Isu-Isu Lupa Dalam Sembahyang
Memang tidak dinafikan bahawa lupa itu sering terjadi pada manusia. Dalam pandangan Islam orang yang lupa, tersilap dan dipaksa melakukan perkara dosa adalah dimaafkan, sebagaimana tersebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menggugurkan (dosa) daripada umatku kerana tersilap, lupa dan yang dipaksa ke atasnya.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Lupa itu berlaku dalam semua perkara termasuk lupa dalam sembahyang, umpamanya terlupa melakukan syarat, rukun atau sunat sembahyang. Untuk lebih jelasnya, dihuraikan beberapa contoh lupa dalam sembahyang dan cara penyelesaiannya.
1. Contoh-Contoh Lupa Syarat Sembahyang
Syarat sembahyang adalah perkara yang mesti dilakukan sebelum mengerjakan sembahyang dan ia berterusan sehingga selesai sembahyang. Sembahyang tidak akan sah jika syarat-syarat sembahyang itu tidak ditunaikan terlebih dahulu. Syarat sembahyang itu ada lima, iaitu mengetahui waktu sembahyang, menghadap qiblat, menutup aurat, suci daripada hadas dan suci daripada najis.
Antara contoh-contoh lupa melakukan syarat sembahyang itu seperti seseorang yang terlupa untuk bersuci daripada hadas kecil atau hadas besar. Jika teringat dan yakin yang dia tidak berwudhu atau tidak mandi wajib, maka sembahyang yang dikerjakan dalam keadaannya yang tidak suci itu adalah tidak sah. Walau bagaimanapun dia mendapat pahala atas qashadnya (niatnya) tetapi bukan mendapat pahala atas perbuatan sembahyangnya.
Demikian juga jika dia memakai pakaian yang bernajis disebabkan lupa, sedang dia telah mengerjakan sembahyang dengan pakaian itu. Apabila teringat dan yakin yang dia memakai pakaian yang bernajis, maka tidak sah sembahyang tersebut. Oleh yang demikian hendaklah dia mengerjakan sembahyang itu semula dengan memakai pakaian yang suci daripada najis.
Apabila seseorang tidak mengetahui sehingga dia meninggal dunia bahawa pakaian yang dipakainya ketika mengerjakan sembahyang itu ada najis, maka menurut fatwa al-Baghawi, diharapkan daripada kemurahan Allah agar tidak diambil kira. Ini kerana Allah menggugurkan dosa bagi orang yang tersilap, terlupa atau dipaksa.
Jika terjadi syak pada diri seseorang itu sama ada dia telah berwudhu ataupun tidak, maka tidak sah sembahyangnya kerana dia syak pada asal bersuci sedang asalnya dia tidak bersuci. Adapun jika dia syak sama ada wudhunya batal ataupun tidak, maka sembahyangnya itu sah kerana dia syak pada batalnya wudhu sedangkan pada asalnya wudhunya itu masih ada.
2. Contoh-Contoh Lupa Rukun Sembahyang
Rukun-rukun sembahyang itu terbahagi kepada tiga bahagian:
i. Rukun qalbi: Rukun yang bersangkut paut dengan hati iaitu niat. ii. Rukun qauli: Rukun yang bersangkut paut dengan perkataan, seperti takbîratulihrâm dan membaca surah al-Fâtihah.
iii. Rukun fi‘li: Rukun yang bersangkut paut dengan perbuatan, seperti berdiri, ruku‘ dan sujud.
Perkara yang sering terjadi dalam sembahyang ialah lupa melakukan tertib sembahyang, sama ada tertib di antara rukun atau tertib di antara sunat-sunat sembahyang. Tertib di antara sunat sembahyang tidak termasuk dalam rukun sembahyang, akan tetapi hanya menjadi syarat untuk dikira sebagai sunat dan bukan menjadi syarat sah sembahyang, seperti mendahulukan membaca
at-ta‘awwudz itu diulang semula selepas membaca iftitâh, kerana at-ta‘awwudz sebelum itu tidak dikira sebagai sunat, disebabkan ia dibaca bukan pada tempatnya. Demikian juga halnya tertib di antara sunat sembahyang dan rukun sembahyang, seperti mendahulukan membaca surah al-Qur’an sebelum membaca surah al- Fâtihah.
Sementara tertib di antara rukun sembahyang pula adalah termasuk rukun sembahyang. Jika tidak dilakukan tertib itu dengan senghaja, umpamanya didahulukan rukun fi‘li seperti sujud sebelum ruku‘ atau ruku‘ sebelum membaca surah al-Fâtihah atau mendahulukan rukun qauli iaitu memberi salam sebelum sujud, maka sembahyang itu batal kerana mempermain-mainkannya.
Adapun jika didahulukan rukun qauli dengan senghaja (selain memberi salam) sebelum rukun fi‘li seperti mendahulukan membaca tasyahhud sebelum sujud ataupun didahulukan rukun qauli sebelum rukun qauli yang lain seperti mendahulukan selawat sebelum membaca tasyahhud, maka tidaklah batal sembahyang itu akan tetapi hendaklah diulang semula bacaan yang didahulukannya itu (selawat) kerana ia dibaca bukan pada tempatnya dan tanpa diulang semula yang kena dahului itu (tasyahhud).
Bagaimana pula keadaannya jika terlupa melakukan rukun sembahyang kemudian teringat rukun yang tertinggal itu ketika dalam sembahyang ataupun sesudah selesai sembahyang? Untuk menjawabnya, eloklah disebutkan beberapa contoh lupa melakukan tertib di antara rukun sembahyang seperti berikut:
i. Ingat Rukun Yang Tertinggal Sebelum Sampai Pada Rukun Sepertinya Di Rakaat Berikutnya
Apabila tertinggal rukun sembahyang kemudian ingat ataupun terjadi syak sebelum sampai pada rukun sepertinya di rakaat berikutnya, maka hendaklah dilakukan dengan segera rukun yang tertinggal atau yang disyaki itu. Apa yang dilakukannya selepas rukun yang tertinggal atau yang disyaki itu adalah tidak dikira. Sebelum salam sunat melakukan sujud sahwi, kerana setiap perkara yang boleh membatalkan sembahyang jika dilakukan dengan tidak senghaja adalah disunatkan sujud sahwi.
Sebagai contoh hal di atas, imam atau munfarid (sembahyang seorang diri) yang lupa membaca surah al-Fâtihah, kemudian teringat ketika sedang ruku‘. Maka hendaklah dia berdiri semula dengan segera untuk membaca surah al- Fâtihah dan ruku‘nya sebelum itu tidak dikira. Jika dia tidak bangkit dengan segera setelah menyedarinya, maka batal sembahyang itu.
Imam atau munfarid yang lupa melakukan ruku‘, kemudian teringat ketika sedang sujud, maka hendaklah dia berdiri tegak semula dengan segera untuk melakukan ruku‘. Manakala sujudnya sebelum itu tidak dikira.
Demikian juga halnya jika timbul syak ketika ruku‘ sama ada dia telah membaca surah al-Fâtihah atau belum, maka hendaklah dia segera bangkit untuk membaca surah al-Fâtihah. Jika dia menunggu walaupun seketika untuk mengingati perkara yang disyakinya itu, maka batallah sembahyangnya. Berbeza halnya jika terjadi syak ketika sedang qiyâm (berdiri), syak sama ada dia telah membaca surah al-Fâtihah atau belum. Maka dalam hal ini, bolehlah dia menunggu untuk mengingati perkara yang disyakinya itu.
ii. Ingat Rukun Yang Tertinggal Setelah Sampai Pada Rukun Sepertinya Di Rakaat Berikutnya
Apabila tertinggal rukun sembahyang kemudian ingat ataupun terjadi syak setelah sampai pada rukun sepertinya (seperti yang tertinggal atau yang disyaki itu), maka memadailah rukun sepertinya itu menjadi ganti kepada rukun yang tertinggal atau yang disyaki itu. Kemudian hendaklah dilakukan baki sembahyang sehingga sempurna rukun dan rakaatnya, kerana perbuatan di antara rukun yang tertinggal dan rukun sepertinya itu tidak dikira. Sebelum memberi salam disunatkan sujud sahwi.
