Fahami Sebenar-Benarnya Mengapa Kita Berdo‘a!
Berdo‘a bukanlah perkara asing dalam kehidupan kita orang Islam. Setiap hari kita tidak lekang daripada berdo‘a. Bahkan masyarakat kita sangat sebati dengan amalan berdo‘a. Dalam apa jua acara, seperti majlis perkahwinan, majlis berpindah rumah dan sebagainya, do‘a menjadi inti dalam acara tersebut. Akan tetapi sejauh manakah kefahaman kita mengenai do‘a itu? Sejauh manakah penghayatan kita ketika berdo‘a?
Kita dapati ada segelintir masyarakat kita yang bersikap cuai, bosan atau tidak bersungguh-sungguh untuk berdo‘a. Ada di antara mereka merungut apabila pembaca do‘a membaca do‘a -do‘a yang panjang, berkata-kata sedang kedua tangannya menadah ke langit, sambil lewa, tidak mengaminkan do‘a dan malah ada juga yang langsung tidak mahu berdo‘a. Do‘a hanya setakat di bibir atau hanya tangan ditadahkan menyambut do‘a tetapi fikiran entah ke mana.
Oleh itu eloklah dijelaskan di sini, apakah sebenarnya hakikat do‘a itu dan kepentingannya bagi seorang hamba serta beberapa perkara berkaitan dengannya.
Do‘a Itu Ibadat Dan Senjata Orang Mu’min
Do‘a adalah permintaan atau permohonan seorang hamba kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan sebagai jalan untuk menyatakan hajatnya. Hajat seseorang itu terlalu banyak, tidak terkira, lebih-lebih lagi di saat-saat ia susah, menderita ditimpa bencana. Do‘a itu adalah ibadat kerana ia merupakan pernyataan seorang hamba kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ akan kelemahan dirinya. Ia juga merupakan pengakuan seorang hamba bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ Maha Berkuasa sama ada untuk memakbulkan do‘anya atau sebaliknya.
Daripada an-Nu‘man bin Basyir beliau berkata:
Maksudnya: Aku mendengar Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Do‘a itu ibadat”. Kemudian Baginda membaca (ayat al-Qur’an, surah Ghâfir: 60 yang tafsirnya): “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdo‘a lah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan do‘a permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdo‘a kepadaKu, akan masuk Neraka Jahannam dalam keadaan hina.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Do‘a juga merupakan senjata orang mu’min, tiang agama dan cahaya langit dan bumi, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Do‘a itu senjata orang mu’min, tiang agama dan cahaya langit dan bumi. (Hadits riwayat al-Hakim)
Do‘a mempunyai kedudukan yang mulia di sisi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, kerana do‘a itu penyataan seorang hamba akan kefakiran, kelemahan serta kehinaannya dan pengakuannya terhadap kekuatan, kebesaran dan kekuasaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Tidak ada sesuatu (zikir dan ibadat) yang lebih mulia di sisi Allah Ta‘âlâ daripada do‘a. (Hadits riwayat Tirmidzi)
Allah Murka Kepada Sesiapa Yang Tidak Berdo‘a
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ murka kepada sesiapa yang tidak berdo‘a atau tidak memohon sesuatu kepadaNya. Ini kerana orang yang meninggalkan do‘a itu dikatakan sebagai sombong, takbur dan tidak memerlukannya. Menurut ath-Thibiy Rahimahullâh, bahawa kemurkaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ itu adalah kerana Allah menyukai orang yang memohon kurniaanNya, maka sesiapa yang tidak memohon kepada Allah nescaya Dia membencinya, dan orang yang dibenci itu sudah tentu dimurkai. Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Sesiapa yang tidak memohon (meminta) kepada Allah, Dia (Allah) murka kepadanya. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Berkata Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Bahawa sebakhil-bakhil manusia adalah siapa yang bakhil memberi salam dan selemah-lemah manusia adalah siapa yang lemah (malas) untuk berdo‘a. (Hadits riwayat Abu Ya‘la)
Janji Allah Memakbulkan Do‘a
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memerintahkan dan mendorong hambaNya untuk berdo‘a dan memohon kepadaNya. Dia telah berjanji untuk memakbulkan permohonan mereka, bahkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ malu jika menolak permintaan hambaNya dengan tangan kosong. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): “Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdo‘a apabila dia berdo‘a kepadaKu.” (Surah al-Baqarah: 186)
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya Tuhan kamu Tabâraka wa Ta‘âlâ Pemalu lagi Pemurah, Dia malu kepada hambaNya apabila (berdo‘a) mengangkat kedua tangannya memohon kepadaNya, dan mengembalikan kedua tangannya dengan tidak memberikannya apa-apa (daripada rahmatNya). (Hadits riwayat Abu Daud)
Bersabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Tiada seorang yang memohon kepada Allah dengan satu do‘a melainkan dimakbulkan untuknya, sama ada disegerakan permohonannya itu di dunia, dan sama ada disimpan permohonannya itu di akhirat, dan sama ada diampunkan dia daripada dosa-dosanya dengan kadar yang dipohonkan, selagi dia tidak memohon perkara dosa atau memutus silaturahim atau tergesa-gesa (untuk dimakbulkan do‘anya). Mereka berkata: “Wahai Rasulullah! Bagaimana tergesa-gesa itu?” Baginda bersabda: “Dia berkata: “Aku berdo‘a kepada Tuhanku namun Dia tidak memakbulkan untukku.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Berdasarkan hadits yang disebutkan di atas, jelas bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ pasti akan memakbulkan permohonan orang yang berdo‘a.
Di dalam kitab Tuhfah al-Ahwâdzi Syarah Jâmi‘ at-Tirmidzi ada disebutkan bahawa pemakbulan do‘a itu mempunyai waktu yang tertentu, sebagaimana diceritakan bahawa jarak di antara do‘a dengan pemakbulan do‘a Nabi Musa dan Nabi Harun ‘Alaihimassalâm ke atas Fir‘aun, adalah selama empat puluh tahun.
Terkabulnya do‘a itu pula ada beberapa bentuk antaranya: 1. Memperolehi apa yang dipohon pada waktunya. 2. Memperolehi apa yang dipohon pada waktu lain kerana terdapat hikmah di sebalik kelewatan atau kelambatannya. 3. Menolak keburukan sebagai ganti permohonannya ataupun diberi kebaikan lain yang lebih baik daripada yang dipohonnya. 4. Permohonannya disimpan sehingga hari yang lebih diperlukan pahalanya. 5. Pengampunan dosa-dosa sekadar apa yang dipohonkan.
Berdo‘a Dengan Niat Tulus Ikhlas Dan Jangan Berputus Asa Kita dilarang berputus asa daripada memohon dan mendapatkan rahmat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ serta pertolonganNya. Ini kerana sikap melahirkan kekecewaan dan putus asa daripada memohon kepadaNya itu adalah sikap yang tercela dan termasuk dalam dosa-dosa besar. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Sesungguhnya tidak berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir. (Surah Yusuf: 87) Apa yang dituntut ke atas orang yang berdo‘a itu ialah jangan bosan dalam berdo‘a. Berdo‘alah dengan niat yang tulus ikhlas, bersungguh-sungguh dengan menghadirkan jiwa dan yakin bahawa do‘anya akan dimakbulkan. Ini kerana Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah bersabda:
Maksudnya: Berdo‘a lah kamu kepada Allah dalam keadaan kamu yakin dimakbulkan dan kamu ketahuilah bahawa Allah tidak akan memakbulkan do‘a daripada hati yang lalai serta bermain-main (dengan apa yang dipohon atau sibuk dengan urusan selain Allah Ta‘ala). (Hadits riwayat at-Tirmidzi) Berdo‘a Pada Ketika Kebiasaannya Dimakbulkan Do‘a Do‘a yang mudah dan cepat dikabulkan itu mempunyai waktu, saat-saat atau keadaan-keadaan yang tertentu. Antara waktu dan keadaan tersebut adalah seperti berikut: 1. Lailatulqadar. 2. Satu pertiga akhir waktu malam. 3. Selepas menunaikan sembahyang fardhu. 4. Ketika azan dan iqâmah. 5. Ketika turun hujan. 6. Ketika berhadapan dengan musuh dalam peperangan. 7. Hari dan malam Jumaat. 8. Ketika minum air Zamzam. 9. Ketika sujud. 10. Hari ‘Arafah dan setelah melaksanakan manâsik haji yang lain seperti selepas melontar jamrah, berdo‘a dalam Ka‘bah, berdo‘a di bukit Shafa dan Marwah. 11. Pada bulan Ramadhan. 12. Do‘a orang yang dizalimi. 13. Ketika dalam pelayaran.
14. Do‘a orang yang berbuka puasa. 15. Do‘a orang yang sakit. 16. Do‘a imam yang ‘âdil. 17. Do‘a selepas wudhu. Adab-adab dan etika berdo‘a perlulah dijaga dan dipelihara oleh setiap orang yang berdo‘a. Antara adab-adab tersebut adalah seperti berikut: 1. Ikhlas kerana Allah Ta‘ala. 2. Memulakan serta mengakhiri do‘a dengan menyebut dan memuji-muji nama Allah serta memberi selawat dan salam kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. 3. Bersungguh-sungguh dalam berdo‘a dan merasa penuh yakin akan diperkenankan. 4. Berdo‘a disertai dengan kerendahan hati, khusyû‘, merendahkan suara di antara berbisik dan nyaring dan diiringi dengan perasaan takut azab Allah dan penuh harapan dengan limpah kurniaNya. 5. Menghadap qiblat dan menadah dua tangan. 6. Berwudhu. 7. Berdo‘a dengan jalan bertawassul dengan nama-nama dan sifat-sifat Allah Ta‘ala. 8. Bertawassul dengan amal salih yang dikerjakan oleh orang yang berdo‘a. 9. Menjauhi segala maksiat. Demikian juga, berterusanlah berdo‘a dan mengulang-ulang do‘a sebanyak tiga kali. Ini kerana Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam suka mengulang-ulang do‘a itu sebanyak tiga kali. Daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhu berkata:
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menyenangi supaya seseorang itu berdo‘a tiga-tiga kali dan beristighfâr tiga-tiga kali. (Hadits riwayat Abu Daud)
Jenis Do‘a Yang Disukai Nabi
Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam menyukai jenis do‘a yang mencakupi semua kebaikan dunia dan akhirat. Jenis do‘a seperti ini bentuk lafaznya pendek atau sedikit tetapi mempunyai makna yang luas, sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menyukai do‘a yang mencakupi (kebaikan dunia dan akhirat) dan meninggalkan selain itu (yang tidak mencakupi). (Hadits riwayat Abu Daud)
Contoh do‘a -do‘a yang mencakupi itu, antaranya seperti berikut:
1. Memohon kebaikan di dunia dan akhirat:
Maksudnya: Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada azab neraka.
2. Memohon keampunan dan afiat di dunia dan akhirat:
Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu keampunan dan keafiatan (selamat daripada bala) pada agama, di dunia dan akhirat.
3. Memohon hidayat, ketaqwaan, kesucian dan kecukupan:
Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu hidayat, ketaqwaan, kesucian (jauh daripada perkara yang haram) dan kecukupan. 4. Memohon keselesaan di dunia dan akhirat:
Maksudnya: Ya Allah, limpahkanlah kepadaku keselesaan di dunia dan akhirat.
5. Memohon kebaikan dan berlindung daripada kejahatan:
Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu kebaikan kesemuanya, (kebaikan) yang segera (di dunia) dan yang tidak segera (di akhirat), (kebaikan) yang aku tahu dan yang aku tidak tahu, dan aku berlindung denganMu daripada kejahatan kesemuanya, (kejahatan) yang segera (di dunia) dan yang tidak segera (di akhirat), (kejahatan) yang aku tahu dan yang aku tidak tahu.
6. Memohon kebaikan dan berlindung daripada kejahatan sebagaimana yang dipohonkan oleh hamba dan Nabi:
Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu kebaikan yang dipohon oleh hamba dan NabiMu, dan aku berlindung denganMu daripada keburukan yang hamba dan NabiMu berlindung daripadanya.
7. Memohon kebaikan dan berlindung daripada kejahatan yang khazanahnya di tangan Allah:
Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya aku bermohon kepadaMu segala kebaikan yang khazanahnya di tanganMu, dan aku berlindung denganMu daripada keburukan yang khazanahnya di tanganMu.
Hindari Perkara Yang Menolak Do‘a
Perlu diingat juga, selain berdo‘a dengan niat yang tulus ikhlas dan yakin, kita hendaklah juga menghindari dan menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang boleh menyebabkan do‘a ditolak.
Perkara-perkara yang boleh menyebabkan do‘a ditolak antaranya seperti tiga perkara yang disebutkan sebelum ini iaitu memohon perkara dosa, memutuskan silaturrahim dan tergesa-gesa menganggap do‘a tidak dimakbulkan.
Demikian juga, do‘a tidak dimakbulkan jika makanan, minuman dan pakaiannya datang daripada yang haram. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Wahai manusia, sesungguhnya Allah itu bagus (Maha Suci daripada segala kekurangan), tidak menerima sesuatu melainkan yang bagus. Sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang yang beriman sebagaimana yang telah diperintahkan para rasul. Lalu Baginda membaca (ayat al-Qur’an, surah al-Mu’minun: 51): “(Wahai rasul-rasul, makanlah daripada benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal salih; sesungguhnya Aku Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan)”. Baginda membaca lagi (surah al-Baqarah: 172): “(Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah daripada benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu)”. Kemudian Baginda menyebutkan tentang seorang lelaki yang jauh pelayarannya (pada mentaati Allah seperti haji, berziarah dan sebagainya) yang kusut dan berdebu rambutnya, menadah kedua tangannya ke langit (dan berkata): “Wahai Tuhan, wahai Tuhan”, sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dipelihara (disuap) dengan yang haram, maka bagaimana dimakbulkan (do‘anya) dengan sifatnya yang sedemikian?” (Hadits riwayat Muslim)
Hadits di atas menyarankan supaya berbelanja di jalan yang halal dan melarang daripada berbelanja di jalan yang haram. Maka makanan, minuman, pakaian dan sebagainya hendaklah yang halal dan tiada perkara syubhah padanya. Begitu juga, do‘a tidak akan dimakbulkan jika makanan, minuman dan pakaian datangnya daripada yang haram.
Ibrahim bin Adham pernah ditanya: “Apa hal bila kami berdo‘a tidak dimakbulkan?” Beliau menjawab: “Kerana kamu tahu akan Allah tapi kamu tidak mentaatinya dan kamu tahu akan Rasul tapi kamu tidak mengikut sunnahnya dan kamu tahu akan al-Qur’an tapi kamu tidak mengamalkannya dan kamu meni‘mati ni‘mat anugerah Allah tapi kamu tidak mensyukurinya dan kamu tahu akan syurga tapi kamu tidak menuntutnya dan kamu tahu akan neraka tapi kamu tidak lari darinya malah kamu bersetuju dengannya dan kamu tahu akan mati tapi kamu tidak bersedia untuknya dan kamu mengebumikan mayat tapi kamu tidak mengambil i‘tibâr dan kamu meninggalkan keaiban kamu tapi sibuk dengan keaiban orang lain.”
Akhirnya, perbanyakkanlah do‘a, kerana do‘a itu dapat mendekatkan diri dan mengingati Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Mengingati Allah hendaklah dilakukan pada setiap masa sama ada pada waktu senang atau susah. Begitulah juga dengan amalan dalam berdo‘a hendaklah dilakukan pada setiap masa lebih-lebih lagi pada waktu senang dan mewah, kerana dengan cara itu apabila berdo‘a pada waktu susah, do‘a akan mudah diperkenankan sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Sesiapa suka supaya dikabulkan do‘anya oleh Allah pada waktu kesulitan dan kesusahan, maka hendaklah dia memperbanyakkan do‘a pada waktu senang. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Sesungguhnya do‘a itu adalah untuk memohon keredhaan dan rahmat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ di dunia dan akhirat, selamat daripada kemurkaan dan seksaNya yang pedih, dan memohon bantuanNya agar dapat beribadat dan bersyukur kepadaNya.
Do‘a itu juga adalah komunikasi langsung antara hamba dan Tuhannya, kerana itu hayatilah do‘a itu dan lakukanlah dengan menjaga adab-adabnya. Berdo‘a lah dengan bersungguh-sungguh, disertai dengan hati yang tulus ikhlas, khusyû‘ dan merasa penuh yakin akan diperkenankan. Janganlah berputus asa dan cepat bosan untuk berdo‘a kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, apatah lagi langsung tidak berdo‘a, kerana perbuatan ini boleh menyebabkan kemurkaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6972
