Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الحج والعمرة٠ مشاهدة

Permasalahan Melontar Jamrah

الجواب

Melontar jamrah adalah antara perkara-perkara wajib ketika menunaikan ibadat haji di Makkah. Melontar jamrah itu terbahagi kepada dua iaitu melontar jamrah al- ‘Aqabah sahaja pada hari Nahar (10 Zulhijjah) dan melontar ketiga-tiga jamrah iaitu al-Ûlâ, al-Wusthâ dan al-‘Aqabah pada hari-hari Tasyriq iaitu pada 11, 12, dan 13 Zulhijjah.

Ibadat melontar jamrah dilakukan setelah para jemaah haji selesai mengerjakan wuquf di ‘Arafah. Mereka akan bertolak ke Mina untuk melontar ketiga-tiga jamrah di suatu tempat yang bernama Wadi Mahassar yang terletak di antara Mina dan Muzdalifah.

Namun terdapat perbezaan hukum bagi kedua-dua lontaran pada hari Nahar dan hari-hari Tasyriq. Banyak persoalan yang telah dihadapi oleh para jemaah haji berhubung dengan perkara yang berkaitan dengan melontar jamrah ini. Antara permasalahan itu ialah:

1. Waktu melontar.

Bilakah sebenarnya waktu melontar jamrah al-‘Aqabah pada hari Nahar (10 zulhijjah) dan tiga jamrah (al-Ûlâ, al-Wusthâ, al-‘Aqabah) pada hari Tasyriq itu kerana ada di antara jemaah haji melontar pada sebelah pagi atau sebelum tergelincir matahari?

Waktu melontar jamrah al-‘Aqabah pada hari Nahar ialah bermula pada pertengahan malam hari Nahar dan selepas wuquf di ‘Arafah, maka tidak sah jika lontaran itu dilakukan sebelum wuquf di ‘Arafah ataupun sebelum pertengahan malam hari Nahar. Manakala waktu afdhal melontar pula ialah semasa matahari naik sehingga tergelincir, dan waktu ikhtiar (pilihan) ialah selepas tergelincir matahari sehingga terbenam matahari. Waktu harus melontar pula ialah dari selepas terbenam matahari sehingga akhir hari Tasyriq.

Waktu melontar tiga jamrah pada hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah) ialah bermula waktu afdhal melontar itu selepas tergelincir matahari sebelum menunaikan sembahyang zohor, waktu ikhtiâr melontar pula ialah dari selepas tergelincir matahari sehingga terbenam matahari pada hari tersebut, dan berterusan waktu harus melontar itu sehingga terbenam matahari pada akhir hari Tasyriq (13 Zulhijjah).

Amalan melontar jamrah setelah matahari tergelincir pada hari-hari Tasyriq adalah amalan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam berdasarkan hadits Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ:

Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melontar jamrah-jamrah (jamrah al-Ûlâ, al-Wusthâ dan al-‘Aqabah) ketika gelincir matahari. (Hadits riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan at-Tirmidzi)

Maka melontar jamrah sama ada untuk hari Nahar ataupun hari-hari Tasyriq adalah mengikut urutan waktu yang telah dijelaskan. Lontaran tidaklah dikira sah jika dilakukan bukan pada waktunya.

• Melontar pada sebelah pagi sebelum tergelincir matahari.

Jika lontaran yang dilakukan pada sebelah pagi sebelum tergelincir matahari itu ialah lontaran jamrah al-‘Aqabah pada hari Nahar maka lontaran itu adalah sah kerana ia dilakukan dalam waktu yang telah ditetapkan iaitu bermula pada pertengahan malam hari Nahar sehinggalah akhir Hari Tasyriq.

