Lelaki Memakai Gelang Untuk Tujuan Perubatan: Adakah Dibenarkan Syara‘?
الجواب
Kesihatan yang baik merupakan impian setiap insan. Ajaran Islam sendiri menganjurkan supaya umatnya sentiasa mengambil langkah-langkah yang perlu untuk menjaga dan meningkatkan kesihatan serta menjauhi segala macam penyakit dan kemudharatan. Bahkan, jika dinilai dan diamat-amati, dalam ibadat-ibadat yang disyariatkan oleh Islam sendiri banyak menyimpan rahsia yang semakin hari semakin terungkai dengan kemajuan ilmu sains dan perubatan. Misalnya ibadat sembahyang, pergerakan-pergerakan di dalamnya merupakan penawar kepada berbagai jenis penyakit zahir dan batin, di samping mampu memelihara tubuh badan dan meningkatkan daya kesihatan sebagaimana yang telah dibuktikan secara saintifik oleh kajian-kajian ahli pakar perubatan.
Bagaimanapun, sesuai dengan kesucian dan kemuliaan agama Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, Islam tidak sekali-kali membiarkan umatnya terpesong tanpa bimbingan dan batasan-batasan syara‘ yang penuh dengan hikmah dan rahsia. Atas dasar ini, Islam telah menetapkan garis panduan yang wajib dipatuhi oleh umatnya dalam berubat mahupun dalam menjaga dan meningkatkan kesihatan. Jadi tidak semua kaedah perubatan mahupun kaedah kesihatan itu dihalalkan atau dibenarkan oleh syara‘.
Salah satu kaedah perubatan dan kesihatan yang mendapat tempat dan perhatian kebelakangan ini ialah pemakaian gelang magnet. Menurut beberapa sumber, ianya dikatakan mampu menjaga kesihatan di samping mampu mengubati dan menjauhi berbagai jenis penyakit. Namun dalam hal ini, timbul satu persoalan, apakah hukumnya jika gelang ini dipakai oleh kaum lelaki? Ini kerana sebagaimana yang dimaklumi, gelang adalah jenis perhiasan yang hanya boleh dipakai oleh kaum perempuan.
Secara fitrahnya, lelaki dan perempuan diciptakan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berbeza bentuk rupa kejadian, berbeza kecenderungan, bahkan berbeza jenis pakaian serta perhiasan. Secara dasarnya menurut hukum syara‘, lelaki diharamkan meniru dan mengikut gaya keolahan perempuan dan diharamkan memakai pakaian-pakaian atau perhiasan-perhiasan khusus kaum perempuan dan begitulah juga sebaliknya.
Hukum Lelaki Memakai Gelang
Kaum lelaki haram memakai perhiasan-perhiasan yang dari segi syara‘ hanya dikhususkan bagi kaum perempuan seperti gelang, rantai ataupun subang, tidak kira sama ada perhiasan-perhiasan tersebut diperbuat daripada emas, perak, besi, magnet, kayu atau sebagainya.
Perbuatan lelaki yang menyerupai atau meniru perempuan ataupun sebaliknya ini merupakan suatu dosa besar kerana dilaknat oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Perkara ini berdasarkan sebuah hadits shahîh yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, beliau berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melaknat orang-orang lelaki yang menyerupai perempuan dan orang-orang perempuan yang menyerupai lelaki. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Dalam pengertian umum hadits ini, jelas sekali bahawa menurut hukum syara‘ kaum lelaki diharamkan meniru, menyerupai atau mengikut apa-apa sahaja ciri-ciri khusus kaum perempuan, sama ada gaya keolahan, pergerakan, perbuatan, perhiasan, pakaian, cara bercakap dan sebagainya. Begitu juga sebaliknya, diharamkan ke atas perempuan meniru, menyerupai atau mengikut apa-apa sahaja ciri-ciri khusus kaum lelaki.
Hukum Lelaki Memakai Gelang Untuk Kesihatan
Mengikut pengertian hadits yang telah disebutkan tadi, bahawa pada dasarnya kaum lelaki diharamkan memakai gelang kerana ia merupakan perhiasan kaum perempuan.
Walau bagaimanapun, diharuskan bagi kaum lelaki dalam keadaan-keadaan tertentu untuk memakai gelang jika terdapat keuzuran yang diiktiraf oleh syara‘. Ini diqiyâskan daripada pengharusan syara‘ bagi kaum lelaki untuk berinai apabila terdapat keuzuran yang mengharuskannya sebagaimana yang dikatakan oleh Imam ar-Ramli Rahimahulâh: “Maka haram berinai ke atas kedua-duanya (lelaki dan khuntsâ) kecuali kerana ada keuzuran.”
Adapun keuzuran yang dibenarkan oleh syara‘ itu pula tertakluk kepada dua pensyaratan:
1. Kerana tujuan berubat.
2. Kerana tidak terdapat cara lain lagi untuk mengubat.
Jika kedua-dua syarat yang telah ditetapkan oleh syara‘ ini menjadi sebab kenapa lelaki itu terpaksa memakai gelang, maka diharuskan bagi lelaki itu memakai gelang atas dasar keuzuran.
Sebaliknya, jika tuntutan kedua-dua syarat ini tidak menjadi sebab kenapa lelaki itu terpaksa memakai gelang, maka tidak ada kelonggaran dari segi syara‘ yang mengharuskan lelaki itu memakai gelang, apatah lagi memakainya kerana mengikut keolahan perempuan, atau kerana suka-suka, atau semata-mata kerana mengikut perkembangan trend atau fesyen semasa.
Perlu diambil perhatian di sini bahawa keshahîhan fungsi gelang itu memang benar-benar ubat dan terbukti keberkesanannya, begitu juga keshahîhan bahawa cara tersebut adalah merupakan satu-satunya kaedah perubatan yang mampu menyembuhkan penyakit yang dihidap oleh si pesakit. Ini hendaklah disahkan oleh seorang ahli perubatan Islam yang boleh dipertanggungjawabkan dan boleh dipercayai (bersifat ‘âdil).
Islam tidak menghalang umatnya daripada menjaga kesihatan, bahkan kesihatan itu sangat dititikberatkan oleh Islam. Ini kerana kesihatan yang baik sangat tinggi nilainya dan sangat besar peranannya dalam membantu insan melaksanakan tanggungjawab dan keperluan duniawi dan ukhrawi dengan lebih baik dan sempurna. Akan tetapi jangan sekali-kali dalam keghairahan menjaga kesihatan ini menyebabkan kita mengabaikan dan melanggar batasan syara‘, kerana yang demikian itu selain daripada menyebabkan dosa, ia juga menjauhkan keberkatan dan rahmat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Oleh yang demikian, selagi keberkesanan dan keshahîhan gelang magnet ini belum dapat dipastikan kebenarannya sebagai ubat, maka atas dasar taqwa, penggunaan gelang magnet ini sewajarnya ditinggalkan oleh kaum lelaki supaya tidak termasuk ke dalam golongan orang-orang yang dilaknat kerana menyerupai perempuan.
Kecuali ada kajian yang membuktikan kebenaran kaedah perubatan tersebut yang diiktiraf oleh seorang ahli perubatan Islam yang boleh dipertanggungjawabkan dan boleh dipercayai (bersifat ‘adil).
Sebagai alternatif lain, masih banyak lagi kaedah serta bahan perubatan dan kesihatan yang dianjurkan oleh Islam seperti berbekam, air Zamzam, kurma, madu, habbah as-saudâ’ dan lain-lainnya, di samping kaedah-kaedah perubatan moden lain yang tidak menyalahi syara‘.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-9118
دليل الألوان
