Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المواريث٠ مشاهدة

Anak Yang Tidak Ada Hak Waris

الجواب

Perihal perwarisan dan harta pusaka tsabit disyariatkan di dalam Islam. Terdapat lapan ayat al-Qur’an yang menyebutkan mengenai perwarisan dan harta pusaka. Satu daripada ayat-ayat tersebut ialah firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Untuk orang-orang lelaki ada bahagian pusaka daripada harta peninggalan ibu bapa dan kerabat-kerabat dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka daripada harta peninggalan ibu bapa dan kerabat-kerabat sama ada sedikit atau banyak iaitu menurut bahagian yang telah ditetapkan (oleh Allah). (Surah an-Nisâ’: 7)

Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam juga menyebutkan mengenai perwarisan dan harta pusaka di dalam beberapa hadits Baginda, antaranya yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Berikan bahagian harta pusaka yang tertentu kepada ahli yang berhak. Kemudian bakinya adalah untuk yang lebih utama daripada kalangan lelaki (yang dekat daripada nasab lelaki). (Hadits riwayat al-Bukhari)

Sementara itu, para sahabat Radhiallâhu ‘anhum dan para tâbi‘în Rahimahumullâh Ta‘âlâ telah ijmâ‘ (sepakat) akan pensyariatan perwarisan dan harta pusaka di dalam Islam.

Harta pusaka atau disebut juga harta warisan ialah apa yang ditinggalkan oleh seseorang selepas kematiannya. Dalam Islam, hak waris bermula apabila kematian seseorang telah dipastikan dan hak-hak yang berkaitan dengan harta pusaka telah dilaksanakan. Hak-hak yang diwajibkan daripada harta pusaka itu ialah melaksanakan pengurusan jenazah si mati dengan cara yang berpatutan, membayar hutang piutang si mati sama ada hutangnya dengan manusia atau dengan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ seperti zakat, haji, nazar dan kaffârah. Setelah kedua-dua perkara tersebut dilaksanakan, hak yang diwajibkan daripada harta pusaka seterusnya ialah melaksanakan wasiat si mati dengan syarat tidak melebihi kadar 1/3 daripada harta pusaka itu dan bukan untuk ahli warisnya dan akhir sekali ialah pembahagian harta pusaka kepada ahli waris yang berhak.

Perwarisan Anak daripada Harta Pusaka Ibu dan Bapa

Wujudnya waris merupakan salah satu rukun dalam perwarisan harta pusaka. Waris ialah orang yang masih hidup yang berhak menerima pindah milik harta pusaka daripada si mati, ataupun berhak menerima sebahagian hartanya apabila wujud salah satu daripada sebab-sebab perwarisan.

Selain ikatan pernikahan, seseorang itu berhak mewarisi harta pusaka disebabkan pertalian nasab atau hubungan kekeluargaan yang hakiki. Apa yang dimaksudkan dengan nasab atau hubungan kekeluargaan yang hakiki dalam konteks perwarisan ialah adanya pertalian darah dan rahim (peranakan) atau adanya pertalian keturunan (darah daging) yang menghubungkan waris dengan si mati.

Anak adalah termasuk di dalam golongan waris yang berhak menerima harta pusaka disebabkan pertalian nasab atau hubungan kekeluargaan.

Dalam pembahagian harta pusaka menurut farâ’idh, anak lelaki adalah penerima ‘ashabah. ‘Ashabah dari segi istilah fiqh ialah setiap waris yang tidak ditentukan baginya kadar bahagian harta pusaka. Dia berhak menerima semua harta jika tidak ada waris lain yang berhak atau menerima baki harta yang telah dibahagikan terlebih dahulu kepada ashhâb al-furûdh (golongan waris yang menerima harta pusaka yang telah ditentukan kadarnya).

Anak lelaki sama ada seorang, dua orang atau lebih adalah berhak menerima semua harta pusaka jika dalam keadaan bersendirian iaitu tidak ada waris lain yang berhak. Harta pusaka dibahagikan sama rata jika terdapat dua atau lebih anak lelaki dalam keadaan tidak ada waris lain yang berhak. Jika si mati juga mempunyai anak perempuan, maka anak lelaki menerima dua bahagian dan anak perempuan menerima satu bahagian sahaja daripada harta pusaka tersebut. Ini berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Allah memerintahkan kamu dalam hal (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu. Bahagian untuk seorang anak laki-laki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. (Surah an-Nisâ’: 11)

Sementara itu, anak perempuan pula menerima harta pusaka dengan cara fardh jika si mati tidak ada anak lelaki. Fardh atau furûdh ialah bahagian yang ditentukan kadarnya yang Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ wajibkan bagi ahli waris daripada harta pusaka.

Kadar yang ditentukan bagi anak perempuan tunggal ialah ½ daripada harta pusaka jika si mati tidak mempunyai anak lelaki atau anak perempuan lain. Jika si mati mempunyai dua anak perempuan atau lebih dan tidak mempunyai anak lelaki, maka kadar yang ditentukan bagi setiap anak perempuan itu ialah 2/3 daripada harta pusaka.

Kadar bahagian ini adalah sebagaimana yang ditentukan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ di dalam firmanNya:

Tafsirnya: Tetapi jika anak-anak perempuan sahaja lebih daripada dua orang maka bahagian mereka ialah dua pertiga daripada harta yang ditinggalkan. Dan jika seorang anak perempuan sahaja maka bahagiannya ialah seperdua (separuh) daripada harta itu. (Surah an-Nisâ’: 11)

Jika si mati mempunyai anak lelaki, maka anak perempuan akan menerima harta pusaka dengan cara ‘ashabah iaitu anak perempuan menerima satu bahagian daripada baki harta yang telah dibahagikan kepada ashhâb al-furûdh dan anak lelaki menerima dua bahagian daripada baki harta tersebut sebagaimana yang telah dijelaskan.

Siapakah Anak yang Tiada Hak Waris Terhadap Harta Pusaka Ibu atau Bapanya?

Sebagai antara insan yang paling dekat, anak adalah penerima yang dirasakan berhak untuk menerima harta pusaka apabila bapa atau ibunya meninggal dunia. Sungguhpun demikian, tidak semua anak termasuk dalam kalangan ahli waris yang dimaksudkan syara‘ dan seterusnya berhak menerima harta pusaka ibu atau bapanya. Selain itu, tidak semua anak yang pada sepatutnya dari kalangan ahli waris, boleh menerima harta pusaka ibu atau bapanya. Siapakah anak yang tidak boleh mewarisi harta pusaka itu? Antara anak-anak yang tidak mewarisi harta pusaka ialah:

1. Anak tiri.

Anak tiri ialah anak kepada isteri daripada perkahwinannya yang terdahulu atau anak kepada suami daripada perkahwinannya yang terdahulu. Apabila seorang lelaki bernikah dengan seorang perempuan yang mempunyai anak hasil daripada perkahwinannya terdahulu, maka anak itu menjadi anak tiri kepada lelaki tersebut dan dia pula menjadi bapa tiri anak itu. Demikian juga dalam keadaan sebaliknya seorang perempuan menjadi ibu tiri kepada anak suami dengan isterinya yang dahulu dan anak itu adalah anak tiri perempuan tersebut. Dari segi hubungan haram bernikah, anak perempuan adalah mahram kepada bapa tirinya dengan syarat berlaku persetubuhan di antara ibu kandungnya dan bapa tirinya. Begitu juga, anak lelaki adalah mahram kepada ibu tirinya dengan syarat berlaku persetubuhan di antara bapa kandungnya dan ibu tirinya.

Walau bagaimanapun dalam perkara waris, hubungan mahram ini tidak menyebabkan anak tiri itu berhak menjadi ahli waris kepada bapa atau ibu tirinya. Ini adalah kerana suatu perwarisan itu hanya berlaku disebabkan oleh adanya hubungan nasab dan pertalian darah dengan si mati, disebabkan pernikahan yang sah dengan si mati, disebabkan hubungan wala’ iaitu apabila si mati adalah hamba yang dimerdekakan atau disebabkan oleh agama Islam iaitu apabila si mati tidak mempunyai seorang pun ahli waris dan harta pusaka itu diserahkan kepada Baitul-Mal untuk kemashlahatan orang- orang Islam.

2. Anak susuan.

Apabila seorang ibu menyusukan anak damit (kecil) orang lain (ajnabi) dan sah penyusuannya di sisi syara‘, maka wujud hubungan susuan di antara anak yang disusukan dengan ibu dan keluarga ibu yang menyusukan. Anak yang disusukan menjadi anak susuan kepada ibu yang menyusukan dan suami ibu yang menyusukan. Oleh kerana itu, berlaku ke atas hubungan susuan itu sebagaimana hubungan nasab dalam dua aspek hukum iaitu hukum haram nikah dan hukum tsabit halal dari segi pandangan aurat dan khalwat. Oleh sebab itu, tidak batal wudhu’ jika bersentuhan disebabkan hubungan susuan.

Akan tetapi, tidak tsabit hak perwarisan dengan sebab wujudnya hubungan susuan. Anak susuan tidak termasuk dalam ahli waris dan dia tidak boleh menerima harta pusaka ibu atau bapa susuannya. Ini kerana hukum-hakam perwarisan adalah khusus disebabkan nasab bukan disebabkan susuan.

3. Anak angkat.

Anak angkat tidak boleh menerima harta pusaka kerana tidak termasuk dalam kalangan ahli waris yang berhak menerima harta pusaka ibu atau bapa angkatnya. Anak angkat bukan mahram kepada ibu dan bapa angkatnya. Anak angkat tidak dinasabkan kepada bapa angkatnya. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:

Tafsirnya: Allah tidak menjadikan seseorang itu mempunyai dua hati dalam rongga dadanya. Dan Dia tidak menjadikan isteri-isteri yang kamu zhihârkan itu sebagai ibu-ibu kamu. Dan Dia juga tidak menjadikan anak-anak angkat kamu sebagai anak-anak kamu sendiri. Yang demikian itu hanyalah kata-kata kamu dengan mulut kamu sahaja dan Allah menerangkan yang benar dan Dialah yang menunjukkan jalan yang betul. Panggillah anak-anak angkat itu (dengan berbinkan) kepada bapa mereka sendiri, itu yang lebih adil di sisi Allah. Jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka maka mereka itu ialah saudara kamu seagama dan sebagai maulâ-maulâ kamu. Dan bukanlah suatu dosa ke atas kamu dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya tetapi (berdosa melakukan) apa yang disengajakan oleh hati kamu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih. (Surah al-Ahzâb: 4-5)

Demikian juga, anak angkat tidak ada pertalian darah atau rahim dengan ibu atau bapa angkatnya. Oleh kerana itu anak angkat tidak dapat menerima harta pusaka daripada kedua-duanya.

Berlainan halnya jika anak angkat itu memang dari kalangan ahli waris dan dzawil-arhâm kepada ibu atau bapa angkatnya. Sebagai contoh, anak kepada saudara kandung yang diambil menjadi anak angkat. Dalam keadaan ini, hak waris boleh berlaku disebabkan hubungan waris nasab dan dzawil-arhâm bukan disebabkan hubungan angkat. Walau bagaimanapun, perwarisan ini berlaku dengan syarat-syarat yang tertentu. Demikian juga perwarisan dzawil-arhâm sebagaimana menurut ulama muta’akkhir mazhab asy-Syafi‘i. Di samping itu, perlu diingat, anak angkat sama sekali tidak mewarisi harta pusaka suami kepada ibu saudara yang mengambilnya menjadi anak angkat atau harta isteri kepada bapa saudara yang mengambilnya menjadi anak angkat walaupun kedua-duanya merupakan bapa angkat atau ibu angkatnya kerana tidak wujud sebab-sebab yang membolehkan perwarisan. 4. Anak li‘ân.

Li‘ân ialah perkataan yang diketahui yang dijadikan hujjah oleh orang yang terpaksa untuk menuduh orang yang mencemari tempat tidurnya dan mendatangkan aib kepadanya atau tindakan menafikan anak.

Sementara itu, anak li‘ân pula ialah anak yang dilahirkan daripada hubungan pernikahan yang sah, akan tetapi si suami menafikan anak itu daripada nasabnya. Diputuskan penafian nasab anak itu baginya setelah berlaku sumpah li‘ân di antara suami dan isteri itu dengan mengikut cara yang ditetapkan oleh syara‘.

Apabila berlaku li‘ân, maka hubungan pernikahan suami dan isteri itu putus dan hubungan kedua-duanya menjadi mahram mu’abbad iaitu haram nikah untuk selamanya. Selain itu, dengan li‘ân juga hubungan nasab dinafikan. Disebutkan di dalam sebuah hadits shahîh yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ:

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menjatuhkan hukuman li‘ân ke atas seorang lelaki dan isterinya. Maka ternafi lelaki itu akan nasab anak kandungan isterinya itu. Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam memisahkan kedua-duanya dan menghubungkan anak tersebut dengan perempuan itu. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Oleh yang demikian, mengenai perwarisan anak li‘ân, apabila tsabit li‘ân, maka terputuslah hubungan waris di antara lelaki yang melakukan li‘ân dan anak li‘ân disebabkan terputusnya nasab di antara kedua-duanya. Demikian juga anak li‘ân tidak mempunyai hubungan waris dengan keluarga terdekat daripada sebelah bapa iaitu lelaki yang melakukan li‘ân kerana tidak ada sebab-sebab yang membolehkan hak waris iaitu hubungan keluarga yang tsabit disebabkan nasab.

Walau bagaimanapun, hubungan waris di antara anak li‘ân dan ibunya tetap tidak putus disebabkan hubungan nasab yang kekal di antara kedua-duanya. Begitu juga hubungan anak li‘ân dan keluarga terdekat daripada sebelah ibunya.

5. Anak zina.

Anak zina ialah anak yang lahir daripada perut ibunya bukan melalui jalan yang disyariatkan Islam, akan tetapi disebabkan perbuatan haram iaitu zina.

Lelaki yang melakukan zina tidak mempunyai hubungan nasab dengan anak yang lahir melalui perbuatan zina yang dilakukannya itu. Anak tersebut tidak dinasabkan kepadanya walaupun dia mengakui anak tersebut adalah anak hasil daripada perbuatan zina yang dilakukannya. Oleh yang demikian, anak tersebut bukan dari kalangan ahli warisnya atau tidak boleh mewarisi harta pusakanya apabila dia meninggal dunia.

Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada ‘Amru bin Syu‘aib, daripada bapanya, daripada datuknya, sesungguhnya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Setiap lelaki yang berzina dengan perempuan yang merdeka ataupun hamba, maka anak itu adalah anak zina, dia tidak mewarisi dan tidak diwarisi (akan lelaki itu dan keluarganya). (Hadits riwayat at-Tirmidzi) Anak yang lahir disebabkan zina dinasabkan kepada ibunya dan hanya mewarisi harta pusaka daripada ibunya atau sebelah ibunya sahaja.

6. Anak berlainan agama.

Perbezaan agama di antara anak dengan ibu atau bapanya menegah daripada berlakunya perwarisan di antara mereka. Menurut ijmâ‘ (kesepakatan) ulama, orang bukan Islam tidak boleh mewarisi harta pusaka orang Islam dan menurut jumhûr (sebahagian besar) ulama pula, orang Islam juga tidak boleh mewarisi harta pusaka orang bukan Islam. Dalam sebuah hadits shahîh yang diriwayatkan daripada Usamah bin Zaid Radhiallâhu ‘anhumâ, bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Seorang Muslim tidak mewarisi (harta pusaka) seorang kafir dan tidak pula seorang kafir itu mewarisi (harta pusaka) seorang Muslim. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Oleh yang demikian, seorang anak yang bukan Islam tidak boleh mewarisi harta pusaka bapa atau ibunya yang beragama Islam dan ibu atau bapa yang bukan beragama Islam tidak mewarisi harta pusaka anaknya yang beragama Islam.

Demikian juga, seorang anak yang beragama Islam tidak mewarisi harta pusaka ibu atau bapanya yang bukan Islam dan ibu atau bapa yang beragama Islam tidak berhak mewarisi harta pusaka anaknya yang bukan Islam.

7. Anak yang murtad.

Anak yang murtad tidak mewarisi harta pusaka ibu atau bapanya sekalipun dia kembali kepada Islam selepas ibu atau bapanya itu meninggal dunia. Sementara itu, harta pusaka anak yang murtad juga tidak boleh diwariskan kepada ahli waris kerana harta tersebut adalah dikira sebagai harta rampasan dan Baitul-Mal berhak menerimanya sama ada harta tersebut diperoleh ketika dia masih Islam atau ketika dia telah murtad. Adapun jika anak itu kembali kepada Islam sebelum dia meninggal dunia, maka hartanya dikembalikan kepadanya.

8. Anak yang membunuh ibu atau bapanya.

Orang yang membunuh tidak boleh menerima harta pusaka orang yang dibunuhnya sama ada orang yang membunuh itu seorang mukallaf ataupun tidak dan sama ada pembunuhan itu berlaku dengan sengaja ataupun tidak, dengan sukarela atau kerana terpaksa, dengan tidak ada hak atau dengan adanya hak seperti untuk mempertahankan dirinya daripada kemudharatan.

Berdasarkan ketetapan tersebut, maka seorang anak yang membunuh ibu atau bapanya adalah ditegah daripada menerima harta pusaka ibu atau bapanya.

Berlainan halnya pula, bagi orang yang dibunuh boleh sahaja mewarisi harta pusaka orang yang membunuhnya. Keadaan seperti ini boleh berlaku apabila seseorang mencederakan seseorang daripada kalangan ahli warisnya. Orang yang mencederakan itu meninggal dunia. Kemudian, orang yang dicederakan pula meninggal dunia akibat dicederakan itu. Maka dalam keadaan ini, orang yang dicederakan itu boleh mewarisi harta pusaka orang yang mencederakannya itu kerana tidak ada wujud sebarang tegahan ke atasnya daripada menerima harta pusaka selagi mana dia masih hidup ketika orang yang mencederakan itu telah meninggal dunia.

Pemberian Harta Melalui Hibah dan Wasiat

Anak yang berhak menerima harta pusaka ibu atau bapanya adalah anak kandung yang tsabit mempunyai hubungan nasab dan darah dengan ibu atau bapanya. Oleh kerana itu, anak tiri tidak berhak menerima harta pusaka ibu atau bapa tirinya. Demikian juga anak susuan tidak mewarisi harta pusaka ibu dan bapa susuannya. Anak li‘ân dan anak zina pula hanya berhak mewarisi harta pusaka ibu kandungnya. Demikian juga, anak angkat tidak boleh menerima harta pusaka ibu atau bapa angkatnya. Selain itu, anak yang berlainan agama, murtad dan anak yang membunuh ibu atau bapanya juga tidak boleh menerima harta pusaka ibu atau bapanya walaupun dia adalah anak kandung ibu atau bapanya.

Sungguhpun semua anak yang disebutkan ini tidak boleh menerima harta pusaka daripada ibu atau bapanya, ketetapan ini tidak bererti anak-anak tersebut sama sekali tidak boleh menerima harta ibu atau bapa mereka. Terdapat alternatif yang membolehkan mereka menerima harta ibu atau bapa mereka, antaranya melalui hibah dan wasiat dengan mengikut syarat-syarat yang ditentukan.

Hibah bermaksud penyerahan milik terhadap sesuatu benda secara sukarela tanpa sebarang imbalan semasa si pemberi masih hidup. Wasiat pula bermaksud pemberian suatu hak kepada seseorang selepas berlakunya kematian pewasiat.

Oleh yang demikian, pemberian harta kepada anak boleh dilakukan melalui hibah semasa ibu atau bapa masih hidup. Sementara itu, wasiat boleh dibuat jika seorang ibu atau bapa berhajat untuk memberi hartanya kepada anak yang bukan daripada kalangan ahli warisnya setelah dia meninggal dunia dengan tidak melebihi 1/3 daripada harta tersebut. Wasiat yang melebihi kadar tersebut adalah tertakluk kepada persetujuan ahli waris.

Demikian penjelasan mengenai kedudukan beberapa golongan anak dalam hukum perwarisan. Pengetahuan dalam perkara ini adalah perlu memandangkan perbalahan di antara ahli keluarga adakalanya berlaku hanya disebabkan masalah perwarisan harta pusaka. Sebagai irsyâd, perkara mengenai perwarisan ini hendaklah dirujuk kepada institusi yang berwajib seperti Mahkamah Syariah bagi mendapatkan pandangan dan pengesahan yang lebih jelas dan mu‘tamad.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-9501

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص