Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة٠ مشاهدة

Berkata-Kata Yang Membatalkan Sembahyang

الجواب

Melakukan perkara-perkara yang membatalkan sembahyang itu boleh menyebabkan sembahyang seseorang itu belum dianggap bersembahyang serta belum terangkat tanggungan wajib sembahyang ke atasnya dan wajib baginya mengulang sembahyangnya yang batal atau rosak itu.

Sebab-sebab yang membatalkan sembahyang ada tiga:

1. Meninggalkan salah satu syarat-syarat sah sembahyang.

2. Meninggalkan salah satu rukun-rukun sembahyang.

3. Melakukan salah satu daripada perkara-perkara yang ditegah dalam sembahyang. Antara perkara yang ditegah itu adalah berkata-kata dalam sembahyang.

Berkata-kata Boleh Membatalkan Sembahyang Berdasarkan Hadits

Berkata-kata dalam sembahyang bermaksud perlafazan perkataan atau kalimah selain daripada ayat-ayat al-Qur’an, zikir dan do‘a ketika sembahyang. Maka jika seseorang melakukan perbuatan berkata-kata secara sengaja sedangkan dia mengetahui tentang tegahan itu, maka batal sembahyangnya. Begitu juga batal sembahyang seseorang yang dipaksa untuk berkata-kata dalam sembahyang kerana perkara seumpama ini (memaksa orang lain berkata-kata dalam sembahyang) jarang-jarang berlaku.

Diriwayatkan daripada Zaid bin Arqam Radhiallâhu ‘anhu, katanya:

Maksudnya: Kami (para sahabat) bercakap-cakap dalam sembahyang pada zaman Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Seseorang daripada kami yang bercakap-cakap dengan sahabat yang lain mengenai hajatnya, sehinggalah turun (ayat yang tafsirnya): ((Peliharalah (kerjakan dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardhu)), maka kami diperintahkan untuk diam. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Dalam kitab Fath al-Bâri Syarh Shahîh al-Bukhari, Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh ada menjelaskan bahawa (sebelum turunnya ayat di atas) para sahabat dalam sembahyang hanya berkata-kata pada perkara yang dihajati seperti menjawab salam dan yang seumpamanya, tidak berkata-kata mengenai semua perkara.

Hadits daripada perâwi yang sama juga diriwayatkan oleh Imam Muslim Rahimahullâh. Zaid bin Arqam Radhiallâhu ‘anhu, berkata:

Maksudnya: Kami (para sahabat) bercakap-cakap dalam sembahyang. Seorang lelaki bercakap dengan sahabatnya dan sahabatnya itu berada di sisinya di dalam sembahyang, sehinggalah turun (ayat yang tafsirnya): ((Dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyû‘)), maka kami diperintahkan untuk diam dan kami dilarang daripada berkata-kata. (Hadits riwayat Muslim)

Berdasarkan hadits di atas, para ulama bersepakat bahawa berkata-kata dalam sembahyang bagi orang yang mengetahui tentang pengharamannya dalam sembahyang dan sengaja melakukannya akan membatalkan sembahyangnya.

Dalam sebuah riwayat yang lain, Mu‘awiyah bin al-Hakam as-Sulami Radhiallâhu ‘anhu menceritakan bahawa beliau sedang mendirikan sembahyang bersama Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan pada ketika itu seorang lelaki bersin lantas beliau mendo‘akannya dengan mengucapkan (ertinya: “Semoga Allah merahmati awak”). Sebaik-baik sahaja mereka selesai sembahyang, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya ini adalah sembahyang. Tidak sesuai ada di dalamnya sesuatu daripada percakapan manusia. (Yang dibenarkan di dalamnya) hanyalah tasbîh, takbîr dan membaca al-Qur’an. (Hadits riwayat Muslim)

Hadits di atas menjelaskan mengenai larangan berkata-kata dalam sembahyang sama ada kerana hajat atau tidak, sama ada kerana mashlahah sembahyang atau yang selainnya. Ia juga berupa penjelasan mengenai larangan tashmît, yakni mendo‘akan orang yang bersin dengan berkata: ketika sembahyang kerana ia termasuk dalam maksud percakapan manusia yang diharamkan dalam sembahyang dan batal sembahyang orang yang tahu namun sengaja melakukannya.

Jika seseorang berhajat untuk memberi peringatan seperti ma’mum mengingatkan imam yang terlupa bacaan, maka ma’mum hendaklah bertasbîh dengan menyebut ucapan dengan tujuan zikir atau dengan tujuan zikir serta pemberitahuan jika ma’mum itu seorang lelaki. Ataupun menepuk tangan iaitu dengan menepuk perut tapak tangan kanan ke atas belakang tapak tangan kiri bagi mengingatkan imam yang terlupa bacaan jika ma’mum itu seorang perempuan.

Berkata-kata yang Membatalkan Sembahyang

Ulama mazhab asy-Syafi‘i mengatakan bahawa sembahyang seseorang menjadi batal dengan percakapan yang dilafazkannya secara sengaja atau kerana dipaksa, sama ada dengan bahasa Arab atau bahasa yang lainnya, yang terdiri daripada dua huruf yang berturutan, sama ada dua perkataan itu difahami atau tidak. Ini kerana pembinaan perkataan itu kebiasaannya adalah sekurang-kurangnya dengan dua huruf. Contoh perkataan bahasa Arab yang terdiri daripada dua huruf, seperti (berdiri/bangkit), (dari/daripada) dan lain-lain. Contoh perkataan bahasa Melayu yang terdiri dari dua huruf pula adalah seperti ‘oi’ ‘oh’ atau ‘ok’.

Begitu juga batal sembahyang dengan lafaz yang terdiri daripada satu huruf yang dapat memberi faham kepada orang lain dengan hurufnya itu sendiri walaupun lafaz huruf itu bukan bertujuan untuk memahamkan orang lain. Sebagai contoh bererti ‘peliharalah’ atau bererti ‘sedarlah’ atau bererti ‘tunaikanlah’.

Menyebut satu huruf yang dibunyikan panjang selepasnya seperti ( ) juga membatalkan sembahyang. Ini kerana huruf yang dipanjangkan itu pada hakikatnya adalah dua huruf menurut pendapat yang ashah (yang lebih shahîh) walaupun tidak difahami apa yang disebutkan.

Sekiranya seorang berkata-kata dalam sembahyang kerana tidak sengaja atau terlepas cakap tanpa ada apa-apa maksud atau dia lupa dirinya sedang bersembahyang atau dia jahil akan tegahan berkata-kata dalam sembahyang kerana baru memeluk Islam atau jahil akan tegahan kerana kedudukannya yang jauh dari ulama umpamanya, maka perbuatannya berkata-kata itu dimaafkan dan tidak batal sembahyangnya. Dengan syarat, percakapan tersebut adalah dalam kadar yang sedikit. Sekiranya kadar kata-kata itu banyak, maka batal sembahyangnya. Ini kerana perbuatan itu dikira memutus susunan dan pergerakan sembahyang.

Kata-kata yang sedikit diukur mengikut kebiasaan suatu tempat. Disebutkan dalam kitab Fath al-‘Allâm susunan Imam al-Jurdani Rahimahullâh, bahawa kata-kata yang sedikit yang tidak membatalkan sembahyang ialah kata-kata yang secara kebiasaannya tidak melebihi enam patah perkataan. Sekiranya dia menyebutnya lebih daripada enam patah perkataan maka batal sembahyangnya walaupun tidak sengaja, terlepas cakap tanpa ada apa-apa maksud, dia lupa dirinya sedang bersembahyang atau dia jahil akan tegahan berkata-kata dalam sembahyang.

Berkata-kata dengan Menggunakan Ayat Al-Qur’an dan Zikir dalam Sembahyang

Tidak batal sembahyang seseorang yang berkata-kata dalam sembahyangnya dengan menggunakan ayat al-Qur’an dan zikir jika ayat al-Qur’an, zikir atau do‘a itu dilafazkan bertujuan untuk membaca al-Qur’an, membaca zikir atau membaca do‘a, bukan semata-mata bertujuan untuk memberi pemahaman atau pemberitahuan sahaja.

Jika ayat al-Qur’an, zikir atau do‘a itu dilafazkan bertujuan untuk membaca al- Qur’an, zikir atau do‘a dan juga bertujuan untuk memberi pemahaman dan pemberitahuan, maka yang demikian itu tidak membatalkan sembahyangnya. Sebagai contoh ma’mum memberi peringatan kepada imam dengan lafaz ketika imam bangkit untuk rakaat yang kelima umpamanya ataupun ma’mum menyebut kalimah atau ayat al-Qur’an ketika imam terhenti bacaannya disebabkan lupa kalimah atau ayat al-Qur’an tersebut.

Sekiranya ayat al-Qur’an, zikir atau do‘a itu dilafazkan bertujuan untuk memberi pemahaman atau peringatan semata-mata, maka batal sembahyang orang itu. Zikir atau do‘a yang harus dilafazkan dalam sembahyang pula adalah berupa zikir, do‘a yang disunatkan (ayat-ayat daripada al-Qur’an ataupun yang ma’tsûr daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam) atau yang tidak disunatkan namun lafaznya hendaklah dalam bahasa Arab.

Selain itu, kata-kata zikir atau do‘a itu tidak ditujukan kepada selain Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Sekiranya ditujukan kepada selain Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, maka batal sembahyangnya. Sebagai contoh seorang yang sedang sembahyang mendo‘akan sahabatnya yang bersin dengan berkata: (ertinya:“Semoga Allah merahmati awak”).

Begitu juga batal sembahyangnya jika zikir dan do‘a yang dilafazkan itu dengan suatu perkara yang lain. Sebagai contoh seseorang dalam sembahyang berkata: (ertinya:“Maha Suci Allah, dengan izin Allah”) ataupun dia berkata: (ertinya: “Ya Allah, ampunilah aku jika Engkau mahu”).

Berkata-kata selain daripada ayat al-Qur’an, zikir dan do‘a dengan sengaja atau dipaksa boleh membatalkan sembahyang sebagaimana penjelasan di atas. Walaupun tidak semua bentuk kata-kata yang dilafazkan itu membatalkan, namun seseorang itu perlu berhati-hati agar tidak melakukan kesilapan yang boleh menyebabkan sembahyangnya terbatal.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-9519

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص