Terhasilkah Rujû‘ Dengan Bersetubuh?
الجواب
Apabila suami menthalaq isterinya maka hubungan di antara mereka berdua adalah terbatas seperti orang asing. Apa yang menariknya, syariat Islam telahpun menetapkan satu kaedah untuk suami boleh kembali ke pangkuan isterinya iaitu dengan rujû‘. Rujû‘ dilihat sebagai peluang bagi suami untuk kembali kepada isterinya setelah diceraikannya. Namun suami yang ingin kembali kepada isterinya hendaklah memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat rujû‘ supaya rujû‘ yang dilakukannya itu dikira sah.
Dalam perkara rujû‘ ini, ada sebilangan masyarakat beranggapan suami yang menyetubuhi isterinya setelah diceraikannya dikira sebagai rujû‘. Adakah perbuatan suami sebegini dikira sebagai rujû‘ yang sah menurut mazhab asy- Syafi‘i?
Pengertian Rujû‘
Pengertian rujû‘ dari segi bahasa ialah saat untuk kembali. Manakala rujû‘ dari segi syara‘ pula ialah suami (atau wakilnya atau wali isterinya) mengembalikan isterinya kepada nikah dalam masa ‘iddah daripada thalaq yang bukan bâ’in iaitu thalaq satu atau dua dengan syarat-syarat tertentu. Dalil pensyariatan rujû‘ itu ialah firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam surah al-Baqarah, ayat 228:
Tafsirnya: Dan suami mereka berhak merujû‘ isteri-isteri mereka dalam masa ‘iddah mereka sekiranya mereka bertujuan hendak berdamai. (Surah al-Baqarah: 228)
Selain al-Qur’an, rujû‘ juga tsabit berdasarkan hadits Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ:
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah menthalaq Hafshah kemudian (Baginda) merujû‘nya kembali. (Hadits riwayat Abu Daud)
Antara hikmah pensyariatan rujû‘ ini, adakalanya berlaku suami yang merasa menyesal melafazkan ucapan thalaq kepada isterinya dan berkeinginan untuk merujû‘ isterinya itu, maka bolehlah kembali semula kepadanya dengan melafazkan ucapan rujû‘.
Rukun Rujû‘ dan Syaratnya
Rujû‘ mempunyai tiga rukun. Berikut diterangkan ketiga rukun tersebut dengan syarat-syaratnya:
1. Murtaji‘ iaitu suami.
Syarat suami yang sah merujû‘ isterinya ialah hendaklah suami itu sendiri mempunyai kelayakan untuk bernikah iaitu bâligh, berakal dan rela hati. Maka sah rujû‘ orang yang dalam berihrâm, orang mabuk dan orang yang bodoh. Tetapi tidak sah rujû‘ dari kanak-kanak, orang gila, dipaksa dan murtad.
Jika suami menthalaq isterinya, kemudian selepas itu suami menjadi gila, maka sah wali merujû‘ bagi dirinya.
2. Shîghah (ucapan rujû‘).
Ucapan rujû‘ terbahagi kepada dua iaitu secara terang (sharîh) dan secara kiasan (kinâyah).
a. Ucapan rujû‘ secara terang (sharîh):
Rujû‘ terhasil dan dikira sebagai ucapan rujû‘ secara terang (sharîh) dengan menggunakan lafaz “rujû‘” seperti “aku merujû‘mu”. Ucapan lafaz rujû‘ juga akan terhasil dengan bahasa lain selain bahasa Arab yang memberi makna rujû‘, sama ada orang yang melafazkan itu mengetahui bahasa Arab ataupun tidak mengetahuinya.
Ucapan lafaz rujû‘ tidak disyaratkan disandarkan kepada orang yang merujû‘ iaitu suami. Umpamanya suami berkata: “Awak dirujû‘ kepadaku”, bahkan sunat sahaja.
Rujû‘ tidak terhasil dengan hanya menyebut perkataan rujû‘ tanpa menyebut siapa yang rujû‘ itu, seperti suami hanya berkata: “Aku merujû‘”. Perkataan rujû‘ itu mesti disandarkan dengan jelas kepada orang tertentu umpamanya suami berkata kepada isteri yang hendak dirujû‘nya: “Aku merujû‘ Fulanah”. Ataupun suami berkata: “Aku merujû‘ engkau”.
Selain perkataan rujû‘, perkataan “kembali” (ar-radd) dan perkataan “pegang” (al-imsâk) juga antara perkataan ucapan rujû‘ secara terang (sharîh). Contoh ucapan rujû‘ menggunakan perkataan “kembali” (ar-radd) ialah “aku kembali kepadamu”, dan contoh ucapan rujû‘ menggunakan perkataan “pegang” (al-imsâk) ialah “aku pegang akan dikau.”
Kedua-dua perkataan ucapan rujû‘ secara terang (sharîh) ini disebutkan dalam al-Qur’an. Perkataan “ar-radd” disebutkan dalam surah al-Baqarah, ayat 228. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan suami mereka berhak merujû‘ isteri-isteri mereka … (Surah al-Baqarah: 228)
Sementara perkataan “al-imsâk” disebutkan dalam surah ath-Thalâq, ayat 2. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Bolehlah kamu pegang mereka (rujû‘) dengan cara yang baik. (Surah ath-Thalâq: 2)
b. Ucapan rujû‘ secara kiasan (kinâyah).
Antara ucapan rujû‘ secara kiasan (kinâyah) contohnya ialah dengan menggunakan perkataan “kahwin”. Umpamanya suami berkata kepada isteri yang dithalaq raj‘i (thalaq satu atau thalaq dua): “Aku mengahwini engkau”, ataupun dengan menggunakan perkataan “nikah” seperti: “Aku nikahi engkau”. Ucapan rujû‘ secara kiasan (kinâyah) adalah sah, tetapi hendaklah disertai dengan niat.
• Tidak sah rujû‘ dengan ta‘lîq dan ta’qît.
Rujû‘ tidak sah jika dengan ta‘liq iaitu lafaz yang bergantung, seperti suami berkata kepada isterinya: “Aku rujû‘ engkau jika engkau mahu”. Rujû‘ juga tidak sah jika dengan ta’qît iaitu lafaz yang berwaktu, seperti suami berkata kepada isterinya: “Aku rujû‘ engkau dalam masa sebulan.”
3. Isteri.
Untuk membolehkan suami merujû‘ kembali isteri yang dithalaqnya, isteri tersebut hendaklah memenuhi enam syarat berikut:
a. Isteri tersebut tidak dithalaq dengan thalaq tiga. Ini kerana suami yang menthalaq isterinya dengan thalaq tiga tiada hak untuk merujû‘ isterinya kembali.
b. Isteri tersebut dithalaq setelah disetubuhi. Ini kerana tidak ada ‘iddah bagi isteri yang dithalaq sebelum disetubuhi. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman mengenai ‘iddah bagi perempuan yang belum disetubuhi dalam surah surah al-Ahzâb, ayat 49:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang beriman, kemudian kamu menceraikan mereka sebelum kamu menyentuh (menyetubuhi) mereka maka tiadalah kewajipan atas mereka ber‘iddah buat kamu. (Surah al-Ahzâb: 49)
c. Isteri tersebut dithalaq bukan dengan tebusan (‘iwadh) darinya atau daripada orang lain. Ini kerana tidak ada ‘iddah bagi isteri yang menebus thalaqnya sendiri.
d. Isteri tersebut masih dalam tempoh ‘iddah setelah dithalaq suaminya sebagaimana Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman dalam surah al- Baqarah, ayat 231:
Tafsirnya: Apabila kamu menceraikan isteri-isteri kamu, lalu (hampir) habis tempoh ‘iddah mereka, bolehlah kamu pegang (rujû‘) mereka dengan cara yang baik... (Surah al-Baqarah: 231)
Apabila isteri yang dithalaq habis tempoh ‘iddah maka suami boleh menikahi semula dengan bekas isterinya jika dia mahu kembali bersama. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri kamu lalu telah habis masa ‘iddah mereka, maka janganlah kamu (para wali nikah) menghalang mereka daripada berkahwin semula dengan (bekas) suami mereka, jika mereka (bekas suami isteri) itu bersetuju sesama sendiri dengan cara yang baik. (Surah al-Baqarah: 232)
Ataupun isteri tersebut belum menjalani tempoh ‘iddah setelah dithalaq, seperti isteri yang dithalaq ketika dalam haidh. Ini kerana ‘iddah thalaqnya bermula apabila dia suci daripada haidh.
e. Isteri tersebut dalam keadaan yang boleh dirujû‘ seperti isteri tidak dalam keadaan murtad. Bahkan juga tidak sah rujû‘ jika suami atau kedua suami isteri dalam keadaan murtad. Ini kerana walaupun rujû‘ itu bermaksud menghalalkan kembali pernikahan akan tetapi murtad menafikan kehalalan itu.
f. Isteri yang dirujû‘ hendaklah ditentukan. Dalam hal suami yang mempunyai lebih daripada seorang isteri, umpamanya dua orang isteri, jika suami menthalaq salah satu daripada dua orang isterinya tetapi tidak ditentukan yang mana satu, ataupun menthalaq kedua-dua isterinya tetapi tidak ditentukan isteri yang mana satu yang dirujû‘nya, maka rujû‘ seperti ini adalah tidak sah.
Terhasilkah Rujû‘ dengan Bersetubuh?
Sebagaimana disebutkan sebelum ini bahawa dalam mazhab asy-Syafi‘iyyah shîghah rujû‘ akan terhasil hanya dengan menggunakan ucapan. Sama ada ucapan sharîh ataupun ucapan kinâyah. Namun kadang kala ada juga suami kembali kepada isterinya tanpa melafazkan lafaz rujû‘ tetapi dengan perbuatan yang menunjukkan yang dia kembali kepada isterinya. Dengan demikian mereka tidak lagi membatasi pergaulan mereka malah suami menyentuh, mengucup dan menyetubuhi isterinya dengan anggapan atau keyakinan bahawa perbuatan sedemikian adalah dikira sebagai rujû‘ yang sah. Jadi apakah kedudukan hukum rujû‘ sebegini?
Imam asy-Syafi‘i Rahimahullâhu Ta‘âlâ berkata dalam kitabnya al-Umm:
Ertinya: Sesungguhnya rujû‘ adalah dengan ucapan, bukan dengan perbuatan seumpama persetubuhan dan selainnya kerana rujû‘ sedemikian dilakukan tanpa ucapan. Justeru itu, tidak tsabit rujû‘ bagi seorang suami terhadap isterinya sehingga dia mengucapkan perkataan rujû‘.
Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitabnya Minhâj ath-Thâlibîn juga berkata:
Ertinya: Dan tidak terhasil (rujû‘) dengan perbuatan seperti persetubuhan (dan pendahuluan jimâ‘).
Imam Ibnu Hajar al-Haithami Rahimahullâhu Ta‘âlâ menjelaskan perkataan Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ itu dengan berkata: “Walaupun perbuatan bersetubuh itu disertakan dengan niat rujû‘ (tetap juga rujû‘ tidak terhasil).”
Perlu diambil perhatian, huraian hukum rujû‘ tidak terhasil dengan persetubuhan yang disebutkan ini adalah berdasarkan mazhab asy-Syafi‘i.
Dalam mazhab asy-Syafi‘i batas pergaulan suami dengan isterinya yang telah dithalaq adalah terbatas seperti orang asing (ajnabiyyah). Suami bukan sahaja haram bersetubuh dengan isterinya yang diceraikannya itu bahkan juga haram melihat auratnya walaupun tanpa syahwat selagi suami belum merujû‘nya kembali.
Kesan Persetubuhan Sebelum Rujû‘
Apa yang jelas daripada huraian sebelum ini, rujû‘ hanya akan terhasil dengan ucapan rujû‘ daripada suami. Maka tidak sah rujû‘ dengan perbuatan seperti menyetubuhi isteri ketika dalam ‘iddah. Bahkan perbuatan sedemikian adalah dikira sebagai dosa besar ke atas sesiapa yang tahu akan perbuatan melakukan persetubuhan dengan isterinya yang dithalaq ketika masih dalam ‘iddah yang belum dirujû‘ itu adalah haram. Imam Ibnu Hajar al-Haithami Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitabnya az-Zawâjir berkata: “Antara dosa besar yang ke 284 ialah menyetubuhi isteri yang dithalaq raj‘i sebelum merujû‘nya bagi orang yang meyakini bahawa melakukan persetubuhan itu adalah haram.”
Namun jika orang itu tidak tahu bahawa hukum melakukan persetubuhan dengan isterinya yang dithalaq raj‘i ketika dalam ‘iddah raj‘i itu adalah haram maka tidaklah dia dikenakan hukuman hadd dan tidak juga dihukum ta‘zîr sebagaimana disebutkan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitabnya Minhâj ath-Thâlibín:
Ertinya: Maka jika (suami) menyetubuhi (isterinya ketika dalam tempoh ‘iddah) tidaklah dikenakan hukum hadd dan tidak juga dihukum ta‘zîr melainkan jika dia meyakini (bahawa perbuatan bersetubuh itu) hukumnya adalah haram.
Selain itu, suami yang menyetubuhi isterinya yang telah dithalaq raj‘i tanpa melafazkan ucapan rujû‘ ketika masih dalam ‘iddah adalah diwajibkan membayar mahar mitsil (iaitu kadar mahar yang ditentukan mengikut kebiasaannya pada nasab dan sifat daripada ‘ashabahnya di sebelah perempuan). Ini kerana dalam tempoh itu mereka adalah diharamkan bersetubuh. Samalah juga jika suami merujû‘ isterinya selepas habis tempoh ‘iddah, suami juga wajib membayar mahar.
Maka dengan huraian itu, dapatlah disimpulkan bahawa dalam mazhab asy-Syafi‘i rujû‘ tidak terhasil dengan perbuatan seperti bersetubuh. Rujû‘ hanya akan terhasil dengan ucapan iaitu sama ada dengan ucapan rujû‘ secara terang (sharîh) ataupun ucapan rujû‘ secara kiasan (kinâyah) sebagaimana diterangkan sebelum ini.
Apa yang perlu diambil perhatian dari penjelasan itu ialah bukan sahaja rujû‘ tidak akan terhasil dengan perbuatan bersetubuh dalam tempoh ‘iddah, tetapi juga kesan persetubuhan itu akan menyebabkan suami dikenakan membayar mahar mitsil jika dia tahu bahawa melakukan persetubuhan bersama isterinya yang telah dithalaq raj‘i semasa dalam tempoh ‘iddah adalah haram.
Jadi berhati-hatilah melafazkan thalaq kerana hubungan suami isteri adalah terbatas setelah melafazkan thalaq walaupun masih dalam tempoh ‘iddah.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-9555
دليل الألوان
