Bolehkah Puasa Sunat Sebelum Qadha’ Puasa Ramadhan?
Puasa merupakan ibadat yang istimewa di sisi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kerana setiap ganjaran atau balasan kepada orang yang berpuasa diberikan dan dinilai oleh Allah Ta‘ala sendiri sebagaimana yang disebutkan oleh Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda:
Maksudnya: Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman: Setiap amalan anak Adam (manusia) adalah untuknya (dapat diperiksa sendiri dan dinilai baik buruknya), melainkan amalan puasa, maka sesungguhnya puasa itu adalah untukKu (Aku sendiri yang dapat memeriksa dan menilainya) dan oleh sebab itu Aku sendirilah yang akan menentukan berapa banyak balasan yang perlu diberikan kepada mereka yang berpuasa. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Selain puasa bulan Ramadhan kita juga dituntut supaya mengerjakan puasa-puasa sunat atau tathawwu‘ seperti puasa ‘Âsyûrâ’, hari ‘Arafah, puasa Sya‘ban, puasa mingguan pada hari Isnin dan Khamis, puasa enam hari pada bulan Syawal dan lain-lain. Puasa-puasa sunat tersebut mempunyai ganjarannya yang tersendiri.
Antara hadits-hadits yang menyebut mengenai ganjaran melakukan puasa sunat itu ialah:
1. Puasa enam hari di bulan Syawal.
Maksudnya: Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun. (Hadits riwayat Muslim)
2. Puasa hari ‘Arafah (9 Zulhijjah). Disunatkan kepada orang yang tidak melakukan ibadat haji.
Maksudnya: Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah ditanya oleh sahabat mengenai puasa hari ‘Arafah, Baginda bersabda: “Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu dan tahun kemudiannya.” (Hadits riwayat Muslim)
3. Puasa hari Tâsû‘â’ (9 Muharram).
Maksudnya: Sesungguhnya jika aku hidup pada tahun hadapan, aku akan berpuasa pada 9 Muharram. (Hadits riwayat Muslim)
4. Puasa pada hari ‘Âsyûrâ’ (10 Muharram).
Maksudnya: Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam ditanya mengenai puasa hari ‘Âsyûrâ’ (yakni hari ke-10 bulan Muharram), lalu Baginda bersabda: “Dihapuskan (dosa orang yang mengerjakannya) setahun yang lalu.” (Hadits riwayat Muslim)
5. Puasa pada bulan Muharram.
Maksudnya: Puasa yang lebih afdhal selepas puasa Ramadhan ialah puasa pada bulan Allah iaitu bulan Muharram. (Hadits riwayat Muslim)
6. Puasa bulan Sya‘ban.
Maksudnya: Daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ: “Aku tidak pernah melihat Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam berpuasa satu bulan penuh selain bulan Ramadhan, dan aku tidak pernah melihatnya lebih banyak berpuasa daripada bulan Ramadhan seperti Baginda berpuasa pada bulan Sya‘ban. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Jelaslah, orang yang mengerjakan puasa sunat atau tathawwu‘ akan mendapat ganjaran yang besar sebagaimana yang disebutkan dalam hadits di atas. Tambahan lagi amalan-amalan sunat boleh menampung kecacatan-kecacatan atau kekurangan yang tidak disedari berlaku semasa menunaikan amalan fardhu. Kemungkinan dalam menunaikan amalan fardhu itu tanpa disedari wujud kecacatan atau kurang sempurna, sebagaimana dijelaskan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dalam perkara sembahyang dan lain-lain perkara yang wajib melalui sabda Baginda:
Maksudnya: Sesungguhnya yang pertama sekali akan diperhitungkan daripada amalan seseorang pada Hari Kiamat kelak adalah sembahyang fardhunya. Jika didapati sembahyang fardhunya sempurna, maka ia akan ditulis sempurna, jika sembahyang fardhunya tidak sempurna, maka Allah memerintahkan (kepada para malaikat) memeriksa tentang sembahyang sunatnya, kemudian segala amalan lain mengikut perkiraan itu (kekurangan daripada amalan fardhu diambil daripada amalan sunat). (Hadits riwayat an-Nasa‘i)
Sekiranya amalan fardhu itu sempurna dikerjakan maka mengerjakan amalan sunat merupakan satu kelebihan besar. Amalan fardhu itu diibaratkan sebagai modal dan amalan sunat itu merupakan keuntungan dan laba.
Akan tetapi, ini tidak bermakna amalan sunat boleh menampung amalan wajib yang belum ditunaikan atau masih perlu diqadha’. Betapapun kelebihan puasa-puasa sunat itu, namun kewajipan mengqadha’ puasa wajib (Ramadhan) sentiasa menjadi keutamaan, tidak boleh diabai-abaikan bahkan dalam keadaan tertentu tidak boleh ditangguh-tangguhkan.
Kewajipan Mengqadha’ Puasa
Puasa Ramadhan yang ditinggalkan adalah wajib diqadha’ sebanyak hari yang ditinggalkan itu sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam firmanNya:
Tafsirnya: Maka wajiblah dia berpuasa sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Surah al-Baqarah: 184)
Kewajipan mengqadha’ puasa itu tidak kira sama ada puasa itu ditinggalkan dengan sengaja atau kerana keuzuran kecuali orang-orang yang benar-benar tidak terdaya mengerjakannya seperti orang sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh. Mereka tidak diwajibkan mengqadha’ puasa yang ditinggalkan itu tetapi wajib membayar fidyah sebagai ganti puasa yang ditinggalkan. Hal ini dijelaskan dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan wajib atas orang-orang yang tidak berdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. (Surah al-Baqarah: 184)
Qadha’ Bagi Orang Berbuka Disebabkan Keuzuran
Adapun puasa yang ditinggalkan disebabkan keuzuran tidaklah wajib diqadha’ dengan segera. Walau bagaimanapun mengqadha’nya dengan segera adalah lebih baik dan hukumnya adalah sunat (mustahabb) untuk tujuan berjaga-jaga dan berhati-hati. Begitu juga, tidak diwajibkan mengqadha’ puasanya itu dengan berturut-turut, bahkan hanya sunat sahaja. Oleh itu adalah harus melakukan qadha’ dengan berselang-seli harinya.
Melambat-lambatkan qadha’ puasa disebabkan keuzuran itu adalah diharuskan sebagaimana disebutkan dalam sebuah riwayat Yahya daripada Abu Salamah, katanya:
Maksudnya: Saya telah mendengar ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ berkata: “Dahulu saya (‘Aisyah) ada qadha’ puasa bulan Ramadhan, namun saya tidak upaya untuk mengqadha’nya melainkan di bulan Sya‘ban”. Yahya berkata: “Disebabkan ada kesibukan yang datangnya daripada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam atau dengan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam (kerana khuatir Baginda akan memerlukan ‘Aisyah pada bila-bila masa). (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadits ini menunjukkan bahawa orang yang berbuka puasa disebabkan keuzuran, harus melambatkan qadha’ puasa Ramadhan sehingga datangnya bulan Sya‘ban iaitu sebelum datangnya Ramadhan yang baru. Ini kerana Siti ‘Aisyah mengqadha’ puasanya pada bulan Sya‘ban sementara Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pula banyak mengerjakan puasa sunat di bulan Sya‘ban itu.
Perlulah diingat keharusan melambatkan qadha’ puasa itu tidaklah sampai datangnya bulan Ramadhan yang baru, kerana berdosa bagi orang yang melengah-lengahkan qadha’ puasa Ramadhan sehingga masuk ke bulan Ramadhan yang baru tanpa keuzuran yang menyebabkan dia tidak dapat mengqadha’nya. Keuzuran yang dimaksudkan seperti sakit yang berpanjangan.
Manakala waktu mengqadha’ puasa itu, menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ adalah harus mengqadha’ puasa Ramadhan pada sepanjang tahun melainkan bulan Ramadhan, Hari-hari Raya dan Hari Tasyriq. Tidaklah menjadi makruh mengqadha’ puasa pada selain waktu-waktu yang tidak diharuskan itu sama ada mengqadha’nya pada bulan Zulhijjah atau selainnya.
Qadha’ Bagi Orang Yang Berbuka Puasa Dengan Sengaja
Manakala orang yang berbuka puasa dengan sengaja tanpa keuzuran adalah diwajibkan mengqadha’ puasanya itu dengan segera kerana sesiapa yang berbuka puasa dengan sengaja adalah fâsiq, dan wajib ke atasnya bertaubat dengan segera untuk melepaskan dirinya daripada kefâsiqan itu. Tidaklah sah taubatnya itu melainkan dia mengqadha’ kesemua puasa yang ditinggalkannya dengan sengaja itu. Jika dia melengah-lengahkan qadha’ puasa itu tanpa keuzuran, nescaya dia berterusan dalam kefâsiqan. Berterusan dalam kefâsiqan itu adalah suatu dosa.
Jelasnya bahawa orang yang berbuka puasa dengan sengaja lalu melengahkan qadha’ puasanya itu tanpa keuzuran sehingga sampai bulan Ramadhan yang baru adalah berdosa dan fâsiq. Begitulah juga setiap perkara yang wajib seperti sembahyang, jika ditinggalkan dengan sengaja lalu dilengah-lengahkan pada mengqadha’nya adalah perbuatan dosa dan fâsiq.
Kewajipan Bagi Orang Yang Melambatkan Qadha’ Sehingga Masuk Ramadhan Baru
Sebagaimana penjelasan di atas, adalah berdosa bagi orang yang tiada keuzuran melengah-lengahkan qadha’ puasanya sehingga masuk Ramadhan yang baru.
Menurut Imam an-Nawawi, apabila seseorang yang tidak mempunyai keuzuran melengah-lengahkan qadha’ puasanya sehingga masuk bulan Ramadhan yang baru, hendaklah orang tersebut mengerjakan puasa bagi bulan Ramadhan yang baru terlebih dahulu kemudian barulah dia mengqadha’ puasa yang ditinggalkannya sebelum ini dan membayar fidyah bagi setiap hari yang ditinggalkan. Dalam atsar sahabat daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ berkata:
Maksudnya: Sesiapa yang melengahkan qadha’ puasa Ramadhan sehingga menyusul pula Ramadhan yang lain maka hendaklah dia berpuasa Ramadhan di bulan tersebut, kemudian barulah dia mengqadha’ puasa yang ditinggalkannya dahulu itu dan memberi makan seorang miskin sebagai (fidyah) pada setiap hari. (Hadits riwayat ad-Daraquthni)
Jenis fidyah itu ialah sama seperti jenis zakat fitrah iaitu makanan asasi dan yang mengenyangkan bagi sesebuah negeri seperti Negara Brunei Darussalam makanan asasinya adalah beras. Kadar yang patut dikeluarkan ialah satu mudd (secupak) iaitu lima belas tahil beras bersamaan 566.85 gram.
Orang yang berhak menerima fidyah itu pula ialah orang fakir dan miskin sahaja. Fidyah itu boleh diberi dengan lebih daripada satu cupak kepada seorang miskin berlainan dengan kaffârah. Dalam fidyah kaffârah tidak boleh memberi dua cupak untuk seorang miskin bagi membayar kaffârah berkenaan, bahkan hendaklah diberi satu cupak sahaja kepada setiap seorang miskin sebanyak enam puluh orang.
Adapun jika seseorang yang lewat mengqadha’ puasanya sehingga datang Ramadhan yang baru disebabkan keuzuran, seperti dia masih dalam pelayaran, sakit atau lain-lain keuzuran syar‘i, adalah dituntut mengqadha’ puasa tanpa membayar fidyah.
Mengerjakan Puasa Sunat Sebelum Puasa Qadha’
Menurut hukum syara‘, puasa-puasa sunat hanya boleh dilakukan oleh orang yang telah mengerjakan puasa Ramadhan sebulan penuh dan disunatkan juga dikerjakan oleh orang yang tidak berpuasa Ramadhan sebulan penuh disebabkan keuzuran yang diharuskan oleh syara‘ seperti perempuan haidh dan nifas, musafir yang diharuskan atau orang sakit. Manakala bagi orang yang meninggalkan puasa Ramadhan dengan sengaja adalah haram baginya melakukan apa jua puasa sunat kecuali setelah selesai mengqadha’ puasanya yang luput itu.
Walau bagaimanapun sebagai agama yang penuh hikmat, Islam juga menyediakan jalan atau cara yang baik bagi mendapatkan pahala sunat sekalipun mempunyai qadha’ puasa, umpamanya bagi orang yang hendak melakukan qadha’ puasa Ramadhan (meninggalkannya kerana keuzuran yang diharuskan oleh syara‘) ia boleh dilakukan sekaligus dengan puasa-puasa sunat. Caranya ialah orang tersebut hendaklah berniat bagi kedua-duanya iaitu puasa qadha’ dan puasa sunat tersebut dengan tujuan bagi mendapatkan ganjaran kedua-duanya sekali (iaitu ganjaran puasa qadha’ dan ganjaran puasa sunat).
Hal ini sama seperti orang yang berniat puasa wajib sama ada puasa qadha’ atau puasa nazar, jika dia berniat kedua-duanya sekali iaitu puasa qadha’ dan puasa sunat hari ‘Arafah maka dia akan mendapat ganjaran bagi puasa sunat dan puasa wajib tersebut. Tetapi jika dia berniat hanya bagi puasa sunat sahaja atau puasa wajib sahaja, maka dia hanya akan mendapat ganjaran bagi puasa yang diniatkannya sekalipun ia dilakukan pada hari yang bertepatan antara puasa wajib dan puasa sunat itu.
Ibnu Hajar al-Haitami Radhiallâhu ‘anhu dalam fatwanya menjelaskan, mengenai orang yang berniat puasa sunat bersama puasa wajib seperti di atas dengan katanya:
Ertinya: Jika diniatkan kedua-duanya (puasa sunat dan puasa wajib) dia mendapat ganjaran bagi kedua-duanya atau dia berniat salah satunya maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjarannya.
Jelaslah menurut ulama Syafi‘iyyah orang yang meninggalkan puasa tanpa keuzuran tidak harus, bahkan haram mengerjakan puasa-puasa sunat kecuali setelah selesai mengqadha’ puasa yang tertinggal itu. Bagi mereka yang meninggalkan puasa kerana keuzuran yang diharuskan oleh syara‘ seperti perempuan haidh dan nifas, musafir yang diharuskan atau orang sakit, diharuskan mengqadha’ di samping berniat puasa sunat bagi mendapatkan ganjaran pahala kedua-duannya.
Sayyidina Abu Bakar pernah berkata kepada Sayyidina ‘Umar Radiallâhu ‘anhumâ, katanya:
Ertinya: Bahawa Allah Ta‘ala mempunyai hak di atas hambaNya pada siang hari maka Dia tidak menerima dibuat hak itu pada malam hari, dan bahawa Allah Ta‘ala itu mempunyai hak di atas hambaNya pada malam hari, maka Dia tidak menerimanya dibuat pada siang hari, dan bahawa Allah tidak menerima perkara yang sunat sehingga ditunaikan perkara yang fardhu.
Perkataan Sayyidina Abu Bakar ash-Shiddiq Radiallâhu ‘anhu adalah nyata bahawa perkara-perkara sunat itu ditolak dan sia-sia sahaja diamalkan, apabila tidak diqadha’kan perkara-perkara yang fardhu.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6872
