Puasa Tetapi Tidak Sembahyang
الجواب
Umat Islam sekaliannya telah ijmâ‘ mengatakan bahawa pekerjaan yang utama bagi seorang Muslim ialah beribadat (menyembah dan mengabdikan diri) semata-mata hanya kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Hal ini telah dijelaskan di dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah dan beribadat kepadaKu. (Surah adz-Dzâriyât: 56)
Ada berbagai ibadat yang mesti dilakukan oleh manusia sebagai pengabdian dan tanda bersyukur kepada Allah Yang Maha Agung. Setiap orang yang beragama Islam dituntut untuk melakukan semua ibadat yang diwajibkan ke atasnya seperti sembahyang fardhu lima waktu, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan mengerjakan haji bagi yang mampu.
Namun, ibadat yang paling istimewa adalah ibadat sembahyang. Sembahyang itu wajib bagi setiap orang Islam, kerana ia merupakan amalan yang pertama sekali akan dihisâb pada Hari Kiamat nanti. Oleh itu, setiap umat Islam hendaklah menjaga dan sentiasa istiqâmah mengerjakan sembahyang yang wajib ditunaikan pada setiap hari pada waktu-waktu tertentu.
Berpuasa di Bulan Ramadhan Tetapi Meninggalkan Sembahyang
Sudah menjadi kebiasaan apabila tiba bulan Ramadhan, umat Islam akan mempertingkatkan amalan ibadat mereka seperti memperbanyakkan zikir, selawat, membaca al-Qur’an, sembahyang sunat, bersedekah dan sebagainya di samping melakukan ibadat puasa Ramadhan. Ini disebabkan dorongan untuk mencapai satu matlamat yang mulia, iaitu untuk mendapatkan pahala yang berlipat kali ganda bagi setiap amalan kebajikan yang dilakukan dan mengharap keredhaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Namun tidak semua orang mempunyai dorongan yang sama untuk mempertingkatkan amalan ibadat mereka, bahkan terdapat juga segelintir manusia yang mengerjakan puasa Ramadhan akan tetapi tidak istiqâmah dalam melakukan ibadat sembahyang fardhu lima waktu. Perbuatan meninggalkan sembahyang fardhu lima waktu adalah suatu perbuatan yang tidak patut diambil ringan kerana orang yang meninggalkan sembahyang telah melakukan dosa paling besar, mungkar paling buruk dan haram paling dahsyat.
Persoalannya di sini ialah, apakah hukum orang yang berpuasa Ramadhan tetapi masih tetap meninggalkan sembahyangnya? Adakah puasanya sah dan diberi pahala? Sebelum menjawab persoalan tersebut, perlu untuk kita mengetahui hukum apabila seseorang itu meninggalkan sembahyang sama ada secara sengaja atau tidak sengaja.
Hukum Meninggalkan Sembahyang
Hukum bagi orang yang meninggalkan sembahyang terbahagi kepada tiga keadaan:
1. Keadaan Pertama - Meninggalkan sembahyang kerana ingkar tentang kewajibannya (tidak mengaku akan wajibnya hukum sembahyang itu).
Dalam keadaan ini, hukum orang yang ingkar akan kewajipan sembahyang, meremehkan sembahyang atau ingkar akan sembahyang dan tidak mahu mengerjakannya ialah kafir murtad dengan ijmâ‘ ulama. Ini kerana hukum wajib sembahyang itu telah nyata dan dimaklumi dalam agama Islam. Dengan mengingkarinya menunjukkan orang itu telah mendustakan Allah dan RasulNya Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan dia adalah sama dengan orang-orang kafir yang disifatkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam firmanNya:
Tafsirnya: Dan apabila kamu menyeru untuk mengerjakan sembahyang (azan), mereka menjadikan sembahyang itu sebagai ejek-ejekan dan permainan. Yang demikian itu adalah kerana mereka kaum yang tidak menggunakan akal fikiran.
(Surah al-Mâ’idah: 58)
Orang yang mengingkari kewajipan sembahyang itu hendaklah disuruh bertaubat. Jika dia enggan bertaubat, dia dikira menjadi kafir murtad, tidak boleh dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan, dan tidak boleh dikuburkan di perkuburan orang Islam kerana dia bukan daripada kalangan orang Islam.
2. Keadaan Kedua – Meninggalkan sembahyang kerana keuzuran.
Dalam keadaan ini, orang yang meninggalkan sembahyang secara tidak sengaja disebabkan keuzuran seperti tertidur, lupa dan sebagainya, maka orang itu hanya perlu mengqadha’ sembahyangnya dan dia tidak berdosa dengan perbuatannya meninggalkan sembahyang secara tidak sengaja itu.
