Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الحج والعمرة٠ مشاهدة

Persoalan Haji Yang Dinazarkan

الجواب

Melaksanakan ibadat haji merupakan salah satu rukun Islam yang diwajibkan ke atas individu Muslim yang mempunyai kemampuan dari segi keupayaan tenaga dan wang ringgit sekali seumur hidup.

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan haji dengan mengunjungi Baitullâh, iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkar akan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatupun) daripada sekalian makhluk. (Surah Âli ‘Imran: 97)

Jelas dalam ayat di atas akan perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kepada umat Islam untuk mengerjakan haji apabila ada kemampuan serta berkuasa sampai ke Baitullah. Apabila kewajipan haji telah selesai dilaksanakan dengan menyempurnakan semua syarat dan rukun haji, maka gugurlah kewajipan haji yang diwajibkan ke atasnya sekali seumur hidup.

Namun timbul persoalan jika orang yang telahpun menyempurnakan haji fardhu yang diwajibkan ke atasnya sekali seumur hidup ini bernazar untuk menunaikan haji. Umpamanya dia melafazkan nazarnya dengan berkata: “Aku bernazar menunaikan ibadat haji jika aku berjaya masuk ke universiti”. Bagaimana pula nazar mengerjakan haji bagi orang yang belum melaksanakan ibadat haji fardhu?

Bernazar Untuk Menunaikan Ibadat Haji

Pada dasarnya, perkara yang dinazarkan ialah perkara-perkara yang disunatkan oleh syara‘ seperti berpuasa sunat, bersedekah, menunaikan umrah dan sebagainya. Nazar yang seumpama ini wajib ditunaikan.

Adapun bernazar untuk melakukan perkara yang sememangnya sudah diwajibkan oleh syara‘ seperti bernazar untuk menunaikan sembahyang fardhu lima waktu atau bernazar untuk berpuasa di bulan Ramadhan, maka nazarnya itu tidak sah kerana perkara tersebut memang sudah diwajibkan oleh syara‘.

Begitu juga seseorang yang bernazar untuk melaksanakan haji yang diwajibkan ke atasnya sekali seumur hidup, umpamanya dia berkata: “Aku bernazar menunaikan ibadat haji yang diwajibkan kepadaku sekali seumur hidup”, maka nazar tersebut tidak sah kerana perkara tersebut sememangnya sudah diwajibkan oleh syara‘ ke atas dirinya.

Nazar Haji Bagi Orang Yang Telah Menunaikan Haji Fardhu

Orang yang telah menyempurnakan ibadat haji yang difardhukan ke atasnya sekali seumur hidup apabila dia bernazar untuk menunaikan haji, maka wajib ke atasnya mengerjakan haji yang dinazarkannya jika dia berkemampuan.

Jika dia tidak berkeupayaan melakukannya sendiri, maka boleh orang lain melakukan bagi pihaknya sama ada dengan diberi upah atau tidak.

Sunat Menyegerakan Pelaksanaan Haji Nazar

Apabila seseorang yang telah mengerjakan haji fardhu bernazar menunaikan ibadat haji, sunat baginya menyegerakan ibadat haji yang dinazarkannya itu pada awal waktu dia sudah berkemampuan untuk menunaikannya. Tujuannya ialah supaya segera terlepas daripada dzimmah (tanggungan) nazar haji.

Apabila dia berkemampuan untuk menunaikan dan menyegerakan haji yang dinazarkannya, akan tetapi dia melambat-lambatkannya sehingga dia meninggal dunia, maka hendaklah dilakukan haji bagi pihaknya daripada hartanya disebabkan kelalaiannya menunaikan haji semasa hidupnya.

Jika dia meninggal dunia sebelum ada kemampuannya untuk melaksanakan ibadat haji, maka tidaklah menjadi apa-apa tanggungan ke atasnya.

Nazar Haji Dengan Menentukan Tahun Pelaksanaannya

Apabila seseorang itu bernazar menunaikan fardhu haji pada tahun tersebut atau pada tahun yang sudah ditentukannya dan dia berkemampuan untuk menunaikan haji pada waktu tersebut, umpamanya dia berkata: “Jika aku sembuh daripada penyakit ini, maka kerana Allah aku menunaikan haji pada tahun hadapan”, maka wajib ke atasnya melaksanakan nazar hajinya pada tahun yang dinazarkannya itu. Tidak boleh baginya mengawalkan pelaksanaan daripada tahun tersebut atau mengakhirkannya. Jika dia melambat-lambatkan pelaksanaan haji pada tahun tersebut, maka wajib dia mengqadha haji yang dinazarkannya pada tahun berikutnya.

Walau bagaimanapun jika dia bernazar untuk melaksanakan ibadat haji tanpa menentukan tahun bila dia hendak menunaikannya di dalam nazarnya, maka dia boleh melaksanakan haji yang dinazarkannya pada bila-bila tahun yang dikehendakinya.

Nazar Haji Bagi Orang Yang Belum Menunaikan Haji Fardhu

Orang yang belum melaksanakan ibadat haji fardhu apabila bernazar untuk menunaikan haji, maka haji yang dinazarkannya itu adalah menjadi haji wajib ke atasnya. Oleh yang demikian itu tertanggunglah ke atasnya dua kewajipan haji; haji pertama ialah haji fardhu yang wajib ditunaikan sekali seumur hidup bagi yang berkemampuan dan haji kedua ialah haji yang dinazarkannya.

Dalam hal ini jika dia berkemampuan, maka hendaklah dia mendahulukan melaksanakan haji yang diwajibkan kepadanya oleh syara‘, dan baru melaksanakan haji yang dinazarkannya jika kemudiannya dia berkemampuan untuk melaksanakannya.

Apabila dia berkemampuan untuk menunaikan dan menyegerakan haji yang dinazarkannya, akan tetapi dia melambat-lambatkannya sehingga dia mati, maka hendaklah dilakukan haji bagi pihaknya daripada hartanya disebabkan kelalaiannya menunaikan haji semasa hidupnya.

Walau bagaimanapun nazar haji yang wajib dilaksanakannya itu ialah jika dia berniat dalam nazarnya itu untuk melakukan haji yang bukan fardhu. Jika dia berniat dalam nazarnya itu haji fardhu, maka tidaklah sah nazarnya dan tidak wajib dia melaksanakannya.

Sebagai kesimpulan, apabila seseorang bernazar untuk menunaikan haji dan lafaz tersebut sah menurut syara‘, maka haji yang dinazarkannya itu menjadi haji wajib yang lain iaitu bukan haji yang diwajibkan sekali seumur hidup. Oleh yang demikian, jika dia belum melaksanakan haji yang diwajibkan syara‘ ke atasnya, apabila berkemampuan wajib dia mendahulukan haji tersebut, kemudian barulah melaksanakan haji yang dinazarkannya. Dalam melaksanakan haji yang dinazarkan itu pula, jika dia tidak berupaya melaksanakannya sedangkan dia berkemampuan iaitu cukup bekalan untuk dirinya dan keluarga yang ditinggalkannya, maka boleh mengerjakan haji dengan perantaraan orang lain apabila mempunyai harta bagi membayar upah yang berpatutan kepada orang yang diupahnya ataupun tanpa upah jika orang yang diupah itu redha.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-8956

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص