Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية٠ مشاهدة

Hukum Berjual Beli Pada Hari Jumaat

الجواب

Sembahyang fardhu Jumaat diwajibkan (fardhu ‘Ain) ke atas setiap lelaki Islam yang merdeka, bâligh, berakal, bermuqîm dan tidak ada keuzuran. Sembahyang fardhu Jumaat itu adalah sembahyang yang paling afdhal dan harinya pula adalah hari yang paling afdhal. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan hari yang paling agung di sisi Allah iaitu hari yang paling agung di sisi Allah daripada Hari Raya Adha dan Hari Raya Fitrah. (Hadits riwayat Ibnu Majah)

Hadits ini jelas menyatakan bahawa hari Jumaat itu adalah penghulu segala hari dan ia lebih agung di sisi Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berbanding dengan dua Hari Raya. Oleh itu, perbesarkanlah hari Jumaat itu dengan memperbanyakkan bacaan al- Qur’an, selawat, doa dan zikir.

Di Negara Brunei Darussalam hari Jumaat merupakan hari kelepasan awam bagi sekolah, universiti, institusi dan jabatan-jabatan kerajaan. Setentunya pada hari tersebut ibu bapa tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama keluarga bagi mengisi waktu lapang dengan bermacam-macam aktiviti. Ada sebahagiannya melancong ke negara jiran, mengunjungi sanak saudara, berehat di rumah dan ada juga sebahagiannya pergi membeli-belah.

Aktiviti-aktiviti tersebut tidaklah bertentangan dengan hukum syara‘ akan tetapi ada beberapa perkara yang perlu diketahui khususnya pada hari Jumaat, antaranya ialah berjual beli ketika sembahyang fardhu Jumaat.

Hukum Berjual Beli Pada Hari Jumaat

Berjual beli pada hari Jumaat mempunyai hukumnya tersendiri. Sungguhpun hukum asal berjual beli itu harus di dalam Islam, namun ia berbeza pada hari Jumaat.

Sebagaimana yang pernah terjadi bahawa sebahagian jemaah sembahyang fardhu Jumaat meninggalkan Rasulullah Shallallâhu ‘alalihi wasallam yang sedang berkhutbah kerana mereka pergi ke tempat kafilah yang datang membawa barang dagangan. Maka dengan itu turunlah ayat yang melarang perbuatan sedemikian. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:

Tafsirnya: Dan apabila mereka mengetahui kedatangan barang-barang dagangan (yang baru tiba) atau (mendengar) suatu hiburan, mereka bersurai (lalu pergi) kepadanya dengan meninggalkan engkau berdiri (di atas mimbar – berkhutbah). Katakanlah (wahai Muhammad): “Pahala (balasan) yang ada di sisi Allah, lebih baik daripada hiburan dan barang-barang dagangan itu; dan Allah sebaik-baik Pemberi rezeki.” (Surah al-Jumu‘ah: 11)

Oleh itu, berjual beli ketika sembahyang fardhu Jumaat adalah dilarang. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memerintahkan supaya bersegera untuk pergi mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat dan meninggalkan jual beli dan kerja-kerja yang lain. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Surah al-Jumu‘ah: 9)

Jelasnya, hukum berjual beli pada hari Jumaat itu boleh dibahagikan kepada berikut:

1. Selepas azan kedua sembahyang fardhu Jumaat sehingga selesai sembahyang fardhu Jumaat

Haram ke atas orang yang wajib mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat leka dengan urusan jual beli selepas azan kedua sembahyang fardhu Jumaat dan khatib duduk di atas mimbar.

Maksud haram berjual beli selepas azan kedua sembahyang fardhu Jumaat itu adalah bagi mereka yang belum berada di masjid. Adapun mereka yang sudah berada di masjid dan melakukan jual beli di dalamnya adalah makruh.

2. Selepas tergelincir matahari sehingga sebelum azan kedua sembahyang fardhu Jumaat.

Makruh ke atas orang yang diwajibkan mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat leka dengan urusan jual beli selepas tergelincir matahari sehingga sebelum azan kedua sembahyang fardhu Jumaat. Ini kerana waktu itu sudah masuk waktu wajib dan perbuatannya leka dengan urusan jual beli itu seumpama perbuatan melengah-lengahkan untuk bersegera pergi mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat.

3. Sebelum tergelincir matahari.

Harus ke atas orang yang diwajibkan mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat leka dengan urusan jual beli sebelum tergelincir matahari.

4. Selepas sembahyang fardhu Jumaat.

Harus ke atas orang yang diwajibkan mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat leka dengan urusan jual beli setelah selesai mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat.

Perkara Yang Melekakan Selain Berjual Beli

Hukum haram dan makruh itu tidak hanya terbatas pada jual beli sahaja malahan termasuk juga perkara-perkara lain yang melekakan seseorang daripada bersegera pergi mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat.

Orang Yang Dikecualikan Daripada Larangan Berjual Beli

Hukum haram berjual beli selepas azan kedua sembahyang fardhu Jumaat atau hukum makruh berjual beli selepas tergelincir matahari sehingga sebelum azan kedua sembahyang fardhu Jumaat itu ialah ke atas orang yang diwajibkan sembahyang fardhu Jumaat.

Perempuan, kanak-kanak yang belum bâligh atau lelaki dewasa yang tidak diwajibkan sembahyang fardhu Jumaat seperti dalam pelayaran atau ada keuzuran, terkecuali daripada hukum haram atau makruh tersebut.

Demikian juga dikecualikan daripada hukum tersebut, orang yang diwajibkan sembahyang fardhu Jumaat yang terpaksa berjual beli ketika waktu-waktu larangan tersebut kerana dharurat seperti membeli kain kafan si mati yang ditakuti berubah apabila dilambatkan, membeli air untuk bersuci, membeli pakaian untuk menutup aurat atau seumpamanya.

Haram Berjual Beli Bersama Orang Yang Diwajibkan Sembahyang Fardhu Jumaat

Walaupun orang yang tidak diwajibkan sembahyang fardhu Jumaat harus berjual beli pada waktu-waktu yang dilarang pada hari Jumaat, namun jika dia berjual beli bersama orang yang diwajibkan sembahyang fardhu Jumaat, maka kedua-dua mereka berdosa. Ini kerana dia telah bersubahat pada melakukan yang haram.

Adakah Sah Jual Beli?

Akad jual beli yang dilakukan pada waktu-waktu yang dilarang pada hari Jumaat itu adalah sah. Ini kerana larangan itu tidak ada kaitannya dengan kesahan akad akan tetapi disebabkan kelekaannya berurusan jual beli dan perbuatan melengahkan untuk bersegera pergi mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat. Ini sama keadaannya seperti sah sembahyang orang yang mengerjakannya dalam rumah yang dirampas.

Sebagai kesimpulannya, orang yang diwajibkan mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat hendaklah bersegera pergi ke masjid dan janganlah melengah-lengahkannya seperti melakukan jual beli terutama apabila azan kedua sembahyang fardhu Jumaat dilaungkan. Sungguhpun jual beli itu sah namun perbuatan sedemikian adalah dilarang, malah mereka yang tidak diwajibkan sembahyang fardhu Jumaat pun berdosa apabila dia bermuamalat bersama mereka yang diwajibkan sembahyang fardhu Jumaat.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-8783

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)