3. Keadaan Ketiga – Meninggalkan sembahyang kerana malas.
Dalam keadaan ini, orang yang meninggalkan sembahyang secara sengaja disebabkan malas, sibuk dengan urusan-urusan dunia dan mengikut hawa nafsu dan bisikan syaitan, maka orang itu berdosa tanpa syak kerana meninggalkan sembahyang. Namun dia tidak dikira menjadi kafir murtad kerana dia masih mempercayai kewajipan sembahyang.
Orang yang meninggalkan sembahyang kerana malas namun masih beri‘tiqâd bahawa sembahyang itu wajib, maka dia hendaklah disuruh bertaubat. Jika dia enggan bertaubat, dia boleh dijatuhkan hukuman hadd namun dia tetap tidak dihukumkan kafir murtad pada qaul al-ashah. Jika dia mati, dia dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan dikebumikan di perkuburan orang Islam kerana dia masih dikira daripada kalangan orang Islam.
Adakah Sah Puasa Ramadhan Orang yang Meninggalkan Sembahyang?
Sesuatu ibadat itu hanya akan menjadi sah apabila rukun-rukun dan syarat-syarat sah ibadat itu dipenuhi. Jika salah satu rukun atau syarat sah ibadat itu tidak dipenuhi, maka ibadat tersebut dihukumkan tidak sah di sisi syara‘.
Begitu juga halnya dengan ibadat puasa Ramadhan. Sah atau tidak ibadat puasa Ramadhan orang yang meninggalkan sembahyang itu bergantung kepada dua keadaan:
1. Jika seseorang itu meninggalkan sembahyang kerana ingkar tentang kewajibannya, meremehkan sembahyang atau ingkar akan sembahyang dan tidak mengerjakannya, maka dia dikira menjadi kafir murtad. Dalam keadaan ini, puasa Ramadhan dan apa jua puasa wajib dan sunat yang dilakukannya juga akan menjadi tidak sah kerana antara syarat sah puasa itu (dan ibadat yang lainnya) ialah mesti beragama Islam.
2. Jika seseorang itu meninggalkan sembahyang kerana keuzuran disebabkan tertidur, terlupa atau dia meninggalkan sembahyang kerana malas dan sibuk dengan urusan-urusan dunia, maka dia tidaklah dihukumkan kafir murtad sepertimana yang dijelaskan sebelum ini. Dalam keadaan ini, puasa yang dilakukan oleh orang itu, sama ada puasa Ramadhan atau puasa wajib dan sunat yang lain, tetap dikira sah jika dia memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat puasa tersebut.
Adakah Puasa Orang yang Meninggalkan Sembahyang itu Diberi Pahala?
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah menjanjikan ganjaran pahala bagi setiap kebaikan dan ibadat yang dilakukan dengan sempurna serta memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat. Sebaliknya, balasan dosa bagi setiap kejahatan dan maksiat yang dilakukan. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Maka sesiapa yang mengerjakan kebaikan sekalipun seberat zarrah, nescaya dia akan melihat (ganjaran)nya. Dan sesiapa mengerjakan kejahatan sekalipun seberat zarrah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. (Surah az-Zalzalah: 7-8)
Berdasarkan ayat di atas, dapatlah difahami bahawa apa sahaja kebaikan yang dilakukan oleh seseorang tidak akan menjadi sia-sia, bahkan akan ditulis baginya ganjaran sesuai dengan kebaikan yang dilakukannya itu dan apa sahaja kejahatan yang dilakukan akan ditulis baginya balasan sesuai dengan kejahatan yang dilakukannya itu. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ itu Maha Adil lagi Maha Bijaksana.
Oleh itu, jika seseorang meninggalkan sembahyang kerana ingkar tentang kewajibannya yang menjadikannya kafir murtad dan akibatnya puasa yang dilakukannya juga menjadi tidak sah, maka ibadat puasa orang itu tidak akan diberikan ganjaran pahala oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kerana ganjaran pahala hanya akan diberikan kepada ibadat yang sah sahaja dengan izin Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
Jika seseorang itu pula meninggalkan sembahyang kerana malas, maka dia tidaklah dihukumkan kafir murtad. Bahkan puasanya tetap sah jika dia memenuhi segala rukun dan syarat puasa. Namun dari segi pemberian ganjaran pahala adalah terserah kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Jika dia bertaubat dan segera mengqadha’ sembahyangnya, maka Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ tidak akan mensia-siakan taubatnya itu.
