Mengalibabakan Lesen
الجواب
Menurut Kamus Dewan perkataan lesen bererti sijil atau dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa yang memberikan kebenaran kepada seseorang atau sesuatu pihak melakukan atau menggunakan sesuatu.
Tujuan lesen itu dikeluarkan ialah untuk memberi kebenaran kepada sesuatu projek atau aktiviti seperti berniaga, mendirikan bangunan, mendapatkan kawasan perindustrian dan sebagainya. Tanpa lesen projek atau aktiviti yang dilaksanakan akan bersalahan dengan kehendak undang-undang dan boleh diambil tindakan seperti didenda dan lain-lain.
Manakala istilah Ali Baba pula diertikan sebagai cara perusahaan yang memakai nama Melayu atau kelihatan sahaja dimiliki atau diuruskan oleh orang Melayu tetapi sebenarnya kepunyaan atau diselanggarakan oleh bangsa asing.
Daripada istilah ini timbullah ungkapan “orang Melayu yang mengalibabakan perniagaannya”. Maka ruangan Irsyad Hukum kali ini akan membicarakan tentang pandangan syara‘ terhadap orang-orang yang mengalibabakan lesennya.
Pada kebiasaannya mana-mana orang atau syarikat yang akan menjalankan sesuatu urusan seperti perniagaan, perindusterian, membina bangunan dan seumpamanya, hendaklah memohon kebenaran daripada pihak berkuasa untuk mendapatkan kebenaran atau lesen bagi menjalankan urusan tersebut.
Pengeluaran lesen berkenaan terhad bagi satu tempoh tertentu seperti satu tahun, dua tahun atau lebih. Setelah tempoh kebenarannya mansuh, pemegang lesen berkenaan dikehendaki membaharuinya bagi membolehkan pemegang meneruskan perniagaannya atau urusan-urusan yang tercatat dalam lesen itu.
Menurut undang-undang atau peraturan, hanya pemilik atau penama yang tercatat di dalam lesen berkenaan sahaja yang diboleh dan dibenarkan menjalankan perniagaan atau aktiviti atas nama lesen tersebut, manakala orang atau pihak lain yang tidak ada kaitan dengan lesen itu tidak berhak berbuat demikian. Jika berlaku sedemikian bererti dia telah menyalahi undang-undang atau peraturan itu.
Pemilik lesen wajib mematuhi persyaratan yang berkaitan dengan hak pemilikan lesen itu, termasuk tidak menyalahgunakannya seperti menyewakan kepada orang lain. Ini bererti pengeluaran atau pemberian lesen kepada seseorang di atas nama sendiri adalah berdasarkan persetujuan pihak pemberi/pengeluar lesen dan pemilik. Dengan itu lesen hanya boleh dijalankan menerusi syarat-syarat tertentu, seperti lesen tersebut hanya sah digunakan dalam tempoh satu tahun, hanya sah dan berfungsi bagi penama yang tercatat sahaja dan bagi kegunaan menjalankan urusan-urusan yang ditentukan sama ada perniagaan, perindustrian dan sebagainya.
Pada hukum syara‘, setiap syarat yang dipersetujui seperti ini wajib dipatuhi dan tidak boleh melanggarnya selama mana tidak terdapat dalam syarat tersebut perkara-perkara yang bertentangan dengan kehendak hukum syara‘, sebagaimana yang disebutkan dalam hadis:
Maksudnya: Dan semua orang Islam di atas syarat mereka, melainkan syarat yang mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram. (Hadis riwayat Tirmidzi)
Berdasarkan prinsip Islam, melanggar syarat-syarat yang telah dipersetujui itu adalah dilarang dan haram. Selain daripada itu, mematuhi undang-undang atau peraturan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa adalah wajib ditaati selagi ia tidak bertentangan dengan syara‘. Hal ini dijelaskan oleh Al-Qur’an:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil Amri (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu. (Surah An-Nisâ’: 59)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga memerintahkan supaya mentaati pemimpin atau pemerintah sekalipun yang memimpin itu seorang hamba. Baginda bersabda:
Maksudnya: Saya berpesan kepada kamu supaya kamu bertaqwa kepada Allah, dan supaya kamu dengar dan taat kepada pemerintah kamu, sekalipun yang memerintah itu seorang hamba Habsyi. (Hadis riwayat Ad-Darimi)
Dengan demikian, perbuatan menyewakan lesen kepada orang lain sama ada lesen berniaga dan seumpamanya adalah salah menurut undang-undang atau peraturan kerana tidak mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan. Pada pandangan syara‘ pula perbuatan tersebut adalah berdosa kerana sengaja khianat dan menyalahi syarat yang telah dipersetujui di antara pemilik lesen dengan pihak berkuasa semasa mula mendapatkan lesen tersebut, sedangkan agama Islam mewajibkan supaya mematuhi perjanjian dan syarat yang telah dipersetujui itu.
Menyewakan Lesen Kepada Orang Bukan Islam
Zaman sekarang kita dapati bidang perniagaan semakin berkembang dan setentunya pemilik lesen juga kian bertambah. Dengan perkembangan tersebut ada orang yang ingin mendapatkan untung dengan mudah atau cepat tanpa banyak usaha dengan menyewakan lesen atau seumpamanya.
Pada syara‘ orang Islam yang mempunyai lesen dan telah membuat persetujuan dengan pihak berkuasa mengenai syarat-syarat yang dikehendaki oleh lesen tersebut, tidak boleh menyewakan lesen tersebut kepada orang lain lebih-lebih lagi kepada orang bukan Islam. Apatah lagi lesen itu disewakan bagi tujuan membuka sebuah restoran atau kedai makan.
Untuk menarik dan memikat pelanggan Islam, restoran atau kedai makan tersebut dilabelkan dengan label halal dan diberi nama dengan nama-nama yang berbentuk Islam, padahal pengendali sebenar restoran itu bukan orang Islam, sedang pemilik sebenar lesen itu menjadi kongsi niaga yang tidur (sleeping partner). Mereka mengambil keuntungan hanya dengan menyewakan lesen tersebut tanpa melakukan apa-apa usaha. Maka di sini bukan sahaja wujud penipuan, bahkan ada unsur penghinaan terhadap Islam dengan penggunaan label-label halal tersebut. Orang-orang sedemikian boleh dilabelkan sebagai orang yang menjual agamanya kerana menukarkan label-label tersebut dengan harga yang sangat murah.
Perbuatan menghina agama seperti di atas adalah suatu dosa. Bahkan ianya boleh menjejaskan keislaman seseorang itu kerana perbuatan mengalibabakan lesennya itu menyebabkan orang Islam memakan makanan yang haram atau syubhah yang disediakan oleh restoran atau kedai makan itu kerana tertipu dengan label-label tersebut. Selain itu tanpa disedari perbuatan tersebut adalah termasuk dalam usaha menghalalkan yang haram.
Menjaga amanah sangat dititikberatkan oleh Islam, kerana mengkhianati amanah Allah dan RasulNya ialah dengan meninggalkan suruhanNya dan melanggar laranganNya. Manakala mengkhianati suatu amanah yang diberikan pula ialah mengkhianati amanah orang atau mana-mana pihak sama ada berupa harta benda atau rahsia, atau apa sahaja termasuk lesen yang diberikan kepada seseorang bagi menjalankan suatu urusan perniagaan, projek atau seumpamanya. Dengan itu tidak menyewakan apa jua lesen kepada orang lain bererti menjaga amanah.
Al-Qur’an dengan jelas melarang orang Islam melanggar amanah yang diberikan ke atas mereka. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu sedang kamu mengetahui (salahnya). (Surah Al-Anfâl: 27)
FirmanNya lagi:
Tafsirnya: (Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman iaitu;) dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya. (Surah Al-Mu’minûn: 8)
Allah Subhanahu wa Ta‘ala menjelaskan dalam ayat di atas bahawa orang-orang yang berjaya itu ialah orang-orang yang beriman dan apabila mereka memegang amanah, mereka tidak mengkhianatinya, bahkan mereka akan menjaganya serta menyerahkannya kepada yang empunya amanah tersebut; dan apabila mereka berjanji, mereka tidak mencabulinya, bahkan mereka akan menepatinya. Perbuatan khianat dan mencabul janji itu ialah sifat orang-orang munâfiq, sebagaimana yang disebut di dalam hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Antaranya sabda Baginda:
Maksudnya: Tanda orang munâfiq itu ada tiga iaitu apabila bercakap dia bohong, apabila diberi amanah dia khianat dan apabila berjanji dia memungkiri (janjinya). (Hadis riwayat Bukhari)
Ini bererti setiap orang Islam dikehendaki berlaku jujur dan amanah dalam semua pekerjaan, perniagaan dan perusahaannya. Syara‘ melarang sama sekali bercakap dusta, menipu dan mungkir janji, atau menangguh-nangguhkan masa tanpa alasan yang munasabah.
Islam memerintahkan supaya umatnya menunaikan dan menyempurnakan hak orang lain di dalam perkara-perkara mu‘âmalah seperti jual beli, sebagaimana etika yang dibuat dan ditunjukkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, di antara sabda Baginda:
Maksudnya: Allah menurunkan rahmatNya ke atas hamba yang murah hati ketika menjual, murah hati apabila membeli, dan lunak hati apabila menagih hutang. (Hadis riwayat Ibn Majah)
Khalifah Umar ibnu Al-Khaththab Radhiallahu ‘anhu pernah berpesan kepada sekalian peniaga Muslim, beliau berkata: “Tidak boleh menjual atau membeli di pasar, melainkan orang itu terlebih dahulu mengetahui hukum jual beli yang telah ditentukan oleh ilmu fiqh. Siapa yang tidak memenuhi syarat ini, dikhuatiri dia akan makan riba sedangkan dia tiada mengetahuinya.”
Pesanan ini ada kebenarannya, kerana telah biasa berlaku perkara-perkara yang menyalahi syara‘ dilakukan oleh peniaga- peniaga Muslim seperti menipu dan lain-lain, termasuklah perkara makan riba, sama ada ianya disedari atau tidak.
Larangan Menipu Dan Mengelirukan
Dalam perkara mu‘âmalah jual beli kadang-kadang terjadi tipu menipu, bersumpah dan cakap bohong semata-mata untuk mendapatkan keuntungan daripada barang jualan. Ingatlah, bahawa perbuatan seperti ini boleh menghalang dan menghakis berkat. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memberi peringatan kepada peniaga-peniaga dengan sabda Baginda:
Maksudnya: Sesungguhnya para peniaga adalah orang- orang yang melakukan dosa. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, tidakkah Allah telah menghalalkan jual beli?” Rasulullah menjawab: “Ya betul! Akan tetapi mereka bercakap namun mereka juga berbohong, dan mereka bersumpah akibatnya mereka juga berdosa”. (Hadis riwayat Ahmad)
Sabda Baginda Lagi:
Maksudnya: Awas, jangan banyak bersumpah dalam berjual beli, sesungguhnya ia memang melariskan tetapi kemudian menghilangkan berkat. (Hadis riwayat Muslim)
Salah satu contoh penipuan dalam perniagaan itu ialah apabila seorang Islam yang menjadi pemegang lesen restoran atau kedai makan, menyewakan lesennya itu kepada orang lain lebih-lebih lagi kepada orang bukan Islam bagi menjalankan perniagaan di restoran berkenaan. Ini bererti dia telah menyeleweng dan tidak amanah terhadap suatu perkara yang diberikan kepadanya oleh pihak pelesen.
Apabila lesen itu diserah atau disewakan kepada orang bukan Islam, lalu orang bukan Islam itupun bebas untuk menanda atau melabel restoran atau kedai makan itu dengan nama yang menunjukkan ianya seolah-olah dipunyai dan diurus oleh orang Islam, maka sekali lagi orang Islam itu tiada terlepas daripada dosa, iaitu dosa menipu dan memperdaya orang-orang Islam sendiri.
Satu lagi contoh penipuan di dalam jual beli ialah menyembunyikan hakikat sebenar bagi sesuatu benda dengan tujuan untuk memperdaya. Misalnya penjual menyembunyikan keretakan dinding rumah dengan dicat atau disapu kapur, menyembunyikan kerosakan pada enjin kereta, menjual binatang sakit, menjual ikan dengan menunjuk yang di atasnya jenis besar dan segar, sedang yang di bawahnya ialah ikan yang kecil atau tidak segar dan sebagainya. Hukum penipuan seperti ini juga adalah haram di sisi syara‘ kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Seorang Islam adalah saudara kepada seorang Islam yang lain. Tidak harus bagi seorang Islam menjual sesuatu kepada saudaranya, sedangkan barang itu cacat kecualilah dia menjelaskan kepada saudaranya itu tentang kecacatannya. (Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)
Berdasarkan penerangan di atas, adalah jelas bahawa Islam melarang berbuat khianat terhadap amanah yang diberikan. Islam juga melarang menipu, bercakap bohong dan menyembunyikan kecacatan dalam perkara jual beli lebih-lebih lagi menghina agama Islam kerana perbuatan tersebut boleh merosakkan akidah.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-9416
دليل الألوان