Namun jika lontaran yang dilakukan pada sebelah pagi sebelum tergelincir matahari itu ialah lontaran di ketiga-tiga jamrah pada hari Tasyriq maka lontaran itu tidaklah sah melainkan lontaran qadha’ sahaja. Ini adalah mengikut pendapat yang mu‘tamad bahawa melontar di ketiga-tiga jamrah pada hari-hari Tasyriq sebelum tergelincir matahari adalah ditegah melainkan lontaran qadha’ sepertimana dikatakan oleh Syeikh Muhammad Thahir bin ‘Abdul Qadir al-Kurdi al-Makki Rahimahullâhu Ta‘âlâ: “Dan yang mu‘tamad adalah harus melontar jamrah sebelum tergelincir matahari atau malam hari bagi mengganti lontaran yang luput, berbeza dengan lontaran untuk hari berkenaan adalah ditegah mendahulukan melontar sebelum matahari tergelincir.”

Jadi diharuskan melontar pada sebelah pagi sebelum tergelincir matahari pada hari-hari Tasyriq hanya untuk mengganti (mengqadha’) lontaran yang luput pada hari-hari yang sebelumnya.

Untuk lebih jelas lagi, sekiranya jamrah al-‘Aqabah tidak dilontar pada hari Nahar, ia boleh diganti dengan melontarnya pada bila-bila masa pada hari-hari Tasyriq termasuk pada sebelah pagi sebelum matahari tergelincir, begitu juga jika ketiga-tiga jamrah pada hari pertama atau kedua hari Tasyriq tidak dilontar, lontaran boleh diganti pada bila-bila masa pada akhir hari Tasyriq termasuk sebelah pagi sebelum matahari tergelincir.

Dengan itu boleh melontar pada sebelah pagi sebelum matahari tergelincir pada hari-hari Tasyriq untuk lontaran qadha’ sahaja.

Namun cara melaksanakan lontaran yang luput itu hendaklah secara tertib. Iaitu dengan mendahulukan lontaran yang telah luput itu terlebih dahulu kemudian baharulah lontaran untuk hari berkenaan. Jika melakukan lontaran untuk hari berkenaan terlebih dahulu kemudian barulah mengqadha’ lontaran yang luput itu maka lontaran itu hanya dikira sebagai lontaran qadha’ sahaja. Maknanya lontaran pada hari itu tidaklah dikira kerana tidak mengikut secara tertib.

Secara praktikalnya lontaran secara tertib itu adalah seperti berikut, jika lontaran yang luput itu ialah lontaran hari Tasyriq yang pertama maka cara melaksanakan lontaran yang luput itu pada keesokan harinya ialah dengan mendahulukan lontaran yang luput itu bermula dari jamrah as-Shugrâ, jamrah al-Wusthâ dan jamrah al-‘Aqabah. Kemudian diulang lagi lontaran itu untuk lontaran pada hari itu (hari Tasyriq kedua) dengan mendahulukan lagi lontaran daripada jamrah as-Shugrâ, jamrah al- Wusthâ dan jamrah al-‘Aqabah.

Namun jika lontaran yang luput dan lontaran untuk hari berkenaan itu tidak dilakukan secara tertib, tetapi dilakukan secara serentak bagi setiap jamrah iaitu sebanyak empat belas kali lontaran, tujuh kali bagi lontaran yang luput dan tujuh kali bagi lontaran pada hari berkenaan, lontaran yang hanya dikira adalah lontaran qadha’ sahaja. Sementara lontaran untuk hari berkenaan tidak dikira.

• Melontar selepas hari Tasyriq.

Melontar selepas hari-hari Tasyriq adalah tidak sah dan wajib bagi orang yang melakukannya membayar dam apabila dia meninggalkan tiga lontaran atau lebih daripada lontaran itu, sebagaimana yang dikatakan oleh al-‘Allamah as-Sayyid Muhammad ‘Abdullah al-Jardani Rahimahullâhu Ta‘âlâ:

Ertinya: Bahkan dimestikan (diwajibkan) baginya (dam) dengan meninggalkan tiga lontaran ataupun lebih banyak. (Fath al-‘Allâm)

Begitu juga sebagaimana yang dikatakan oleh Syeikh Muhammad Thahir bin ‘Abdul Qadir al-Kurdi al-Makki Rahimahullâhu Ta‘âlâ:

Ertinya: Tidak sah melontar selepas hari-hari Tasyriq pada asasnya, bahkan dimestikan membayar dam jika tinggal lontaran sebanyak tiga atau lebih. (Irsyâd az-Zumar li Manâsik al-Hajj wa ‘Umrah)

Maka jelaslah jika lontaran hari Nahar dan hari-hari Tasyriq dilakukan selepas terbenam matahari pada hari Tasyriq yang terakhir iaitu 13 Zulhijjah maka lontaran itu adalah tidak sah. Maka orang yang meninggalkan sebanyak tiga lontaran ataupun lebih adalah wajib membayar dam.

2. Tempat mengambil anak batu untuk melontar.

Di manakah tempat mengambil anak batu untuk digunakan melontar jamrah al- ‘Aqabah pada hari Nahar dan di ketiga-tiga jamrah pada hari Tasyriq?

Pada dasarnya tempat mengutip batu untuk keperluan melontar jamrah yang diperkatakan oleh ulama-ulama fiqh mazhab asy-Syafi‘e ada dua: Tanah haram dan tanah halal.

Tanah haram merangkumi Muzdalifah, Wadi Muhassar, kawasan kota Mina, kawasan jamrah dan lobang jamrah, serta mana-mana kawasan tanah haram seperti kota Makkah.

Tanah halal pula ialah seluruh kawasan yang berada di luar kawasan tanah haram seperti Padang ‘Arafah, Jeddah dan Brunei Darussalam.

Jika yang diambil kira itu ialah hukum dan afdhaliyyah (keutamaan) melontar, maka caranya adalah sepertimana yang dikatakan oleh Syeikh Muhammad Thahir bin Abdul Qadir al-Kurdi al-Makki Rahimahullâhu Ta‘âlâ di dalam kitab beliau Irsyâd az-Zumar li Manâsik al-Hajj wa al-‘Umrah adalah seperti berikut:

i. Sunat:

Sunat mengutip anak batu di kawasan Muzdalifah untuk lontaran ke jamrah al-‘Aqabah sahaja pada hari Nahar (10 Zulhijjah).

Manakala untuk lontaran di ketiga-tiga jamrah pada hari-hari Tasyriq sunat diambil di kawasan Wadi Muhassar (yang terletak di antara Muzdalifah dan Mina), atau mana-mana tempat di kota Mina.

ii. Makruh:

Mengutip anak-anak batu dari mana-mana tempat selain tempat yang disunatkan mengambilnya adalah dikira sah serta memadai. Namun makruh mengutip anak batu dari lubang jamrah, dari kawasan tanah halal (seperti Padang ‘Arafah, Jeddah dan Brunei Darussalam) dari mana-mana kawasan masjid atau dari kawasan yang bernajis. Oleh itu, jika anak batu itu diambil di kawasan Muzdalifah untuk digunakan melontar jamrah al-‘Aqabah pada hari Nahar dan di Wadi Muhassar atau di mana-mana tempat di Mina untuk lontaran pada hari-hari Tasyriq adalah sunat. Manakala jika anak batu itu diambil dari kawasan luar tanah haram atau dari mana-mana tempat kawasan masjid atau dari kawasan yang bernajis pula hukumnya adalah makruh namun lontaran adalah dikira sah dan memadai.

3. Kedudukan arah melontar.

Dari sudut manakah sebenarnya melontar jamrah al-‘Aqabah pada hari Nahar dan di ketiga-tiga jamrah pada hari Tasyriq itu kerana ada orang beranggapan bahawa boleh melontar tiga jamrah itu dari mana-mana sudut.

Melontar jamrah al-‘Aqabah pada hari Nahar dan di ketiga-tiga jamrah pada hari-hari Tasyriq itu adalah berbeza. Ini kerana melontar jamrah al-‘Aqabah pada hari Nahar itu ialah sebagai penghormatan terhadap Mina dari para jemaah yang baru tiba setelah selesai menunaikan ibadat wuquf di ‘Arafah dan ia adalah lebih afdhal berbanding dengan lontaran pada hari-hari Tasyriq. Maka layaklah ia dibezakan dengan sifat yang khusus yang membezakannya daripada lontaran yang selepasnya.

• Melontar jamrah al-‘Aqabah pada hari Nahar.

Apabila para jemaah haji tiba di Mina, hendaklah para jemaah haji tidak melakukan perkara-perkara lain sebelum menunaikan kewajipan melontar jamrah al-‘Aqabah, kerana lontaran tersebut merupakan satu penghormatan terhadap Mina dan lontaran ini dilakukan pada hari Nahar.

Kedudukan cara melakukan lontaran jamrah al-‘Aqabah pada hari Nahar itu sebenarnya mempunyai beberapa pendapat, tetapi menurut pendapat yang shahîh, mukhtâr (terpilih) dan turut disokong oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ, cara yang disunatkan untuk melontar jamrah al-‘Aqabah pada hari Nahar ialah dengan menghadap ke jamrah tersebut dan menjadikan Makkah di sebelah kirinya dan Mina di sebelah kanannya, sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari:

Maksudnya: Daripada ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhu: “Bahawasanya dia sampai ke jamrah al-Kubrâ, dia jadikan Baitullah itu di sebelah kirinya, Mina di sebelah kanannya dan dia melontar tujuh kali, lalu diapun berkata: “Demikianlah cara melontar orang yang diturunkan kepadanya surah al-Baqarah (iaitu Nabi) Shallallâhu ‘alahi wasallam.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

• Melontar tiga jamrah pada hari Tasyriq.

Adapun kedudukan cara yang disunatkan bagi melontar di ketiga-tiga jamrah pada hari-hari Tasyriq itu adalah dengan menghadap ke arah qiblat dan melontarnya dari sebelah kanan.

Begitulah kedudukan cara melontar mengikut cara yang disunatkan. Namun melontar jamrah sama ada pada hari Nahar ataupun pada hari-hari Tasyriq dari mana-mana sudut itu adalah dikira sah kerana tidak ada dalil atau pendapat ulama yang melarang ataupun mengatakan lontaran jamrah al-‘Aqabah di ketiga-tiga jamrah dari mana-mana sudut itu tidak sah. Sebab, melontar dengan menghadap ke arah jamrah pada hari Nahar dan menghadap ke arah qiblat bagi lontaran pada hari-hari Tasyriq itu hukumnya adalah sunat.

Demikianlah dihuraikan beberapa isu yang berkaitan dengan melontar. Dalam menunaikan ibadat haji ini adalah penting untuk mengetahui akan hukum-hakam yang berkaitan dengan ibadat haji itu supaya segala amal ibadat ketika menunaikan ibadat haji itu sah dan diterima oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Begitulah juga dengan ibadat melontar ini. Ini kerana menunaikan ibadat haji ini sememangnya bukan perkara yang mudah, kerana ianya memerlukan pengetahuan dan kemampuan, baik dari segi perbelanjaan mahupun kekuatan fizikal. Oleh itu, dengan adanya pengetahuan mengenai segala hukum yang berkaitan dengan ibadat haji ini maka sudah setentunya kita akan merasa tenteram bahawa ibadat haji yang kita laksanakan akan diterima oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dengan mendapat haji yang mabrûr sepertimana yang kita harap-harapkan. Maka pastikanlah bahawa menunaikan ibadat haji itu adalah dengan berbekalkan ilmu pengetahuan yang cukup dan mantap.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-8951

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص