Suami Abaikan Nafkah:Bolehkah Isteri Mengambil Haknya Secara Sembunyi?
الجواب
Antara kewajipan seorang suami terhadap isteri serta orang-orang yang di bawah tanggungannya ialah memberikan nafkah. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam surah al-Baqarah, ayat 233:
Tafsirnya: Dan kewajipan bapa menanggung nafkah makan minum dan pakaian mereka dengan cara yang patut. (Surah al-Baqarah: 233)
Penunaian nafkah yang sempurna merupakan salah satu asas utama kestabilan dan keharmonian hidup berumah tangga. Jika ditunaikan sebagaimana yang sepatutnya, sesebuah keluarga itu akan dapat menelusuri kehidupan dengan selesa, penuh rukun dan harmoni. Sebaliknya, pengabaian nafkah pula akan menyebabkan krisis dan pergolakan yang lambat laun akan mengikis kestabilan dan keharmonian yang diharap-harapkan.
Isteri yang diabaikan penunaian nafkahnya adalah isteri yang teraniaya. Dalam keadaan terdesak, adakalanya mereka nekad mengambil hak mereka secara sembunyi di luar pengetahuan suami bagi memenuhi perbelanjaan diri atau anak-anak. Dari sudut pandangan syara‘, adakah seorang isteri mempunyai hak untuk berbuat demikian?
Sebelum membincangkan secara lebih lanjut mengenai perkara di atas, elok disebutkan di sini secara ringkas nafkah isteri yang wajib ditunaikan oleh suami.
Nafkah Isteri yang Wajib Ditunaikan oleh Suami
Hak-hak yang wajib ditunaikan oleh seorang suami terhadap isterinya adalah:
i. Makanan.
Suami wajib memberi nafkah makan kepada isterinya dengan makanan asasi bagi sesebuah negeri seperti beras di Negara Brunei Darussalam.
Bagi suami yang mampu atau kaya, dia wajib memberi nafkah sebanyak dua mudd, iaitu bersamaan dengan 1 kilo 133.70 gram beras. Manakala suami yang tidak mampu hanya wajib memberi satu mudd sahaja iaitu 566.85 gram bagi setiap hari. Adapun bagi orang pertengahan, wajib membayar 1 ½ mudd, iaitu bersamaan 850.275 gram.
Menurut Imam as-Syirazi Rahimahullâh pula adalah harus bagi suami memberi beras itu dengan nilaian harga jika suami isteri bersetuju.
Mazhab asy-Syafi‘i juga menetapkan bahawa pemberian nafkah tersebut pada setiap hari bermula dari terbit matahari. Walau bagaimanapun, adalah harus memberi nafkah itu dengan segera atau melambatkannya tertakluk kepada persetujuan suami isteri.
Termasuk juga dalam kategori makanan itu segala lauk-pauk, bahan-bahan rempah-ratus, minyak masak dan sebagainya. Suami juga wajib menyediakan alat dapur seperti tempat memasak, pinggan-mangkuk dan yang berkaitan dengannya.
ii. Pembantu bagi isteri yang kebiasaannya mempunyai pembantu.
Suami yang berkemampuan dituntut menyediakan pembantu jika isteri dari keluarga yang kebiasaannya mempunyai pembantu. Dalam hal ini, suami juga wajib membayar nafkah bagi pembantu tersebut seperti bayaran gaji, makan minum dan pakaiannya.
Menurut Imam as-Syirazi Rahimahullâh, suami hanya patut menyediakan seorang pembantu sahaja bagi isterinya dan pembantu itu adalah seorang perempuan atau seorang lelaki yang mempunyai hubungan mahram dengan isteri.
iii. Pakaian.
Menurut ulama, urusan menyediakan pakaian isteri tertakluk kepada kemampuan suami kerana tidak ada nash yang menentukan kadar dan jumlahnya. Akan tetapi hakim atau qadhi boleh menentukan kadar dan jumlahnya itu dengan mempertimbangkan keadaan dan kemampuan suami.
Termasuk dalam kategori pakaian yang wajib disediakan itu ialah milhafah (selimut), wisâdah (bantal), labîd (hamparan permaidani yang tebal atau tilam), hasyîr (tikar) dan lain-lain.
iv. Alat-alat pembersih badan dan pencuci pakaian, sikat dan sebagainya.
v. Rumah serta perkakas-perkakasnya.
Suami wajib menyediakan tempat tinggal atau rumah untuk isterinya sama ada dengan membeli, menyewa, meminjam atau didapatkan melalui waqaf.
Ulama juga mensyaratkan bahawa rumah yang disediakan itu hendaklah sempurna sebagaimana kelazimannya bagi sesebuah rumah. Ini bermaksud, rumah itu hendaklah lengkap mempunyai kemudahan-kemudahan utama seperti dapur dan perkakasnya, bilik air serta kemudahan-kemudahannya, alat-alat pencuci, peralatan makan minum dan lain-lain, kecuali bagi suami yang tidak mampu mengadakan kemudahan-kemudahan berkenaan.
Hukum Isteri Mengambil Nafkah di Luar Pengetahuan Suami
Pada kelazimannya, isteri biasanya diberi kepercayaan untuk menjaga dan mengatur harta suami serta mengurus perbelanjaan keluarga. Ini kerana wanita pada kebiasaannya lebih memiliki sifat teliti dan berhati-hati dalam membuat tindakan dan mengambil keputusan. Dengan sendirinya, dalam keadaan seumpama ini, isteri memiliki akses terhadap harta suami.
Di sini timbul persoalan, sekiranya hak-hak isteri yang disebutkan sebelum ini tidak dipenuhi, sama ada langsung tidak diberikan oleh suami atau nafkah yang diberikan itu tidak mencukupi, adakah boleh seorang isteri mengambil sebahagian daripada harta suaminya di luar pengetahuannya atau adakah perbuatan sebegini dianggap berdosa?
Perkara ini pernah berlaku kepada seorang isteri bernama Hindun binti ‘Utbah Radhiallâhu ‘anhâ, iaitu isteri kepada Abu Sufyan Radhiallâhu ‘anhu. Dia mengadukan hal tersebut kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, beliau berkata:
Maksudnya: Hindun bin ‘Utbah, iaitu isteri kepada Abu Sufyan telah datang menemui Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, lalu dia berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Abu Sufyan seorang lelaki yang kedekut dan dia tidak memberikan nafkah yang mencukupi untuk aku dan anakku, kecuali apa yang aku ambil sendiri daripada hartanya tanpa pengetahuannya. Adakah perbuatanku itu salah?” Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam lalu bersabda: “Ambillah daripada hartanya dengan cara yang ma‘rûf dalam kadar yang mencukupi keperluanmu dan keperluan anakmu.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam hadits di atas, Hindun Radhiallâhu ‘anhâ telah mengadukan kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bahawa sikap suaminya yang tidak menunaikan keperluan nafkah mereka dengan sempurna mendorong beliau untuk mengambil sebahagian daripada harta suaminya tanpa pengetahuannya bagi mencukupkan keperluannya serta keperluan anaknya. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam lalu memperakui perbuatan Hindun Radhiallâhu ‘anhâ itu dengan mensyaratkan bahawa hendaklah dia mengambil haknya itu secara ma‘rûf.
Berdasarkan hadits tersebut, para ulama telah mengistinbâthkan bahawa seorang isteri boleh mengambil hak nafkahnya tanpa pengetahuan suaminya sama ada untuk mencukupkan kadar nafkah yang wajib atau mengambilnya apabila langsung tidak diberikan. Ini diharuskan oleh syara‘ walaupun tanpa izin daripada hakim.
Maksudnya di sini, isteri hanya boleh berbuat demikian sekiranya suami tidak memberi nafkah atau tidak memberikannya dalam kadar yang sepatutnya. Sekiranya suami sudah menunaikan kewajipannya dengan memberikan nafkah secara yang sepatutnya, maka isteri tidak boleh sama sekali mengambil harta suami tanpa izin daripadanya.
Berkenaan kadar yang dibenarkan pula, menurut salah satu pendapat dalam mazhab asy-Syafi‘i yang dicenderungi oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam Syarh Shahîh Muslim, ia hendaklah dalam kadar “kifâyah” yakni kadar yang mencukupi atau kadar yang diperlukan. Maksudnya di sini ialah isteri dibolehkan mengambil haknya bagi mencukupkan keperluan dalam kadar yang dinilai sebagai cukup atau memadai menurut adat. Ini difahami daripada sabda Baginda “dengan cara yang ma‘rûf” yang membawa maksud kadar yang memadai dan mencukupi menurut penilaian adat. Selain itu, kadar tersebut juga hendaklah disesuaikan dengan keadaan dan kemampuan suami.
Jadi dapat difahami di sini bahawa tidak menjadi kesalahan dan dosa ke atas seorang isteri yang tidak diberikan kadar nafkah yang mencukupi mengikut keadaan dan kemampuan suami untuk mengambil sebahagian harta suami mereka tanpa pengetahuan mereka untuk mencukupkan keperluan nafkah mereka sepertimana yang jelas daripada kisah Hindun Radhiallâhu ‘anhâ yang disebutkan tadi.
Dapat juga difahami daripada hadits berkenaan bahawa tidak juga menjadi kesalahan dan dosa bagi seorang isteri mengambil sebahagian daripada harta suaminya tanpa pengetahuan mereka bagi memenuhi keperluan anak yang wajib dinafkahi seperti anak kecil atau anak yang fakir atau anak yang tidak dapat mencari rezeki kerana sakit yang berkekalan. Ini kerana seorang isteri juga memiliki peranan dalam mentadbir harta anak dan memberikan nafkah kepada mereka daripada harta bapa mereka. Bagaimanapun, perlu diingat bahawa hendaklah kadar yang diambil itu menurut hajat dan keperluan sahaja.
Apa yang perlu diberi perhatian di sini ialah hak yang diambil itu hendaklah digunakan secara bijaksana untuk keperluan dan hajat penting dan bukannya untuk dibazirkan secara boros dan tidak wajar.
Penutup
Walaupun syara‘ membenarkan isteri mengambil hak nafkah mereka yang tidak ditunaikan secara sepatutnya tanpa pengetahuan suami, ia bukanlah satu-satunya jalan penyelesaian. Sebagai irsyâd, adalah lebih baik mengadakan perbincangan dari hati ke hati terlebih dahulu sesama suami isteri bagi mengetahui punca permasalahan di samping mencari jalan penyelesaian serta meleraikan kekeliruan.
Mungkin sahaja suami terlalai dalam menunaikan tanggungjawabnya atau tersilap melakukan perkiraan atau sedang mengalami masalah kewangan. Sekiranya perundingan gagal dan kata sepakat tidak diperolehi, maka jika tidak dikhuatiri menimbulkan sengketa, mudharat dan permasalahan, tidaklah menjadi kesalahan sekiranya seorang isteri melakukan sepertimana yang dilakukan Hindun Radhiallâhu ‘anhâ kerana perlakuan ini diizinkan sendiri oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dengan syarat hendaklah dilakukan secara ma‘rûf dan menurut sukat-sukat syara‘.
Jika tidak dapat dibuat sedemikian maka bolehlah diadukan perkara tersebut kepada pihak-pihak berkenaan yang mengendalikan perkara yang berkaitan dengan keluarga dan rumah tangga seperti kes-kes pemberian nafkah dan sebagainya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-9510
دليل الألوان
