Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Iman Sebagai Tunjang Bernegara

Negara yang makmur menjadi idaman kepada setiap orang yang bernaung di bawah suatu pimpinan atau pemerintahan. Makmur dalam konteks bernegara memberi maksud negara yang aman, sejahtera, harmoni, maju, memiliki kesenangan, keselesaan, kebebasan yang selayaknya, saling hormat menghormati dan apa saja yang bersangkutan dengan arena kehidupan yang baik. Di samping itu, negara yang makmur itu adalah bercirikan bebas daripada segala bentuk kemungkaran dan kejahatan, sebaliknya diliputi oleh keimanan, ketaqwaan, keberkatan dan keampunan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Inilah contoh negara yang ditunjukkan oleh al-Qur’an sebagaimana firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Negara yang aman makmur dan mendapat keampunan Allah.” (Surah Saba’: 15)

Bila kita imbas kembali detik urutan sejarah hijrah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dari Makkah ke Madinah, ianya memberi input petunjuk yang hebat dalam aspek pembentukan negara Islam yang makmur dan paling ideal berpaksikan keimanan dan ketaqwaan. Dalam rangka kerja membina masyarakat Islam, perkara yang pertama sekali dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam setiba Baginda di Madinah ialah membangunkan masjid, di mana ianya dibangunkan atas landasan taqwa sebagaimana yang diceritakan di dalam al-Qur’an:

Tafsirnya: “Sesungguhnya masjid (Quba’ yang engkau dirikan wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah Subhanahu wa Ta‘ala mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).” (Surah at-Taubah: 108)

Pembinaan masjid tersebut merupakan isyarat daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa penjanaan dan pengukuhan iman amat penting sebagai modal membina sebuah negara dan masyarakat, di mana masjid merupakan sarana yang sangat penting dalam rangka menjana keimanan dan ketaqwaan.

Model yang ditunjukkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu memberi petunjuk betapa tinggi kepentingan iman itu dalam pembangunan ummah dan kehidupan bernegara. Pelbagai manfaat dan faedah yang boleh diraih jika warga yang bernaung di bawah suatu kepimpinan itu tindak-tanduk dalam kehidupannya sentiasa berpandu dan berlandaskan kepada iman.

Dengan terbinanya iman yang mantap akan melahirkan masyarakat Islam yang mempunyai hati yang bersih, akhlak yang mulia, harga diri yang tinggi, keikhlasan yang sejati, amanah, ikatan persaudaraan yang harmoni, semangat perjuangan dan pengorbanan yang kental, suka mengajak kepada kebaikan dan benci kepada kemungkaran.

Untuk menjamin kelangsungan agama serta kemakmuran negara pula, adalah menjadi tanggungjawab dan tugas kepada anggota masyarakat untuk memelihara agama itu serta kemakmuran negara dengan menyuruh kepada kebaikan dan melarang daripada melakukan kemungkaran.

Menyuruh kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran itu merupakan salah satu kewajipan yang difardhukan. Al-Imam an-Nawawi menjelaskan, umat Islam telah ijmâ‘ mengatakan bahawa mengajak kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran ( ِ األمرابملعروفِوالنهيِعنِاملنكر ) itu hukumnya adalah wajib.

Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian, ialah orang yang berjaya.” (Surah Âli ‘Imrân:104)

Al-Imam al-Ghazali telah menjelaskan tentang kedudukan dan kepentingan mengajak kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran terhadap negara dan anggota masyarakat yang bernaung di bawahnya, beliau berkata: “Ketahuilah bahawa mengajak kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran (ِ األمررر ابملعررروفِوالنهرريِعررنِاملنكررر ) adalah puncak tertinggi dalam agama dan persoalan yang penting di mana Allah Subhanahu wa Ta‘ala mengutus sekalian nabi kerananya. Andaikata tugas ini dilengahkan dan ilmu serta amalan yang bersangkutan dengannya dicuaikan nescaya kesesatan akan bermaharajalela dan kejahilan akan terus melanda, dan ketika itu negara akan menjadi rosak, sementara rakyatnya menjadi kacau-bilau.”

Al-Qur’an telah mengungkapkan berbagai ciri yang dimiliki oleh orang yang beriman. Salah satu ciri asasi yang dimiliki oleh orang yang beriman menurut al- Qur’an ialah menyuruh kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “(Orang-orang yang beriman itu ialah): Orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah Subhanahu wa Ta‘ala, yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh berbuat kebaikan dan yang melarang daripada kejahatan, serta yang menjaga batas-batas hukum Allah Subhanahu wa Ta‘ala, dan gembirakanlah orang-orang yang beriman. ” (Surah at-Taubah: 112)

Oleh itu, sesiapa yang meninggalkan tugas menyuruh berbuat baik itu maka terkeluarlah dia daripada golongan orang-orang yang disifatkan oleh Allah Ta‘ala dalam ayat di atas sebagai orang yang beriman.

Untuk menjayakan rangka kerja dakwah menyuruh berbuat baik dan meninggalkan perkara mungkar itu pula, tidak memadai dengan kewujudan suatu kelompok atau suatu pihak yang peka terhadap tugas dan tanggungjawab seperti ini dalam sebuah masyarakat, sedangkan kelompok itu dibelakangi dan dipencilkan.

Masyarakat yang beriman itu ialah masyarakat yang tidak meminggirkan al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Ianya adalah sumber hidayah, perundangan dan hukum. Justeru itu, tidak beriman masyarakat itu jika hukum Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan RasulNya diabaikan, diperkecil-kecilkan dan dianggap kolot.

Masyarakat yang beriman itu juga, masyarakat yang tidak meminggirkan aqidah Islam daripada sistem kehidupan. Malahan ianya dijadikan sebagai penggerak dan penjana paling utama dalam kehidupan individu, berkeluarga dan bernegara. Justeru itu, aqidah tidak dianggap sebagai perkara sampingan.

Tidak dikatakan masyarakat yang beriman, jika ia bertolak ansur dengan aqidah-aqidah lain yang menyerang atau mengganggu gugat aqidah Islam.

Begitu juga tidak dikatakan masyarakat yang beriman, jika ia menggerak orang supaya mengamalkan nilai-nilai akhlak yang luhur, akan tetapi pada masa yang sama memberi laluan kepada perkara-perkara mungkar dan maksiat untuk dinikmati oleh warga masyarakat tersebut.

Oleh itu, adalah sewajar dan semestinya seluruh warga masyarakat berganding bahu bekerja keras menggerakkan setiap orang supaya berhijrah kepada kebaikan dan meninggalkan serta menjauhi yang mungkar supaya iman anggota masyarakat akan terpelihara, seterusnya negara akan kekal dan bertambah makmur serta sentiasa diberkati Allah. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Kalau sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membukakan kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi.” (Surah al-A‘râf: 96)

Untuk mencapai matlamat َِ َِ َبَِبَرررة َِوَر َُو ِر َ ُررروْر برَلْررردَة sebagaimana yang disebutkan terdahulu, setiap warga negara akan memperanankan dirinya mengikuti atau mengambil contoh teladan daripada pimpinan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, antaranya seperti pesanan Baginda:

Maksudnya: “Barangsiapa di antara kamu melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangan. Jika sekiranya dia tidak berkuasa, maka hendaklah dia mengubahnya dengan lidahnya. Jika sekiranya dia tidak berkuasa, maka hendaklah dia mengubah dengan hatinya, dan yang demikian itu (mengubah dengan hatinya) adalah selemah-lemah iman.” (Hadis riwayat Muslim)

Di samping itu juga, hendaklah sentiasa bertolong-tolongan dalam perkara kebajikan dan menghindarkan daripada membantu melakukan perkara yang mengundang kepada maksiat yang boleh memberi padah kepada diri, agama dan masyarakat. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.” (Surah al-M â’idah:2)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-7170