Senda Gurau: Di Mana Batasnya?
Gurauan atau bergurau bermaksud percakapan secara bermain-main, bersenda, berjenaka, berkelakar atau berolok-olok. Antara sebab kita bergurau adalah untuk menggembirakan hati orang atau untuk membuat orang ketawa.
Sesungguhnya gurau senda itu sesuatu yang diharuskan dalam Islam kerana naluri dan fitrah manusia memerlukan hiburan untuk memperolehi kesejahteraan, ketenangan dan terlepas daripada keresahan dan ketegangan.
Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menjadi ikutan kita juga pernah bergurau dan hidup bersama sahabat-sahabat Baginda dengan kehidupan fitrah yang biasa. Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam ketawa, bergurau senda dengan sahabat-sahabat Baginda sepertimana Baginda berkongsi kesedihan, kesusahan dan musibah.
Cuba kita lihat antara senda gurauan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, seperti hadits yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi dalam kitab asy-Syamâ’il:
Maksudnya: Al-Hassan telah berkata: “Seorang perempuan tua telah datang kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu bersabda: “Wahai Rasulullah! Berdoalah kepada Allah supaya aku dapat masuk syurga”. Maka Rasulullah bersabda: “Wahai ibu polan! Sesungguhnya orang tua tidak boleh masuk syurga”. Al-Hassan berkata (menceritakan): “Lalu menangislah si perempuan tua itu”. Dengan segera Rasulullah bersabda: “Katakan kepada perempuan itu, bahawa sesungguhnya dia tidak akan masuk syurga dalam keadaan dia tua”. Lalu dibacakan firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa, serta kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh), yang tetap mencintai jodohnya, serta yang sebaya umurnya.”
Dalam senda gurauan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang lain lagi ialah seperti yang diriwayatkan daripada Anas Radhiallahu ‘anhu oleh Imam at- Tirmidzi:
Maksudnya: Sesungguhnya seseorang meminta kenderaan kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu Baginda bersabda: “Sesungguhnya aku membawamu di atas anak unta betina”. Lalu dia (orang itu) berkata: “Apa yang dapat saya buat di atas anak unta betina?” Baginda menjawab: “Bukankah yang melahirkan unta jantan tua itu, hanyalah unta betina (iaitu ibunya dan unta jantan tua itu ialah anaknya)?”
Dalam satu peristiwa yang lain lagi bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasalam telah bersenda gurau dengan memanggil Anas Radhiallahu ‘anhu orang yang memiliki dua telinga:
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berkata kepadanya: “Wahai orang yang memiliki dua telinga.” (Hadits riwayat at-Tirmidz)
Di dalam hadits ini Rasulullah memanggil Anas Radhiallahu ‘anhu dengan “dua telinga” bermaksud orang yang mendengar dengan bersungguh-sungguh dan memberi perhatian apa yang dicakapkan kepadanya.
Daripada kisah-kisah ini dapat kita lihat bagaimana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bergurau tetapi dalam perkara yang benar (bukan perkara yang dusta). Bahkan ia adalah disunatkan untuk menyenangkan hati orang lain.
Walau bagaimanapun Islam melarang kita daripada bergurau senda yang berlebihan atau bergurau terhadap perkara yang sia-sia kerana gurauan itu boleh membuatkan orang ketawa berlebihan dan boleh menyebabkan keras hati serta melalaikan daripada berzikir mengingati Allah. Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam berpesan:
Maksudnya: Janganlah kamu banyak ketawa kerana sesungguhnya banyak ketawa itu mematikan hati.
Jadi, walaupun bergurau senda dibolehkan oleh syara‘, namun terdapat batasan atau syarat-syarat yang harus dijaga supaya kita tidak berlebihan dalam bergurau.
Batasan Bergurau Senda
Islam tidak melarang bergurau senda. Namun ia mempunyai batasan-batasan yang perlu dijaga seperti berikut:
1. Tidak berlebih-lebihan dalam bergurau sehingga hilang sifat sopan santun.
2. Hendaklah gurauan itu dengan tujuan untuk beramah-tamah atau menyenangkan hati orang lain.
3. Hendaklah dia tidak mengatakan perkara dusta ketika bergurau (tidak berkata kecuali dalam perkara yang benar).
Diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: Para sahabat berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Tuan bersenda gurau dengan kami?” Baginda bersabda: “Sesungguhnya aku tidak berkata melainkan kebenaran.”
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alahi wasallam lagi:
Maksudnya: Celaka bagi orang yang berbicara dengan pembicaraan untuk membuat manusia ketawa lalu dia berdusta, celaka baginya, celaka baginya. (Hadits riwayat at-Tirmidzi).
4. Hendaklah ia tidak mengandungi perkara yang menakut-nakutkan orang lain. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alahi wasalam:
Maksudnya: Tidak dibolehkan bagi seorang Muslim menakut-nakutkan seorang Muslim yang lain. (Hadits riwayat Abu Daud)
Hadits ini menjelaskan bahawa ketika sahabat-sahabat dalam perjalanan bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, salah seorang daripada mereka telah tertidur di kenderaannya. Kemudian ada di kalangan mereka telah mengambil anak panah dari tempatnya sehingga sahabat yang tidur itu bangun dan terkejut. Maka Rasulullah melarang daripada berbuat yang demikian.
5. Hendaklah ia tidak mengandungi perkara yang menghina, mencerca, mengolok-olokkan atau menyakiti orang lain. Firman Allah Ta‘ala dalam surah al-Hujurât:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (daripada kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah pula sesuatu puak daripada kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengah yang lain, dan janganlah kamu panggil memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah (panggilan) yang buruk sesudah dia beriman. (Surah al-Hujurât: 11)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah menyatakan bahawa orang mukmin itu jauh daripada perkara yang mencerca, berkata kotor dan mengutuk orang lain sebagaimana sabda Baginda:
Maksudnya: Orang mukmin bukan seorang pencela, bukan seorang pengutuk, bukan seorang pengkeji dan bukan juga seorang yang berkata kotor.
6. Hendaklah dia tidak bergurau senda dalam perkara yang apabila diguraukan perkara itu akan menjadi sungguh-sungguh seperti nikah, talak atau rujû‘ kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Tiga perkara boleh menjadi sungguh-sungguh, dan senda guraunya pula menjadi sungguh-sungguh: Nikah, talak dan rujû‘. (Hadits riwayat Abu Daud)
Adapun segala senda gurau yang tidak termasuk dalam keadaan yang tersebut tadi, maka ia adalah dibolehkan dan tidak dikira gurau senda yang ditegah dalam Islam.
Allah Ta‘ala membenci orang-orang musyrik, kerana mereka ketawa dan mempersenda-sendakan ketika mendengar al-Qur’an, padahal seharusnya mereka menangis. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Maka patutkah kamu merasa hairan terhadap keterangan-keterangan al-Qur’an ini (sehingga kamu mengingkarinya), serta kamu tertawa (mengejek-ejeknya) dan kamu tidak mahu menangis (kesalkan kesalahan kamu serta takutkan balasan buruk yang akan menimpa kamu), sedang kamu adalah orang-orang yang sombong angkuh lagi yang melalaikan kewajipan? (Surah an-Najm: 59 – 61)
Allah juga telah mencela orang-orang munâfiq yang bergembira dan ketawa kerana keingkaran mereka kepada Rasulullah dalam perang Tabuk, firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Orang-orang munâfiq yang ditinggalkan (tidak turut berperang) itu, bersukacita disebabkan mereka tinggal di belakang Rasulullah (di Madinah), dan mereka sememangnya tidak suka berjihâd dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah (dengan sebab kufurnya), dan mereka pula (menghasut dengan)
berkata: “Janganlah kamu keluar beramai-ramai (untuk berperang) pada musim panas ini”. Katakanlah wahai Muhammad: “Api Neraka Jahannam lebih panas membakar”, kalaulah mereka itu orang-orang yang memahami. Maka bolehlah mereka (di dunia ini) ketawa sedikit dan mereka akan menangis banyak (di akhirat), sebagai balasan bagi apa yang mereka telah usahakan. (Surah at-Taubah: 81-82)
Berkata Imam an-Nawawi dalam kitab al-Adzkâr: “Gurauan yang ditegah itu ialah gurauan yang melampaui batas dan selalu dilakukan sehingga melalaikan daripada mengingati Allah.”
Adapun jika dia tidak berbuat sedemikian maka adalah harus baginya bergurau seperti perbuatan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam. Sesungguhnya Baginda jarang sekali bergurau kecuali pada perkara-perkara yang membawa kemashlahatan dan untuk menyenangkan atau mengembirakan hati orang lain. Cara begini tidak ditegah sama sekali bahkan ia adalah suatu sunnah yang dianjurkan, asalkan perkara-perkara yang diguraukan itu baik, tidak mengandungi kebohongan dan tidak melalaikan.
Allah juga akan memberi ganjaran jika kita bermaksud untuk menyenangkan hati seorang Muslim yang lain terutama dalam keadaan kesusahan, sebaliknya akan mendapat dosa jika dengan gurauan itu boleh membawa kemudharatan, kesusahan atau mengakibatkan perkara buruk kepada orang lain.
Oleh yang demikian, berwaspadalah dengan senda gurauan yang melampaui batas atau berlebihan kerana ia boleh mencetuskan permusuhan dan kemarahan sehingga menyebabkan terputusnya hubungan silaturahim dan jangan juga dijadikan senda gurauan itu suatu kebiasaan atau amalan kerana kesan yang tidak baik daripada bergurau itu mungkin terjadi. Inilah yang tidak disukai oleh Islam.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-7400