Untuk jelasnya, imam atau munfarid yang tertinggal ruku‘ di rakaat pertama kemudian ingat ataupun terjadi syak ketika ruku‘ di rakaat kedua, maka memadailah ruku‘ rakaat kedua itu sebagai ganti ruku‘ rakaat pertama yang tertinggal atau yang disyaki itu. Apa yang dilakukan antara ruku‘ rakaat pertama dan ruku‘ rakaat kedua adalah tidak dikira. Kemudian lakukanlah baki sembahyang sehingga sempurna segala rukun dan rakaat sembahyang itu.
iii. Ingat Rukun Yang Tertinggal Sesudah Memberi Salam
Jika ingat rukun yang tertinggal sesudah memberi salam, maka dalam hal ini hendaklah dilihat kadar panjang atau pendeknya masa di antara sesudah memberi salam dan waktu ingat. Hendaklah dilihat juga jenis rukun yang tertinggal itu, sama ada ia niat dan takbîratulihrâm atau rukun selain keduanya. Jika yang tertinggal itu niat dan takbîratulihrâm, maka hendaklah diulang semula daripada awal sembahyang itu. Adapun jika rukun yang tertinggal itu selain daripada niat dan takbîratulihrâm serta jangka masa di antara salam dan ingat itu pendek, dan dia tidak terkena najis serta tidak banyak berkata-kata, maka lakukanlah baki rukun yang tertinggal itu tanpa mengulang semula sembahyang. Hal ini telah digambarkan dalam sebuah hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah sembahyang bersama kami sama ada sembahyang Zuhur atau Asar. (Pada rakaat kedua) Baginda memberi salam. Berkata Zulyadain kepada Baginda: “Apakah sembahyang dikurangkan wahai Rasulullah?” Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada sahabat-sahabat Baginda: “Adakah benar apa yang dikatakannya itu?” Mereka berkata: “Ya!” Maka Baginda menyambung sembahyang dua rakaat yang lain kemudian sujud dua kali (sujud sahwi).” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Kadar jangka masa panjang dan pendek itu adalah mengikut ‘urf. Dii‘tibârkan kadar masa pendek itu seperti apa yang dinukil tentang Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada khabar Zulyadain. Dalam khabar Zulyadain itu menggambarkan Baginda bangkit dan pergi ke suatu penjuru masjid, lalu ditanya oleh Zulyadain dan pertanyaan Baginda kepada sahabat serta jawapan mereka. Sementara kadar masa panjang pula ialah apa yang melebihi daripada kadar masa yang digambarkan dalam khabar Zulyadain tersebut.
Menurut al-Buwaithi dan Abu Ishaq, bahawa kadar jangka masa panjang itu ialah apa yang melebihi kadar masa satu rakaat. Sementara menurut Abu Hurairah, bahawa kadar jangka masa panjang itu ialah kadar sembahyang yang sedang dilakukan sama ada dua, tiga atau empat rakaat.
iv. Makmum Terlupa Rukun Sembahyang
Apabila makmum teringat atau syak meninggalkan surah al-Fâtihah sebelum dia melakukan ruku‘ dan selepas imam telah ruku‘, maka hendaklah makmum membaca surah al-Fâtihah itu dahulu kemudian bersegera mengikuti imamnya. Dalam hal ini makmum itu dimaafkan terkebelakang daripada imamnya sebanyak tiga rukun yang panjang.
Sementara jika makmum itu teringat atau syak meninggalkan surah al- Fâtihah selepas dia dan imam melakukan ruku‘, maka janganlah makmum kembali berdiri untuk membaca surah al-Fâtihah. Akan tetapi hendaklah dia mengikuti imamnya dan menambah satu rakaat selepas imam memberi salam.
Adapun jika makmum itu teringat atau syak meninggalkan rukun sembahyang selain surah al-Fâtihah, maka janganlah dilakukan yang tertinggal itu, bahkan hendaklah dia mengikuti imamnya dan menambah satu rakaat selepas imam memberi salam.
Jika makmum itu teringat dia telah meninggalkan niat dan takbîratulihrâm, maka batal sembahyangnya. Demikian juga jika terjadi syak meninggalkan niat dan takbîratulihrâm dan berpanjangan syaknya sehingga berlalu satu rukun, maka batal sembahyangnya.
Dalam hal hukum sunat melakukan sujud sahwi pula, tidak disunatkan sujud sahwi jika makmum terlupa sesuatu rukun yang ditinggalkannya ketika mengikuti imam. Ini kerana imam yang suci daripada hadas menanggung kekurangan makmum. Lain pula halnya jika makmum itu terlupa sesuatu rukun selepas salam imam, maka pada ketika itu imam tidak lagi menanggung makmumnya kerana sudah terputus qudwah (ikutan) itu.
Berlainan halnya apabila terjadi pada makmum syak dan berterusan syaknya itu sehingga selesai mengikuti imam, maka disunatkan bagi makmum itu melakukan sujud sahwi selepas disempurnakannya rukun yang disyakinya itu. Ini kerana imam tidak lagi menanggung syaknya itu bahkan dia sendiri yang menanggungnya.
v. Peranan Makmum Apabila Imam Terlupa Rukun Sembahyang
Apabila imam terlupa melakukan perbuatan rukun sembahyang, maka sunat bagi makmum lelaki mengingati imam dengan bertasbîh seperti katanya: “ِِ سُووبْحَان َِهللا” atau seumpamanya dengan suara yang jahr (nyaring). Bagi makmum perempuan pula sunat menepuk tangannya iaitu menepuk zahir tapak tangan kanan dengan batin tapak tangan kiri atau sebaliknya. Menurut ulama Syafi‘iyah, jangan menepuk tangan dengan kedua-dua batin tapak tangan (bertepuk tangan), jika dilakukan demikian itu dengan niat bermain-main maka batal sembahyangnya.
Jika imam itu teringat rukun yang tertinggal setelah makmum mengingatinya, maka hendaklah imam itu melakukan rukun tersebut. Akan tetapi jika imam itu yakin pada dirinya tidak menambah atau mengurangi rukun sembahyang, maka hendaklah dia beramal dengan keyakinan dirinya tanpa mengikut teguran makmumnya walaupun bilangan makmum itu ramai.
Dalam keadaan ini, apabila imam meninggalkan dengan senghaja atau lupa untuk melakukan perbuatan rukun sembahyang seperti imam lupa sujud kemudian dia terus berdiri dan tidak kembali kepada yang terlupa itu (sujud), maka tidak boleh makmum itu mengikuti imamnya akan tetapi hendaklah dia berniat mufâraqah (berpisah daripada mengikuti imam) dan makmum menyempurnakan sembahyangnya itu dengan sembahyang seorang diri.
vi. Lupa Atau Syak Bilangan Rakaat
Seseorang yang syak bilangan rakaat ketika dalam sembahyang, adakah dia telah melakukan tiga atau empat rakaat, maka dalam keadaan ini hendaklah dia mengambil bilangan rakaat yang sedikit, kemudian melakukan baki sembahyang dan sujud sahwi sebelum salam.
Jika teringat pada rakaat yang disyakinya itu sebelum masuk pada rakaat yang lain, maka tidak disunatkan sujud sahwi. Umpamanya di rakaat ketiga terjadi syak pada dirinya sama ada dia telah melakukan tiga atau empat rakaat, kemudian dia teringat dalam rakaat ketiga itu bahawa dia telah melakukan tiga rakaat. Maka dalam keadaan ini tidaklah disunatkan sujud sahwi. Akan tetapi jika dia teringat sesudah sampai melakukan rakaat keempat, maka hendaklah dia melakukan sujud sahwi sebelum salam.
Adapun jika terjadi syak selepas memberi salam, sama ada syak pada bilangan rakaat sembahyang ataupun rukun yang lainnya maka tidaklah syak itu memberi kesan apa-apa terhadapnya.
3. Contoh-Contoh Lupa Sunat Sembahyang
Sunat-sunat sembahyang itu terbahagi kepada dua:
i. Sunat ab‘adh: Perkara sunat yang perlu ditampung dengan sujud sahwi apabila ditinggalkan.
ii. Sunat hai’ah: Perkara sunat yang tidak perlu ditampung dengan sujud sahwi apabila ditinggalkan.
Sunat-sunat ab‘adh itu terdiri daripada:
a. Tasyahhud awal dan duduknya. b. Qunut Subuh, qunut Witir dan berdirinya. c. Selawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika tasyahhud awal. d. Selawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika qunut. e. Selawat ke atas keluarga Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika tasyahhud akhir. f. Selawat ke atas keluarga Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika qunut.
Sunat-sunat hai’ah pula ialah selain perkara sunat yang disebutkan di atas, antaranya seperti berikut:
a. Mengangkat kedua belah tangan ketika takbîratulihrâm, ketika hendak ruku‘, ketika bangkit daripada ruku‘ dan ketika bangkit dari tasyahhud awal. b. Membaca doa iftitâh. c. Membaca at-ta‘awwudz sebelum surah al-Fâtihah. d. Membaca ayat atau surah daripada al-Qur’an selepas al-Fâtihah pada dua rakaat permulaan. e. Melafazkan takbîr ketika takbîr intiqâlât (takbîr perpindahan dari satu rukun ke satu rukun yang lain). f. Membaca tasbîh ketika ruku‘ dan sujud.
Berbalik kepada permasalahan apabila seseorang terlupa untuk melakukan sunat-sunat sembahyang, apakah yang perlu dilakukan jika menghadapi keadaan ini? Berikut adalah beberapa contoh lupa sunat sembahyang dan cara penyelesaiannya:
i. Lupa Melakukan Sunat Hai’ah
Jika perkara-perkara sunat hai’ah ditinggalkan dengan senghaja atau tertinggal dengan sebab lupa, maka sembahyang itu tidak batal, malah tidak disunatkan sujud sahwi. Jika dilakukan juga sujud sahwi itu, sedang dia tahu perbuatan itu salah serta melakukannya dengan senghaja, maka batal sembahyangnya. Lain pula halnya, jika dia tidak mengetahui perkara itu salah atau dilakukannya kerana terlupa, maka tidak batal sembahyang tersebut.
ii. Lupa Melakukan Sunat Ab‘adh
Apabila terlupa atau senghaja meninggalkan sunat ab‘adh walau tertinggal lebih daripada satu, maka sunat dilakukan sujud sahwi sebelum memberi salam.
Umpamanya tertinggal tasyahhud awal, walaupun hanya sebahagian daripada tasyahhud awal itu seperti tertinggal huruf “و” dalam ayat “ِ وأنِحممودا رسولِهللا ”, maka disunatkan sujud sahwi sebelum memberi salam.
Demikian juga qunut Subuh atau qunut Witir (tidak termasuk qunut nâzilah). Jika tertinggal walau hanya satu huruf seperti tertinggal huruf “ف” dalam ayat “لإَكِتهضىِوال ِ هضىِعليك ”, maka disunatkan sujud sahwi.
iii. Ingat Sebelum Sampai Pada Rukun Sembahyang
Adapun jika teringat sunat ab‘adh yang tertinggal itu sebelum intishâb (had berdiri yang memadai untuk membaca al-Fâtihah) atau sebelum sempurna sujud (iaitu sebelum meletakkan kesemua tujuh anggota sujud), maka sunat kembali untuk melakukan sunat ab‘adh yang tertinggal itu.
Umpamanya seseorang lupa melakukan tasyahhud awal kemudian dia bangkit untuk berdiri, lalu teringat sebelum intishâb, maka sunat baginya kembali untuk melakukan tasyahhud awal. Jika bangkitnya itu lebih hampir kepada berdiri berbanding dengan duduk, maka sunat dilakukan sujud sahwi kerana dia melakukan perbuatan yang bukan dalam susunan sembahyang.
Adapun jika bangkitnya itu lebih hampir kepada duduk berbanding dengan berdiri ataupun sama kedudukannya, maka tidak disunatkan sujud sahwi.
Demikian juga halnya jika seseorang tertinggal qunut kemudian dia menuju untuk melakukan sujud, lalu teringat sebelum sampai melakukan sujud dengan sempurna, maka sunat kembali untuk melakukan qunut yang tertinggal. Jika perbuatannya menuju kepada sujud itu sampai kepada sekurang-kurang had ruku‘ (bongkok badan sehingga kedua tapak tangan sampai kepada lutut), maka sunat baginya melakukan sujud sahwi kerana dia telah menambah satu ruku‘.
iv. Ingat Setelah Sampai Pada Rukun Sembahyang
Apabila teringat sunat ab‘adh yang tertinggal itu setelah intishâb atau sujud, maka tidak boleh kembali pada melakukan sunat ab‘adh tersebut. Di akhir rakaat pula, sunat sujud sahwi sebelum memberi salam. Jika dia kembali pada melakukannya sedangkan dia tahu perbuatan itu salah ataupun senghaja melakukannya, maka batal sembahyangnya itu.
Umpamanya seseorang lupa melakukan tasyahhud awal, kemudian teringat setelah dia sampai intishâb (berdiri tegak), maka tidak boleh lagi dia kembali pada melakukan tasyahhud awal. Jika dia kembali pada melakukan tasyahhud itu, maka batal sembahyangnya. Lain halnya jika dia kembali pada tasyahhud tersebut dengan sebab lupa atau tidak mengetahui akan kesalahan perbuatan itu, maka tidak batal sembahyangnya.
Demikian juga dalam keadaan terlupa membaca qunut. Apabila teringat selepas sempurna sujud, maka tidak boleh lagi kembali pada melakukan qunut tersebut.
v. Syak Pada Meninggalkan Sunat Ab‘adh
Jika seseorang syak pada meninggalkan sunat ab‘adh, maka sunat sujud sahwi sebelum memberi salam, kerana pada asalnya dia tidak melakukan sunat ab‘adh.
Umpamanya terjadi syak pada seseorang, adakah dia telah membaca qunut ataupun tidak, atau adakah dia telah melakukan tasyahhud awal ataupun tidak, maka sunat baginya sujud sahwi.
vi. Peranan Makmum Apabila Imam Terlupa Sunat Ab‘adh Apabila imam tertinggal sunat ab‘adh kemudian teringat sebelum intishâb atau sujud, lalu imam kembali melakukan yang tertinggal itu, maka wajib makmum mengikutinya walaupun makmum itu sudah intishâb atau sujud. Jika makmum tidak kembali untuk mengikuti imamnya, maka batal sembahyangnya jika dia tidak berniat mufâraqah.
Umpamanya imam tertinggal tasyahhud awal kemudian teringat sebelum imam intishâb (berdiri tegak), lalu imam kembali duduk untuk melakukan tasyahhud tersebut, maka makmum wajib mengikuti imamnya itu walaupun makmum tersebut sudah sampai pada intishâb.
Adapun jika imam tertinggal tasyahhud awal kemudian teringat setelah imam intishâb, lalu imam kembali pada melakukan tasyahhud tersebut, maka makmum tidak boleh mengikuti imamnya itu. Ini kerana jika imam itu salah ataupun senghaja kembali pada melakukan tasyahhud awal, maka sembahyang imam itu batal dan makmum tidak boleh mengikuti imam yang batal sembahyangnya. Maka dalam hal ini ada dua cara yang boleh dilakukan oleh makmum. Pertama, hendaklah makmum itu mufâraqah (berpisah daripada mengikuti imam). Ataupun yang kedua, makmum menunggu imamnya dengan sangkaan imam itu kembali kepada tasyahhud awal disebabkan terlupa.
Jika dalam hal imam kembali pada tasyahhud awal setelah imam intishâb, lalu makmum pun mengikuti imamnya kembali pada tasyahhud tersebut, maka batal sembahyang makmum itu. Lain halnya jika makmum itu terlupa ataupun tidak tahu perbuatan itu salah, maka tidak batal sembahyangnya.
Jika makmum yang terlupa melakukan tasyahhud awal lalu makmum itu intishâb sedangkan imam duduk melakukan tasyahhud awal, maka makmum wajib kembali untuk mengikuti imamnya.
4. Cara Mengerjakan Sujud Sahwi
Sujud sahwi hukumnya adalah sunat dilakukan apabila meninggalkan perkara yang disuruh dalam sembahyang ataupun membuat perkara yang dilarang sama ada ketika sembahyang fardhu ataupun sembahyang sunat melainkan ketika sembahyang jenazah.
Cara melakukan sujud sahwi itu ialah dengan dua kali sujud dan sekali duduk antara dua sujud tersebut. Sujud sahwi itu dilakukan sebelum memberi salam. Segala yang diwajibkan dan disunatkan dalam sujud sahwi itu serupa dengan sujud dan duduk antara dua sujud di dalam sembahyang. Hanya ada pendapat mengatakan bahawa zikir yang dibaca dalam kedua-dua sujud sahwi itu ialah “سُوبْحَان َِمَون ِال َِ وَنَوام ُِوَال َِ َسْو ُو”. Ini kerana zikir tersebut lebih sesuai dengan keadaannya iaitu lupa.
Wajib berniat sujud sahwi, iaitu mengqashadkan dalam hati sujud sahwi beriringan ketika hendak melakukan sujud tanpa melafazkan niat tersebut. Jika dilafazkan niat itu maka batal sembahyang.
Dengan penjelasan-penjelasan mengenai keadaan-keadaan lupa dalam sembahyang dan cara menyelesaikannya, mudah-mudahan akan menambahkan maklumat kita tentang sembahyang dan seterusnya sembahyang kita akan dilakukan dengan lebih sempurna.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-7174
