Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Berhentilah Mengamalkan Riba

Menurut syara‘ setiap sesuatu yang dimakan atau diminum oleh seseorang mampu memberi kesan yang baik ataupun buruk kepada individu tersebut, sama ada pada fizikal, mental mahupun rohani. Oleh kerana itu, pemilihan makanan, khususnya dari aspek kehalalan dan kebaikannya seperti kebersihan, keselamatan, berkhasiat dan menyelerakan merupakan perkara yang dituntut ke atas setiap Muslim. Ini sebagaimana yang diperintahkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam firmanNya:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah daripada benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya. (Surah al-Baqarah: 172)

Namun perlu juga diambil perhatian bahawa Islam bukan hanya setakat menyuruh umatnya untuk memilih makanan dan minuman yang baik lagi halal, akan tetapi lebih daripada itu, Islam juga mengajak dan mengajar umatnya agar berusaha mencari sumber rezeki atau pendapatan yang baik serta halal. Mata pencarian daripada jalan atau sumber yang halal dilihat sebagai suatu keutamaan dan perkara yang sangat penting kerana ia mampu membentuk atau mengubah keperibadian seseorang.

Sebaliknya pula, Islam menekankan agar menjauhi dan meninggalkan perkara yang diharamkan dan tidak terkecuali wang atau hasil pendapatan yang datang daripada sumber yang haram. Ia tiada nilai dan tidak dipandang di sisi syara‘, bahkan akan membawa kepada kebinasaan. Perkara yang lebih ditakuti lagi ialah jika akibat atau kesan buruk daripada sumber yang haram itu turut diterima atau dialami oleh ahli keluarga yang ditanggung dengan hasil yang haram itu.

Akibat Memakan Hasil Yang Haram

Antara akibat menggunakan dan memakan hasil yang haram ialah do‘a seseorang itu tidak diterima Allah sepertimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu dalam satu hadits yang panjang bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Wahai manusia! Sesungguhnya Allah itu baik (suci, bersih daripada segala kekurangan), dan Dia tidak menerima kecuali yang baik. Dan sesungguhnya Allah memerintahkan kepada orang-orang yang beriman dengan apa yang Dia perintahkan kepada para Rasul. (Hadits riwayat Muslim)

Kemudian Baginda bersabda (lalu membacakan) ayat 51 surah al-Mu’minûn, Allah Ta‘ala berfirman tafsirnya: “Wahai Rasul-rasul! Makanlah daripada benda-benda yang baik-baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal salih; sesungguhnya Aku Amat Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan,” dan surah al-Baqarah, ayat 172.

Kemudian Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menyebutkan tentang seorang yang mengadakan perjalanan jauh, yang kusut rambutnya lagi berdebu, dia menadahkan kedua tangannya ke langit, seraya berdo‘a: “Ya Tuhanku! Ya Tuhanku!”, sedangkan makanannya daripada yang haram, minumannya daripada yang haram, pakaiannya daripada yang haram dan diberi makan dengan yang haram, lalu bagaimana do‘anya itu diperkenankan?

Hasil Yang Bersumberkan Riba

Antara sumber haram yang dimaksudkan ialah pendapatan atau perolehan yang bersumberkan riba. Hukum mengambil dan menggunakan wang riba itu adalah haram, sama ada untuk kegunaan dirinya sendiri atau diberikan kepada orang lain. Ini kerana riba adalah haram dan ia merupakan salah satu daripada tujuh dosa-dosa besar dalam Islam. Malahan memakan hasil riba adalah sekeji-keji dosa selepas syirik kepada Allah. Perkara ini jelas diterangkan dalam nash-nash al-Qur’an dan hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.

Riba dari segi bahasa bererti lebih. Manakala dari segi syara‘ dan sebagaimana kata al- Imam ar-Ruyani, bererti: “ Suatu akad di atas suatu ‘iwadh (benda yang jadi tukar ganti) yang tertentu yang tidak diketahui persamaannya dalam kaedah syara‘ ketika berlaku akad itu, atau serta bertangguh pada kedua-dua ‘iwadh itu atau salah satunya.

Riba itu terjadi pada al-amwâl ar-ribawiyyah, iaitu barang atau harta tertentu yang telah dinashkan dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Secara umum, riba terbahagi kepada dua iaitu:

Pertama: Riba al-fadhl (al-bai‘), iaitu menjual dua benda sejenis dan sama ‘illah secara tidak sama timbangan, seperti menjual 10 mitsqâl emas dengan 11 mitsqâl emas.

Kedua: Riba an-nasî’ah, iaitu menjual barang ribawi secara bertangguh seperti menjual 10 mitsqâl emas dengan 10 mitsqâl emas secara hutang.

Dalam mazhab asy-Syafi‘e riba al-fadhl (al-bai‘) terbahagi kepada tiga iaitu:

1. Riba al-fadhl, iaitu jual beli berserta tambahan salah satu daripada dua ‘iwadh (tukar ganti) pada jenis yang sama. Contohnya seperti menjual 10 gantang gandum dengan 11 gantang gandum.

2. Riba al-yad, iaitu jual beli berserta melengahkan (melambatkan) penerimaan salah satu tukar ganti atau kedua-duanya sekali tanpa penyataan tangguh. Contohnya seperti dua jenis mata wang adalah berlainan jenis tetapi mempunyai satu ‘illah. Maka jual belinya boleh berlainan nilai akan tetapi hendaklah timbang terima itu berlaku dalam majlis akad itu sendiri, iaitu secara tunai. Sama sekali tidak boleh pertukaran (jual dan beli) barang itu ditangguhkan selepas majlis akad.

3. Riba an-nasa’, iaitu riba yang masyhur yang berlaku dalam zaman Jahiliah sebelum Islam. Maksudnya adalah: “Pertambahan pada hutang dengan bertambahnya tempoh pembayaran”. Ini berdasarkan tafsiran para ulama, dengan ijmâ’, maksud riba Jahiliah adalah kaum Musyrikin Makkah apabila mereka memberi hutang sampai kepada tempoh pembayaran balik, maka mereka memberi pilihan kepada peminjam sama ada membayar hutang tersebut atau menangguhkan pembayaran akan tetapi dengan syarat menambah kadar pembayaran.

Salah satu dalil larangan mengenai riba ialah firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda, dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya.” (Surah Âli‘Imran: 130)

Sebaliknya, menjauhi riba itu merupakan ketaatan terhadap perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Umat Islam hendaklah sentiasa berwaspada dan beringat bahawa syaitan akan sentiasa menghiasi sesuatu yang haram sehingga manusia terlupa dan lalai lalu mengambil atau melakukan perkara yang haram itu dan mengamalkannya tanpa perasaan ragu. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Wahai sekalian manusia makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang terang nyata bagi kamu. (Surah al-Baqarah:168)

Hukum Dan Balasan Terhadap Pengamal Riba

Berdasarkan maksud al-Qur’an dan hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, pengamal riba akan ditimpa berbagai-bagai akibat dan balasan. Antaranya:

1. Harta atau wangnya tidak berkat. Bahkan akan hilang atau habis semenjak di dunia lagi. Manakala di akhirat akan diseksa berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Dia pula yang mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran dan selalu melakukan dosa. (Surah al-Baqarah: 276)

2. Riba mengandungi tujuh puluh macam dosa dan dosanya yang paling ringan sekali ialah seperti seorang berzina dengan ibunya sendiri. Hadits daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Riba itu mengandungi 70 macam dosa, yang paling ringan sekali umpama seorang lelaki yang menikahi (menggauli) ibunya sendiri. (Hadits riwayat Ibnu Majah)

3. Setiap mereka yang berurusan dengan riba atau mengamalkannya akan berada jauh dari rahmat Allah sepertimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada Jabir Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah melaknat orang yang makan riba dan orang yang memberi wakil pada riba, dan penulisnya, dan dua saksinya. Sabda Baginda: “Mereka itu semuanya sama (pada hukum mengambil riba).” (Hadits riwayat Muslim)

4. Riba menjadi punca turunnya bala dan bencana di dunia serta azab dan seksa di akhirat. Ini berdasarkan hadits daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Jikalau nyata (berleluasa) perbuatan zina dan riba di suatu kampung, maka mereka telah menghalalkan (membenarkan) atas diri mereka sendiri akan turunnya azab Allah Ta‘ala. (Hadits riwayat al-Hakim)

5. Ditakuti mati dalam kesudahan yang buruk والعياذ َبهلل.

6. Disebutkan dalam kitab al-Kabâ’ir bahawa pengamal riba akan terus diseksa dari mula masa kematiannya hingga ke Hari Kiamat dengan berbagai-bagai seksaan:

7. Pada Hari Kiamat, pengamal riba akan dibangkitkan dalam keadaan terhoyong-hayang kerana Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah memberatkan dan membesarkan perut mereka akibat memakan benda yang haram di dunia. Oleh itu, mereka tidak dapat berdiri tetap melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan. Perkara ini telah dijelaskan dalam firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhoyong-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berjual beli itu sama sahaja seperti riba”. Padahal Allah telah menghalalkan jual beli (berniaga) dan mengharamkan riba. (Surah al-Baqarah: 275)

8. Tidak akan masuk syurga dan tidak dirasakan kepada mereka keni‘matannya berdasarkan hadits Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Empat (golongan) diputuskan oleh Allah bahawa mereka tidak akan dimasukkan ke dalam syurga dan tidak dirasakan kepada mereka keni‘matannya, (iaitu) orang yang ketagih minum arak, orang yang makan harta riba, orang yang makan harta anak yatim tanpa hak (cara yang benar) dan orang yang menderhaka kepada kedua ibu bapanya. (Hadits riwayat al-Hakim)

Bertaubat Daripada Mengamalkan Riba

Ruang atau peluang untuk bertaubat tetap terbuka luas bagi mereka yang telah sedar dan mengetahui akan keharaman riba. Oleh itu, hendaklah dia berhenti dan tidak berterusan mengamalkan riba. Perkara ini telah diakui dalam firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) daripada Tuhannya lalu dia berhenti (daripada mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya. (Surah al-Baqarah: 275)

Kedudukan Wang Hasil Muamalat Riba

Seseorang yang terlibat dengan muamalat riba kemudian bertaubat serta tidak mahu mengulanginya, perkara yang sering menjadi persoalan ialah bagaimana dengan kedudukan wang interest (faedah) atau bunga yang diperolehi hasil daripada muamalat riba itu? Apakah tindakan yang sewajarnya dilakukan dengan wang tersebut?

Perlu diketahui bahawa wang riba merupakan wang atau harta yang tidak diketahui siapa yang empunya atau wang yang tidak bertuan. Harta yang tidak diketahui siapa empunyanya atau tidak bertuan itu adalah menjadi harta Baitul-Mal.

Oleh yang demikian, wang riba itu:

1. Diserahkan kepada Baitul-Mal untuk dibelanjakan pada kebajikan atau mashlahat umat Islam.

2. Tidak boleh dijadikan sebagai hibah, sedekah atau derma. Ini kerana jika seseorang mahu melakukan kesemua amalan tersebut, hendaklah harta yang disedekahkan, dihibahkan atau didermakan itu, dimiliki oleh orang yang bersedekah atau yang menghibahkan atau yang mendermakannya itu.

Sebagai kesimpulan, hukum muamalat riba adalah haram dan telah tsabit disebutkan dalam al-Qur’an dan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Jika seseorang mengetahui bahawa sesuatu itu dijalankan secara riba atau mengandungi riba, maka wajib dia menjauhkan diri daripada bermuamalat dengan individu atau institusi berkenaan. Bermuamalatlah dengan berpaksikan iman dan bukan semata-mata berpaksikan keuntungan harta.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-7103