Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Tulisan Ayat Al-Qur’an Pada Kain Penutup Keranda

Di Alam Melayu dan di sesetengah negara Timur Tengah, menutup keranda jenazah dengan kain atau objek lain yang tertulis padanya ayat-ayat al-Qur’an atau zikir yang mengandungi nama-nama yang dimuliakan dan diagungkan telah menjadi kebiasaan. Namun pada akhir-akhir ini, kebiasaan ini telah dipersoalkan oleh golongan tertentu. Antara persoalan yang timbul ialah kain yang mengandungi ayat-ayat atau zikir atau do‘a yang mengandungi nama-nama yang dimuliakan dan diagungkan itu adalah haram diletakkan pada keranda.

Mengapakah penutup keranda yang tertulis padanya ayat al-Qur’an atau zikir yang mengandungi nama-nama yang dimuliakan dan diagungkan pada pandangan mereka diharamkan?

Antara alasan yang dikemukakan golongan yang mengharamkan ini ialah kerana amalan berkenaan bercanggah dengan agama Islam, dengan tanggapan bahawa kain yang bertulis ayat suci al-Qur’an, zikir atau do‘a itu tidak dapat mengelakkan si mati daripada seksaan kubur, di samping sebab-sebab lain yang membuatkan golongan ini mengatakannya haram.

Penutup Keranda

Penutup keranda itu ada yang diperbuat daripada kain, kertas, tikar atau objek-objek lain yang sesuai. Pada asalnya penutup itu tidak mengandungi apa-apa tulisan ayat al-Qur’an atau do‘a kerana tujuannya hanyalah untuk menutup dan melindungi jenazah daripada pandangan orang ramai ketika hendak dimasukkan ke dalam kubur. Sebelum ia digunakan untuk tujuan tersebut, ia diletakkan di atas keranda sebagai penutup sejak dari mula jenazah dimasukkan ke dalamnya sehinggalah sampai di kawasan kubur. Apabila jenazah hendak dimasukkan ke liang lahad dan seterusnya masa menimbus kubur dengan tanah, maka ketika itulah kain keranda atau objek berkenaan digunakan.

Seterusnya dalam kaitan penggunaan penutup keranda ini dengan amali penguburan jenazah, ulama menyebutkannya sunat menutupi jenazah ketika memasukkannya ke dalam kubur dengan sesuatu yang boleh menutupinya. Walaupun sesetengah mereka menyebutkannya sebagai kain penutup, tetapi hukum sunat ini boleh berlaku dengan mana-mana sahaja objek yang dikira dapat menutup daripada pandangan.

Hukum sunat menutupi jenazah ketika memasukkannya ke dalam kubur ini adalah bertujuan untuk menutup sebarang kemungkinan tersingkap mana-mana bahagian mayat yang wajib ditutup. Hukum ini diutamakan ke atas jenazah perempuan sebagaimana disebutkan dalam kitab Mughnî al-Muhtâj bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah menutupi kubur Sa‘ad bin Mu‘adz semasa menguburkannya.

Keranda

Mengikut keterangan ulama, keranda pada mulanya digunakan oleh orang-orang Habsyah, kemudian barulah digunakan oleh orang-orang Islam. Orang Islam yang mula-mula sekali menggunakannya ialah Asma’ binti ‘Umais Radhiallâhu ‘anhâ untuk suaminya. Beliau berbuat demikian setelah melihat di Habsyah keranda digunakan untuk membawa jenazah. Setelah itu, jenazah perempuan Islam yang mula-mula sekali dibawa dalam keranda ialah Zainab Ummul Mukminin Radhiallâhu ‘anhâ.

Penggunaan keranda adalah disunatkan sebagaimana yang dikatakan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab al-Majmû‘:

Ertinya: Disunatkan membuat keranda untuk jenazah perempuan.

Begitu juga Nashr al-Maqdisiy berkata: “ ُ ال َّعْش (keranda) ialahَُّ الْمِكَب iaitu penutup yang diletakkan di atas jenazah perempuan yang berada di atas usungan, dan ditutup pula dengan kain untuk menutupnya daripada pandangan orang ramai.”

Berdasarkan keterangan ini adalah boleh menggunakan keranda dan sunat menutupnya dengan mana-mana objek yang boleh menjaga kehormatan jenazah daripada pandangan orang ramai.

Pandangan Ulama Mengenai Ayat Al-Qur’an Atau Do‘a Pada Kain Kafan

Sesetengah ulama mazhab asy-Syafi‘e ada yang telah membahaskan dan memfatwakan tentang penulisan zikir atau do‘a yang mengandungi nama-nama yang dimuliakan dan diagungkan pada kain kafan.

Ibnu Hajar Rahimahullâh pernah ditanya tentang adakah boleh menulis zikir dan do‘a berikut pada kain kafan dan adakah zikir dan do‘a ini mempunyai dasar pengambilannya?

Ibnu Hajar Rahimahullâh menjawab dengan berkata bahawa sesetengah ulama menukilkan bahawa penulisan do‘a ini pada kain kafan mempunyai dasar pengambilannya dengan mengqiyâskannya kepada penulisan perkataan “Allah” pada binatang zakat sepertimana yang difatwakan oleh al-Faqih Ibnu ‘Ujail Rahimahullâh.

Do‘a ini juga telah diperakui oleh sesetengah ulama yang lain sehingga dikatakan jika menulis do‘a ini dengan tujuan yang betul dan dikehendaki maka dituntut melakukannya dan diharuskan. Tetapi jika diketahui ia akan terkena najis, ia perlu dipertimbangkan.

Namun pandangan ini telahpun ditolak oleh Ibnu Shalah kerana penulisan perkataan “Allah” pada binatang zakat adalah bertujuan untuk membezakannya daripada binatang lain yang bukan zakat, bukannya untuk tujuan tabarruk (memperolehi berkat), sedangkan penulisan do‘a tersebut pada kain kafan adalah bagi tujuan tabarruk. Menurut fatwa beliau, tidak boleh menulis ayat-ayat al- Qur’an pada kain kafan kerana dikhuatiri terkena danur mayat (air yang keluar dari mayat yang telah busuk). Adapun pendapat yang mengatakan bahawa “dituntut melakukannya kerana tujuan yang betul dan dikehendaki, oleh itu ia diharuskan”, adalah pendapat yang ditolak sama sekali kerana alasan yang sedemikian tidak boleh dijadikan hujjah. Hujjah hanya akan nampak jelas sekiranya shahîh riwayat daripada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang menuntut melakukannya, sedangkan perkara tersebut tidak demikian.

Itulah jawapan Ibnu Hajar Rahimahullâh sebagaimana yang dinukilkan oleh pengarang kitab I‘ânah ath-Thâlibîn. Walaupun Ibnu ‘Ujail Rahimahullâh memfatwakan boleh menuliskan do‘a ini dan diperakui oleh sesetengah ulama lain, tetapi berdasarkan mafhûm jawapan yang di atas, kita mendapati Ibnu Hajar Rahimahullâh cenderung kepada pendapat yang tidak membolehkan penulisan do‘a tersebut pada kain kafan. Mafhûm ini secara khusus dapat dirujukkan kepada pendapatnya yang menyebutkan do‘a ini akan terdedah kepada najis dan menuliskannya pula pada kain kafan tidak ada riwayat daripada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang menyuruh berbuat demikian.

Mafhûm ini selari dengan mafhûm pendapat ulama yang datang selepas Ibnu Hajar Rahimahullâh tentang wajibnya menghormati al-Qur’an dan nama-nama yang dimuliakan dan diagungkan. Pendapat mereka dapat dirujuk dalam kitab seperti Hâsyiyatân Qalyubi wa ‘Umairah dan Fath al-Mu‘în.

Di dalam kitab Hâsyiyatân Qalyubi wa ‘Umairah disebutkan:

Ertinya: Mereka (ulama) berkata: “Haram menuliskan sesuatu daripada ayat al- Qur’an atau nama yang diagungkan pada sesuatu objek yang berkaitan dengan mayat kerana ia akan bernajis dengan shadîd (nanah bercampur darah).

Di dalam kitab Fath al-Mu‘în pula disebutkan:

Ertinya: Dan haram menuliskan sesuatu daripada ayat al-Qur’an dan nama-nama Allah Ta‘ala pada kain kafan. Nash yang terdapat dalam kitab-kitab yang tersebut di atas jelas menyatakan bahawa mana-mana ayat al-Qur’an atau nama-nama yang diagungkan, seperti nama-nama Allah Ta‘ala dan RasulNya, adalah haram dituliskan pada kain kafan mayat dengan alasan ia terdedah kepada kotoran yang menyebabkan kehormatannya tercemar.

Maka berdasarkan mafhûm jawapan Ibnu Hajar Rahimahullâh dan nash-nash pendapat ulama, dan hasil perbincangan ini, penulisan do‘a yang mengandungi nama-nama yang diagungkan pada kain kafan adalah tidak sesuai dengan kemuliaan zikir dan do‘a-do‘a itu, terlebih-lebih lagi ayat-ayat al-Qur’an.

Ayat Atau Do‘a Pada Kain Penutup Keranda

Adapun persoalan tentang ayat, do‘a atau zikir yang dituliskan pada kain penutup keranda pula tidak banyak berbeza dengan persoalan penulisannya pada kain kafan, terutama dari sudut tujuan penulisan untuk tabarruk dan dari sudut keterdedahannya kepada najis dan sentuhan orang-orang yang tidak berwudhu.

Jika kain atau mana-mana objek yang ditulis padanya ayat-ayat suci al-Qur’an atau nama-nama yang diagungkan dijadikan penutup keranda kerana tujuan tabarruk, sedangkan kehormatan apa yang ditulis itu tercemar atau terabai, seperti terkena najis atau ayat-ayat al-Qur’an itu disentuh oleh orang yang tidak berwudhu, maka yang demikian tentulah tujuan untuk tabarruk ini tidak akan tercapai, lebih-lebih lagi tidak ada suruhan menuliskannya secara jelas dari syara‘. Tujuan tabarruk hanya akan tercapai jika tidak timbul apa-apa perkara yang boleh membatalkan tujuan itu, misalnya membawa ayat-ayat al-Qur’an dalam saku baju dengan tujuan tabarruk, tetapi tujuan tabarruk ini tidak akan tercapai apabila terdedah kepada pencemaran kehormatannya, seperti orang yang memakai baju itu dalam keadaan berhadas besar atau membawanya ke tempat-tempat bernajis.

Maka berkaitan dengan penulisan ayat-ayat al-Qur’an pada kain atau objek yang dijadikan penutup keranda, dari satu sudut ia adalah sama dengan penulisan do‘a-do‘a tersebut pada kain kafan, iaitu dari sudut keterdedahannya kepada kotoran dan tidak adanya nash syara‘nyata yang menyuruh menuliskannya.

Dari sudut lain pula ialah menghormati al-Qur’an itu. Menghormati ayat-ayat al- Qur’an adalah wajib diutamakan sehingga ulama dengan tegas menghukumkan haram meletakkannya pada tempat yang kotor, najis atau yang terdedah kepada kotoran atau najis, atau pada tempat yang hina atau terdedah kepada penghinaan, seperti membawanya ke negeri musuh yang dikhuatiri akan menyebabkannya mendapat penghinaan, menjualnya kepada orang yang bukan Islam dan menyentuhnya tanpa wudhu dan lain-lain adab menghormati al-Qur’an sebagaimana yang disebutkan dalam kitab-kitab mereka.

Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci. (Surah al-Wâqi‘ah: 79)

Hukum ini berlaku dalam keadaan biasa dan hukum menyentuhnya lebih ringan berbanding membawa atau menanggungnya. Adapun dalam keadaan dharurat, ia boleh disentuh dan ditanggung seperti apabila dikhuatiri ia akan tenggelam, terbakar, terkena najis atau jatuh ke tangan orang kafir. Dalam keadaan seperti ini wajib disentuh atau ditanggung untuk menyelamatkannya, sama ada ketika itu ada wudhu atau tidak.

Hukum ini juga berlaku sama ada untuk Mushhaf yang lengkap atau untuk sebahagian ayat sahaja kerana yang dinamakan al-Qur’an itu ialah sama ada untuk semua atau sebahagiannya, semuanya itu tetap dinamakan al-Qur’an.

Itulah sebabnya ulama menyebutkan bahawa kehormatan dan keagungan yang begitu tinggi yang diberikan kepada al-Qur’an al-Karim tidak pernah diberikan kepada mana-mana kitab lain.

Alasan Yang Rapuh

Mungkin ada yang berkata bahawa kehormatan ayat-ayat al-Qur’an, zikir atau do‘a yang ditulis pada kain keranda boleh dijaga. Namun hujjah atau kata-kata ini masih dipertikai kerana tulisan ayat al-Qur’an pada kain keranda boleh sahaja mengundang beberapa persoalan yang akan mencemari kemuliaannya, seperti terdedah kepada sentuhan orang ramai yang tidak berwudhu dan kepada pengabaian setelah ia selesai digunakan dan lain-lain.

Mungkin orang beranggapan atau mengandaikan bahawa tulisan itu dapat memberi manfaat kepada jenazah dan kepada orang yang masih hidup. Jenazah mendapat berkat dan rahmat atau dengan adanya tulisan ayat-ayat itu, orang yang hidup juga akan berpeluang mendapat pahala dengan membacanya. Orang juga boleh memberi alasan bahawa kain yang bertulis ayat-ayat itu boleh dijaga agar tidak disentuh oleh orang yang tidak berwudhu atau dijaga dari terhina.

Semua anggapan dan andaian ini tidaklah boleh dijadikan dalil syara‘. Perkara rahmat, pahala dan dosa hanya Allah Ta‘ala jua yang mengetahuinya. Adapun kita tidak dapat mengetahuinya kecuali jika ia disebutkan oleh nash-nash syara‘. Pencemaran oleh sentuhan orang ramai yang tidak berwudhu atau oleh pengabaian atau terkena najis dan kotoran adalah lebih perlu dijaga berbanding andaian-andaian ini.

Jadi penulisannya pada kain yang sentiasa terdedah kepada pengabaian dan sentuhan orang awam itu adalah lebih baik ditiadakan demi menjaga kehormatannya.

Daripada huraian di atas disimpulkan bahawa penulisan ayat-ayat al-Qur’an, zikir atau do‘a-do‘a yang mengandungi nama-nama yang dimuliakan dan diagungkan pada kain kafan adalah terdedah kepada pencemaran kehormatannya, seperti terkena shadid jenazah. Mendedahkan apa yang wajib dimuliakan dan dihormati kepada perkara-perkara yang boleh mencemarkan kemuliaan dan kehormatannya adalah haram. Kemudian penulisan pada kain atau objek yang dijadikan penutup keranda adalah sama tujuannya dengan penulisannya pada kain kafan walaupun mungkin keterdedahannya kurang, namun dari sudut tujuan maksud tabarruk, ia dianggap telah mencemari tujuan tabarruk itu sendiri.

Oleh sebab itu meletakkan kain yang bertulis dengan ayat-ayat al-Qur’an, zikir atau do‘a yang mengandungi nama-nama yang diagungkan sebagai penutup keranda yang membawa jenazah lebih baik ditiadakan.

Adapun meletakkan kain atau mana-mana objek yang tidak mengandungi perkara-perkara yang dipersoalkan di atas keranda dengan tujuan untuk digunakan sebagai penutup jenazah ketika proses memindahkannya ke dalam kubur hukumnya adalah sunat, dan juga sebagai penghadang tanah daripada terkena orang yang sedang menimbus kubur di dalam kubur.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6987