Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Bagaimana Melupuskan Mushhaf Yang Tidak Dapat Digunakan Lagi?

Kitab suci al-Qur’an merupakan Kalâmullâh dan wahyu Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang diturunkan kepada Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam dengan membawa kebenaran dan petunjuk kepada umat manusia, sekaligus mengesahkan kebenaran kitab-kitab suci yang telah diturunkan sebelumnya. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (al-Qur’an) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara dan mengawasinya. (Surah al-Mâ’idah: 48)

Kitab Suci al-Qur’an itu, sehingga ke hari ini dan selama-lamanya terselamat dan terpelihara daripada perubahan. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Qur’an, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya. (Surah al-Hijr: 9)

Hukum Memuliakan Al-Qur’an

Umat Islam telah bersepakat mengatakan bahawa wajib memuliakan, mengagungkan dan memelihara Kitab Suci al-Qur’an. Baik dari segi memelihara kesuciannya daripada kotoran ataupun memelihara kemuliaannya daripada sebarang perubahan, penambahan atau sebarang perbuatan yang membawa kepada penghinaannya. Begitu juga dari segi menjaga adab-adab ketika membaca, menulis, membawa, menyentuh, meletak dan menyimpan al-Qur’an, dan menjauhkannya daripada terdedah kepada perkara yang hina umpamanya meletakkannya di tempat-tempat yang tidak munasabah seperti tempat kotor, bersepah di jalan-jalan dan sebagainya.

Menurut Imam Abu al-Fadhl al-Qadhi ‘Iyadh Rahimahullâh, bahawa sesiapa yang memandang ringan terhadap al-Qur’an, Mushhaf atau sesuatu daripada ayat al- Qur’an, mengingkari satu huruf daripadanya, mendustakan sesuatu hukum atau khabar yang telahpun dijelaskan dalam al-Qur’an, mensabitkan sesuatu yang dinafikan dalam al-Qur’an, atau dia menafikan sesuatu yang ditsabitkan dalam al- Qur’an sedang dia tahu atau syak pada perkara itu, maka orang tersebut adalah kafir menurut ijmâ‘ umat Islam.

Demikian juga, menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, umat Islam telah bersepakat mengatakan bahawa wajib menjaga dan menghormati Mushhaf. Menurut para ulama asy-syafi‘e dan ulama lainnya Rahimahumullâh, jika seseorang Muslim itu membuang Mushhaf ke tempat-tempat kotor, maka jadilah dia kafir. Menurut mereka lagi, hatta menjadikan Mushhaf itu sebagai bantal hukumnya adalah haram.

Begitulah ketinggian dan kemuliaan al-Qur’an. Kita amat dituntut untuk menghormati dan menjaga kesuciannya. Sehinggakan seseorang itu boleh menjadi kafir apabila mengingkari atau menghinanya.

Memandangkan kedudukan al-Qur’an yang amat tinggi dan mulia itu, bagaimanakah cara yang betul untuk mengendalikan Mushhaf atau tulisan ayat-ayat al-Qur’an yang tidak dapat digunakan lagi? Adakah boleh dilupuskan Mushhaf tersebut?

Melupuskan Mushhaf Yang Tidak Dapat Digunakan Lagi

Mushhaf atau tulisan ayat-ayat al-Qur’an yang tidak dapat digunakan lagi dan sukar untuk dijaga dan dipelihara, boleh dilupuskan dengan tujuan untuk menjaga kehormatannya. Perkara ini pernah dilakukan oleh Sayyidina ‘Utsman bin ‘Affan Radhiallâhu ‘anhu.

Diriwayatkan bahawa pada zaman Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam, al-Qur’an tidak terkumpul dalam satu Mushhaf akan tetapi ia dihafal oleh para sahabat Baginda. Ada antara mereka yang hafal keseluruhannya dan ada juga yang hanya hafal sebahagiannya. Setelah datang zaman pemerintahan Sayyidina Abu Bakar Radhiallâhu ‘anhu, beliau telah mengumpulkan al-Qur’an menjadi satu Mushhaf yang akhirnya disimpan di rumah Sayyidatina Hafshah Radhiallâhu ‘anhâ isteri Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Inisiatif tersebut dibuat memandangkan para sahabat yang hafal al-Qur’an ditakuti wafat dan ditakuti juga akan terjadi perselisihan di antara orang-orang Islam selepas mereka.

Sehinggalah pada zaman pemerintahan Sayyidina ‘Utsman bin ‘Affan Radhiallâhu ‘anhu, beliau telah memerintahkan supaya Mushhaf yang ada pada Sayyidatina Hafshah Radhiallâhu ‘anhâ itu disalin kepada beberapa Mushhaf. Inisiatif ini pula dibuat memandangkan terjadinya perbalahan dan perselisihan di antara umat Islam pada pembacaan al-Qur’an. Kebanyakan ulama meriwayatkan, Mushhaf tersebut disalin sebanyak empat naskhah. Kemudian naskhah al-Qur’an tersebut dikirim ke Kufah, Bashrah, Syam dan senaskhah lagi disimpan di tempat beliau.

Beliau juga memerintahkan supaya dilupuskan beberapa lembaran kertas yang tertulis padanya al-Qur’an atau Mushhaf selain daripada Mushhaf-mushhaf berkenaan dengan membakarnya. Ini bertujuan bagi mengelakkan terjadinya perselisihan umat Islam pada pembacaan al-Qur’an. Perbuatan beliau membakar Mushhaf itu tidak ada sahabat yang membantahnya.

Cara Melupuskan Mushhaf Yang Tidak Dapat Digunakan Lagi

Para ulama ada menyebutkan bahawa cara melupuskan Mushhaf atau sesuatu yang tertulis dengan ayat-ayat al-Qur’an yang tidak dapat digunakan lagi. Ada dua cara melupuskannya iaitu dengan membasuh tulisan ayat-ayat tersebut sehingga tidak kelihatan lagi atau dengan cara membakarnya.

1. Melupuskan Mushhaf dengan cara membasuh tulisannya:

Melupuskan Mushhaf dengan cara membasuh tulisan ayat-ayat al-Qur’an dengan air adalah lebih utama daripada membakarnya iaitu apabila ia mudah dilakukan dan tidak dikhuatiri air basuhan itu tercurah ke tanah. Adapun jika cara membasuh itu menyukarkan dan ditakuti air basuhannya tercurah ke tanah, maka adalah lebih utama ia dibakar.

2. Melupuskan Mushhaf dengan cara membakarnya:

Makruh membakar sesuatu yang tertulis padanya ayat-ayat al-Qur’an melainkan bagi tujuan memuliakannya. Bahkan membakar sesuatu yang tertulis padanya ayat-ayat al-Qur’an itu boleh menjadi wajib jika yang sedemikian itu sahaja cara untuk menjaga kehormatan dan kemuliaannya.

Adapun melupuskannya dengan cara mengoyak atau mencarikkannya adalah haram kerana cara tersebut memutuskan huruf-huruf dan kalimatnya yang membawa maksud kepada mempersia-siakan dan memandang rendah apa yang tertulis itu.

Maka dari penjelasan di atas dapatlah disimpulkan, cara melupuskan Mushhaf atau tulisan ayat-ayat al-Qur’an yang tidak dapat digunakan itu dan sukar untuk dijaga dan dipelihara ialah sama ada dengan membasuh atau membakarnya. Dalam soal ini perlulah diingat, membasuh atau membakar Mushhaf itu hendaklah disertai niat yang baik dengan tujuan semata-mata untuk menjaga kesucian dan kemuliaan al- Qur’an, bukan merendahkan apa lagi menghinanya dan tidak mendedahkannya kepada pencemaran dan penghinaan.

Demikian juga, hendaklah dipastikan Mushhaf atau tulisan ayat-ayat al-Qur’an yang telah dibakar atau dibasuh itu, tidak ada lagi saki-bakinya yang tertinggal sehingga menyebabkan ia terbiar dan sekaligus menyebabkan ia terdedah kepada pencemaran dan penghinaan. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab seseorang itu untuk memastikan bahawa Mushhaf yang dilupuskan itu benar-benar lupus dan tidak ada lagi saki-baki tulisan ayat-ayat tersebut.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-6992