Persoalan Darah Ketika Hamil
Kehamilan berlaku ke atas seseorang wanita setelah terjadi persenyawaan atau pembuahan di dalam rahim akibat hubungan wath’ (persetubuhan). Maka hamil itu bererti keadaan seorang wanita yang mengandung anak atau janin di dalam rahimnya.
Pada kebiasaannya tempoh kehamilan itu berlaku selama sembilan bulan ke atas. Ulama fiqh berselisih pendapat mengenai tempoh kehamilan tersebut. Walau bagaimanapun menurut Imam al-Qurthubi ulama sepakat mengatakan tempoh minimum kehamilan itu tidak kurang daripada enam bulan. (Al-Jâmi‘ al-Ahkâm al-Qur’ân, Tafsîr al-Qurthubi: 9/286)
Begitu juga ulama fiqh berbeza pendapat mengenai tempoh maksima kehamilan. Menurut Imam Syafi‘e ia boleh berlaku sehingga empat tahun (Al-Jâmi‘ al-Ahkâm al-Qur’ân, Tafsîr al-Qurthubi: 9/286), kerana ada riwayat daripada al-Baihaqi mengatakan isteri Bani Muhammad bin ‘Ajlan mengandung selama empat tahun. (As-Sunan al-Kubrâ, bâb mâ jâ’a fi aktsar al-haml: 11/428)
Maksudnya: Daripada Walid bin Muslim berkata: “ Aku telah berkata kepada Malik bin Anas: “Aku telah berbual dengan ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha dan dia berkata: “Kandungan seorang perempuan yang hamil tidak lebih dari dua tahun seperti kadar masa memintal benang”. Maka Anas bin Malik berkata: “ Maha Suci Allah, siapa yang berkata demikian? Seorang perempuan jiran kami iaitu isteri Muhammad bin ‘Ajlan, dia seorang perempuan yang berkata benar dan suaminya juga seorang yang berkata benar, dia telah mengandung sebanyak tiga kali selama dua belas tahun iaitu, empat tahun bagi setiap kandungan.” (Hadits riwayat al-Baihaqi)
Pendarahan Ketika Hamil
Wanita yang sedang hamil, jarang sekali berlaku pendarahan, lebih-lebih lagi pada awal kehamilannya. Ini kerana anak yang berada dalam kandungan telah menyebabkan pintu rahim tertutup dan mengakibatkan darah tidak keluar, sehinggalah kandungan itu lahir.
Walau bagaimanapun bagi sesetengah kes, berlaku juga pendarahan ketika hamil. Persoalannya jika darah keluar ketika hamil, apakah ia dianggap sebagai haidh, darah fasad atau istihâdhah yang mana semua darah ini mempunyai hukum tersendiri?
Apabila berlaku pendarahan ketika hamil, darah tersebut boleh dianggap sebagai darah haidh atau darah fasad tertakluk kepada keadaan-keadaan berikut:
1. Apabila darah keluar ketika hamil dan belum melahirkan anak, menurut pendapat yang shahîh di dalam kitab al-Muhadzdzab ia adalah darah haidh, jika cukup syarat-syarat ke atas wanita yang keluar darah haidh, seperti darah yang keluar itu tidak kurang daripada satu hari satu malam (tempoh minima). Manakala tempoh haidh yang paling maksima (lama) tidak lebih daripada lima belas hari dan malamnya. Begitu juga tempoh di antara dua haidh tidak kurang daripada lima belas hari (hari bersih di antara dua haidh). Jika ini berlaku maka wajiblah meninggalkan perkara-perkara yang dilarang ketika berkeadaan haidh. Al-Fiqh al-Manhaj: 1/83, Raudhah ath-Thâlibîn: 283-284).
2. Adapun darah yang keluar semasa sakit beranak ataupun yang keluar semasa melahirkan, terdapat dua pendapat:
i. Jika perempuan yang hamil itu tidak dalam keadaan haidh sebelum melahirkan anak, maka darah tersebut adalah darah fasad. Inilah pendapat yang dinyatakan oleh Khathib asy-Syarbini. (Mughnî al- Muhtâj: 1/277).
ii. Darah tersebut ialah darah istihâdhah. Ini pula pendapat Imam al-Bakri pengarang kitab I‘ânah ath-Thâlibîn.(1/127).
Kedudukan Tuntutan Ibadat
Seseorang perempuan yang mengetahui dan yakin bahawa darah yang keluar itu adalah darah haidh, maka dengan sendirinya dia dikecualikan daripada beberapa kewajipan ibadat seperti tidak wajib mengqadha sembahyang yang ditinggalkan dan menjauhi beberapa larangan seperti bertawaf, membaca al-Qur’an dan lain-lain perkara yang diharamkan ke atas mereka. (Tuhfah al-Muhtâj; 1/134-135).
Bagaimana pula kedudukan ibadat perempuan yang menghadapi darah istihâdhah dan darah fasad?
Adapun perempuan yang mustahâdhah atau menghadapi darah fasad bukanlah dia dalam keadaan berhadas. Bagi mereka yang menghadapi sedemikian tidaklah gugur kewajipan sembahyang, puasa dan ibadat-ibadat lain dan tidak pula ada larangan seperti yang dikenakan kepada perempuan yang sedang dalam haidh atau nifas. (Raudhah ath-Thâlibîn; hlm. 1/250-251)
Perkara mustahâdhah telah dijelaskan oleh Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasallam dalam hadits Baginda:
Maksudnya: Daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha beliau berkata: “Fatimah binti Abu Hubaisy telah datang kepada Rasulullah sambil berkata: “Wahai Rasulullah! Saya seorang wanita yang dalam keadaan istihâdhah (darah yang keluar setelah tempoh haidh), namun saya tidak suci-suci, apakah boleh saya meninggalkan sembahyang?” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berkata: “Tidak, hal itu hanyalah pendarahan dan bukan haidh. Apabila haidh datang maka tinggalkanlah sembahyang. Apabila haidh itu telah hilang, maka cucilah darah daripadamu, kemudian sembahyanglah.” Dan ayahku berkata: “Kemudian berwudhulah bagi setiap sembahyang sehingga waktunya datang (masuk waktu sembahyang).” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Adakah Perempuan Hamil Mengalami Haidh?
Menurut Imam asy-Syafi‘e Rahimahullah dalam qaul jadîd, perempuan hamil juga mengalami haidh. (Al-Muhadzdzab: 1/145).
Imam al-Qurthubi menyatakan bahawa ayat 8-9, surah ar-Ra‘d adalah dalil bagi perempuan yang hamil didatangi haidh. Allah berfirman:
Tafsirnya: Allah mengetahui setiap apa yang dikandung oleh tiap-tiap ibu, dan mengetahui apa yang kurang dari yang dikandung dalam rahim itu atau yang lebih dan tiap-tiap sesuatu adalah ditetapkan di sisiNya dengan kadar yang tertentu. (Dialah juga) yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata (Dialah juga) yang Maha Besar lagi Maha Tinggi (yang mengatasi segala-galanya). (Surah ar-Ra‘d: 8-9)
Darah Selepas Bersalin
Darah yang keluar selepas bersalin dalam istilah fiqh ialah darah nifas. Darah nifas ialah darah yang keluar dari rahim perempuan selepas melahirkan anak, iaitu setelah anak bercerai dari perut si ibu, sama ada anak yang dilahirkan itu hidup atau mati.
Tidak dikatakan sebagai nifas bagi darah yang keluar dari rahim perempuan sebelum dia melahirkan anak, ataupun darah yang keluar bersama-sama anak yang dilahirkan, melainkan ia dikatakan sebagai darah fasad (Fiqh Manhaj: 1/82). Itu pun jika tidak bersambung dengan darah haidh yang terdahulu. Jikalau bersambung dengan darah haidh yang terdahulu, maka ia adalah darah haidh. Ini adalah berdasarkan kepada pendapat yang ashah mengatakan bahawa perempuan yang hamil boleh didatangi haidh.(Nihâyah al-Muhtâj: 1/232, Fath al-‘Allâm: 1/ 277).
Tempoh Darah Nifas
Tempoh keluar darah nifas antara seorang perempuan dengan seorang perempuan yang lain adalah berbeza mengikut fizikal dan keadaan perempuan itu sendiri. Oleh itu para ulama membahagikan tempoh nifas itu kepada tiga kategori seperti berikut:
i. Masa yang paling minimum ialah kadar setitik darah. Apabila keluar darah sedikit selepas bersalin (melahirkan anak) kemudian berhenti, maka darah yang sedikit itu dipanggil nifas. Bahkan memang ada perempuan melahirkan anak tanpa darah nifas, sebagaimana diriwayatkan oleh al-Baihaqi:
Maksudnya: Telah berkata Sahm hamba Bani Salim: “Sesungguhnya hamba perempuannya Ummu Yusuf telah melahirkan anak di Makkah tanpa darah, kemudian dia menemui Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, lalu beliau (‘Aisyah) berkata: “Engkau perempuan yang disucikan oleh Allah.” (Hadits riwayat al-Baihaqi)
Tempoh bermulanya darah nifas itu keluar ialah sebelum berlalu lima belas hari setelah seseorang perempuan melahirkan anak. Andaikata darah tidak keluar melainkan setelah berlalu masa selama lima belas hari atau lebih, maka darah yang keluar itu tidak dikatakan sebagai nifas bahkan ia adalah darah haidh.(Mughnî al-Muhtâj: 1/295).
ii. Masa yang sederhana dan biasa berlaku ialah kadar keluar darah dalam tempoh empat puluh hari empat puluh malam. Kadang-kadang terdapat juga perempuan yang bernifas kurang daripada tempoh tersebut, seperti tiga puluh hari tiga puluh malam dan sebagainya.
iii. Masa yang paling maksima ialah kadar keluar darah dalam tempoh enam puluh hari enam puluh malam.
Jika darah masih berterusan keluar walaupun sudah menjangkau tempoh maksima, maka darah yang keluar selepas tempoh maksima itu tidak lagi dikatakan sebagai nifas tetapi dikatakan ia sebagai darah istihâdhah (darah yang keluar dari rahim perempuan selain dari masa haidh dan nifas dengan sebab penyakit).(Al-Fiqh al-Manhaj: 1/82).
Masalah Keguguran
Keguguran di dalam bahasa Arab ialah as-saqath bermaksud janin yang gugur dalam perut ibunya sebelum ianya terbentuk dengan sempurna sama ada keguguran itu hanya berupa darah beku (‘alaqah) atau hanya berbentuk seketul daging (mudhghah).
Adapun jika yang keguguran itu adalah janin yang telah sempurna bentuknya sebagai manusia, maka darah yang keluar itu merupakan darah nifas. Begitu juga jika janin yang keluar itu belum sempurna bentuknya seperti ‘alaqah ataupun mudhghah.
Melahirkan Anak Kembar
Menurut mazhab Syafi‘e tempoh bermula nifas bagi ibu yang melahirkan anak kembar ialah setelah lahir anak yang kedua dan begitulah seterusnya jika anak kembar itu lebih daripada dua orang. Manakala darah yang keluar ketika melahirkan anak pertama itu, ia adalah darah fasad, kecuali jika bersambung dengan darah haidh terdahulu, maka ia adalah darah haidh. (Nihâyah al-Muhtâj: 1/232, al-Muhadzdzab: 1/163)
Penutup
Berdasarkan penjelasan di atas, hukum darah ketika hamil, semasa dan selepas melahirkan anak adalah berbeza. Ini dapat dilihat daripada penjelasan mengenai dengan darah yang keluar semasa melahirkan anak. Kebanyakan wanita beranggapan ianya adalah darah nifas dan secara tidak langsung meninggalkan tuntutan ibadat seperti layaknya seorang yang dalam keadaan haidh. Pada hakikatnya ia bukanlah darah nifas dan tidak menghalang daripada mengerjakan tuntutan ibadat wajib seperti puasa, sembahyang dan lain-lain.
Oleh itu mengetahui tentang kedudukan darah yang keluar daripada perempuan itu adalah wajib bagi kaum isteri mahupun suami kerana ianya membawa kepada hukum-hukum yang berkaitan dengan ibadat dan pergaulan suami isteri.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-7396
