Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الحج والعمرة٠ مشاهدة

Isu Menutup Kepala Dan Muka Ketika Dalam Ihram Haji Dan Umrah

الجواب

Ketika menunaikan ibadat haji dan umrah, seseorang itu dituntut untuk berihram kerana ia adalah salah satu rukun haji dan umrah. Ihram bermaksud berniat pada melakukan haji atau umrah atau kedua-duanya sekali.

Apabila seseorang itu dalam ihram haji atau umrah, ada beberapa perkara yang wajib dihindari, antaranya ialah menutup sebahagian kepala dan muka.

Larangan ini bersumberkan daripada hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, ketika seseorang bertanya kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam mengenai pakaian yang perlu dipakai oleh orang yang berihram. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Janganlah kamu memakai baju, seluar, serban dan jubah yang bertutup kepala melainkan seseorang yang tidak mempunyai selipar, maka pakailah sepatu (khuf) dan potonglah (khuf itu) sampai di bawah buku lali (sehingga nampak buku lali), dan janganlah kamu memakai sesuatu yang dibubuhi minyak za‘faran dan waras (sejenis tumbuhan yang berbau wangi), dan janganlah perempuan yang berihram memakai penutup muka (niqab) dan sarung tangan. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Untuk lebih jelasnya dihuraikan hukum dan maksud serta contoh-contoh menutup kepala dan muka bagi mereka yang berihram.

Hukum Menutup Kepala

Bagi lelaki yang berihram haram ke atasnya menutup sebahagian kepalanya dengan sesuatu yang pada kebiasaannya dikira sebagai penutup kepala, sama ada ia daripada jenis yang berjahit ataupun tidak.

Jika lelaki yang berihram itu menutup kepalanya tanpa keuzuran maka dia berdosa dan wajib ke atasnya fidyah. Jika dia menutup kepalanya kerana keuzuran seperti kepanasan, kesejukan atau berubat maka harus dan tidak berdosa. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ tidak mewajibkan sesuatu yang menyusahkan sebagaimana firmanNya:

Tafsirnya: Dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama. (Surah al-Hajj: 78)

Walaupun orang yang ada keuzuran itu diharuskan menutup kepalanya akan tetapi wajib ke atasnya membayar fidyah.

Adapun ukuran keuzuran yang diharuskan untuk orang yang berihram itu menutup kepalanya ialah pada kadar dia tidak mampu bersabar untuk menghadapi kesusahan yang dihadapinya seperti dia tidak sabar menahan kepanasan atau kesejukan, walaupun kadar kesusahan yang dihadapinya itu tidak sampai kepada peringkat yang mengharuskan bertayammum.

Maksud Menutup Kepala

Maksud menutup sebahagian kepala itu ialah menutup di mana-mana bahagian kepala dengan sesuatu yang kebiasaannya dikira sebagai penutup kepala. Termasuk dalam makna kepala ialah bahagian atas belakang telinga.

Maksud sesuatu yang kebiasaannya dikira sebagai penutup itu ialah seperti songkok, topi, serban, kain dan seumpamanya. Demikian juga sesuatu yang dikira sebagai penutup itu ialah tanah atau pacar yang tebal sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ ketika seorang lelaki yang berihram terjatuh daripada tunggangannya sehingga patah lehernya lalu meninggal dunia. Kemudian Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Kamu mandikan dia dengan air dan daun bidara dan kamu kafankan dia dengan dua bajunya dan janganlah kamu tutup kepalanya, maka sesungguhnya Allah akan membangkitkan dia pada Hari Kiamat nanti dalam keadaan bertalbiah (menyahut seruan Allah dengan mengucapkan َ (Hadits riwayat Muslim)

Adapun menutup kepala dengan sesuatu yang kebiasaannya tidak dikira sebagai penutup kepala adalah tidak haram melakukannya, seperti menjadikan serban sebagai bantal, menyelamkan kepala dalam air walaupun keruh atau berteduh di bawah usungan atau seumpamanya walaupun ia bersentuhan dengan kepala ataupun tidak.

Demikian juga menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, tidak mengapa meletakkan tangan di atas kepala atau mengikat sehelai benang kerana pening atau sebagainya walaupun dia memang bermaksud untuk menutup kepalanya.

Menurut Imam an-Nawawi dan Imam ar-Ramli Rahimahumallâh, tidak haram dan tidak wajib fidyah apabila meletakkan bakul atau seumpamanya di atas kepala dengan bukan tujuan untuk menutupnya. Akan tetapi jika dia bermaksud untuk menutup kepala maka perbuatannya itu haram dan wajib fidyah.

Adapun jika bakul itu tidak ada sesuatu isi di dalamnya kemudian diletakkan bakul itu di atas kepala seperti menjadikannya songkok walaupun tidak bermaksud untuk menutup kepala maka perbuatan itu haram dan wajib fidyah.

Bagi perempuan yang berihram pula tidak dilarang daripada menutup kepala bahkan wajib menutupnya.

Hukum Menutup Muka

Perempuan yang berihram haram ke atasnya menutup muka. Jika dia menutup mukanya tanpa sebarang keuzuran maka dia berdosa.

Jika dia menutup mukanya kerana keuzuran seperti kepanasan, kesejukan atau berubat maka harus dan tidak berdosa akan tetapi wajib ke atasnya fidyah. Hal ini sama keadaannya dengan lelaki yang menutup kepala disebabkan keuzuran.

Sekiranya perempuan yang berihram itu menutup mukanya dengan tidak menyentuh mukanya seperti kain yang ditongkat dengan kayu hukumnya adalah harus, tidak kira sama ada dia menutupnya kerana keuzuran seperti kepanasan atau takut fitnah, ataupun bukan kerana keuzuran. Jika kayu penongkat kain itu jatuh dengan tidak sengaja sehingga kain tersebut terkena mukanya lalu dengan segera dia mengangkat kain itu agar tidak menyentuh mukanya maka tidak diwajibkan fidyah. Akan tetapi jika dia sengaja menjatuhkan kayu tersebut atau membiarkan kain itu menyentuh mukanya maka dia berdosa dan wajib ke atasnya fidyah.

Bagi lelaki pula, ketika dalam ihram tidak dilarang daripada menutup mukanya.

Maksud Menutup Muka

Maksud menutup muka ialah menutup keseluruhan muka atau sebahagian muka dengan sesuatu penutup sama ada yang berjahit ataupun tidak.

Larangan ini tidak termasuk menutup sebahagian kecil muka yang berdekatan dengan kepala sedang keseluruhan kepala tidak dapat ditutup melainkan dengan menutup sebahagian kecil muka itu. Ini kerana kepala perempuan adalah aurat dan wajib memelihara aurat dengan menutupnya.

Fidyah Bagi Orang Yang Berihram Melanggar Larangan Menutup Kepala Dan Muka

Fidyah atau dam bagi mereka yang melanggar larangan menutup kepala dan muka itu termasuk dalam bahagian dam takhyîr dan taqdîr. Takhyîr bermaksud boleh memilih mana-mana fidyah yang ditetapkan oleh syara‘. Sementara taqdîr pula bermaksud kadar fidyah yang sudah ditentukan syara‘.

Fidyah yang diwajibkan bagi mereka yang melanggar larangan menutup kepala dan muka itu ialah seperti berikut:

1. Menyembelih seekor kambing.

2. Memberi enam orang miskin tiga gantang beras, gandum atau seumpamanya dengan setiap seorang setengah gantang.

3. Berpuasa selama tiga hari.

Oleh itu, orang yang melanggar larangan menutup kepala dan muka itu wajib membayar fidyah dengan memilih salah satu daripada tiga jenis fidyah di atas.

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Jika sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu dia mencukur rambutnya semasa dalam ihram itu), maka wajiblah ke atasnya membayar fidyah iaitu dengan berpuasa atau memberi sedekah atau menyembelih binatang (sebagai dam). (Surah al-Baqarah: 196)

Demikianlah penjelasan berkenaan larangan menutup kepala dan muka bagi orang yang berihram ketika menunaikan haji dan umrah. Oleh itu, perlulah diingatkan terutamanya kepada mereka yang ingin menunaikan ibadat haji untuk meningkatkan ilmu tentang haji sama ada pada perkara yang disuruh ataupun perkara yang dilarang melakukannya seperti larangan-larangan ketika berihram.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-8809

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص