Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصيام

Teruskan Beribadat Sunat Walaupun Bukan Di Bulan Ramadhan

Bulan Ramadhan adalah peluang untuk kita meraih pahala yang berlipat kali ganda melalui amalan-amalan fardhu dan sunat. Ini jelas sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Salman Radhiallâhu ‘anhu ia berkata:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah berkhutbah pada hari terakhir bulan Sya‘ban dengan bersabda: “Wahai manusia sesungguhnya telah datang kepada kamu satu bulan yang agung lagi penuh keberkatan (bulan Ramadhan), iaitu bulan yang ada padanya satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, bulan yang Allah jadikan berpuasa padanya suatu kewajipan dan berqiyâmullail (beribadat pada malam-malamnya) sebagai amalan sunat. Sesiapa yang mendekatkan dirinya kepada Allah pada bulan itu dengan melakukan amalan kebajikan (amalan sunat) maka dia mendapat pahala seperti melaksanakan perintah yang wajib dan sesiapa yang melakukan suatu amalan yang wajib pada bulan Ramadhan maka dia mendapat pahala seperti orang yang melakukan tujuh puluh amalan fardhu.” (Hadits riwayat Ibnu Khuzaimah)

Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam suka supaya umatnya melakukan ibadat sunat kerana ganjaran yang diberikan kepada orang yang melakukannya sangat besar. Antara hadits yang menyebut tentang ganjaran amalan sunat sebagaimana yang disabdakan oleh Baginda:

Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah berfirman: “Barang siapa yang memusuhi waliKu, maka sesungguhnya Aku telah mengisytiharkan perang terhadapnya. Dan tidak hambaKu berdamping kepadaKu dengan sesuatu yang lebih Aku sukai daripada dia menunaikan perkara yang Aku fardhukan ke atasnya, dan sentiasalah hambaKu berdamping kepadaKu dengan membuat perkara-perkara yang sunat sehingga Aku kasihkan dia, maka apabila Aku mengasihinya, Aku menjadi pendengarannya yang dia mendengar dengannya, (Aku menjadi) penglihatannya yang dia melihat dengannya, (Aku menjadi) tangannya yang dia memegang dengannya, (Aku menjadi) kakinya yang dia berjalan dengannya (hatinya dipenuhi dengan kebesaran atau keagungan Allah Ta‘ala sehingga dia mendengar, melihat, memegang dan berjalan sentiasa di dalam pemeliharaan Allah Ta‘ala), jika dia memohon daripadaKu nescaya Aku akan benar-benar memberikannya, jika dia memohon perlindunganKu nescaya Aku akan benar-benar melindunginya.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Maka jelaslah amalan-amalan sunat itu mengandungi fadhilat yang besar. Sudah setentunya untuk meraih fadhilat-fadhilat itu adalah dengan mengamalkannya.

Tambahan lagi amalan-amalan sunat itu boleh menampung kecacatan atau kekurangan yang tidak disedari berlaku semasa menunaikan amalan fardhu sebagaimana dijelaskan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dalam perkara sembahyang dan lain-lain perkara yang wajib dalam sabdanya:

Maksudnya: Sesungguhnya yang pertama sekali akan diperhitungkan daripada amalan seseorang pada Hari Kiamat kelak adalah sembahyang fardhunya, jika didapati sembahyang fardhunya sempurna, maka ia akan ditulis sempurna, jika sembahyang fardhunya tidak sempurna, maka Allah memerintahkan (kepada para malaikat) memeriksa tentang sembahyang sunatnya, kemudian segala amalan lain mengikut perkiraan itu (kekurangan daripada amalan fardhu diambil daripada amalan sunat). (Hadits riwayat an-Nasa‘i)

Perkara amalan-amalan sunat boleh menampung kecacatan atau kekurangan yang tidak disedari berlaku semasa menunaikan amalan fardhu ini ada ditekankan lagi dalam hadits Qudsiy sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Maksudnya: Periksalah sembahyang hambaKu, apakah cukup ataupun kurang? Kalau cukup catatlah cukup, dan kalau kurang (sembahyang fardhu mereka), maka Allah berfirman lagi: “Periksalah adakah hambaKu ini mempunyai amalan (sembahyang) sunat?” Jika ternyata terdapat amalan sembahyang sunatnya, lalu Allah berfirman lagi: “Cukupkanlah kekurangan sembahyang fardhu hambaKu itu dengan amalan sembahyang sunatnya”. Kemudian diperhitungkanlah amalan-amalan itu menurut cara sedemikian. (Hadits riwayat Ahmad)

Antara amalan-amalan sunat yang perlu dikekalkan ialah seperti sembahyang berjemaah sama ada di rumah ataupun di masjid, mengerjakan sembahyang-sembahyang sunat, menunaikan puasa-puasa sunat, membaca al-Qur’an dan bersedekah.

Sembahyang Berjemaah

Ramai di antara kita menghidupkan malam-malam bulan Ramadhan dengan sembahyang berjemaah sama ada di rumah, lebih-lebih lagi di masjid. Tuntutan sembahyang berjemaah ini bukan tertumpu pada bulan Ramadhan sahaja bahkan ia juga dituntut pada bulan yang lain, kerana sembahyang berjemaah ini mengandungi fadhilat yang besar sebagaimana hadits riwayat Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sembahyang berjemaah itu lebih afdal daripada sembahyang seorang diri dengan dua puluh tujuh darjat. (Hadits riwayat Muslim)

Sembahyang-sembahyang Sunat

Selain sembahyang sunat Tarawih yang khusus dilakukan pada bulan Ramadhan terdapat banyak lagi sembahyang sunat yang lain seperti sembahyang sunat Rawatib, sunat Awwabin, sunat Tahajjud, sunat Tasbih, sunat Dhuha, sunat Istikharah dan sunat Witir.

Kesemua sembahyang sunat ini mempunyai dasar pensyariatannya dan mempunyai fadhilat yang besar. Antara fadhilatnya ialah:

1. Sembahyang Sunat Rawatib

i. Sembahyang sunat Rawatib Subuh.

Telah sabit dikhabarkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam tidak pernah meninggalkan sembahyang sunat Fajar (Subuh) ini sama ada ketika Baginda sedang bermuqim mahupun ketika Baginda dalam perjalanan (musafir). ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ telah berkata:

Maksudnya: Tiada satu sembahyang sunat pun yang dijaga oleh Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam melebihi daripada penjagaannya terhadap sembahyang sunat dua rakaat Fajar (Subuh). (Hadits riwayat al-Bukhari)

Dalam sebuah lagi hadits hasan shahîh, Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ telah meriwayatkan bahwasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: Dua rakaat sembahyang sunat Fajar (Subuh) itu lebih baik daripada dunia dan segala isinya. (Hadits riwayat Muslim dan at-Tirmidzi)

ii. Sembahyang sunat Rawatib Qabliyyah dan Ba‘diyyah Zhuhur.

Dalam sebuah hadits shahîh Sunan at-Tirmidzi, Ummu Habibah Radhiallâhu ‘anhâ meriwayatkan bahwasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: Barang siapa yang memelihara (mengamalkan) sembahyang sunat empat rakaat sebelum sembahyang fardhu Zhuhur dan empat rakaat selepasnya nescaya Allah akan mengharamkan atasnya api neraka. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

iii. Sembahyang sunat Rawatib ‘Ashar.

Walaupun sembahyang Rawatib ‘Ashar ini adalah sunnah ghair mu’akkadah, akan tetapi adalah perlu ia dikerjakan dengan harapan akan termasuk dalam golongan orang-orang yang dido‘akan oleh Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam dalam sabda Baginda:

Maksudnya: Mudah-mudahan Allah akan merahmati orang yang mengerjakan sembahyang sunat sebelum sembahyang fardhu ‘Ashar sebanyak empat rakaat. (Hadits riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi, Ahmad dan Ibnu Khuzaimah)

Sungguhpun ada sebilangan sembahyang sunat Rawatib ini tidak disebutkan fadhilat amalannya secara khusus misalnya sembahyang sunat Rawatib Maghrib dan ‘Isya’, akan tetapi kelebihannya tidak dapat dipertikaikan lagi dengan merenung hadits-hadits yang menyebutkan tentang kelebihan sembahyang sunat secara umum.

Imam Muslim meriwayatkan daripada an-Nu‘man bin Salim Radhiallâhu ‘anhu, bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: Barang siapa yang bersembahyang dua belas rakaat dalam sehari secara tathawwu‘ (sembahyang sunat Rawatib), didirikan untuknya sebuah rumah dalam syurga. (Hadits riwayat Muslim)

Dua belas rakaat sembahyang sunat Rawatib yang dimaksudkan dalam hadits itu ialah empat rakaat qabliyyah Zhuhur dan dua rakaat ba‘diyyah Zhuhur, dua rakaat ba‘diyyah Maghrib, dua rakaat ba‘diyyah ‘Isya’dan dua rakaat Subuh (sembahyang sunat Fajar).

2. Sembahyang Sunat Tahajjud

Di dalam sebuah hadits ada menyebutkan bahawa sembahyang sunat Tahajjud dapat mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Maksudnya: Sesungguhnya Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Kerjakanlah qiyâm al-lail (sembahyang malam) kerana sesungguhnya ia amalan biasa dilakukan oleh orang-orang salih sebelum kamu dan sesungguhnya qiyâm al-lail itu mendekatkan diri kepada Allah, mencegah daripada membuat dosa, menghapuskan kejahatan-kejahatan dan dapat menghindarkan daripada penyakit tubuh badan. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

3. Sembahyang Sunat Dhuha

Ganjaran mengerjakan sembahyang sunat Dhuha juga sangat besar. Antaranya disebutkan dalam satu riwayat daripada Abu Dzar Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: Setiap sendi-sendi tulang di tubuhmu adalah sedekah (dengan bersyukur kepada Allah Ta‘ala), setiap tasbîh itu sedekah, setiap tahmîd itu sedekah, setiap tahlîl itu sedekah dan setiap takbîr itu adalah sedekah. Ajakan pada perkara kebajikan adalah sedekah dan cegahan daripada kemungkaran juga adalah sedekah. Semua itu adalah memadai dengan hanya melakukan dua rakaat sembahyang Dhuha. (Hadits riwayat Muslim)

4. Sembahyang Sunat Tasbih

Menyentuh mengenai sembahyang sunat Tasbih pula, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam ada mengajarkan kepada ‘Abbas bin ‘Abdul Muthalib Radhiallâhu ‘anhu, bapa saudaranya bahawa kelebihan sembahyang sunat Tasbih itu sangatlah besar sebagaimana sabda Baginda:

Maksudnya: Jika engkau membuat yang sedemikian itu (sembahyang sunat Tasbih), Allah menghapuskan dosamu, yang terdahulu dan yang sekarang, yang sudah lama dan yang baru, yang tidak disengaja dan yang sengaja, yang kecil dan yang besar, yang tersembunyi dan yang terang-terangan. (Hadits riwayat Abu Daud)

5. Sembahyang Sunat Istikharah

Kelebihan sembahyang sunat Istikharah (memohon ketentuan daripada Allah bagi memilih perkara yang lebih baik) ini ada disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Sa‘d bin Abu Waqqas Radhiallâhu ‘anhu, Baginda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Antara kebahagiaan anak Adam itu beristikharah kepada Allah, dan antara kebahagiaan anak Adam itu (juga) redha dengan apa yang Allah tentukan, dan daripada kecelakaan anak Adam itu meninggalkan Istikharah kepada Allah dan antara kecelakaan anak Adam itu marah dengan apa yang Allah tentukan baginya. (Hadits riwayat Ahmad)

6. Sembahyang Sunat Witir

Antara fadhilat sembahyang Witir itu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya Allah ‘Azza Wajalla telah menambahkan bagi kamu satu sembahyang, yang lebih baik untuk kamu daripada humrin ni‘am (semulia-mulia harta di sisi orang-orang Arab) iaitu sembahyang Witir. Allah jadikannya (sembahyang Witir) untuk kamu di antara ‘Isya’ hingga terbit fajar. (Hadits riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan at-Tirmidzi)

Puasa-Puasa Sunat

Selepas menunaikan kewajipan puasa di bulan Ramadhan, kita boleh meneruskan ibadat puasa-puasa sunat di bulan lain seperti puasa pada hari Isnin dan Khamis, puasa hari ’Arafah di bulan Zulhijjah, puasa ‘Asyûrâ’ di bulan Muharram, puasa enam hari di bulan Syawal dan puasa pada bulan Sya‘ban.

Terdapat banyak hadits yang menyebutkan tentang hikmat dan kelebihan bagi orang yang melakukan puasa-puasa sunat ini. Antaranya ialah:

1. Puasa Hari Isnin Dan Khamis

Hikmat berpuasa pada setiap hari Isnin dan Khamis disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Usamah bin Zaid Radhiallâhu ‘anhu, bahawa Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Kedua-dua (hari Isnin dan Khamis) itu ialah hari dilaporkan amalan-amalan (manusia) kepada Allah Ta‘ala Rabb al-‘Âlamîn, maka aku suka supaya dilaporkan amalanku ketika aku sedang berpuasa. (Hadits riwayat an-Nasa’i) Dalam hadits yang lain, Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam ada ditanya mengenai puasa pada hari Isnin, Baginda bersabda:

Maksudnya: Itulah hari (Isnin) yang padanya aku dilahirkan dan padanya aku dibangkitkan (menjadi Rasul) atau padanya (kitab al-Qur’an) diturunkan kepadaku. (Hadits riwayat Muslim)

2. Puasa Hari ‘Arafah (9 Zulhijjah)

Kelebihan berpuasa pada hari ‘Arafah pula ialah menghapuskan dosa-dosa setahun yang telah lalu dan dosa setahun yang akan datang sebagaimana diriwayatkan daripada Abu Qatadah al-Anshari Radhiallâhu ‘anhu katanya:

Maksudnya: Dan ditanya kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam tentang berpuasa pada hari ‘Arafah, maka Baginda bersabda: “Ia menebus dosa setahun yang telah lalu dan (dosa) setahun yang akan datang.” (Hadits riwayat Muslim)

Namun begitu puasa ‘Arafah ini hanya sunat kepada orang yang tidak melakukan ibadat haji.

3. Puasa Hari ‘Âsyûrâ (10 Muharram)

Kelebihan berpuasa di hari ‘Âsyûrâ’ sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Qatadah al-Anshari Radhiallâhu ‘anhu katanya:

Maksudnya: Dan ditanya kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam tentang berpuasa pada hari ‘Âsyûrâ’, maka Baginda bersabda: “Ia menebus dosa setahun yang telah lalu.” (Hadits riwayat Muslim)

4. Puasa Enam Hari Di Bulan Syawal

Ganjaran puasa enam hari di bulan Syawal disebut dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Ayyub al-Anshari Radhiallâhu ‘anhu bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun. (Hadits riwayat Muslim)

5. Puasa Bulan Sya‘ban

Fadhilat berpuasa pada bulan Sya‘ban sama seperti puasa pada hari Isnin dan Khamis sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Usamah bin Zaid Radhiallâhu ‘anhu, bahawa Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Bulan (Sya‘ban) itu adalah bulan yang manusia lalai padanya kerana terletak di antara bulan Rejab dan bulan Ramadhan, dan pada bulan (Sya‘ban) itulah diangkat amalan-amalan (manusia) kepada Allah Ta‘ala Rabb al-‘Âlamîn, maka aku suka supaya diangkat amalanku ketika aku sedang berpuasa. (Hadits riwayat an-Nasa’i)

Membaca Al-Qur’an

Jika kita rajin dan tekun bertadarus di bulan Ramadhan, maka teruskan di bulan-bulan yang lain. Dalam makna yang lain, amalan membaca al-Qur’an itu perlu dikekalkan selepas berlalunya bulan Ramadhan kerana orang yang membaca al- Qur‘an akan mendapat ganjaran dan pahala.

Antara ganjaran membaca al-Qur’an itu, pembacanya akan dikurniakan hati yang bercahaya oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan dipelihara daripada kegelapan. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesiapa yang mendengar satu ayat daripada Kitab Allah Ta‘ala (al-Qur’an) ditulis baginya satu kebaikan yang berlipat ganda. Sesiapa yang membacanya pula, baginya cahaya di Hari Kiamat.” (Hadits riwayat Ahmad)

Bersedekah Sunat

Amalan bersedekah perlu dikekalkan. Ini kerana terdapat banyak ayat al-Qur’an dan hadits Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang menerangkan mengenai kelebihan bersedekah. Antaranya ialah firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala bagi siapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (Rahmat) KurniaNya, lagi meliputi Ilmu PengetahuanNya. (Surah al-Baqarah: 261)

Manakala dalam sebuah hadits pula kelebihan bersedekah ini ada disebutkan sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Barang siapa yang bersedekah dengan sesuatu yang sebanding dengan harga sebiji kurma yang diperolehinya daripada pekerjaan yang baik (halal), sedangkan Allah itu memang tidak suka menerima sesuatu melainkan yang diperolehi daripada yang baik (halal), maka sedekah orang tersebut akan diterima oleh Allah dengan tangan kananNya (diterima dengan rasa gembira dan penuh perhatian), kemudian Allah akan menambah pahala sedekah itu untuk orang yang bersedekah itu, sebagaimana seseorang daripada kamu memelihara anak kuda yang dimilikinya, sehingga apa yang disedekahkan itu menjadi banyak sekali bagaikan gunung (pahalanya semakin dilipat gandakan). (Hadits riwayat al-Bukhari)

Rahmat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kepada hambaNya sangatlah luas. Perkara ini boleh diperolehi walaupun melalui amalan yang sedikit tetapi dikurniakan ganjaran pahala berlipat kali ganda, bahkan dalam perkara-perkara tertentu ganjaran pahala amalan yang sedikit itu tidak terkira banyaknya. Oleh kerana itu rebutlah peluang meraih ganjaran pahala yang banyak ini khasnya di hari-hari atau masa-masa yang ditentukan ada kelebihan itu. Sentiasalah dalam ingatan supaya melaksanakan amalan-amalan sunat yang menjadi kesukaan Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam itu dengan cuba sedaya upaya, jangan sekali-kali ia ditinggalkan. Jadikanlah suatu prinsip dalam perkara sunat, jika tidak dapat dibuat semua jangan ditinggalkan semua, buat yang terdaya, asalkan berterusan, kesannya tentu akan membuahkan hasil yang lumayan.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-7094