Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الطهارة٠ مشاهدة

Tatslîts Ketika Membasuh Atau Menyapu Anggota Wudhu’

الجواب

Tatslîts bermaksud mengerjakan tiga-tiga kali, merupakan salah satu tuntutan sunat ketika berwudhu’. Tatslîts disunatkan ketika membasuh atau menyapu semua anggota wudhu’ sama ada anggota yang wajib ataupun anggota yang sunat.

Tatslîts juga disunatkan bagi orang-orang yang mengalami salas al-baul (masalah air kencing selalu keluar).

Tuntutan tatslîts ketika membasuh atau menyapu semua anggota wudhu’ disunatkan atas dasar ittibâ‘ iaitu mencontohi perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Dalam sebuah hadits riwayat Imam Muslim, Sayyidina ‘Utsman bin ‘Affan Radhiallâhu ‘anhu telah berkata: “Tidakkah kamu mahu aku menunjukkan kepada kamu wudhu’ Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam?” Kemudian beliau pun menunjukkan kepada para sahabat kaifiyyah wudhu’ Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dengan membasuh dan menyapu semua angggota wudhu’ tiga-tiga kali.

Tatslîts juga dituntut dan disunatkan dalam semua perkara yang berkaitan dengan wudhu’ sama ada yang berbentuk perbuatan atau bacaan, sebagai contoh ketika bersiwak, takhlîl (menyelati janggut yang tebal serta menyelati jari-jari tangan dan jari-jari kaki), membasuh kedua-dua sudut mata, membaca basmalah pada permulaan wudhu’, membaca zikir-zikir dalam wudhu’ serta do‘a wudhu’. Bagaimanapun, tidak disunatkan tatslîts ketika menyapu khuff.

Hukum Mengerjakan Tatslîts ketika Membasuh atau Menyapu Anggota Wudhu’

Mengerjakan tatslîts ketika membasuh atau menyapu semua anggota wudhu’ sama ada anggota yang wajib ataupun anggota yang sunat merupakan salah satu tuntutan sunat ketika berwudhu’. Walaupun pada dasarnya membasuh atau menyapu anggota wudhu’ dengan sekali basuhan atau sekali sapuan sudah memadai untuk memenuhi tuntutan wajib dan membolehkannya mendirikan sembahyang, menyentuh mushhaf al-Qur’an dan sebagainya, akan tetapi mengerjakannya dengan membasuh atau menyapu tiga-tiga kali atau secara tastlîts adalah lebih utama dan sempurna.

Begitu juga sah dan memadai seseorang itu membasuh sebahagian anggota wudhu’ dengan sekali basuhan dan sebahagian anggota yang lain pula dibasuh dua atau tiga kali atau lebih daripada itu. Sebagai contoh, dia membasuh muka sekali, kemudian membasuh tangan hingga siku tiga kali, membasuh kepala dua kali dan seumpamanya.

Walaupun wudhu’ seumpama itu memadai, akan tetapi hukumnya adalah makruh. Ini kerana mengerjakan wudhu‘ dengan membasuh atau menyapu anggota wudhu’ sekali atau dua kali sahaja dinilai sebagai makruh oleh syara‘ berdasarkan sebuah hadits yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Amr Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa pada suatu hari Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah didatangi oleh seorang lelaki, lalu lelaki tersebut meminta kepada Baginda untuk menunjukkan kepadanya kaifiyyah wudhu’. Kemudian Baginda pun menunjukkan kaifiyyah wudhu’ dengan mengerjakannya secara tatslîts yakni dibasuh atau disapu dengan tiga-tiga kali. Lantas Baginda pun bersabda:

Maksudnya: Beginilah cara mengambil wudhu’. Maka barang siapa yang menambah daripada ini atau menguranginya nescaya dia telah berbuat tidak elok dan berlaku zalim. (Hadits riwayat Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan Ahmad) Selain tidak digalakkan untuk membasuh kurang daripada tiga kali, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam juga dengan jelas dalam hadits ini tidak menggalakkan untuk membasuh atau menyapu anggota wudhu’ melebihi daripada tiga kali. Jika dilakukan juga, walaupun basuhan atau sapuan keempat itu ditegah, akan tetapi ia tidak mendatangkan dosa kerana hukumnya makruh sahaja dan tidak membatalkan wudhu’.

Menurut ulama, adapun basuhan atau sapuan yang melebihi daripada tiga kali itu dinilai makruh jika ia dilakukan dengan niat wudhu’ atau bertujuan untuk membazirkan air atau dilakukan tanpa apa-apa tujuan. Jika basuhan atau sapuan keempat itu dilakukan dengan tujuan menyejukkan atau menyegarkan diri sahaja, maka yang demikian itu tidak makruh.

Adapun maksud melakukan perbuatan tidak elok dalam hadits tersebut adalah meninggalkan yang lebih utama dan melampaui batasan sunnah. Manakala maksud berlaku zalim pula ialah meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Oleh kerana itu, kedua-dua perbuatan ini dinilai makruh dan wajar dielakkan bagi mencapai kesempurnaan wudhu’.

Bagaimana Menyempurnakan Tuntutan Tatslîts ketika Membasuh atau Menyapu Anggota Wudhu’?

Bagi memenuhi tuntutan tatslîts iaitu membasuh atau menyapu anggota wudhu’ tiga-tiga kali dan mengerjakannya secara sempurna, maka hendaklah diberi perhatian terhadap perkara-perkara berikut:

i. Membasuh atau menyapu setiap anggota wudhu’ tiga-tiga kali.

Tidak sempurna tuntutan tatslîts jika terdapat mana-mana anggota wudhu’ yang tidak dibasuh atau disapu tiga-tiga kali, walaupun yang tertinggal itu hanya satu anggota sahaja. Ini kerana syara‘ telah menetapkan makruh membasuh atau menyapu mana-mana anggota-anggota wudhu’ melebihi dari tiga kali atau kurang daripadanya. Maka dari itu, perlulah ditunaikan tuntutan tatslîts pada setiap anggota wudhu’ bagi mendapatkan ganjaran penuh dan mengelakkan kurang pahala.

ii. Menyempurnakan basuhan atau sapuan pertama sebelum mengerjakan basuhan atau sapuan kedua dan seterusnya bagi setiap anggota.

Tidak memadai untuk membasuh atau menyapu anggota wudhu’ untuk kali yang kedua sebelum disempurnakan semua tuntutan basuhan atau sapuan yang pertama. Begitu juga tidak memadai untuk membasuh atau menyapu anggota wudhu’ untuk kali yang ketiga sebelum disempurnakan semua tuntutan basuhan atau sapuan yang kedua. Bahkan hendaklah disempurnakan setiap basuhan atau sapuan itu satu persatu dari basuhan atau sapuan yang pertama sehinggalah ke basuhan atau sapuan yang ketiga.

Contohnya, ketika membasuh tangan hingga siku, hendaklah disempurnakan terlebih dahulu basuhan pertama dengan memenuhi segala tuntutan ketika membasuh tangan hingga siku. Setelah selesai, barulah mengerjakan basuhan kedua dengan sempurna. Kemudian setelah selesai basuhan kedua, barulah dia menyempurnakan basuhan yang ketiga pula.

Oleh itu, tidak memadai ketika membasuh muka itu, dia membasuh pipi kanan tiga kali, kemudian dia membasuh pula pipi kiri tiga kali. Begitu juga tidak memadai jika ketika membasuh tangan hingga siku, dia membasuh tapak tangan tiga kali kemudian dia membasuh pula lengan tiga kali. Bahkan hendaklah disempurnakan setiap anggota seluruhnya bagi setiap basuhan atau sapuan.

iii. Menyempurnakan basuhan setiap anggota sebanyak tiga kali sebelum berpindah membasuh anggota yang lain.

Ini bermaksud, setiap anggota wudhu’ hendaklah dibasuh atau disapu tiga-tiga kali dengan satu persatu sebelum membasuh atau menyapu anggota wudhu’ yang lain. Sebagai contoh, ketika membasuh muka, hendaklah disempurnakan tiga kali basuhan sebelum beralih membasuh anggota wudhu’ seterusnya iaitu tangan hingga siku.

Menurut kitab Nihâyah al-Muhtâj dan Hâsyiyah al-Jamal serta beberapa kitab lain dalam mazhab asy-Syafi‘i, tidak disyaratkan tertib ketika membasuh dua anggota yang berpasangan. Oleh itu tidak disyaratkan untuk membasuh tangan kanan atau kaki kanan tiga kali kemudian baru membasuh tangan kiri atau kaki kiri tiga kali. Bahkan tuntutan tatslîts dikira tertunai walaupun dikerjakan secara berganti-ganti di antara anggota kanan dan kiri. Tatslîts juga tertunai jika anggota kanan dan anggota kiri dibasuh secara serentak.

Akan tetapi adalah lebih elok membasuh anggota kanan tiga kali terlebih dahulu sebelum berpindah membasuh anggota kiri bagi menjaga tuntutan sunat at-tayamun iaitu mendahulukan membasuh anggota kanan ketika berwudhu’.

Walau bagaimanapun, terdapat pengecualian bagi anggota mulut dan hidung. Dalam mazhab asy-Syafi‘i, tatslîts ketika berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung boleh dilaksanakan sama ada dengan cara mengasingkan atau menyatukan basuhan kedua-duanya.

Adapun bagi cara yang pertama, iaitu mengasingkan di antara berkumur dengan memasukkan air ke dalam hidung, kaifiyyah yang afdhal ialah dengan mengambil air menggunakan tapak tangan kanan kemudian berkumur dengan air tersebut sebanyak tiga kali. Kemudian mengambil air sekali lagi lalu memasukkan air ke dalam hidung sebanyak tiga kali. Kaedah mengasingkan di antara basuhan kedua-dua anggota ini merupakan kaedah yang dinashkan oleh al-Buwaithi Rahimahullâh dan merupakan pendapat yang dipilih oleh Imam al-Haramain, Imam ar-Ruyani, Imam ar-Rafi‘i dan Imam al-Mahamili dalam al-Muqni‘ serta beberapa ulama mazhab asy-Syafi‘i yang lainnya. Pendapat ini juga merupakan salah satu nash daripada Imam asy-Syafi‘i Rahimahullâh sepertimana yang dinukilkan oleh Imam at-Tirmidzi Rahimahullâh.

Manakala bagi cara yang kedua pula, iaitu menyatukan berkumur dengan memasukkan air ke dalam hidung, afdhal dikerjakan dengan cara mengambil air menggunakan tapak tangan kanan lalu menggunakan sebahagian air yang ada di tapak tangan itu untuk berkumur kemudian mengambil baki air yang tinggal untuk dimasukkan ke dalam hidung. Ini dikira basuhan pertama. Selepas itu dia mengambil air sekali lagi ke tapak tangan kanan lalu melakukan sepertimana tadi untuk basuhan kedua. Kemudian dia mengambil air lagi sekali lalu melaksanakan basuhan ketiga sepertimana kaifiyyah basuhan pertama dan kedua tadi.

Menggabungkan basuhan anggota mulut dan hidung ini dianjurkan kerana kedua-dua anggota tersebut tempatnya berdekatan di antara satu dengan yang lain seakan-akan kedua-duanya merupakan satu anggota. Bahkan cara kedua di atas, iaitu menyatukan berkumur dengan memasukkan air ke dalam hidung, menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam al-Minhâj adalah cara yang lebih afdhal daripada cara mengasingkannya kerana kekuatan dalilnya. Ini juga kaedah yang paling afdhal sepertimana yang dinashkan dalam al-Umm dan Mukhtasar al-Muzani dan dipilih oleh Imam al-Baghawi Rahimahullâh dan lainnya.

Salah satu riwayat hadits shahîh yang menyokong pendapat ini ialah sebuah hadits di mana seorang sahabat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, iaitu ‘Abdullah bin Zaid Radhiallâhu ‘anhu telah ditanya tentang sifat wudhu’ Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Ketika menjelaskan cara Baginda berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung beliau berkata:

Maksudnya: Lalu Baginda berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung dengan satu tangan dan Baginda melakukan ini sebanyak tiga kali.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

iv. Mengerjakan tatslîts dalam satu wudhu’.

Ia bermaksud, tatslîts itu hendaklah disempurnakan dalam satu wudhu’ sahaja.

Ini bererti, tidak memadai dan tidak memenuhi tuntutan sunat tatslîts yang dianjurkan syara‘ apabila seseorang itu berwudhu’ dengan sekali basuhan sahaja pada setiap anggota hingga selesai wudhu’, kemudian mengerjakan sekali lagi wudhu’ dengan bilangan yang sama dan selepas itu mengerjakan wudhu’ sekali lagi sepertimana kaifiyyah sebelumnya. Ini kerana basuhan atau sapuan kedua dan ketiga itu dikerjakannya dalam wudhu’ yang berlainan. Sedangkan tatslîts yang dituntut ialah menyempurnakan membasuh atau menyapu setiap anggota wudhu’ tiga-tiga kali sebelum membasuh anggota wudhu’ yang lain dalam satu wudhu’.

v. Yakin dengan jumlah kiraan.

Tatslîst hendaklah dikerjakan secara yakin dengan jumlah kiraan. Sekiranya ketika berwudhu’ seseorang itu syak akan bilangan basuhan, maka menurut pendapat jumhûr ulama mazhab asy-Syafi‘i, hendaklah dia mengambil bilangan yang yakin iaitu bilangan yang sedikit.

Sebagai contoh, apabila seseorang itu syak ketika membasuh muka sama ada dia baru membasuhnya dua kali atau sudah tiga kali, hendaklah dia mengambil bilangan yang sedikit iaitu dua kali. Ini kerana menurut hukum asal, dia dikira baru membasuh mukanya dua kali kerana bilangan yang sedikit dianggap kiraan yakin sedangkan kiraan yang banyak merupakan kiraan syak. Oleh itu, hendaklah dia membasuh muka sekali lagi bagi mencukupkan bilangan menjadi tiga kali basuhan. Perkara ini dilakukan sekiranya syak itu berlaku ketika masih mengerjakan wudhu’. Adapun jika syak itu berlaku setelah selesai wudhu’ maka syaknya itu tidak lagi diambil kira dan tidak menjejaskan wudhu’nya.

Bila Tatslîts Perlu Ditinggalkan?

Walaupun tatslîts pada asalnya adalah sunat dan dituntut, terdapat keadaan-keadaan di mana ia dituntut untuk ditinggalkan. Keadaan-keadaan tersebut adalah:

i. Waktu sembahyang hampir habis.

Haram mengerjakan tatslîts serta lain-lain sunat wudhu’ sekiranya dengan mengerjakan tatslîts itu dia akan terlepas mengerjakan sembahyang pada waktunya. Oleh itu, memadai dia mengerjakan bilangan yang wajib iaitu dengan membasuh atau menyapu anggota wudhu’ sekali sahaja bagi memastikan seluruh perbuatan sembahyang dari takbîratul-ihrâm hingga salam dapat ditunaikan dalam waktunya.

ii. Air hanya mencukupi untuk mengerjakan fardhu wudhu’.

Haram mengerjakan tatslîts serta lain-lain sunat wudhu’ sekiranya air yang ada hanya mencukupi untuk mengerjakan fardhu wudhu’ sahaja. Oleh itu wajib dia meninggalkan tuntutan tatslîts. Ini kerana jika dia mengerjakan tatslîts air tidak akan mencukupi untuk menyempurnakan fardhu wudhu’nya.

iii. Air diperlukan untuk minuman.

Haram juga mengerjakan tatslîts serta lain-lain sunat wudhu’ sekiranya baki air diperlukan untuk minuman. Ini adalah dalam kes di mana air akan habis jika dia mengerjakan tatslîts. Maka dalam hal ini, dia dituntut untuk membasuh atau menyapu anggota wudhu’ sekali sahaja bagi menjimatkan air untuk diminum.

iv. Menyertai sembahyang berjemaah.

Sunat meninggalkan tuntutan tatslîts serta lain-lain sunat wudhu’ jika dikhuatiri akan terlepas sembahyang berjemaah. Ini kerana tuntutan menyertai sembahyang berjemaah adalah lebih utama daripada tuntutan tatslîts. Oleh itu sekiranya dengan mengerjakan tatslîts dia tidak akan sempat menyertai jemaah sebelum imam memberi salam, maka sunat baginya untuk membasuh atau menyapu anggota-anggota wudhu’ sekali sahaja dan meninggalkan tatslîts.

Adapun bagi sembahyang Jumaat pula, wajib ditinggalkan tatslîts jika dikhuatiri dia akan terlepas daripada mengerjakannya bersama jemaah sekiranya dia mengerjakan tatslîts.

Demikian beberapa penjelasan mengenai hukum dan permasalahan tatslîts ketika membasuh atau menyapu anggota-anggota wudhu’. Apa yang jelas, tatslîts merupakan salah satu tuntutan penting dalam mengerjakan wudhu’. Ia perlu diketahui dan difahami dengan baik. Walaupun tuntutannya berbentuk sunat, ia perlu ditunaikan sebagaimana yang dikehendaki syara‘ kerana pelaksanaannya merupakan salah satu asas kesempurnaan wudhu’.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-9603

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص