Elakkan Diri Daripada Tergolong Dalam Golongan Orang-Orang Yang Tidak Dipandang Allah
Manusia diciptakan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ di muka bumi ini untuk beribadat dan menyembahNya, sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (Surah adz-Dzâriyât: 56)
Kita dituntut untuk mentaati segala suruhan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan menjauhi segala laranganNya. Perkara-perkara suruhan dan larangan itu telahpun jelas di dalam al-Qur’an dan sunnah Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam, seperti kewajipan sembahyang fardhu lima waktu, puasa, zakat dan larangan berzina, minum arak, derhaka kepada ibu bapa dan banyak lagi.
Begitu juga, kita dituntut untuk menjaga diri kita sendiri bahkan keluarga kita daripada perkara-perkara maksiat yang menyebabkan kita dimasukkan ke dalam api neraka. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarnya manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. (Surah at-Tahrîm: 6)
Mereka yang beriman, taat dan beramal salih akan mendapat keuntungan yang besar dan memperolehi kejayaan di dunia dan di akhirat. Sementara mereka yang ingkar dan derhaka kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ akan mendapat kerugian, sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (Surah al-‘Ashr: 2-3)
Di samping itu juga, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan RasulNya ada memberi peringatan, ancaman ataupun kutukan kepada mereka yang melakukan perkara-perkara maksiat. Antara ancaman dan kutukan itu; Allah Ta‘ala melaknat perbuatan tersebut, menjanjikan pelakunya azab seksa yang pedih, memasukkannya ke dalam api neraka, Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada Hari Kiamat, tidak membersihkan dosa-dosa mereka dan tidak memandang mereka. Perkara-perkara maksiat yang dikutuk dan diancam itu menunjukkan bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sangat murka kepada mereka yang melakukannya.
Apa yang dimaksudkan dengan “Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada Hari Kiamat” ialah Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka sebagaimana kata-kata orang-orang yang baik dan tidak menyatakan keredhaanNya, malah Allah akan berkata-kata kepada mereka sebagaimana kata-kata orang-orang yang murka. Menurut jumhûr ahli tafsir, ia bermaksud bahawa Allah tidak akan berkata-kata dengan perkataan yang memberi manfaat dan menggembirakan mereka. Ada juga yang berpendapat bahawa Allah tidak akan mengutus malaikat untuk memberi penghormatan kepada mereka.
Sementara maksud “Allah tidak akan memandang mereka” ialah Allah Ta‘ala akan memalingkan pandanganNya daripada mereka. Adapun maksud pandangan Allah kepada hamba-hambaNya ialah rahmat dan taufîq serta perlindunganNya terhadap mereka.
Oleh itu, sebagai renungan dan peringatan kepada kita semua supaya kita tidak tergolong dalam kelompok hamba-hamba Allah yang tidak mendapat perhatian daripada Allah, dan jauh daripada rahmat dan taufiq serta perlindunganNya, eloklah setiap daripada kita mengetahui beberapa perkara atau perbuatan yang menyebabkan Allah tidak akan memandang pelakunya pada Hari Kiamat. Antaranya seperti berikut:
1. Menyembunyikan apa-apa keterangan Kitab Suci.
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ tidak redha dan murka kepada sesiapa yang menyembunyikan segala keterangan yang telah diturunkan ke atas rasul-rasulNya. Ini telah dijelaskan dalam al-Qur’an bahawa golongan ulama Yahudi menyembunyikan keterangan mengenai sifat Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang terkandung di dalam kitab Taurat. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan (meminda atau mengubah) apa-apa keterangan Kitab Suci yang telah diturunkan oleh Allah, dan membeli dengannya keuntungan dunia yang sedikit faedahnya, mereka itu tidak mengisi dalam perut mereka selain daripada api neraka, dan Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada Hari Kiamat, dan Dia tidak membersihkan mereka (daripada dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Surah al-Baqarah: 174)
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ juga melaknat perbuatan tersebut, sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan daripada keterangan-keterangan dan petunjuk, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk. (Surah al-Baqarah: 159)
Selain golongan ulama Yahudi itu menyembunyikan keterangan tersebut, mereka juga sanggup mengambil rasuah pada menyembunyikannya.
Menurut Imam al-Qurthubi Rahimahullâh, walaupun ayat tersebut khusus kepada kaum Yahudi, ia juga ditujukan kepada orang Islam yang menyembunyikan perkara yang hak disebabkan kepentingan dunia. Maka sesiapa yang mengambil rasuah bagi mengubah segala keterangan yang hak atau menyalahkannya, atau enggan mengajar apa yang wajib ke atasnya adalah termasuk dalam maksud ayat itu.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam ada memperingatkan kita tentang azab seksa orang yang menyembunyikan ilmu yang dia tahu apabila ditanya. Baginda bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang ditanyakan mengenai suatu ilmu yang diketahuinya kemudian dia menyembunyikannya maka pada Hari Kiamat dia akan dikekang dengan kekang neraka. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Dalam hadits yang lain, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang menuntut satu ilmu yang dengannya untuk mencari keredhaan Allah ‘Azza wa Jalla, dia tidak menuntutnya (ilmu itu) melainkan untuk mendapatkan harta benda dunia, nescaya dia tidak akan mendapati ‘arf syurga pada Hari Kiamat iaitu baunya. (Hadits riwayat Abu Daud)
2. Bersumpah dusta.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Sesungguhnya orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah dan mencabuli sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik pada Hari Akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada Hari Kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka (daripada dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Surah Âli ‘Imran: 77)
Ayat ini menunjukkan bahawa haram ke atas sesiapa yang bersumpah dusta dengan nama Allah bagi tujuan mendapatkan keuntungan dunia. Perbuatan ini termasuk dalam dosa-dosa besar. Para ulama menamakan sumpah dusta itu sebagai al-yamîn al-ghamus, kerana ia menenggelamkan orang yang bersumpah dusta itu dalam dosa dan dalam api neraka.
Hal ini juga ada disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhu, bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ murka kepada orang yang bersumpah dusta itu. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang bersumpah di atas satu sumpah sedang dia berdusta dengannya (sumpah itu) untuk mendapatkan dengannya (sumpah itu) harta seseorang Islam, nescaya dia bertemu dengan Allah dalam keadaanNya murka kepadanya. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Demikian juga, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ tidak memandang orang yang bersumpah dusta dalam berjual beli, sebagaimana sabda Baginda:
Maksudnya: Tiga golongan manusia yang Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada Hari Kiamat, dan tidak akan memandang kepada mereka, dan tidak akan membersihkan mereka (daripada dosa) dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya (mereka ialah): Orang yang mempunyai kelebihan air di tanah lapang yang dia menegahnya daripada ibnu sabîl (tidak memberinya minum), dan orang yang menjual barang dagangan kepada seseorang sesudah masuk waktu ‘Ashar lalu dia bersumpah kepadanya dengan nama Allah bahawa dia membeli dengan begini dan begini lalu (orang itu) mempercayainya padahal ia bukan sedemikian, dan orang yang membai‘ah pemerintah yang dia tidak membai‘ahnya melainkan kerana kepentingan dunia; jika dia diberi daripadanya (sesuatu daripada kepentingan dunia) nescaya dia setia, dan jika tidak diberi daripadanya nescaya dia tidak setia. (Hadits riwayat Muslim)
Dalam hadits di atas, menurut al-Muhallab Rahimahullâh: “Adapun Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam mengkhususkan waktu ‘Ashar, kerana sesiapa yang bersumpah dusta pada waktu itu adalah besar dosanya disebabkan para malaikat malam dan siang menyaksikan perbuatan tersebut. Ada juga pendapat lain, bahawa waktu tersebut diangkat segala amal.”
3. Tidak memberi air kepada ibnu sabîl yang memerlukan.
Ibnu sabîl bermaksud orang yang belayar atau musafir yang kehabisan hartanya. Perbuatan tidak memberi air minum kepada ibnu sabîl yang sangat memerlukannya, sedangkan dia mempunyai air yang lebih adalah perbuatan zalim dan termasuk dalam dosa-dosa besar. Ini dijelaskan dalam hadits yang telah disebutkan sebelum ini. Sabda Baginda:
Maksudnya: Tiga golongan manusia yang Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada Hari Kiamat, dan tidak akan memandang kepada mereka, dan tidak akan membersihkan mereka (daripada dosa) dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya (mereka ialah): Orang yang mempunyai kelebihan air di tanah lapang yang dia menegahnya daripada ibnu sabîl (tidak memberinya minum). (Hadits riwayat Muslim)
4. Membai‘ah pemerintah semata-mata kerana dunia.
Demikian juga, berdosa besar sesiapa yang membai‘ah (melantik) pemerintah demi kepentingannya atau kerana keduniaan dan dia hanya setia kepada pemerintah apabila diberi sesuatu dan derhaka apabila tidak diberi kemahuannya.
Perbuatan ini termasuk salah satu daripada tiga golongan yang dimurkai Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, sebagaimana hadits yang telah disebutkan sebelum ini. Baginda bersabda:
Maksudnya: …dan orang yang membai‘ah pemerintah yang dia tidak membai‘ahnya melainkan kerana dunia; jika dia diberi daripadanya (sesuatu) nescaya dia setia, dan jika tidak diberi daripadanya nescaya dia tidak setia. (Hadits riwayat Muslim)
5. Al-Isbâl dengan tujuan sombong dan takbur.
Diriwayatkan daripada Abu Dzarr, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Tiga golongan manusia yang Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada Hari Kiamat, dan tidak akan memandang kepada mereka, dan tidak akan membersihkan mereka (daripada dosa) dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya”. Berkata Abu Dzarr: “Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam membacanya tiga kali”. Berkata Abu Dzarr: “Mereka telah kecewa dan rugi, siapakah mereka wahai Rasullullah?” Baginda bersabda: “Orang yang melabuhkan pakaiannya, pengungkit (pemberian) dan orang yang melariskan barangannya dengan sumpah dusta. (Hadits riwayat Muslim)
Al-Musbil bererti orang yang melabuhkan atau memanjangkan pakaiannya sehingga melimpasi buku lali dengan sombong dan takbur. Perbuatan ini termasuk dalam dosa-dosa besar jika disertai dengan sombong takbur, sebagaimana sabda Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Allah tidak akan memandang pada Hari Kiamat kepada sesiapa yang mengheretkan kainnya dengan sombong dan takbur. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Sabda Baginda lagi:
Maksudnya: Kain yang terkebawah dari dua buku lali adalah di dalam neraka. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Adapun jika tidak disertai dengan sombong dan takbur, maka tidaklah termasuk dalam larangan tersebut. Hal ini pernah terjadi kepada Saiyidina Abu Bakar Radhiallâhu ‘anhu yang memakai pakaian tersebut akan tetapi Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam tidak melarangnya, sabda Baginda: “Engkau tidaklah tergolong dengan mereka (orang yang memanjangkan pakaian) kerana engkau memakainya bukan dengan sombong dan takbur.”
Sementara perempuan adalah disyariatkan dengan ijmâ‘ untuk melabuhkan atau memanjangkan pakaiannya bagi menutup aurat. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang mengheret pakaiannya dengan sombong takbur, nescaya Allah tidak akan memandang kepadanya pada Hari Kiamat. Berkata Ummu Salamah: “Bagaimanakah hendak dilakukan oleh perempuan dengan hujung pakaian mereka?” Baginda bersabda: “Hendaklah dia melabuhkan (pakaian itu) sejengkal (dari pertengahan betis)”. Ummu Salamah berkata: “Jika demikian akan terdedah kaki mereka”. Baginda bersabda: “Hendaklah dia melabuhkannya sehasta tidak lebih dari itu.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
6. Mengungkit-ungkit pemberian.
Mengungkit-ungkit pemberian adalah perbuatan yang terkeji, kerana pada kebiasaannya perbuatan ini terjadi daripada kebakhilan, sombong, takbur dan lupa kepada anugerah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Perbuatan mengungkit-ungkit pemberian ini termasuk dalam dosa-dosa besar. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Tiga golongan manusia yang Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada Hari Kiamat (mereka ialah): Pengungkit yang dia tidak akan memberikan sesuatu melainkan diungkit-ungkitnya, dan orang yang melariskan barangannya dengan sumpah dusta, dan orang yang melabuhkan kainnya. (Hadits riwayat Muslim)
Perbuatan mengungkit-ungkit pemberian itu juga menyebabkan rosaknya pahala pemberian itu, sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (ria), dan dia pula tidak beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. (Surah al-Baqarah: 264)
7. Orang tua yang berzina, pemerintah yang pembohong dan fakir yang sombong dan takbur.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Tiga golongan manusia yang Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada Hari Kiamat dan tidak akan membersihkan mereka (daripada dosa). Berkata Abu Mu‘awiyah: “Dan Allah tidak akan memandang kepada mereka dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya (mereka ialah): Orang tua penzina, dan pemerintah yang pembohong, dan orang fakir yang sombong dan takbur. (Hadits riwayat Muslim)
Menurut al-Qadhi ‘Iyadh Rahimahullâh bahawa sebab mengapa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam mengkhususkan tiga golongan tersebut, kerana mereka melazimkan perbuatan maksiat itu sedangkan pada mereka tidak ada dorongan, hajat atau alasan yang kukuh untuk mereka melakukannya. Perbuatan maksiat yang mereka lakukan itu adalah seumpama derhaka dan meringan-ringankan hak Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan senghaja melakukannya semata-mata kerana maksiat itu, bukan kerana perkara-perkara lain.
Bagi golongan orang tua, mereka mempunyai pengetahuan dan pemikiran yang sempurna berbanding orang muda disebabkan sudah lama menempuh hidup, dorongan dan sebab-sebab untuk melakukan persetubuhan serta nafsu kepada perempuan sudah berkurangan, maka bagaimana pula mereka sanggup melakukan perzinaan lagi.
Demikian juga pemerintah, untuk apa dia berbohong? Dia tidak memerlukan kepada penipuan dan kepura-puraan kerana tidak ada rakyat jelata yang ditakutinya. Berbeza dengan orang biasa, kadang-kadang mereka menipu dan berpura-pura kepada orang yang mengancamnya kerana takut disakiti atau dianiaya.
Begitulah juga dengan orang fakir, untuk apa dia berlaku sombong takbur? Sedangkan dia tidak memiliki kekayaan dunia.
Oleh itu perbuatan mereka itu tidak lain hanyalah semata-mata maksiat dan meringan-ringankan hak Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
8. Derhaka kepada ibu bapa.
Anak yang derhaka kepada ibu bapa tidak akan dipandang oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan tidak akan masuk syurga, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Tiga golongan manusia yang tidak masuk syurga, dan Allah tidak akan memandang kepada mereka pada Hari Kiamat (mereka ialah): Penderhaka kepada kedua ibu bapanya, perempuan yang bersifat kelelakian yang menyerupai lelaki, orang yang dayyûts, dan tiga orang yang Allah tidak akan memandang kepada mereka pada Hari Kiamat (mereka ialah): Penderhaka kepada kedua ibu bapanya, peminum arak, dan pengungkit dengan apa yang telah diberikan. (Hadits riwayat Ahmad)
Derhaka kepada ibu bapa juga adalah salah satu daripada dosa-dosa yang paling besar. Sabda Baginda:
Maksudnya: Dosa-dosa besar yang paling besar ialah menyekutukan Allah, membunuh jiwa, menderhaka kepada ibu bapa dan perkataan bohong atau sabda Baginda: “Dan persaksian bohong.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Keredhaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ itu terletak pada keredhaan ibu bapa, sebagaimana sabda Baginda:
Maksudnya: Keredhaan Allah itu daripada keredhaan kedua ibu bapa dan kemurkaan Allah daripada kemurkaan kedua ibu bapa. (Hadits riwayat al-Baihaqi)
9. Perempuan menyerupai lelaki atau sebaliknya.
Perbuatan menyerupai ini tidak akan dipandang oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ malah tidak akan dimasukkan ke syurga, sebagaimana hadits yang telah disebutkan sebelum ini.
Perbuatan menyerupai ini juga dilaknat oleh Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
10. Dayyûts dan peminum arak.
Dayyûts ialah orang yang tahu dan redha akan kemungkaran yang terjadi kepada ahli keluarganya dan tidak ada rasa cemburu terhadapnya. Orang yang dayyûts dan peminum arak tidak akan dipandang oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, sebagaimana hadits yang telah disebutkan sebelum ini. Ia juga tidak akan dimasukkan ke syurga selama-lamanya, sebagaimana Rasulullah Shallâllahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Tiga golongan manusia yang tidak masuk syurga selama-lamanya (mereka ialah): Dayyuts daripada kalangan lelaki, perempuan yang berketerampilan seperti lelaki dan peminum arak. Maka mereka bertanya: “Wahai Rasulullah! Adapun peminum arak itu kami telahpun mengetahuinya, apakah ia dayyuts daripada kalangan lelaki itu?” Baginda bersabda: “Yang tidak menghiraukan sesiapa yang masuk ke dalam keluarganya”. Kami bertanya: “Perempuan yang berketerampilan seperti lelaki?” Baginda bersabda: “Yang menyerupai lelaki.” (Hadits riwayat al-Baihaqi)
11. Lelaki yang meliwat.
Perbuatan meliwat atau mendatangi perempuan ataupun lelaki melalui dubur adalah perbuatan terkutuk. Ia termasuk dalam dosa-dosa besar. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ tidak akan memandang orang yang melakukannya di Hari Kiamat kelak. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Allah tidak akan memandang kepada lelaki yang mendatangi lelaki atau perempuan melalui duburnya. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Begitulah sebilangan perkara yang menyebabkan seseorang itu terjauh dari pandangan dan rahmat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ di akhirat kelak. Oleh itu sayugia kita elakkan dan jauhkan diri kita dan keluarga kita daripada perkara-perkara keji dan mungkar, semoga kita sentiasa di bawah perlindungan dan rahmat Allah jua.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6968
