Permasalahan Mencapai Umur Bâligh Di Siang Hari Puasa Ramadhan
الجواب
Bâligh merupakan salah satu syarat wajib mengerjakan puasa. Apabila seorang kanak-kanak mencapai umur bâligh, maka segala suruhan serta kewajipan syara‘ seperti sembahyang dan puasa mula dipertanggungjawabkan ke atas dirinya dan dia juga wajib menjauhkan diri daripada segala larangan agama.
Bâligh bermaksud kanak-kanak yang sudah cukup umur. Maksud cukup umur di sini ialah:
i. Kanak-kanak lelaki atau kanak-kanak perempuan keluar air mani sama ada ketika jaga atau dalam tidur.
ii. Kanak-kanak perempuan keluar haidh. Pada kebiasaannya, ia berlaku dalam jangka umur kanak-kanak perempuan itu di antara sembilan hingga lima belas tahun.
iii. Apabila umur kanak-kanak itu mencapai lima belas tahun walaupun dia belum keluar air mani atau belum keluar darah haidh.
Sebelum mencapai umur bâligh, kanak-kanak akan mengalami dua jenis peringkat. Kedua-dua peringkat inilah yang akan membezakan keahlian atau tanggungjawab kanak-kanak dalam menunaikan perlaksanaan agama.
1. Peringkat belum mumayyiz.
Peringkat ini bermula sejak kelahiran sehinggalah kanak-kanak itu mencapai umur mumayyiz. Secara kebiasaannya kanak-kanak yang belum mumayyiz ini berusia tidak lebih dari tujuh tahun.
Dalam peringkat usia ini, mereka belum dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan tuntutan agama seperti sembahyang dan puasa. Walau bagaimanapun, para ibu bapa atau penjaga perlu berusaha sedikit demi sedikit untuk menjinak-jinakkan mereka dengan hal-hal agama sebagai langkah persediaan sebelum mereka melalui peringkat mumayyiz kelak.
Dari sudut mengerjakan ibadat puasa pula, puasa kanak-kanak yang belum mumayyiz adalah tidak sah. Ini kerana antara syarat sah bagi orang yang berpuasa itu ialah berakal dan mumayyiz.
2. Peringkat mumayyiz.
Peringkat ini bermula sejak kanak-kanak itu memiliki kemampuan untuk membezakan di antara sesuatu dengan sesuatu yang lain. Dalam erti kata lain, kanak-kanak yang mumayyiz itu baginya akal yang dengannya dia dapat membezakan di antara sesuatu yang bermanfaat dan yang memudharatkan. Peringkat ini berakhir apabila dia sudah bâligh.
Peringkat kanak-kanak yang mencapai tahap mumayyiz tiada had umur tertentu tetapi berpandukan kepada kebolehannya dalam menentukan setiap perbuatan yang hendak dilakukannya. Oleh kerana itu, kanak-kanak yang mumayyiz sudah dianggap berkemampuan dalam melakukan ibadat-ibadat wajib seperti sembahyang dan puasa walaupun bukan secara sempurna.
Walaupun puasa Ramadhan belum diwajibkan ke atas kanak-kanak yang mumayyiz, tetapi sekiranya mereka ini mengerjakan puasa, maka puasanya adalah sah jika dia berniat puasa di malam hari.
Bila Kanak-kanak Mula Dilatih untuk Mengerjakan Ibadat Puasa?
Seorang kanak-kanak yang belum bâligh, sama ada lelaki atau perempuan tidak diwajibkan untuk mengerjakan puasa dan dia juga tidak diwajibkan mengqadha’ semua puasa yang tidak dikerjakan sepanjang usianya sebagai kanak-kanak yang belum bâligh.
Walaupun demikian, menurut pengarang kitab Busyrâ al-Karîm, puasa yang ditinggalkan oleh kanak-kanak setelah dia mencapai umur mumayyiz adalah sunat untuk diqadha’. Maksudnya di sini, sekiranya sebelum kanak-kanak itu mencapai umur bâligh dia ada meninggalkan puasa sedangkan pada usia tersebut dia sudah dalam peringkat mumayyiz, maka sunat baginya untuk mengqadha’ puasa yang ditinggalkannya itu.
Sebagai latihan awal, bagi membiasakan dan menjinak-jinakkan kanak-kanak mengerjakan puasa, apabila dia telah mencapai usia tujuh tahun, walinya wajib menyuruhnya mengerjakan puasa sekiranya kanak-kanak itu sudah mumayyiz dan mampu mengerjakan puasa. Walaupun puasa Ramadhan belum diwajibkan atas mereka kerana belum mencapai umur bâligh, puasa mereka tetap sah sekiranya kanak-kanak tersebut telah berniat pada malamnya. Sekiranya kanak-kanak tersebut tidak berniat pada malamnya, maka puasanya tidak sah.
Jika kanak-kanak itu enggan mengerjakan puasa pada usia sepuluh tahun sedangkan kanak-kanak tersebut memiliki kemampuan untuk mengerjakannya, maka walinya wajib memukulnya dengan pukulan yang tidak mencederakan dan tidak memudharatkan sebagai didikan dan latihan kepadanya supaya melakukan ibadat puasa. Walau bagaimanapun, kanak-kanak itu tidak wajib mengqadha’ puasa yang ditinggalkan, walaupun dia sudah berusia sepuluh tahun selagi mana dia belum mencapai umur bâligh.
Kanak-kanak Mencapai Umur Bâligh di Siang Hari Puasa
Salah satu isu mengenai ibadat puasa kanak-kanak yang selalu menjadi persoalan orang ramai ialah puasa kanak-kanak yang mencapai umur bâligh di siang hari puasa Ramadhan. Sekiranya bâligh berlaku pada malam hari puasa, ia tidak mendatangkan apa-apa kekeliruan. Ini kerana kanak-kanak yang mencapai umur bâligh sebelum masuk waktu puasa adalah diwajibkan ke atasnya berpuasa pada keesokan harinya. Sebagai contoh, kanak-kanak itu bermimpi sehingga keluar air mani di malam hari puasa, maka dengan sendirinya dia telah menjadi ahli wajib mengerjakan puasa. Oleh yang demikian, pada malam hari tersebut dia wajib berniat puasa untuk siang hari esoknya.
Apa yang mungkin menimbulkan kekeliruan ialah apabila bâligh itu berlaku pada siang hari puasa Ramadhan.
Dalam permasalahan ini, terdapat perbezaan hukum di antara kanak-kanak yang sedang mengerjakan puasa pada siang hari dia mencapai umur bâligh itu dengan kanak-kanak yang tidak mengerjakannya:
i. Kanak-kanak yang sedang mengerjakan puasa.
Bagi kanak-kanak yang mencapai umur bâligh di siang hari puasa Ramadhan, sedangkan ketika itu dia sedang mengerjakan puasa dan sudah berniat pada malamnya, maka dia wajib menyempurnakan puasanya itu dan haram dia berbuka. Ini kerana dengan berlakunya bâligh itu dia telah tergolong dalam golongan orang yang diwajibkan mengerjakan puasa dan rukhshah atau kelonggaran yang ada sebelum itu telah luput. Dengan ini, ibadat puasa yang pada asalnya belum wajib atasnya ketika masuk waktu, menjadi wajib pada waktu itu juga. Ini menyerupai keadaan di mana seorang yang sedang mengerjakan puasa sunat bernazar untuk menyempurnakan puasanya setelah dia memulakan puasa sunatnya itu. Sekiranya dia berbuka dan tidak meneruskan puasanya setelah dia mencapai umur bâligh itu, maka wajib atasnya mengqadha’nya dan hendaklah dia imsâk yakni menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti makan, minum dan sebagainya sepanjang baki siang hari puasa itu.
Dalam hal ini, menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh, sekiranya dia melakukan jimâ‘ di siang hari Ramadhan selepas dia bâligh itu, maka diwajibkan ke atasnya kaffârah serta mengqadha’ puasanya itu.
Dari segi pahala pula, menurut pendapat yang dicenderungi oleh Imam asy- Syibramalissi Rahimahullâh, kanak-kanak yang sedang mengerjakan puasa pada hari dia mencapai umur bâligh akan mendapat dua jenis pahala dalam satu hari puasa, iaitu mendapat pahala sunat sebelum bâligh dan mendapat pahala wajib selepas bâligh. Sebagai contoh, sekiranya dia mencapai umur bâligh bertepatan dengan masuk waktu Zhuhur, maka sebelum waktu Zhuhur itu pahala puasanya dia mendapat ganjaran pahala sunat, manakala selepas waktu Zhuhur pula iaitu selepas mencapai umur bâligh dia mendapat ganjaran pahala wajib.
Adapun bagi kanak-kanak perempuan yang mencapai umur bâligh kerana keluar darah haidh pada siang hari puasa Ramadhan pula, sedangkan ketika itu dia mengerjakan puasa dan berniat pada malamnya, maka puasa yang dikerjakannya pada hari itu menjadi batal. Ini kerana perempuan yang sedang haidh adalah diharamkan untuk mengerjakan puasa, bahkan tidak sah puasa jika dilakukan. Bagaimanapun, setelah dia suci daripada haidh wajib dia mengerjakan puasa kerana dia sudah tergolong dalam golongan orang yang diwajibkan mengerjakan puasa.
ii. Kanak-kanak yang tidak mengerjakan puasa.
Adapun bagi kanak-kanak yang mencapai umur bâligh di siang hari puasa Ramadhan, sedangkan pada hari itu dia tidak mengerjakan puasa, atau dia berpuasa tetapi tidak berniat pada malamnya, maka tidak wajib atasnya berpuasa dan tidak pula diwajibkan atasnya untuk mengqadha’ puasa hari tersebut. Bagaimanapun, sekiranya dia mengqadha’nya, maka yang demikian itu adalah lebih baik dan sunat sebagai jalan keluar daripada khilâf (perselisihan pendapat) ulama, di mana sebilangan ulama menyatakan bahawa qadha’ itu diwajibkan atas kanak-kanak tersebut.
Dia juga tidak diwajibkan untuk imsâk bagi baki waktu puasa di hari tersebut. Ini kerana ketika masuk waktu berpuasa itu dia belum lagi bâligh dan dia belum lagi diwajibkan berpuasa. Keadaan seseorang yang belum lagi bâligh adalah salah satu keuzuran yang membolehkannya tidak menunaikan puasa sepertimana halnya orang yang sedang musafir dan orang yang sakit. Apabila seseorang itu tidak diwajibkan berpuasa, maka dengan sendirinya dia juga tidak diwajibkan imsâk. Bagaimanapun, adalah disunatkan atasnya untuk imsâk bagi menghormati waktu serta sebagai jalan keluar daripada khilâf ulama, di mana sebilangan ulama menyatakan bahawa imsâk itu diwajibkan atas kanak-kanak tersebut.
Sekiranya dia tidak mahu imsâk, maka sunat dia menyembunyikan perbuatan makan dan minum daripada orang lain terutama daripada orang yang tidak mengetahui keuzuran mereka, bagi mengelakkan daripada tohmahan, dijatuhkan hukuman dan sebagainya.
Demikian penjelasan mengenai kedudukan puasa kanak-kanak yang mencapai umur bâligh di siang hari puasa Ramadhan. Mudahan-mudahan penjelasan ini dapat meleraikan kekeliruan yang timbul serta memberikan kefahaman yang lebih mendalam terutamanya mengenai isu ibadat puasa kanak-kanak.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-9618
دليل الألوان
