Hukum Dan Cara Kanak-Kanak Mengerjakan Ibadat Haji
Ibadat haji merupakan salah satu rukun Islam. Ia diwajibkan ke atas orang Islam yang memenuhi syarat-syarat wajib haji. Syarat-syarat wajib haji itu ialah Islam, mukallaf, merdeka dan berkemampuan.
Pada kebiasaannya di Negara Brunei Darussalam, selain orang dewasa yang mengerjakan haji, kanak-kanak pun tidak ketinggalan juga turut dibawa bersama untuk mengerjakan haji.
Persoalannya, adakah sah haji kanak-kanak tersebut dan tidak lagi diwajibkan haji apabila mereka sudah bâligh?
Hukum Kanak-Kanak Mengerjakan Haji
Kanak-kanak yang belum bâligh itu terbahagi kepada dua:
1. Kanak-kanak yang belum mumayyiz, iaitu kanak-kanak yang tidak tahu membezakan di antara yang baik dan buruk.
2. Kanak-kanak yang mumayyiz, iaitu kanak-kanak yang sudah tahu membezakan di antara yang baik dan buruk.
Sebagaimana penjelasan sebelum ini, salah satu syarat wajib haji itu adalah mukallaf iaitu bâligh dan berakal. Ini bermaksud haji itu diwajibkan ke atas orang yang bâligh, sementara kanak-kanak yang belum bâligh tidaklah diwajibkan ke atas mereka haji.
Walau bagaimanapun, kanak-kanak yang belum bâligh (sama ada yang mumayyiz ataupun belum mumayyiz) adalah sah apabila mereka mengerjakan haji dan haji mereka itu dikira sebagai haji sunat bahkan mereka serta walinya mendapat pahala daripada haji tersebut. Diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ daripada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam apabila Baginda bertemu sekumpulan penunggang unta di Rauha, lalu Baginda bertanya:
Maksudnya: Siapa kamu? Mereka menjawab: “Orang-orang Islam”. Mereka bertanya: “Siapa awak?” Baginda menjawab: “Rasulullah”. Kemudian seorang perempuan mengangkat seorang kanak-kanak dengan melihatkannya kepada Baginda lalu dia bertanya: “Adakah bagi ini (kanak-kanak) haji?” Baginda menjawab: “Ya dan bagimu pahala.” (Hadits riwayat Muslim)
Haji Kanak-Kanak Haji Sunat
Haji kanak-kanak yang belum bâligh itu tidaklah memadai sebagai haji fardhu. Ini bermaksud apabila mereka telah sempurna mengerjakan haji kemudian mencapai umur bâligh, maka kewajipan haji itu masih lagi dituntut ke atas mereka. Bersabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Mana-mana kanak-kanak yang telah mengerjakan haji kemudian mencapai umur bâligh, maka ke atasnya haji sekali lagi. (Hadits riwayat al-Baihaqi)
Bâligh Ketika Haji
Kanak-kanak yang mencapai umur bâligh ketika mengerjakan haji ada beberapa keadaan:
1. Bâligh selepas habis waktu wuquf iaitu selepas terbit fajar Hari Raya Adha. Dalam hal ini, tidaklah memadai hajinya itu sebagai haji fardhu.
2. Bâligh sebelum wuquf atau ketika wuquf. Dalam hal ini, memadai hajinya itu sebagai haji fardhu.
3. Bâligh selepas mengerjakan wuquf. Iaitu setelah kanak-kanak tersebut selesai mengerjakan wuquf lalu beredar dari ‘Arafah. Kemudian dia mencapai umur bâligh lalu dia kembali semula ke ‘Arafah sedang waktu wuquf masih ada, maka memadai hajinya itu sebagai haji fardhu.
Cara Kanak-Kanak Mengerjakan Haji
Cara kanak-kanak yang belum bâligh mengerjakan haji adalah seperti berikut:
1. Niat ihram.
i. Niat ihram kanak-kanak yang belum mumayyiz dilakukan oleh walinya iaitu ayahnya atau neneknya apabila ayahnya tiada. Tidak sah bagi nenek mengihramkan kanak-kanak tersebut jika ayahnya masih ada.
ii. Niat ihram kanak-kanak yang mumayyiz dilakukan juga oleh walinya. Walau bagaimanapun sah bagi kanak-kanak tersebut berniat ihram dengan diri sendiri apabila diizinkan oleh walinya. Tidak sah jika kanak-kanak yang mumayyiz itu berniat ihram dengan diri sendiri tanpa izin walinya.
Orang lain yang ingin mengihramkan kanak-kanak yang belum bâligh itu hendaklah dengan izin wali kanak-kanak tersebut.
Contoh niat wali bagi mengihramkan kanak-kanak yang belum bâligh: “Sahaja aku berniat ihram untuknya.”
2. Wuquf dan tempat-tempat lain.
Wali hendaklah membawa bersama kanak-kanak yang belum bâligh itu ke padang ‘Arafah untuk mengerjakan wuquf. Demikian juga hadir ke tempat-tempat lain seperti Muzdalifah, Masy‘ar al-Haram dan Mina. Ini kerana kanak-kanak tersebut boleh melakukannya.
3. Melontar.
Dalam hal melontar, jika kanak-kanak yang belum mumayyiz itu mampu untuk melontar, maka wajib dia melontar. Jika dia tidak mampu untuk mengambil batu, maka walinya mengambilkan untuknya.
Namun jika kanak-kanak yang belum mumayyiz itu tidak mampu untuk melontar, maka sunat bagi wali meletakkan batu ke tangan kanak-kanak itu lalu melontarnya bersama ataupun diambil batu tersebut dari tangan kanak-kanak itu lalu dilontarkan untuk diri kanak-kanak tersebut.
Dalam hal ini, hendaklah wali tersebut melontar untuk dirinya sendiri terlebih dahulu, kemudian barulah dia melontarkan untuk kanak-kanak itu. Adapun jika wali itu berniat melontar untuk kanak-kanak tersebut sedang dia belum melontar untuk dirinya sendiri, maka lontaran itu dikira sebagai lontaran untuk dirinya sendiri.
Adapun kanak-kanak yang mumayyiz wajib ke atasnya melontar dengan dirinya sendiri.
4. Thawaf dan sa‘i.
i. Wali hendaklah mengerjakan thawaf dan sa‘i untuk kanak-kanak yang belum mumayyiz sesudah wali mengerjakannya untuk dirinya sendiri. Kanak-kanak itu juga hendaklah hadir bersama-sama walinya di tempat-tempat tersebut.
ii. Jika kanak-kanak yang belum mumayyiz itu berada di atas tunggangan ketika thawaf dan sa‘i, maka hendaklah wali menjadi pemandunya. Jika wali tidak menjadi pemandunya maka tidak sah thawaf dan sa‘inya.
Kanak-kanak yang mumayyiz pula, wajib ke atasnya mengerjakan thawaf dan sa‘i dengan dirinya sendiri.
Disyaratkan bagi wali dan kanak-kanak yang belum bâligh suci daripada hadas dan najis serta menutup aurat ketika thawaf.
Demikian juga, hendaklah Baitullah berada di sebelah kiri kanak-kanak tersebut apabila mengerjakan thawaf. Akan tetapi jika kanak-kanak damit (kecil) yang digendong tidak dapat dijadikan sebelah kirinya Baitullah, adalah sah thawafnya kerana dharurat.
Sunat bagi kanak-kanak lelaki beridhthibâ‘ ketika thawaf dan sa‘i, iaitu menjadikan tengah-tengah kain ihram di bawah ketiak kanan dengan bahu kanan dibiar terbuka (tidak ditutup dengan kain) dan kedua hujung kain itu di atas bahu kiri. Jika dia tidak mampu melakukan idhthibâ‘, maka wali melakukan untuknya.
5. Sembahyang sunat Ihram dan Thawaf.
i. Sunat bagi wali mengerjakan sembahyang sunat ihram dan thawaf untuk kanak-kanak yang belum mumayyiz.
ii. Kanak-kanak yang mumayyiz hendaklah mengerjakan sembahyang sunat ihram dan thawaf itu dengan dirinya sendiri.
6. Fidyah dan dam.
Wajib ke atas wali menegah kanak-kanak yang belum bâligh daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang ketika ihram. Perkara yang dilarang itu seperti memakai pakaian yang berjahit, memotong kuku dan rambut, memakai haruman dan sebagainya.
Jika kanak-kanak yang mumayyiz melakukan perkara-perkara tersebut dengan sengaja ketika ihram, maka wali akan membayar fidyah bagi kanak-kanak itu. Sementara jika ia dilakukan oleh kanak-kanak yang belum mumayyiz, maka tidak dikenakan fidyah ke atasnya.
Adapun jika kanak-kanak yang belum bâligh (sama ada yang mumayyiz atau yang belum mumayyiz) mengerjakan haji Tamattu‘ atau haji Qiran, ataupun dia tidak melakukan wajib haji seperti bermalam di Muzdalifah dan Mina, maka wajib ke atas wali membayar dam bagi kanak-kanak itu.
Penutup
Pada kesimpulannya, sah haji kanak-kanak yang belum bâligh dan ia dikira sebagai haji sunat. Apabila kanak-kanak tersebut mencapai umur bâligh, kewajipan haji masih tertanggung ke atas dirinya.
Dalam perkara lain, wali hendaklah juga membawa kanak-kanak tersebut pada segenap perbuatan-perbuatan haji bersamanya iaitu dengan melakukan yang wajib pada perkara-perkara wajib haji dan yang sunat pada perkara-perkara sunat haji.
Semoga penjelasan yang telah dihuraikan mengenai hukum haji kanak-kanak serta cara-cara mengerjakannya akan menjadi panduan kepada wali dan kanak-kanak yang ingin mengerjakan haji.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6916
