Kesan Ihtilâm Dalam Ibadat
الجواب
Ihtilâm dari segi bahasa bermaksud apa yang dilihat oleh seseorang dalam tidurnya (mimpi). Menurut fuqahâ’ pula, ihtilâm ialah nama bagi apa yang dilihat oleh seseorang dalam tidurnya daripada perbuatan jimâ‘ (persetubuhan) dan selalunya disertai dengan keluar air mani.
Ihtilâm Tanda Bâligh
Ihtilâm itu boleh terjadi kepada lelaki dan perempuan. Apabila seseorang itu keluar air mani sama ada ketika dalam jaga ataupun tidur, itu menunjukkan dia sudah mencapai umur bâligh. Segala kewajipan seperti sembahyang, puasa dan sebagainya mula dipertanggungjawabkan ke atasnya.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Apabila anak-anak kamu telah sampai umur bâligh, maka hendaklah mereka meminta izin sama seperti cara orang (yang cukup umur) yang tersebut dahulu meminta izin. (Surah an-Nûr: 59)
Kesan Ihtilâm Dalam Mandi
Jika seseorang itu mengalami ihtilâm sama ada lelaki atau perempuan dan menyebabkannya keluar air mani maka wajib ke atasnya mandi wajib. Namun jika ihtilâm yang dialaminya itu tidak disertai dengan keluar air mani, maka tidak wajib ke atasnya mandi wajib.
Diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, beliau berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam ditanya tentang seorang lelaki yang mendapati basah (air mani) dan dia tidak ingat bahawa dia bermimpi. Baginda bersabda: “Hendaklah dia mandi”, dan (Baginda ditanya) tentang seorang lelaki yang menyangka bahawa dia telah bermimpi dan tidak mendapati basah. Baginda bersabda: “Tidak wajib ke atasnya mandi.” Ummu Sulaim berkata: “Jika perempuan bermimpi sedemikian (keluar air mani) adakah ke atasnya mandi? Baginda bersabda: “Ya, sesungguhnya perempuan-perempuan itu saudara-saudara kepada lelaki.” (Hadits riwayat Abu Daud)
Bila Perempuan Yang Ihtilâm Mandi Wajib?
Sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini bahawa perempuan yang ihtilâm dan keluar air mani diwajibkan ke atasnya mandi hadas besar. Ini dilihat lagi pada status perempuan itu dan keadaan air mani yang keluar.
Menurut pengarang kitab al-Hâwi bahawa perempuan yang dara diwajibkan mandi apabila keluar air mani sampai di luar farajnya. Namun jika ia keluar tidak sampai di luar farajnya maka tidak diwajibkan mandi. Ini kerana yang di dalam faraj itu mengikut hukum batin, sebagaimana juga perempuan yang dara tidak wajib membersihkan najis yang berada di dalam farajnya apabila beristinjâ’.
Berlainan halnya dengan perempuan yang bukan dara. Apabila keluar air maninya sama ada keluar sehingga di luar faraj ataupun tidak adalah diwajibkan ke atasnya mandi. Ini kerana perempuan yang bukan dara diwajibkan membersihkan najis yang berada di dalam farajnya apabila beristinjâ’.
Ternampak Air Mani Di Atas Tilam
Jika seseorang itu ternampak air mani di atas tilam yang dia dan orang lain juga tidur di atas tilam yang sama itu dan orang lain itu ialah orang yang sudah mencapai umur yang boleh keluar air mani, maka tidak diwajibkan ke atas kedua-dua mereka itu mandi wajib. Ini kerana air mani itu boleh sahaja datangnya daripada salah seorang daripada mereka dan mandi itu juga tidak wajib dengan adanya syak.
Walau bagaimanapun sunat ke atas mereka mandi dan tidak harus mereka berdua menjadi imam atau makmum di antara satu sama lain sebelum mereka mandi wajib.
Adapun jika dia seorang sahaja yang tidur di atas tilam tersebut ataupun dia tidur bersama dengan orang lain yang belum mencapai umur yang boleh keluar air mani seperti kanak-kanak, maka wajib ke atasnya mandi wajib.
Ihtilâm Orang Yang Baru Memeluk Agama Islam
Jika seorang kafir mengalami ihtilâm dan keluar air maninya lalu dia memeluk agama Islam, maka wajib ke atasnya mandi wajib. Berlainan halnya jika tidak terjadi perkara-perkara yang mewajibkan mandi ketika dalam kafirnya, maka sunat sahaja ke atasnya mandi.
Kesan Ihtilâm Dalam Puasa
Jika orang yang berpuasa keluar air maninya di siang hari Ramadhan disebabkan ihtilâm maka puasanya tidak batal. Diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda: “Tiga perkara yang tidak membuatkan orang puasa itu berbuka iaitu bekam, muntah dan mimpi.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Oleh itu hendaklah dia meneruskan puasanya kerana puasanya itu masih dihukumkan sah akan tetapi hendaklah dia mandi wajib kerana keluar air mani itu. Kesan Ihtilâm Dalam I‘tikâf Jika seseorang itu mengalami ihtilâm dan keluar air mani ketika dia sedang beri‘tikâf dalam masjid maka tidak batal i‘tikâfnya. Hendaklah dia segera mandi wajib agar tidak terputus hari yang berturut-turut apabila dia bernazar i‘tikâf dalam beberapa hari yang berturut-turut. Adapun waktu yang dia berada dalam keadaan junub itu adalah tidak dikira sebagai i‘tikâf.
Jika dia tidak dapat melakukan mandi wajib di dalam masjid maka wajib dia keluar daripada masjid kerana duduk diam dalam masjid dengan keadaan berjunub adalah haram. Namun jika dia dapat melakukannya di dalam masjid tanpa duduk diam di dalamnya maka harus baginya berbuat demikian akan tetapi lebih baik dia keluar kerana memelihara muruahnya dan kehormatan masjid.
Demikianlah penjelasan beberapa perkara mengenai kesan ihtilâm dalam ibadat yang perlu kita ketahui bagi memelihara dan mencapai kesempurnaan ibadat.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-9107
دليل الألوان
