Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الحج والعمرة

Ibadat Korban: Mendidik Keluhuran Jiwa

Peluang melaksanakan ibadat korban perlu direbut kerana ia hanya datang sekali dalam setahun. Masa perlaksanaan yang terhad janganlah diabaikan. Walaupun hukumnya adalah sunat mu’akkadah (sunat yang dituntut) bagi orang yang mampu, namun makruh jika meninggalkannya dan kerugian besar baginya kerana kehilangan fadhilat serta ganjaran yang dijanjikan.

Disebutkan di dalam hadits-hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tentang fadhilat berkorban itu, antaranya:

1. Orang yang berkorban akan dikurniakan dengan kebajikan sebanyak bulu binatang yang dikorbankannya.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda:

Maksudnya: Orang yang berkorban itu akan dikurniakan bagi setiap bulu binatang korbannya dengan satu kebajikan. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Zaid bin Arqam Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan:

Maksudnya: Para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya: “Wahai Rasulullah! Apakah yang ada pada korban itu?” Rasulullah menjawab: “Ia adalah sunnah bapa kamu Ibrahim”. Mereka berkata: “Apa yang akan kami perolehi daripadanya wahai Rasulullah?”Rasulullah menjawab: “Bagi setiap helai rambut satu kebajikan”. Mereka berkata: “Bagaimana pula dengan bulu wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Bagi setiap helai bulu satu kebajikan.” (Hadits riwayat Ibnu Majah)

2. Titisan darah korban yang pertama merupakan pengampunan bagi dosa-dosa yang telah lalu iaitu sebagai penebus dosa-dosa yang telah dilakukan.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada Sayyidatina Fatimah Radhiallahu ‘anha:

Maksudnya: Wahai Fatimah! Pergilah ke tempat (penyembelihan) korbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu adalah pengampunan bagimu di atas dosa-dosamu yang telah lalu. (Hadits riwayat al-Hakim)

3. Darah korban yang tumpah ke bumi akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada Hari Raya Korban yang lebih disukai Allah melainkan menumpahkan darah (menyembelih binatang korban). Sesungguhnya binatang korban itu akan datang pada Hari Kiamat bersama tanduk, bulu dan kukunya dan Allah memberi pahala ibadat korban itu sebelum darah binatang korban itu jatuh ke bumi. Oleh itu, elokkanlah korban kamu. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Fadhilat berkorban sebagaimana disebutkan di atas sudah menggambarkan betapa beruntungnya mereka yang berkorban, kerana harta yang dibelanjakan untuk melaksanakan ibadat korban akan mendapat pulangan yang besar berupa kebaikan di dunia dan di akhirat.

Hikmah yang terdapat di dalam pelaksanaan ibadat korban ini bukan hanya dikecapi oleh pihak yang berkorban sahaja, tetapi juga oleh pihak yang diagih-agihkan daging korban tersebut, antaranya golongan fakir dan miskin.

Di samping korban dilaksanakan sebagai ibadat yang menghasilkan ganjaran pahala, ia juga adalah medan tarbiyyah dalam membentuk sifat mahmûdah (terpuji) dan nilai-nilai Islam yang luhur dalam diri seseorang. Antara sikap terpuji yang dapat dibentuk melalui ibadat korban ini ialah:

1. Menanam sifat ikhlas dalam melaksanakan apa jua ibadat yang diperintahkan oleh syariat.

Ketika berkorban, syarat-syarat yang perlu dijaga ketika memilih binatang yang hendak dibuat korban itu antaranya ialah binatang tersebut bebas daripada kecacatan atau ‘aib sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Empat perkara yang tidak boleh terdapat pada binatang korban itu, lalu Baginda bersabda: “Buta sebelah mata yang nyata butanya, sakit yang nyata penyakitnya, tempang yang nyata tempangnya dan yang sangat kurus.” (Hadits riwayat Ibnu Majah)

Dalam konteks pemilihan ini, biasanya binatang yang baik fizikal dan banyak dagingnya mempunyai nilai yang lebih mahal. Maka orang yang ingin berkorban terpaksa berbelanja lebih untuk mengadakannya. Di sinilah akan menguji sejauh mana keikhlasan seseorang dalam menjalankan tuntutan agama.

2. Menyemai sikap sentiasa bersyukur kerana salah satu hikmah pensyariatan ibadat korban adalah melahirkan kesyukuran kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala terhadap ni‘mat hidup yang telah diberikanNya.

Ni‘mat yang dikurniakan Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada hambaNya tidak terkira, antaranya adalah ni‘mat berupa rezeki iaitu menjadikan binatang-binatang ternak untuk dimanfaatkan oleh manusia, dan diizinkan kepada mereka untuk menyembelihnya sebagai makanan.

3. Mengasuh diri dengan bersikap sabar terhadap apa jua ujian yang ditimpakan dalam kehidupan.

Bersabar dalam konteks berkorban adalah meneladani sikap Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam yang sabar dengan ujian yang diberikan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintahkan Baginda untuk menyembelih anaknya, Nabi Ismail ‘Alaihissalam. Baginda akur untuk melaksanakan perintah tersebut dan sifatnya yang mengutamakan ketaatan dan rasa cinta kepada Allah mengatasi rasa cinta kepada diri sendiri dan kepada anaknya. Nabi Ismail ‘Alaihissalam pula redha dengan perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan bersiap untuk dijadikan korban, kerana menganggap semua ini adalah ujian Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada mereka. Kesabaran kedua-dua mereka ini merupakan bukti ketaqwaan mereka yang kukuh terhadap Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

4. Menyemai sikap belas kasihan dan tolong-menolong terhadap golongan yang tidak berkemampuan.

Pensyariatan ibadat korban boleh memupuk sikap pemedulian terhadap masyarakat terutama sekali fakir dan miskin. Daging korban diagih-agihkan sebagai makanan atau melebihkan rezeki mereka pada Hari Raya Adha dan hari-hari tasyrîq.

Jika korban itu korban sunat, maka disedekahkan satu pertiga daripadanya kepada fakir dan miskin. Manakala jika ia adalah korban wajib, maka daging korban wajib itu akan disedekahkan semuanya kepada fakir dan miskin termasuk kulit dan anggota yang lain.

Banyak keuntungan berupa fadhilat dan hikmah yang dapat diperolehi bagi mereka yang melakukan ibadat korban. Peluang yang datang hanya sekali dalam setahun. Janganlah ia disia-siakan. Lakukanlah ibadat korban selagi berkemampuan demi untuk mengharapkan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-7351