Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الحج والعمرة

Wajib Berkorban Bila Dinazarkan

Hukum berkorban adalah sunat mu’akkadah, iaitu sunat yang sangat dituntut, melainkan jika dinazarkan. Apabila dinazarkan, maka hukum berkorban itu berubah kepada wajib dan individu yang bernazar itu dituntut untuk menunaikannya. Ini adalah berdasarkan sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam mengenai perkara nazar yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anha:

Maksudnya: Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah, maka hendaklah dia mentaatinya. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Sebelum membincangkan korban sunat yang menjadi wajib kerana dinazarkan, terlebih dahulu dibawakan sedikit penerangan mengenai lafaz nazar yang sah menurut syara‘.

Lafaz Nazar Yang Sah

Nazar itu mempunyai lafaz-lafaz yang tertentu. Secara ringkas, berikut dibawakan beberapa contoh lafaz nazar dan penjelasan mengenainya.

Setiap nazar yang dilakukan tidak sah melainkan jika dilafazkan dengan perkataan, seperti katanya:

1. “‘Kerana Allah’ atau ‘demi Allah’ wajib ke atasku puasa tiga hari.”

2. Jika dia berlafaz: “Wajib ke atas diriku puasa tiga hari” tanpa berlafaz ‘kerana Allah’, nazarnya tetap sah dan wajib ke atasnya menunaikannya. Ini kerana nazar itu adalah taqarrub, iaitu amal yang mendekatkan diri kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, dan taqarrub itu tidak lain hanyalah semata-mata kerana Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Maka daripada penerangan ringkas di atas, dapat difahami bahawa tidak sah nazar dengan hanya semata-mata berniat di dalam hati tanpa lafaz. Selama mana tidak dilafazkan, maka nazar itu tidak sah dan tidak wajib ditunaikan. Sebaliknya, sah nazar itu dengan dilafazkan sahaja walaupun tanpa niat di dalam hati.

Begitu juga tidak sah nazar setakat berazam di dalam hati untuk melakukan sesuatu kebajikan atau dengan melafazkan perkataan “aku berazam”.

Adapun bagi orang yang tidak boleh bercakap, iaitu orang bisu, bolehlah menggunakan isyarat sahaja ataupun secara bertulis, akan tetapi hendaklah disertai dengan niat.

Nazar Hakiki

Dalam ibadat korban, apabila seseorang bernazar untuk berkorban, maka hukum berkorban bertukar daripada sunat kepada wajib disebabkan oleh nazar tersebut. Antara contoh lafaz nazar korban yang dianggap sah oleh syara‘ ialah:

1. Dengan nama Allah: “Demi Allah, wajib ke atasku berkorban.” 2. Dengan iltizâm: “Wajib ke atasku berkorban.” 3. Dengan perkataan nazar: “Aku bernazar untuk berkorban.”

Kesemua lafaz nazar di atas adalah berbentuk umum dan sah sebagai nazar. Oleh itu, wajib ke atas orang yang bernazar untuk menunaikan nazar tersebut. Dia boleh berkorban dengan menyembelih apa jua jenis binatang yang sah dijadikan korban, iaitu unta, lembu, kerbau dan kambing. Ini kerana dalam lafaz nazar yang diucapkannya itu dia tidak menentukan atau mengaitkannya dengan binatang tertentu. Binatang yang disembelihnya itu pula menjadi korban wajib.

Di samping itu, seseorang yang memiliki binatang yang sah dibuat korban dan ingin bernazar untuk membuat ibadat korban dengan binatangnya itu, bolehlah dia berlafaz seperti berikut:

1. “Demi Allah, wajib ke atas diriku membuat korban dengan binatang ini.”

2. “Aku bernazar untuk menyembelih unta/lembu/kerbau/kambing sebagai korban pada Hari Raya Haji nanti.”

3. “Bagi Allah, atasku menyembelih korban dengan unta/lembu/kerbau/kambing ini.”

Apabila dia berlafaz seperti lafaz di atas atau seumpamanya wajiblah dia menyembelih binatang yang telah ditentukannya itu dan jadilah binatang korban itu korban wajib.

Begitu juga sah lafaz nazar seumpama di bawah ini jika dilafazkan oleh seseorang yang belum memiliki binatang korban:

1. “Bagi Allah ke atasku, jika aku membeli seekor unta/lembu/kerbau/kambing, maka aku akan jadikannya korban.”

2. “Jika aku memiliki atau membeli seekor unta/lembu/kerbau/kambing, maka wajib atasku membuat korban dengannya.”

3. “Jika aku membeli seekor unta/lembu/kerbau/kambing, maka demi Allah ke atasku aku jadikannya sebagai nazar.”

Kesan daripada lafaz yang diungkapkannya seperti di atas, apabila dia memiliki atau membeli mana-mana binatang yang ditentukannya itu, wajib dia menyembelihnya sebagai korban wajib.

Akan tetapi tidak menjadi korban wajib sekiranya ketika membeli unta/lembu/kerbau/kambing itu ada niat di dalam hatinya untuk menjadikan binatang itu sebagai korban tetapi tidak dilafazkan niatnya itu.

Berbeza hukumnya jika seseorang itu berlafaz: “Jika aku memiliki atau membeli unta/lembu/kerbau/kambing ini / itu, maka demi Allah ke atasku aku jadikannya sebagai korban.” Tidak wajib ke atasnya untuk menjadikan unta/lembu/kerbau/kambing tersebut sebagai korban, sekalipun setelah itu dia memiliki unta/lembu/ kerbau/kambing yang ditentukannya itu. Ini kerana lafaz seumpama ini tidak dikira sebagai nazar. Ini disebabkan dia telah menentukan unta/lembu/kerbau/kambing dengan lafaz ‘ini’ atau ‘itu’ dan mewajibkan untuk dibuat korban, sedangkan dia belum memiliki unta/lembu/kerbau/kambing tersebut. Mewajibkan sesuatu sebelum dimiliki adalah sia-sia.

Perkara Berkaitan Korban Wajib

Apabila suatu korban itu menjadi korban wajib, umpamanya kerana nazar atau menunaikan wasiat daripada seseorang yang telah meninggal dunia, maka berlakulah segala hukum yang berkaitan dengan korban wajib. Binatang yang termasuk dalam korban wajib tidak boleh diperlakukan ke atasnya beberapa perkara, antaranya:

1. Ditukar ganti dengan yang lain walaupun dengan gantian yang lebih baik;

2. Disewakan;

3. Dihibahkan (berikan);

4. Dijual;

5. Langsung tidak disembelih dan seumpamanya.

Manakala daging daripada korban wajib itu pula tidak boleh dimakan atau diambil oleh orang yang berkorban walaupun sedikit, sebaliknya wajib disedekahkan keseluruhannya kepada fakir miskin.

Sebagai kesimpulan apabila ibadat korban itu dinazarkan, maka wajib bagi orang yang melafazkan nazar itu untuk menunaikannya, sama ada seseorang itu bernazar secara umum ataupun sedari awal lagi dia bernazar dengan menentukan jenis binatang tertentu untuk disembelih sebagai korban. Manakala binatang korban yang dinazarkan atau yang ditentukan itu menjadi korban wajib dan kesemua dagingnya wajib disedekahkan kepada fakir miskin.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-7111