Fahami Sebenar-Benarnya Maksud Menutup Aurat Bagi Wanita
Menutup aurat merupakan kewajipan agama yang sudahpun diketahui umum umat Islam. Tuntutan menutup aurat itu tsabit berdasarkan dalil-dalil daripada al-Qur’an, hadits dan kesepakatan para ulama. Akan tetapi ramai umat Islam yang mengabaikan dan bersifat acuh tak acuh akan tuntutan dan kewajipan menutup aurat ini, baik lelaki mahupun perempuan.
Apa yang menyedihkan ialah cara atau trend berpakaian segolongan individu, khususnya perempuan, tidak menepati dengan apa yang digariskan oleh syara‘. Pakaian yang mereka pakai bukan untuk menutup aurat, sebaliknya hanya menampal sebagai perhiasan semata-mata agar dipandang cantik dan bergaya.
Lebih mengecewakan lagi, anggapan sesetengah individu itu bahawa memadai apabila dia memakai tudung sahaja, maka sudah bermakna dia menutup aurat. Sedangkan pakaian yang dipakai nyata masih tidak menepati tuntutan menutup aurat sebagaimana yang dikehendaki oleh syara‘, seperti memakai seluar yang ketat atau pendek, pakaian nipis (jarang) dan kain berbelah, sama ada mereka sedari ataupun tidak bahawa pakaian yang mereka pakai itu adalah mengghairahkan. Bahkan cara bertudung pun masih menampakkan anggota aurat yang wajib ditutup atau disembunyikan.
Ada pula yang memakai pakaian yang lengkap menutup aurat pada waktu-waktu tertentu sahaja, seperti ketika menghadiri majlis-majlis keagamaan dan kedukaan seperti kematian, tetapi tidak pada waktu-waktu lain.
Sikap sebahagian wanita-wanita Muslimah seumpama ini menunjukkan bahawa mereka belum memahami maksud sebenar menutup aurat itu dan cara melaksanakannya sebagaimana yang dituntut oleh syara‘.
Tuntutan Menutup Aurat Adalah Perintah Allah Subhânahu Wa Ta‘âlâ
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah mewajibkan lelaki mahupun perempuan untuk menutup aurat mereka dan menggariskan cara-cara menutup aurat itu. Tuntutan menutup aurat ini adalah perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Memakai pakaian yang menutup aurat sebagaimana yang digariskan oleh syara‘ bererti mentaati perintahNya. Bilamana menutup aurat merupakan suatu ketaatan, maka memakai pakaian yang mendedahkan aurat pula merupakan suatu kederhakaan.
Tuntutan menutup aurat ini tidak boleh dipandang ringan. Ancaman dan balasan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ terhadap mereka yang tidak melaksanakan atau tidak mempedulikan tuntutan menutup aurat itu adalah sangat keras. Antara akibat melanggar tuntutan ini ialah laknat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Mereka yang melakukan penderhakaan terhadap perintahNya itu tidak akan masuk syurga, bahkan bau syurga pun tidak dapat dihidu oleh mereka, sebagaimana yang ditegaskan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Ada dua golongan ahli neraka yang belum pernah aku (Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam) melihatnya, iaitu; kaum lelaki memegang cemeti seperti ekor sapi yang mereka gunakan untuk memukul orang lain, dan wanita–wanita yang berpakaian tetapi mereka (sebenarnya) bertelanjang (pakaian tidak menutup aurat kepala dan badan sebagaimana yang diperintahkan oleh agama), yang berjalan melagak menggoyangkan bahu, kepala mereka seperti bonggol unta yang condong. Mereka tidak boleh masuk syurga, bahkan tidak boleh menghidu baunya, padahal bau syurga itu sebenarnya dapat dihidu dari jarak sekian, sekian (yang cukup jauh). (Hadits riwayat Muslim)
Oleh itu, kita hendaklah mengenakan pakaian untuk menutup aurat sebagaimana yang disuruh syara‘ kerana mentaati perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, bukannya kerana tuntutan fesyen semasa atau kesesuaian tempat dan keadaan.
Menutup Aurat Ni‘mat Anugerah Allah Subhânahu Wa Ta‘âlâ
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah menurunkan bahan-bahan pakaian di muka bumi dan memberikan manusia keupayaan menghasilkan pakaian sebagaimana yang ditegaskan melalui firmanNya:
Tafsirnya: Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah daripada tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur). (Surah al-A‘râf: 26)
Ayat ini menjelaskan bahawa bahan pakaian yang telah diberikan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kepada hamba-hambaNya itu sebagai tanda-tanda limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya untuk menutup aurat mereka.
Maka mereka yang mengabaikan kewajipan ini dengan mendedahkan aurat mereka adalah orang-orang yang tidak bersyukur dan tidak menghargai ni‘mat tersebut.
Banyak kebaikan dan faedah yang boleh diperolehi daripada kewajipan menutup aurat ini. Islam tidak mensyariatkan sesuatu melainkan untuk kebaikan dan kemashlahatan manusia itu sendiri. Tuntutan menutup aurat ke atas wanita adalah untuk kebaikan bagi diri kaum wanita juga.
Antara rahsia atau faedah menutup aurat yang khusus bagi wanita sepertimana yang dijelaskan dalam al-Qur’an ialah untuk mereka dikenal sebagai perempuan yang baik-baik dan dengan berpakaian sedemikian, maka mereka tidak akan diganggu. Secara tidak langsung pakaian yang menutup aurat dan sopan merupakan antara cara untuk menghindari fitnah, pandangan yang jahat atau berlakunya perkara yang buruk, umpamanya rogol dan sebagainya.
Oleh itu, kewajipan menutup aurat juga merupakan satu ni‘mat yang wajib disyukuri, iaitu dengan cara melaksanakan kewajipan ini.
Bagaimana Cara Menutup Aurat Yang Dituntut Syara‘?
Sebelum dijelaskan cara menutup aurat bagi wanita sebagaimana yang dituntut oleh syara‘, perlu disebut terlebih dahulu apakah aurat wanita itu di hadapan lelaki bukan mahramnya. Secara sepintas lalu, bagaimana aurat perempuan dalam sembahyang, maka itulah juga auratnya di luar sembahyang. Apa yang boleh nampak di hadapan orang-orang yang bukan mahramnya hanyalah kedua tapak tangan dan muka sahaja, manakala keseluruhan anggota badan yang lain merupakan aurat yang wajib ditutup.
Cara berpakaian bagi perempuan yang sempurna menutup aurat sebagaimana yang dikehendaki syara‘ itu dirujuk kepada firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu dan perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Ahzâb: 59)
Dalam ayat di atas telah jelas dinyatakan bahawa pakaian yang dipakai ketika keluar itu hendaklah dalam keadaan labuh dan menutup seluruh tubuh pemakainya.
Terdapat juga beberapa hadits yang menyebut tentang ciri-ciri pakaian yang dikehendaki oleh syara‘, umpamanya hadits yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ:
Maksudnya: Bahawa Asma’ binti Abu Bakar telah berkunjung kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan memakai pakaian yang nipis. Lalu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam berpaling daripadanya. Baginda bersabda: “Wahai Asma’, sesungguhnya orang perempuan apabila sampai umur haidh (umur bâligh), tidak boleh dilihat padanya kecuali ini… dan ini...” (sambil) Baginda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menunjukkan muka dan kedua-dua tapak tangan Baginda. (Hadits riwayat Abu Daud)
Berdasarkan kepada dua dalil di atas, maka dijelaskan bahawa ciri-ciri pakaian menutup aurat yang dituntut oleh syara‘ bagi wanita itu adalah seperti berikut:
1. Pakaian yang longgar. Bukan pakaian sempit yang menampakkan susuk atau bentuk tubuh badan.
2. Pakaian yang labuh yang menutupi keseluruhan anggota aurat. Bukan pakaian yang pendek, singkat atau terbelah yang mendedahkan perut, dada, leher, tangan, kaki dan punggung.
3. Pakaian yang menutup warna kulit anggota aurat daripada kelihatan. Bukan pakaian yang nipis atau jarang yang menampakkan warna kulit dan bayang-bayang tubuh dari luar.
Cara Bertudung Menurut Syara‘
Antara pakaian yang digunakan untuk menutup aurat pada bahagian kepala wanita seperti rambut, telinga dan sebagainya ialah tutup kepala yang dikenali sebagai tudung. Ciri-ciri tudung kepala yang dituntut oleh syara‘ itu adalah seperti berikut:
1. Tudung itu menutupi seluruh kepala termasuk leher, kecuali kawasan muka. Bukanlah cara bertudung yang betul menurut syara‘ jika masih menampakkan rambut, leher, tengkuk, telinga, bahagian dada dan seumpamanya. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka. (Surah an-Nûr: 31)
Belahan baju itu letaknya di kawasan dada. Oleh yang demikian, tudung kepala itu hendaklah juga menutup atau menyembunyikan bahagian dada.
2. Tudung itu diperbuat daripada kain atau bahan tebal yang menutupi warna kulit dan rambut daripada kelihatan. Bukan tudung yang jarang, nipis atau berlubang-lubang sehingga boleh menampakkan warna kulit atau anggota aurat yang lain.
Antara Ciri-Ciri Pakaian Yang Dilarang Oleh Syara‘
Selain daripada ciri menutup aurat, pakaian wanita yang dituntut oleh syara‘ hendaklah juga bukan pakaian yang khusus dipakai oleh kaum lelaki sahaja, umpamanya pakaian cara Melayu dan baju kemeja. Dalam hal ini Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telahpun memberi peringatan sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu katanya:
Maksudnya: Bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melaknat lelaki yang memakai pakaian (cara) perempuan dan (melaknat) perempuan yang memakai pakaian (cara) lelaki. (Hadits riwayat Abu Daud)
Adapun maksud laknat itu ialah seseorang itu jauh dari rahmat dan belas kasihan Allah Ta‘ala. Bila Allah Ta‘ala dan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melaknat seseorang itu, maka ia menunjukkan bahawa orang itu telah membuat suatu dosa besar dan menjadikannya seorang fâsiq.
Pakaian yang dituntut oleh syara‘ juga ialah pakaian yang bukan dipakai untuk bermegah-megah atau menunjuk-nunjuk, kerana memakai pakaian dengan tujuan sedemikian adalah dilarang dalam Islam sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Barang siapa yang memakai pakaian yang megah ketika di dunia, maka Allah akan memakaikannya pakaian kehinaan pada Hari Kiamat, kemudian dinyalakan api di dalamnya (pakaian tersebut). (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Kesedaran tentang tanggungjawab menutup aurat perlu bermula daripada individu itu sendiri. Untuk menyuntik kesedaran ini, perlu ada kefahaman tentang maksud sebenar-benarnya menutup aurat. Apabila kaum wanita memahami maksud sebenarnya menutup aurat sebagai satu bentuk ketaatan kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan juga satu ni‘mat yang wajib disyukuri dan dipelihara, mereka tidak akan bersikap mencuai-cuaikan dan menangguh-nangguhkan kewajipan ini atau memilih-milih waktu dan tempat untuk melaksanakannya. Sebaliknya mereka akan istiqâmah dan bersungguh-sungguh melaksanakannya dengan memenuhi ciri-ciri pakaian sebagaimana yang dituntut oleh syara‘.
Termasuk dalam misi pelaksanaan perintah menutup aurat ini, para ibu-bapa, suami dan keluarga mesti turut berperanan malahan bertanggungjawab untuk mendidik, membimbing dan menasihati anak, isteri, ibu dan anggota keluarga yang lain supaya sentiasa melaksanakannya. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat. (Surah asy-Syu‘arâ’: 214)
Tanggungjawab dan kewajipan menyuruh menutup aurat itu tidak terkecuali digalas juga oleh ahli masyarakat. Sikap tegur-menegur dan saling nasihat-menasihati adalah tuntutan agama Islam. Maka setiap seorang daripada kita juga bertanggungjawab dalam sama-sama menjauhkan perkara-perkara dosa dan maksiat. Perkara ini berdasarkan kepada firman Allah Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. (Surah al-Mâ’idah: 2)
Dengan kesedaran wanita Muslimah kita tentang tanggungjawabnya dalam menunaikan kewajipan menutup aurat serta peranan yang dimainkan oleh semua pihak, akan terbentuklah masyarakat yang berpakaian benar-benar menepati kehendak syara‘.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6944
