Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Permasalahan Sujud Sahwi

Sujud sahwi merupakan salah satu daripada pelengkap rahmat dan nikmat yang tidak terhingga daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala ke atas umat Islam seluruhnya.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga adalah manusia biasa seperti kita yang pernah melakukan kesilapan dalam amal perbuatannya. Akan tetapi Allah Subhanahu wa Ta‘ala tidak menjadikan kesilapan dan kelalaian Baginda itu sebagai sesuatu yang sia-sia, bahkan ada hikmah di sebaliknya. Daripada kesilapan tersebutlah disyariatkan sujud sahwi ke atasnya untuk menjadi ikutan umat Islam kemudian.

Daripada Abdullah bin Mas‘ud Radhiallahu ‘anhu, telah berkata:

Maksudnya: Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersembahyang, berkata Ibrahim an-Nakha‘i Radhiallahu ‘anhu: “Aku tidak pasti sama ada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah menambah ataupun mengurangkan rakaat sembahyangnya”. Maka setelah Baginda selesai memberi salam, lalu dikatakan kepadanya: “Ya Rasulullah, adakah telah berlaku sesuatu ketika Tuan bersembahyang tadi?”. Lalu Baginda pun bersabda: “Apakah yang telah berlaku tadi?”. Mereka menjawab: “Sesungguhnya Tuan telah melakukan sembahyang begini dan begini.” Lalu Baginda pun melipatkan kedua belah kakinya seraya menghadap qiblat lalu bersujud sebanyak dua kali sujud kemudian Baginda pun memberi salam. Apabila Baginda berpaling menghadap kami (setelah selesai memberi salam), Baginda pun bersabda: “Seandainya terjadi sesuatu (perubahan) dalam sembahyang, nescaya aku akan mengkhabarkannya kepada kamu. Akan tetapi aku hanyalah manusia biasa seperti kamu yang boleh lupa sebagaimana halnya kamu. Andainya aku terlupa, maka ingatkanlah aku. Apabila seseorang daripada kamu merasa ragu-ragu dalam sembahyangnya, maka berusahalah untuk mencari kepastian (meyakinkan diri), lalu sempurnakanlah (sembahyang tersebut). Kemudian hendaklah dia bersujud sebanyak dua kali sujud (sujud sahwi).” (Hadits riwayat Muslim)

Dengan sujud sahwi inilah umat Islam dapat memperbaiki sembahyang mereka seandainya berlaku sesuatu kekurangan dalam sembahyang mereka tanpa perlu untuk bersembahyang semula.

Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Sujud Sahwi?

Sujud sahwi ialah sujud yang dilakukan manakala terlupa atau tertinggal sesuatu yang disuruh atau melakukan sesuatu yang ditegah dalam sembahyang sama ada dengan sengaja atau sebaliknya. Ia sebagai penampal terhadap kelalaian-kelalaian tersebut, sama ada ianya berlaku dalam sembahyang fardhu mahupun sembahyang sunat.

Daripada Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: Jika seseorang daripada kamu ragu-ragu dalam sembahyangnya, maka hendaklah dia membuang dan meninggalkan keraguan tersebut dan tetapkanlah bilangan rakaat yang diyakini (yang paling sedikit). Maka apabila dia telah yakin akan kesempurnaan sembahyangnya itu, hendaklah dia melakukan dua kali sujud (sujud sahwi). Jika ternyata sembahyangnya adalah sempurna (empat rakaat), maka rakaat tambahan (yang kelima) dan sujud sahwi tersebut adalah sebagai nâfilah (amalan sunat). Dan jika ternyata sembahyangnya kurang, maka rakaat keempat itu adalah sebagai pelengkap sembahyangnya, dan dua sujud sahwi pula sebagai pengajaran (tamparan) bagi syaitan. (Hadits riwayat Abu Daud)

Penyebab Sujud Sahwi

Menurut mazhab asy-Syafi‘e, penyebab sujud sahwi ada dua, iaitu terlupa sesuatu yang disuruh atau melakukan sesuatu yang ditegah dalam sembahyang sama ada dengan sengaja atau sebaliknya, walaupun hanya syak terhadap perkara-perkara tersebut.

Adapun penyebab yang pertama iaitu terlupa sesuatu yang disuruh dalam sembahyang terbahagi kepada dua perkara:

1. Terlupa rukun-rukun sembahyang yang terdiri daripada tiga belas perkara:

i. Niat. ii. Berdiri betul. iii. Takbîratul ihrâm. iv. Membaca surah al-Fâtihah. v. Ruku‘ serta thuma‘ninah padanya. vi. I‘tidâl serta thuma‘ninah padanya. vii. Sujud serta thuma‘ninah padanya. viii. Duduk di antara dua sujud serta thuma‘ninah padanya. ix. Membaca tahiyyat akhir. x. Duduk membaca tahiyyat akhir. xi. Membaca selawat ke atas Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika tahiyyat akhir. xii. Memberi salam. xiii. Tertib.

Jika yang tertinggal itu sesuatu rukun daripada rukun-rukun di atas, maka tidaklah memadai dengan hanya melakukan sujud sahwi sahaja, bahkan mestilah menyempurnakan rukun-rukun yang tertinggal tersebut mengikut tertib sembahyang sebelum melakukan sujud sahwi.

2. Terlupa sunat-sunat ab‘adh yang terdiri daripada enam perkara:

i. Tasyahhud awal dan duduknya. ii. Qunut Subuh dan qunut Witir serta berdirinya.

iii. Selawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika tasyahhud awal. iv. Selawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika qunut. v. Selawat ke atas keluarga Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika tasyahhud akhir. vi. Selawat ke atas keluarga Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika qunut.

Jika yang tertinggal itu sunat-sunat ab‘adh, maka memadailah menggantikannya dengan sujud sahwi sahaja.

Adapun perkara-perkara sunat dalam sembahyang selain daripada sunat-sunat ab‘adh seperti doa Iftitah, membaca surah-surah selepas surah al-Fâtihah dan

tidaklah disunatkan untuk bersujud sahwi menurut pendapat yang paling râjih dalam mazhab asy-Syafi‘e. Bahkan ianya boleh membatalkan sembahyang jika sengaja dilakukan sedangkan dia mengetahui akan hukumnya kerana dia seolah-olah menambah sujud dalam sembahyangnya tanpa sebab-sebab yang dituntut oleh syara‘.

Dalam kitab al-Majmû‘ ada disebutkan bahawa tidak diharuskan untuk melakukan sujud sahwi jika meninggalkan sunat-sunat sembahyang yang bukan sunat ab‘adh sama ada secara sengaja ataupun tidak kerana perkara ini tidak tsabit daripada sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Penyebab kedua pula juga terbahagi kepada dua bahagian:

1. Menukarkan suatu rukun qauli selain daripada salam dan takbîratul ihrâm ke tempat lain yang bukan tempatnya, misalnya terbaca surah al-Fâtihah ketika tahiyyat akhir, ataupun terbaca bacaan tahiyyat akhir ketika ruku‘.

Jika perkara ini berlaku, ia tidaklah membatalkan sembahyang walaupun disengajakan menurut pendapat yang paling râjih seperti mana yang dijelaskan dalam kitab Mughnî al-Muhtâj. Ini adalah kerana memindahkan rukun qauli kepada yang lain dari tempatnya tidaklah mengubah rupa sesuatu sembahyang. Maka dalam hal ini, adalah disunatkan untuk melakukan sujud sahwi. Berlainan pula halnya jika memindahkan rukun fi‘li kerana ianya mengubah rupa sesuatu sembahyang, dan akan membatalkan sembahyang jika ianya disengajakan.

Demikian juga sunat hukumnya melakukan sujud sahwi jika terpindah bacaan-bacaan yang lain seperti zikir-zikir ruku‘, sujud, i‘tidâl dan bacaan duduk di antara dua sujud ke tempat yang bukan tempatnya.

Mengenai hal ini, Imam Ibnu Hajar al-Haitami pernah ditanyakan: “Adakah perlu untuk melakukan sujud sahwi jika terbaca zikir ruku‘ ketika sujud ataupun bacaan sujud ketika ruku‘?” Imam Ibnu Hajar al-Haitami memfatwakan: “Jika terbaca mana-mana zikir ruku‘, sujud, i‘tidâl dan duduk di antara dua sujud pada tempat yang bukan tempat asalnya, disunatkan untuk melakukan sujud sahwi sama ada disengajakan ataupun tidak. Ini adalah kerana kesalahan tidak mengikut perkara yang disuruh dalam sembahyang, iaitu kegagalan untuk menjaga tata tertib bacaan.”

Akan tetapi jika memindahkan salam ataupun takbîratul ihrâm dengan sengaja, ini boleh membatalkan sembahyang jika ianya diniatkan untuk memberhentikan ataupun untuk memulakan sembahyang. Bagaimanapun, disunatkan untuk melakukan sujud sahwi jika ianya tidak disengajakan.

Menoleh, berfikir dalam sembahyang, melangkah tidak sampai tiga langkah berturut-turut dan sebagainya adalah antara perkara yang jika dilakukan dengan sengaja tidak akan membatalkan sembahyang. Jika berlaku perkara-perkara sebegini tidak disunatkan untuk melakukan sujud sahwi sama ada membuatnya secara sengaja ataupun tidak.

2. Melakukan perkara-perkara seperti memindahkan rukun fi‘li, menambah ataupun mengurangkan ruku‘ dan sujud, makan atau berkata-kata dengan tidak sengaja (tidak melebihi enam patah perkataan menurut Imam Sayyid al-Bakri). Perkara-perkara ini jika dilakukan dengan tidak sengaja tidak membatalkan sembahyang tetapi disunatkan untuk melakukan sujud sahwi.

Akan tetapi jika dia sengaja bercakap-cakap, maka tidaklah perlu baginya untuk melakukan sujud sahwi lagi kerana sembahyangnya memang sudah batal.

Kayfiyyah (Cara Melakukan) Sujud Sahwi

Dalam mazhab asy-Syafi‘e, sujud sahwi dikerjakan setelah selesai membaca tahiyyat akhir sebelum memberi salam dan wajib berniat untuk melakukan sujud sahwi dalam hati.

Caranya ialah sama seperti sujud yang biasa kita lakukan dalam sembahyang iaitu sebanyak dua kali sujud dan di antara keduanya duduk di antara dua sujud. Kemudian selepas selesai dua kali sujud barulah memberi salam.

Disunatkan untuk membaca ketika dua sujud sahwi tersebut bacaan tasbîh berikut:

Ertinya: Maha suci Allah yang tidak tidur dan tidak lalai.

Adakah Memadai Dua Kali Sujud Sahaja Jika Banyak Berlaku Kesalahan Dalam Sembahyang?

Imam Khatib asy-Syarbini menyatakan dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj, adalah memadai dengan dua sujud sahaja walaupun berlaku berbagai-bagai jenis kelalaian, sama ada tertambah, terkurang atau kedua-duanya sekali. Ini berdasarkan hadits riwayat Imam al-Bukhari, bahawasanya Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu telah berkata:

Maksudnya: Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersembahyang fardhu Zuhur ataupun ‘Ashar bersama kami, lalu Baginda memberi salam. Kemudian berkata kepadanya Dzul Yadain: “Wahai Rasulullah! Adakah sembahyang telah dikurangkan?”. Lalu Baginda pun bertanya kepada sahabat-sahabatnya: “Benarkah apa yang dikatakannya?” Para sahabat lalu menjawab: “Benar ya Rasulullah”. Lalu Baginda pun menyambung dua rakaat terakhir sembahyangnya tadi kemudian Baginda pun melakukan sujud dua kali sujud (sujud sahwi). (Hadits riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadits tersebut, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam hanya melakukan sujud sahwi sebanyak dua kali sujud sahaja sedangkan Baginda telah terlupa dua rakaat penuh termasuk rukun-rukun serta sunat-sunat ab‘adh yang ada dalam kedua-dua rakaat tersebut.

Hukum Melakukan Sujud Sahwi Selepas Salam

Menurut pendapat yang paling râjih dalam mazhab asy-Syafi‘e, waktu untuk mengerjakan sujud sahwi itu ialah setelah selesai membaca tahiyyat akhir sebelum memberi salam, ini berdasarkan kepada beberapa hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, antaranya hadits yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, Abdullah bin Buhainah Radhiallahu ‘anhu telah berkata:

Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah berdiri setelah dua rakaat bersembahyang fardhu Zuhur tanpa duduk untuk membaca tahiyyat awal. Setelah selesai Baginda bersembahyang (sebelum memberi salam), Baginda pun melakukan sujud sebanyak dua kali sujud (sujud sahwi) lalu memberi salam. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Bagaimanapun, disunatkan juga untuk melakukan sujud sahwi selepas salam jika terlupa untuk mengerjakannya sebelum salam dengan syarat belum jauh jarak waktu pada kebiasannya di antara salamnya tadi dengan waktu teringat dan juga tidak terkena najis, sekalipun seseorang itu telah bercakap-cakap ataupun telah membelakangi qiblat sepertimana yang dijelaskan dalam kitab Mughni al-Muhtâj. Ini berdasarkan hadits daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud Radhiallahu ‘anhu, beliau telah berkata:

Maksudnya: Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersembahyang Zuhur bersama kami sebanyak lima rakaat. Setelah Baginda memberi salam, lalu ditanyakan kepadanya: “Adakah telah ditambah (rakaat) sembahyang?” Lalu Baginda bertanya kembali: “Apa yang ditambah?” Lalu para sahabat pun menjawab: “Tuan telah bersembahyang lima rakaat”. Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pun melakukan sujud sebanyak dua kali sujud (sujud sahwi). (Hadits riwayat Muslim)

Dalam Shahîh Imam al-Bukhari pula diriwayatkan, bahawasanya Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu telah berkata:

Maksudnya: Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengerjakan satu daripada dua sembahyang siang (kemungkinan besar ianya adalah sembahyang fardhu ‘Ashar mengikut pendapat Muhammad bin Sirin) sebanyak dua rakaat lalu Baginda memberi salam. Kemudian Baginda pun bangun lantas menuju ke arah sebatang kayu (tiang) yang terletak di muka masjid lalu meletakkan tangan Baginda pada kayu tersebut (bersandar padanya). Antara kalangan para sahabat yang hadir pada ketika itu ialah Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina ‘Umar al- Khaththab Radhiallahu ‘anhuma. Kedua-dua sahabat itu merasa segan untuk menghadapkan perkara tersebut kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Maka jemaah yang berada dalam masjid pun keluar cepat-cepat lalu bertanya: “Adakah sembahyang ‘Ashar itu tadi telah diqasharkan?” Kemudian bertanya pula seorang sahabat yang digelarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai Dzul Yadain: “Adakah Tuan tadi terlupa ataupun sembahyang itu tadi telah diqasharkan?” Baginda pun menjawab: “Aku tidak terlupa dan sembahyang itu tadi pun tidak diqasharkan”. Lalu Dzul Yadain berkata lagi: “Betul, Tuan tadi telah terlupa”. Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pun menyambung kembali sembahyangnya sebanyak dua rakaat, lalu memberi salam, kemudian bertakbîr, lalu melakukan sujud sebagaimana sujud yang biasa ataupun lebih lama dari itu. Selepas itu Baginda pun bertakbîr kemudian sujud lagi sebagaimana sujud yang biasa ataupun lebih lama dari itu. Sesudah itu Baginda mengangkat kepalanya dan bertakbîr. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Kedua-dua hadits di atas menerangkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah melakukan sujud sahwi selepas Baginda memberi salam sedangkan Baginda telahpun berkata-kata, berjalan dan berpaling dari arah qiblat. Akan tetapi, jarak masa di antara salam dan waktu Baginda diingatkan oleh para sahabat itu tidak panjang yakni belum lagi lama.

Sebaliknya, jika jarak masanya sudah jauh maka luputlah sujud sahwi tersebut berdasarkan pendapat yang paling râjih dalam mazhab asy-Syafi‘e. Begitu juga jika sekiranya seseorang itu terkena najis ataupun telah bercakap-cakap dengan banyak.

Bagaimanapun, jika seseorang itu dengan sengaja memberi salam sebelum melakukan sujud sahwi, maka luputlah sujud sahwi tersebut kerana tempat sujud sahwi itu asalnya ialah sebelum salam sedangkan dia telah dengan sengaja menutup sembahyangnya dengan memberi salam.

Pendapat Ulama Mengenai Kadar Jangka Masa Pendek Ataupun Panjang Dalam Sujud Sahwi

Diibaratkan oleh para ulama, kadar jangka masa pendek itu seperti apa yang dinukil tentang Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada kisah Dzul Yadain. Dalam kisah tersebut, digambarkan bahawa Baginda bangkit dan pergi ke suatu penjuru masjid, lalu ditanya oleh Dzul Yadain dan pertanyaan Baginda kepada sahabat serta jawapan mereka. Sementara kadar masa panjang pula ialah apa yang melebihi daripada kadar masa yang digambarkan dalam khabar Dzul Yadain tersebut.

Menurut al-Buwaithi dan Abu Ishaq pula, bahawa kadar jangka masa panjang itu ialah apa yang melebihi kadar masa serakaat.

Sementara menurut Abu Hurairah, bahawa kadar jangka masa panjang itu ialah kadar sembahyang yang sedang dilakukan sama ada dua, tiga atau empat rakaat.

Hukum Jika Teringat Ada Kekurangan Dalam Rukun Sembahyang Selepas Memberi Salam

Menurut pendapat Imam an-Nawawi, jika seseorang itu teringat bahawa dia telah terlupa sesuatu rukun dalam sembahyangnya selain daripada niat dan takbîratul ihrâm sesudah memberi salam, misalnya terlupa untuk ruku‘, sujud, membaca surah al-Fâtihah dan sebagainya dalam sembahyangnya tadi, jika jarak waktu teringat akan kelalaian tersebut masih belum lagi jauh pada adat kebiasaannya selepas memberi salam, maka wajiblah ke atasnya menyempurnakan sembahyang itu mengikut tertib sembahyang, kemudian melakukan sujud sahwi sebelum memberi salam.

Bagaimanapun, jika jarak waktu di antara keduanya sudah jauh, maka wajiblah ke atasnya mengulangi sembahyang tersebut.

Umpamanya jika dia terlupa untuk membaca surah al-Fâtihah pada rakaat yang terakhir, wajib ke atasnya untuk berdiri betul dan membaca surah al-Fâtihah kemudian menyambung sembahyangnya itu mengikut tertib dalam rakaat akhir kemudian melakukan sujud sahwi sebelum memberi salam.

Akan tetapi jika yang tertinggal itu adalah niat ataupun takbîratul ihrâm, wajib ke atasnya mengulangi sembahyang tersebut.

Waswas Selepas Memberi Salam

Jika seseorang ragu-ragu atau waswas selepas memberi salam bahawa dia mungkin terlupa suatu rukun selain niat ataupun takbîratul ihrâm, maka tidaklah dituntut ke atasnya untuk menyempurnakan rukun tersebut dan tidak juga dituntut melakukan sujud sahwi atas keraguannya terhadap sesuatu rukun itu, kerana pada zahirnya dari segi syara‘ dia dikira sudah menyempurnakan sembahyangnya.

Ini kerana jika keraguan tersebut memberi kesan ke atas sembahyangnya tadi, maka ini akan menjadi bebanan yang berat khususnya bagi orang yang menghidap penyakit waswas.

Adapun jika sekiranya keraguan tersebut pada niat ataupun takbîratul ihrâm, misalnya dia keliru adakah dia telah berniat untuk sembahyang fardhu ataupun sunat, atau adakah dia telah berniat untuk sembahyang Zuhur ataupun ‘Ashar, maka wajib ke atasnya mengulangi sembahyang tersebut sepertimana penjelasan mengenai hal ini dalam kitab Mughnî al-Muhtâj.

Ragu-Ragu Pada Bilangan Rakaat

Dalam kitab Mughnî al-Muhtâj ada dijelaskan beberapa permasalahan jika berlaku syak pada bilangan rakaat dalam sembahyang. Permasalahan tersebut adalah seperti berikut:

1. Jika seseorang itu sudah berdiri untuk mengerjakan rakaat keempat, kemudian dia ragu-ragu sama ada rakaat tersebut adalah rakaat yang ketiga ataupun keempat, hendaklah dia memilih bilangan rakaat yang paling sedikit, iaitu menganggap rakaat tersebut adalah rakaat yang ketiga kemudian disunatkan dia melakukan sujud sahwi sebelum memberi salam oleh sebab keraguan tersebut, walaupun keraguannya itu tadi telah hilang sebelum dia memberi salam.

Ini kerana pada asalnya dia dikirakan belum lagi masuk ke dalam rakaat yang keempat ketika itu, sungguhpun rakaat tersebut sebenarnya adalah rakaat yang keempat kerana dia merasa ragu-ragu mengenainya.

Ini berdasarkan hadits daripada Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallahu ‘anhu, bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: Apabila salah seorang daripada kamu ragu-ragu di dalam sembahyangnya, lalu dia tidak pasti sudah berapa rakaat dia bersembahyang, sama ada tiga rakaat ataupun sudah yang keempat, maka hendaklah dia membuang dan meninggalkan keraguan tersebut, dan tetapkanlah bilangan rakaat yang diyakini (mengambil bilangan rakaat yang paling sedikit). Kemudian hendaklah dia melakukan sujud sebanyak dua kali sujud (sujud sahwi) sebelum dia memberi salam. Jika sebenarnya dia telahpun bersembahyang sebanyak lima rakaat, maka disempurnakan sembahyangnya itu dengan sujud sahwi tersebut (dikira sempurna empat rakaat). (Hadits riwayat Muslim)

2. Jika seseorang itu berada pada rakaat yang ketiga, kemudian berasa ragu terhadap rakaat tersebut sama ada rakaat yang ketiga ataupun keempat, lalu dia teringat bahawa rakaat tersebut adalah rakaat yang ketiga. Sebelum dia berdiri semula untuk mengerjakan rakaat yang seterusnya (yang keempat), maka tidaklah perlu untuknya melakukan sujud sahwi kerana apa yang dibuatnya selepas itu (berdiri untuk menyambung rakaat keempat) memang dituntut (tepat) dan dia yakin dan tidak ragu-ragu lagi akan kedudukan rakaat tersebut, walaupun sebelum itu dia waswas.

Lainlah halnya jika dia baru teringat sesudah dia berdiri untuk mengerjakan rakaat keempat. Ini kerana dia telah menyambung rakaat keempat tersebut dengan keadaannya yang masih lagi ragu-ragu, iaitu rakaat tersebut mungkin yang keempat ataupun boleh jadi sudah yang kelima, kemudian barulah dia teringat sesudah mengerjakan rakaat tersebut bahawa rakaat tersebut sememangnya adalah rakaat yang keempat.

Maka di dalam hal ini disunatkan ke atasnya untuk melakukan sujud sahwi kerana mengerjakan rakaat keempat tersebut dalam keraguan pada mulanya.

Bolehkah Melakukan Sujud Sahwi Jika Sengaja Meninggalkan Sunat Ab‘adh

Sujud sahwi disunatkan apabila tertinggal rukun sembahyang atau sunat ab‘adh dengan tidak sengaja. Persoalannya, bagaimanakah kedudukan sujud sahwi tersebut jika seseorang itu sengaja meninggalkan rukun sembahyang ataupun sunat ab‘adh dengan niat untuk melakukan bersujud sahwi?

Imam an-Nawawi dalam kitabnya al-Majmû‘ ada menyebutkan bahawa jika seseorang itu dengan sengaja meninggalkan rukun sembahyang maka sembahyangnya itu batal.

Manakala sunat ab‘adh pula jika sengaja ditinggalkan dengan niat untuk sengaja melakukan sujud sahwi, umpamanya sengaja untuk tidak membaca doa qunut semasa bersembahyang Subuh, menurut pendapat yang paling râjih adalah juga disunatkan untuk melakukan sujud sahwi.

Ini adalah kerana sujud sahwi disyariatkan ke atas mereka yang dengan tidak sengaja melakukan kecacatan dalam sembahyang, maka orang yang dengan sengaja mencacatkan sembahyangnya adalah lebih perlu dan lebih dituntut untuk melakukan sujud sahwi.

Adakah Sah Sembahyang Jika Tidak Melakukan Sujud Sahwi?

Sujud sahwi disyariatkan untuk menampal kekurangan-kekurangan yang berlaku dalam sembahyang seseorang supaya kekurangan-kekurangan tersebut dapat ditutup kembali.

Bagaimanakah pula kedudukannya jika seseorang itu tidak melakukan sujud sahwi sedangkan dia sudah mengetahui bahawa terdapat kekurangan dalam sembahyangnya?

Bagi menjawab persoalan ini, adalah perlu untuk kita merujuk kembali hukum mengerjakan sujud sahwi tersebut, adakah ia wajib ataupun sunat.

Menurut mazhab asy-Syafi‘e, sujud sahwi hukumnya sunat mu’akkad, ianya disyariatkan untuk memperbaiki sembahyang dan bukannya salah satu daripada syarat sah sembahyang berdasarkan hadits riwayat Abu Daud daripada Abdullah bin Mas‘ud Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: Jika ragu-ragu seseorang daripada kamu dalam sembahyangnya, maka hendaklah membuang dan meninggalkan keraguan tersebut dan tetapkanlah bilangan rakaat yang diyakini (yang paling sedikit). Maka apabila dia telah yakin akan kesempurnaan sembahyangnya itu, hendaklah dia melakukan sujud dua kali sujud (sujud sahwi). Jika ternyata bahawa sebenarnya sembahyangnya itu tadi adalah sempurna (empat rakaat), maka rakaat tambahan (yang kelima) dan dua sujud sahwi tersebut adalah sebagai nafilah (amalan sunat). Jika ternyata pula bahawa sembahyangnya tadi sebenarnya kurang, maka rakaat keempat itu adalah sebagai pelengkap sembahyangnya, dan dua sujud sahwi tersebut adalah sebagai pengajaran (tamparan) bagi syaitan. (Hadits riwayat Abu Daud)

Dalam hadits ini, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan jelas menyatakan bahawa sujud sahwi tersebut adalah nâfilah (amalan sunat) dan juga mengibaratkannya sebagai pengajaran bagi syaitan.

Untuk menguatkan lagi pendapat ini, dalam kitab Hâsyiyatân Qalyubi dan ‘Umairah ada disebutkan, bahawa sujud sahwi adalah sebagai pengganti atau penampal sunat-sunat ab‘adh yang ditinggalkan dalam sembahyang, sedangkan sesuatu pengganti atau penampal mestilah yang sama taraf ataupun yang kurang sedikit daripada yang diganti. Adalah tidak munasabah jika amalan-amalan sunat tersebut ditampal dengan sesuatu yang wajib, maka jelaslah di sini bahawa hukum sujud sahwi adalah sunat.

Maka berdasarkan hadits tersebut, para ulama mazhab asy-Syafi‘e telah bersepakat menghukumkan sujud sahwi sebagai sunat mu’akkad. Oleh yang demikian, meskipun sujud sahwi tersebut ditinggalkan, sembahyang seseorang itu tetap sah, walaupun ianya ditinggalkan dengan sengaja.

Mudah-mudahan dengan maklumat mengenai permasalahan dan persoalan sujud sahwi ini maka akan bertambah pula pengetahuan kita tentang sembahyang.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-7392