya pada hari-hari tersebut (Jumaat, Sabtu atau Ahad) bertepatan dengan puasa hari ‘Arafah dan puasa hari ‘Âsyûrâ’ atau hari tersebut bertepatan dengan kebiasaan seseorang itu melakukan puasa yang diamalkan oleh Nabi Daud ‘Alaihissalâm, iaitu berpuasa sehari dan berbuka sehari ataupun dia melakukan puasa pada hari tersebut kerana puasa qadha’ atau nazar.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu daripada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Jangan kamu mengkhususkan malam Jumaat untuk mendirikan sembahyang (malam) daripada malam-malam yang lain, dan jangan kamu mengkhususkan hari Jumaat untuk berpuasa daripada hari-hari yang lain kecuali puasa yang (kebetulan bertepatan) seorang di antara kamu berpuasa (pada hari itu).

Maka jika kita lihat kembali antara tujuan mengapa digandingkan atau digabungkan hari ‘Âsyûrâ’ dengan Tâsû‘â’ itu antaranya ialah untuk membezakan amalan orang Yahudi yang hanya berpuasa pada hari ‘Âsyûrâ’. Juga sebagai langkah berhati-hati; umpamanya jika ‘Âsyûrâ’ itu jatuh pada hari Jumaat. Oleh itu untuk menghindarkan seseorang itu daripada berpuasa hanya pada 10 Muharram itu (hari Jumaat) semata-mata, maka digandingkan atau digabungkan puasa ‘Âsyûrâ’ itu dengan hari lain, iaitu hari kesembilan (Tâsû‘â’) atau sehari selepas ‘Âsyûrâ’.

Walau bagaimanapun ini bukan bermakna jika hari ‘Âsyûrâ’ itu jatuh pada hari Jumaat, maka barulah disunatkan untuk berpuasa pada hari sebelumnya (hari kesembilan) atau hari selepasnya (hari kesebelas). Bahkan jika ‘Âsyûrâ’ itu jatuh pada hari selain hari Jumaat, maka tetap juga disunatkan untuk berpuasa pada hari kesembilan dan kesebelas Muharram.

Sebagai kesimpulan, selain bulan Ramadhan, bulan Muharram merupakan antara bulan yang paling afdhal untuk melakukan dan memperbanyakkan puasa. Di samping hari ‘Âsyûrâ’ (10 Muharram) yang sudah diketahui dan dimaklumi sebagai hari yang disunatkan berpuasa padanya, terdapat juga dalil-dalil yang menggalakkan untuk berpuasa pada hari Tâsû‘â’ (9 Muharram) dan hari kesebelas Muharram. Bahkan digalakkan juga untuk berpuasa pada sepuluh hari awal bulan Muharram dan di sepanjang bulan Muharram.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6864