Thawaf Ifadhah Dan Wada‘ Bagi Perempuan Haidh Yang Terpaksa Meninggalkan Tanah Haram
Antara syarat sah thawaf ialah suci daripada hadas kecil mahupun besar dan suci daripada najis sama ada pada pakaian, badan dan tempat thawaf. Ini kerana thawaf di Baitullah al-Haram adalah juga seperti sembahyang sebagaimana yang dikhabarkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Sesungguhnya thawaf di Baitullah al-Haram itu adalah seperti sembahyang, kecuali (pada ketika thawaf) kamu (boleh) berkata-kata. Maka barang siapa yang berkata-kata, janganlah dia berkata-kata melainkan dengan (kata-kata yang) baik. (Hadits riwayat al-Hakim)
Oleh kerana suci daripada hadas dan najis menjadi syarat sah thawaf, maka perempuan yang haidh adalah terhalang daripada melaksanakan tuntutan tersebut. Persoalan yang timbul ialah tentang kedudukan thawaf Ifadhah dan thawaf Wada‘ perempuan yang mengalami haidh sebelum mereka sempat melaksanakan kedua-dua thawaf tersebut kerana terpaksa meninggalkan Tanah Haram dan pulang ke tanah air, walhal mereka masih dalam keadaan berhadas, yakni tidak memenuhi syarat thawaf.
Kedudukan Thawaf Ifadhah Bagi Perempuan Yang Haidh
Thawaf Ifadhah (thawaf haji) adalah salah satu daripada rukun ibadat haji yang wajib dikerjakan. Ibadat haji belum sempurna jika ia tidak dikerjakan. Oleh itu seorang perempuan yang mengalami haidh ketika masih di dalam ihram haji, sedangkan dia belum menunaikan thawaf Ifadhah, maka perempuan itu hendaklah sabar menunggu sehingga darah haidhnya kering. Selepas itu dia mandi hadas dan seterusnya mengerjakan thawaf.
Jika perempuan yang kedatangan haidh itu terpaksa juga keluar dari Tanah Haram dan tidak sempat menunggu darah haidhnya kering kerana pulang ke negaranya, maka ada beberapa jalan keluar yang boleh diikutnya:
1. Jika perempuan yang haidh itu dapat menahan haidhnya dengan menggunakan ubat atau haidhnya terhenti seketika, kemudian mandi hadas dan melakukan thawaf, apabila darah haidhnya kembali semula selepas dia bermusafir, maka dia boleh beramal dengan salah satu daripada dua pendapat Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh, iaitu pendapat yang mengatakan bahawa perempuan yang kedatangan haidh ketika darahnya terhenti sehari lepas sehari, maka hari darahnya terhenti itu adalah dikira sebagai hari suci.
2. Jika perempuan yang mengalami haidh itu tidak berhenti haidhnya, sedangkan dia takut tertinggal daripada rombongannya yang ditakuti akan mengakibatkan kemudharatan ke atas nafaqah (perbelanjaan ketika musafir) atau ke atas dirinya, maka dia diharuskan mengikut rombongannya tanpa mengerjakan thawaf Ifadhah berkenaan. Apabila tiba di tempat yang dia tidak mungkin lagi kembali semula ke Makkah kerana ditakuti kemudharatan berlaku pada diri atau hartanya jika dia kembali ke Makkah, maka harus dia bertahallul dengan menyembelih seekor kambing (kemudian bergunting dengan berniat tahallul ketika melakukan kedua-dua perkara itu seperti yang dilakukan oleh orang muhshar (orang yang ditahan daripada datang ke Makkah bagi mengerjakan haji). Dengan berbuat demikian maka lepaslah dia daripada segala ikatan ihramnya dan harus dia melakukan perkara-perkara yang dilarang ketika dia sedang berihram. Akan tetapi kewajipan thawaf tersebut masih lagi tertanggung ke atas dirinya sehingga dia kembali semula ke Makkah untuk melaksanakan thawaf tersebut. Dan jika dia hendak melakukan thawaf tersebut setelah dia kembali semula ke Makkah, dia dikehendaki berihram untuk mengerjakan thawaf itu sahaja tanpa melakukan ibadat-ibadat haji yang telah dilakukannya sebelum itu seperti wuquf dan lain-lain.
Atau boleh juga perempuan itu bertaqlîd kepada pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad Rahimahumallâh pada satu riwayat yang mengatakan perempuan haidh itu hendaklah membalut tempat keluar haidhnya supaya tidak keluar darah haidh seperti menitis dan sebagainya kemudian dia melakukan thawaf dan dia menyembelih badanah iaitu unta atau lembu. Dalam hal ini dia tetap berdosa kerana masuk ke masjid dalam keadaan haidh. Namun thawaf yang dilakukannya itu adalah tertunai.
Mengerjakan Thawaf Wada‘ Bagi Perempuan Yang Haidh
Perempuan yang haidh tidak wajib mengerjakan thawaf Wada‘ berdasarkan hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, antaranya:
1. Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ katanya, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Diperintahkan manusia pada akhir masa mereka berada di negeri Makkah (mengerjakan thawaf di keliling) Baitullah (Ka‘bah), kecuali diberi keringanan (untuk tidak berthawaf) kepada perempuan yang haidh. (Hadits riwayat al-Bukhari)
2. Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, katanya, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang mengerjakan haji di Baitullah (Ka‘bah), maka hendaklah di akhir masa berada di negeri Makkah (mengerjakan thawaf) di keliling Baitullah (Ka‘bah), kecuali perempuan yang haidh dan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam memberi keringanan (kelonggaran) kepada mereka itu. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Berdasarkan hadits-hadits di atas, maka dapat disimpulkan bahawa perempuan yang kedatangan haidh boleh keluar meninggalkan Makkah tanpa perlu mengerjakan thawaf Wada‘, dan dia tidak dikenakan dam (denda) sebagaimana disebutkan oleh ar-Ruyani Rahimahullâh.
Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Salamah dan ‘Urwah Radhiallâhu‘anhumâ:
Maksudnya: Sesungguhnya ‘Aisyah berkata: “Shafiyyah binti Huyai datang haidh setelah selesai mengerjakan thawaf Ifadhah”. ‘Aisyah berkata: “Maka aku beritahukan perkara haidhnya itu kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam”. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bertanya: “Adakah dia menghalangi kita?” ‘Aisyah berkata: “Maka aku menjawab: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya dia telah mengerjakan haji dan thawaf (Ifadhah) di Baitul Haram, kemudian dia datang haidh setelah mengerjakan thawaf Ifadhah”. Maka Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Maka biarkan dia berangkat pulang (tanpa melakukan thawaf Wada‘). (Hadits riwayat Muslim)
Hadits tersebut adalah dalil yang menunjukkan gugurnya kewajipan thawaf Wada‘ terhadap perempuan yang haidh.
Walau bagaimanapun jika semasa meninggalkan kota Makkah, dia suci daripada haidh sebelum keluar dari kota Makkah, maka dia diwajibkan kembali untuk mengerjakan thawaf Wada‘. Berlainan halnya jika dia suci setelah berada di luar kota Makkah, dia tidak diwajibkan kembali ke Makkah untuk mengerjakan thawaf Wada‘, sekalipun dia masih di tanah haram.
Demikian panduan bagi jemaah haji khususnya jemaah perempuan tentang kedudukan perempuan haidh yang terpaksa pulang ke tanah air sedangkan dia belum melakukan thawaf Ifadhah. Dalam mengerjakan ibadat kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, baik yang fardhu mahupun yang sunat, apa yang kita inginkan ialah kesempurnaannya. Semoga dengan menitikberatkan kesempurnaan itu amal ibadat kita diterima Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-7098