Elok kita renungkan bersama bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pernah memberikan peringatan bahawa terdapat puasa yang tidak diberi ganjaran melainkan hanyalah lapar dan dahaga disebabkan pelakunya yang suka mengumpat dan menuturkan kata-kata yang keji ketika berpuasa. Hukum menjaga mulut daripada menuturkan kata-kata yang keji seperti menipu, mengumpat, memfitnah, mencaci-maki dan sebagainya ketika mengerjakan ibadat puasa adalah sunat. Akan tetapi, walaupun meninggalkan perkara-perkara di atas ketika mengerjakan ibadat puasa merupakan perkara sunat, hal ini tidak mengubah kedudukan hukum asalnya sebagai perkara-perkara haram yang wajib dijauhi. Dalam makna yang lain, apabila seseorang menjauhkan dirinya daripada melakukan perkara-perkara di atas, dia akan memperolehi dua pahala; pahala wajib kerana memelihara anggota tubuh-badannya daripada perkara yang haram dan pahala sunat kerana meninggalkan perkara tersebut semasa mengerjakan puasa.
Sebaliknya pula, jika orang yang berpuasa itu tidak memelihara lidahnya daripada perkara-perkara yang keji dan terlarang seperti berdusta atau mengumpat, dia mendapat dosa kerana melakukan perkara yang haram dan dia juga telah menyalahi tuntutan perkara sunat kerana tidak menjaga dirinya daripada perkara-perkara di atas ketika berpuasa.
Daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:
Maksudnya: Barang siapa yang tidak meninggalkan kata-kata bâthil (dusta) dan (sebaliknya) melakukannya pula, maka Allah tidak menghendaki (memerlukan) untuk dia meninggalkan makanan dan minumannya (puasanya tidak akan diberi pahala disebabkan perbuatannya menuturkan kata-kata keji). (Hadits riwayat al-Bukhari)
Daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu lagi, sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:
Maksudnya: Berapa ramai orang yang berpuasa itu tidak ada baginya (ganjaran pahala) daripada puasanya itu kecuali (hanyalah) berlapar. (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Jumhûr ulama menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan hadits-hadits di atas adalah terbatal pahala puasa orang yang menuturkan kata-kata keji dan dusta. Alangkah ruginya orang yang puasanya tidak diberikan ganjaran pahala! Dia hanya mendapat penat lelah daripada berlapar dan dahaga di siang hari.
Itu merupakan peringatan bagi orang-orang yang melakukan dosa menipu dan berkata keji di siang hari, jadi bagaimana pula halnya dengan orang yang berani meninggalkan sembahyang disebabkan malas di bulan Ramadhan?
Adapun seseorang yang meninggalkan sembahyang disebabkan keuzuran seperti tertidur atau terlupa, maka dia hanya perlu untuk mengqadha’ sembahyangnya, manakala puasanya masih tetap sah dan diberi ganjaran pahala dengan izin Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ selagimana dia tidak melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan pahala puasa. Dia juga tidak berdosa kerana meninggalkan sembahyang disebabkan keuzuran. Ini berdasarkan hadits daripada Abu Dzarr al- Ghiffari Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ mengampunkan ke atas umatku (setiap perkara yang dilakukan disebabkan) kesalahan, lupa dan apa yang dipaksa ke atasnya. (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Kesimpulan
Kesimpulannya, setiap orang Islam hendaklah sentiasa menjaga dan istiqâmah melakukan segala ibadat yang diperintahkan ke atasnya, terutamanya ibadat sembahyang fardhu lima waktu. Sembahyang itu wajib bagi setiap orang Islam, kerana ia merupakan amalan yang pertama sekali akan dihisâb pada Hari Kiamat nanti.
Begitu juga halnya dengan ibadat puasa di bulan Ramadhan. Setiap orang Islam hendaklah sentiasa menjaga dirinya daripada melakukan apa sahaja yang membatalkan puasa. Tambahan lagi, setiap orang Islam juga perlu menjaga dirinya daripada melakukan apa sahaja perkara yang boleh membatalkan pahala puasa dan menguranginya.
Jadikanlah bulan Ramadhan sebagai bulan untuk kita melatih diri supaya terus istiqâmah dalam melakukan segala amalan ibadat serta mempertingkatkan amalan sunat lainnya, agar kita akan menjadi hamba yang sentiasa bersyukur kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan sentiasa bertaqwa kepadaNya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-9628
دليل الألوان
