Hukum Perempuan Ziarah Kubur: Bagaimana Dengan Perempuan Yang Haidh?
الجواب
Salah satu amalan yang sering dilakukan oleh masyarakat kita pada bulan Ramadhan dan pada Hari Raya Fitrah ialah berziarah kubur, sama ada yang diziarahi itu adalah kubur ibu bapa atau kaum kerabat. Berziarah itu pula diisi dengan membaca al- Qur’an yang pahalanya dihadiahkan kepada orang yang telah meninggal dunia. Biasanya surah Yâsîn dan bertahlîl merupakan bacaan pilihan masyarakat kita apabila berziarah kubur.
Berziarah kubur pula tidak hanya di bulan Ramadhan atau ketika Hari Raya sahaja, bahkan terdapat sesetengah keluarga yang menjadikannya rutin mingguan, bulanan atau pada waktu-waktu tertentu yang dipersetujui oleh ahli keluarga untuk berziarah beramai-ramai ke kubur.
Apa yang biasa dilihat, berbagai lapisan ahli keluarga yang bukan sahaja terdiri daripada lelaki dewasa, malahan kanak-kanak lelaki dan perempuan juga beramai-ramai turut sama berziarah.
Senario perempuan turut serta pergi berziarah ke kubur menimbulkan reaksi sesetengah pihak yang beranggapan bahawa perempuan tidak dibenarkan berziarah kubur, lebih-lebih lagi perempuan yang haidh. Adakah betul anggapan sedemikian?
Hukum Berziarah Kubur
Terdapat perbezaan hukum berziarah kubur bagi lelaki dan perempuan.
1. Hukum berziarah bagi lelaki.
Para ulama sepakat mengatakan bahawa sunat bagi lelaki menziarahi kubur orang-orang Islam berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Buraidah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Dahulu aku melarang kamu menziarahi kubur, maka (sekarang) ziarahlah. (Hadits riwayat Muslim)
Menurut Imam asy-Syarwani Rahimahullâh, ganti nama “kum” )كم) dalam larangan dan juga “ زوروها ” pada perintah dalam hadits di atas adalah ditujukan kepada kaum lelaki.
Orang-orang yang sunat diziarahi kuburnya itu pula ialah:
i. Kubur kedua-dua ibu bapa, walaupun kubur kedua-duanya bukan di negeri tempatnya berada.
ii. Kubur kaum keluarga terdekat atau sahabat handai yang pada ketika hidup mereka sunat untuk diziarahi, begitu juga bila mereka meninggal dunia.
iii. Kubur orang lain (yang bukan keluarga atau sahabat handai) dengan tujuan berziarah untuk mengingatkan kematian, memohon rahmat daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ untuknya atau sebagainya.
2. Hukum berziarah bagi perempuan.
Keadaan perempuan berbeza dengan lelaki dari segi emosi dan perasaan. Perasaan mudah tersentuh dengan apa sahaja yang berlaku sering dikaitkan dengan mereka. Apabila seseorang yang dikenali meninggal dunia, lebih-lebih lagi jika orang tersebut adalah seseorang yang disayangi atau terlalu rapat dengannya selalunya membangkitkan emosi dan ada sesetengahnya tidak dapat membendung perasaan sehingga meraung-raung di depan mayat atau di tanah perkuburan.
Menurut pendapat jumhûr ulama, hukum ziarah kubur bagi perempuan adalah makruh kerana ditakuti boleh mengundang fitnah atau ditakuti mereka menangis dengan mengeluarkan suara yang nyaring meratapi kepergian si mati.
Dalil yang menunjukkan bahawa hukum perempuan menziarahi kubur adalah tidak haram berdasarkan beberapa hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam seperti berikut:
i. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, katanya:
Maksudnya: Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam berjalan melintasi seorang perempuan yang sedang menangis di kubur anaknya, lalu Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Bertaqwalah engkau kepada Allah dan bersabarlah.” (Hadits muttafaq ‘alaih)
Daripada hadits di atas dapat difahami bahawa menziarahi kubur bagi perempuan tidak dilarang. Ini kerana jika perbuatan tersebut dihukumkan haram, sudah setentunyalah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menegur ataupun melarang perempuan tersebut daripada menziarahi kubur.
ii. Sayyidatuna ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ pernah bertanya kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam tentang do‘a yang boleh dibacanya apabila berziarah ke perkuburan. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Katakanlah: “Mudah-mudahan Allah limpahkan keselamatan ke atas ahli kubur daripada orang-orang mu’min dan orang-orang Islam dan semoga Allah merahmati orang-orang terdahulu daripada kalangan kami dan orang-orang yang terkemudian, dan sesungguhnya sekiranya kami diizinkan oleh Allah kami akan bertemu dengan kamu. (Hadits riwayat Muslim)
Hadits di atas adalah dalil yang menunjukkan bahawa tidak haram bagi perempuan berziarah kubur.
Namun perlu diingat, bahawa hukum berziarah kubur bagi perempuan ini bergantung kepada tujuan dan keadaannya ketika berziarah. Hukum asalnya adalah makruh sekalipun tujuannya untuk mengambil i‘tibâr, untuk mengingatkan kepada kematian, alam barzakh dan alam akhirat. Di samping itu, perempuan tersebut hendaklah dapat menjaga adab kesopanan ketika berziarah, dapat menahan diri daripada kesedihan atau dukacita yang bersangatan dan aman daripada segala fitnah.
Manakala apabila berlaku tujuan dan keadaan yang sebaliknya, maka hukum makruh tersebut akan bertukar kepada haram. Menurut sesetengah ulama, jika tujuannya adalah untuk menimbulkan semula perasaan dukacita dan untuk meratapi si mati, maka adalah haram baginya menziarahi kubur. Begitu juga sekiranya perempuan tersebut tidak menjaga adab kesopanannya semasa berziarah, tidak aman daripada segala fitnah atau seumpamanya, maka haram baginya menziarahi kubur.
Berbeza pula hukumnya menziarahi kubur Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Hukumnya adalah sunat bagi perempuan dan lelaki. Begitu juga menurut sebahagian ulama, sunat berziarah ke kubur para nabi, para ulama dan auliâ’.
Hukum Perempan Haidh Menziarahi Kubur
Perempuan yang dalam haidh tidak ada halangan untuk menziarahi kubur, kerana untuk meziarahinya tidak disyaratkan suci daripada hadas kecil mahupun besar. Suci daripada hadas merupakan salah satu adab yang disunatkan sahaja kepada orang-orang yang ingin berziarah ke tanah perkuburan.
Oleh yang demikian, perempuan haidh menziarahi kubur dengan tujuan yang dibenarkan oleh syara‘ serta dapat menjaga adab kesopanan ketika berziarah dihukumkan makruh sebagaimana dengan hukum perempuan suci berziarah kubur.
Namun satu hal yang berbeza di antara perempuan yang suci dengan perempuan yang sedang haidh ketika di tanah perkuburan ialah dari segi keharusan membaca ayat-ayat al-Qur’an untuk si mati. Perlu
diingat, perempuan yang dalam haidh haram membaca al-Qur’an walaupun hanya satu ayat daripada al-Qur’an. Memadailah baginya berzikir seperti bertahlîl, bertasbîh dan sebagainya atau berdo‘a seperti memohon keampunan, rahmat atau yang seumpamanya daripada Allah untuk si mati.
Secara umumnya, adab-adab yang perlu dijaga oleh perempuan yang menziarahi kubur sama ada yang dalam keadaan suci mahupun haidh ialah:
1. Hendaklah dia ditemani oleh suami ataupun mahramnya.
2. Keluar dalam keadaan menutup aurat sepenuhnya sepertimana yang telah digariskan oleh Islam.
3. Jangan selalu pergi menziarahi kubur.
4. Tidak berbual dengan percakapan kosong sebagaimana yang dilarang ke atas kaum lelaki, kerana Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda dalam hadits yang diriwayatkan oleh Buraidah Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: (Dahulu) aku telah melarang kamu menziarahi kubur, maka (sekarang), siapa yang ingin menziarahi kubur, berziarahlah, dan janganlah kamu bercakap-cakap dengan perkataan yang tidak baik. (Hadits riwayat an-Nasa’i)
Perlu diambil perhatian juga, hukum yang membenarkan perempuan berziarah kubur ini adalah tertakluk kepada adanya keizinan daripada suami atau wali. Sekiranya tiada keizinan daripada suami atau wali, tidaklah perempuan itu dibenarkan untuk berziarah kubur.
Kesimpulannya, perempuan yang dalam haidh tidak dilarang menziarahi kubur kerana secara umumnya hukum berziarah bagi perempuan itu adalah makruh dengan ada syarat-syarat yang perlu dijaganya iaitu dari segi tujuan dan adab berziarah. Di samping itu, jika dia turut sama berziarah ke perkuburan bersama ahli keluarga yang lain, dia hendaklah berhati-hati agar tidak turut sama dengan yang lainnya membaca ayat-ayat al-Qur’an seperti Yâsîn dan yang seumpamanya kerana haram baginya melakukan yang demikian dengan keadaannya di dalam haidh itu.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-8794
دليل الألوان
