Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة٠ مشاهدة

Adik-Beradik Tidur Bersama:Adakah Bertentangan Dengan Syara‘?

الجواب

Membiarkan atau mengaturkan anak-anak tidur bersama adik-beradik ketika anak-anak masih kecil adalah bertujuan bagi memudahkan para ibu bapa memantau anak-anak mereka kerana mereka berhimpun dalam satu tempat atau satu bilik. Keadaan ini juga lebih praktikal dan lebih selamat, khususnya bagi kanak-kanak yang masih kecil.

Bagaimanapun, apabila mereka meningkat remaja dan mengetahui tentang perkara aurat, pastinya meninggalkan mereka tidur dalam keadaan sedemikian adalah satu perkara yang tidak elok apatah lagi sekiranya mereka berkongsi tempat tidur bersama adik-beradik sesama lelaki dan perempuan.

Atas sebab itu, syara‘ menegaskan bahawa tempat tidur kanak-kanak hendaklah dipisahkan setelah mereka berusia sepuluh tahun. Ini berdasarkan sebuah hadits yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Amr Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Perintahkanlah anak-anak kamu mengerjakan sembahyang sewaktu mereka itu berumur tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkannya sewaktu mereka itu berumur sepuluh tahun, dan pisahkanlah di antara mereka pada tempat tidur mereka. (Hadits riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Apakah yang dimaksudkan dengan perintah memisahkan tempat tidur dalam hadits berkenaan dan adakah perintah ini berbentuk mutlak atau tertakluk kepada keadaan tertentu? Apa pula hikmah disyariatkan perintah tersebut?

Hukum dan Kaifiyyah Memisahkan Tempat Tidur Kanak-kanak

Berdasarkan hadits riwayat ‘Abdullah bin ‘Amr Radhiallâhu ‘anhumâ di atas, para ulama mengistinbâthkan bahawa para ibu bapa, wali atau penjaga wajib memisahkan tempat tidur anak-anak atau kanak-kanak di bawah jagaan mereka. Ini tidak terkecuali sama ada sesama kanak-kanak lelaki, sesama kanak-kanak perempuan, atau di antara kanak-kanak lelaki dengan kanak-kanak perempuan. Perkara ini diperintahkan sebaik sahaja mereka mencapai usia sepuluh tahun.

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab Raudhah ath-Thâlibîn, kewajiban ini berbentuk mutlak ke atas mana-mana kanak-kanak yang sudah mencapai usia sepuluh tahun. Maka menurut beliau, wajib dipisahkan tempat tidur di antara kanak-kanak lelaki atau kanak-kanak perempuan dengan semua adik-beradik mereka serta ibu bapa mereka. Pendapat ini juga dicenderungi oleh Imam as-Subki, Imam Taqiuddin Abu Bakar al-Hisni dan Imam al-Malibari Rahimahumullâh.

Menurut Imam as-Subki Rahimahullâh, perintah memisahkan tempat tidur ini boleh dilaksanakan dengan dua cara, iaitu:

1. Hendaklah masing-masing mempunyai tilam sendiri.

2. Berkongsi satu tilam akan tetapi berjauhan di antara satu sama yang lain. Umpamanya setiap mereka berada di sudut tilam yang berlainan.

Oleh itu menurut Imam as-Subki Rahimahullâh, jika tidak dapat melaksanakan cara yang pertama, memadai mengikut pendapat yang kedua iaitu tidak berbaring terlalu dekat dengan yang lain di atas satu tilam. Ini bagi mengelakkan daripada terkena atau tersentuh antara tubuh badan mereka.

Para ulama mazhab asy-Syafi‘i meletakkan satu sukat-sukat penting dalam perkara ini iaitu menutup aurat. Sukat-sukat inilah yang menentukan bagaimana pemisahan tempat tidur itu perlu dilakukan.

i. Tidur dalam keadaan menutup aurat.

Jika mereka tidur dalam keadaan menutup aurat, maka boleh kanak-kanak lelaki tidur bersama adik lelaki atau abangnya dan boleh seorang kanak-kanak perempuan tidur bersama dengan kakak atau adik perempuannya di atas satu tilam. Walaupun diharuskan, disyaratkan juga supaya terdapat lapik atau penghadang yang menahan daripada bersentuhan tubuh kedua-duanya umpamanya dengan memakai satu selimut yang berlainan bagi setiap seorang. Pensyaratan memakai selimut yang berlainan ini ada disebutkan oleh Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh dalam kitab Fath al-Bâri.

Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh juga meletakkan syarat bahawa hendaklah terdapat jarak di antara mereka itu supaya tidak berlaku sentuhan tubuh di antara satu dengan yang lain. Ini bertepatan dengan sukat-sukat yang ditetapkan oleh Imam as-Subki Rahimahullâh yang telah disebutkan sebelum ini di mana beliau mensyaratkan supaya sekurang-kurangnya mereka tidur berjauhan walaupun berkongsi tilam. Dengan melakukan perkara ini, maka tertunailah tuntutan memisahkan tempat tidur sebagaimana yang dikehendaki syara‘ itu.

Keharusan yang diberikan terhadap orang yang menutup aurat untuk tidur bersama dalam satu tilam dengan syarat-syarat di atas adalah khusus dalam keadaan di mana perbuatan tersebut tidak mendatangkan fitnah. Sekiranya tidur dalam keadaan sedemikian boleh mengundang atau mendatangkan fitnah, maka keharusan itu dengan sendirinya menjadi haram walaupun mereka memenuhi semua syarat dan tuntutannya.

ii. Tidur dalam keadaan tidak menutup aurat.

Adapun jika mereka tidur dalam keadaan tidak menutup aurat pula, maka tidak boleh mereka tidur bersama di atas satu tilam walaupun mereka tidur berjauhan serta tidak bersentuhan di antara satu dengan yang lain seperti kedua-duanya berada di atas satu tilam pada hujung atau sudut yang berlainan.

Oleh itu, haram hukumnya sesiapa sahaja yang sudah mencapai usia sepuluh tahun, sama ada lelaki atau perempuan, untuk tidur bersama dengan seorang yang lain di atas satu tilam dalam keadaan tidak menutup aurat, melainkan jika mereka itu adalah pasangan suami isteri. Ini tidak kira sama ada mereka itu sesama lelaki, sesama perempuan atau sesama adik-beradik satu jenis sekalipun. Bahkan diharamkan juga untuk tidur bersama ibu bapanya atau salah seorang daripada ibu bapanya dalam keadaan sedemikian.

Walaupun larangan yang disebutkan di atas adalah larangan berkongsi tilam yang sama dalam keadaan salah satu atau kedua-duanya tidak menutup aurat, akan tetapi dari sudut memelihara akhlak, adab dan menjaga maruah, mereka juga tidak boleh tidur bersama dalam satu bilik kerana dikhuatiri boleh ternampak aurat dan sebagainya. Ini boleh membuka pintu maksiat walaupun mereka itu adalah adik-beradik. Ini tidak berbeza halnya sama ada mereka itu adik-beradik sesama jenis apatah lagi di antara adik-beradik lelaki dan perempuan.

Perkara ini bertepatan dengan apa yang disebutkan oleh Imam asy- Syibramalissi Rahimahullâh bahawa salah satu sebab larangan ini adalah kerana dikhuatiri boleh ternampak atau tersentuh aurat masing-masing. Jika mereka berkongsi satu bilik ketika tidur tanpa menutup aurat, pastinya sangat sukar untuk mengelakkan daripada terlihat aurat masing-masing walaupun mereka tidak berkongsi tilam yang sama. Ini kerana orang yang sedang tidur biasanya tidak dapat mengawal dan tidak menyedari akan pergerakan tubuh badannya. Maka boleh saja terjadi pergerakannya ketika tidur itu, menyingkap atau membuka auratnya sendiri walaupun dia menutup tubuhnya dengan selimut.

Oleh itu, bagi mengelakkan daripada berlakunya perkara negatif seperti sumbang mahram dan pendedahan aurat secara tidak sengaja, maka bagi yang berkemampuan dan memiliki kemudahan, adalah lebih baik dalam keadaan tersebut supaya dipisahkan juga bilik tempat tidur mereka. Jika tidak, maka hendaklah ibu bapa atau wali memerintahkan supaya kanak-kanak tidur dalam keadaan menutup aurat sebagaimana yang disebutkan sebelum ini.

iii. Adik-beradik berlainan jantina.

Bagi adik-beradik yang berlainan jantina pula, hendaklah dipisahkan tempat tidur mereka sama ada dalam keadaan menutup aurat atau tidak. Walaupun perintah ini dituntut setelah kanak-kanak berusia sepuluh tahun, akan tetapi sebagai irsyâd adalah lebih wajar jika ia dilaksanakan seawal mungkin dengan cara memisahkan di antara bilik kanak-kanak lelaki dengan bilik kanak-kanak perempuan. Ini bertujuan bagi mendidik kanak-kanak tentang maruah dan etika pergaulan pada usia yang lebih awal dan menutup segala pintu fitnah dan maksiat.

Hikmah Perintah Memisahkan Tempat Tidur Kanak-kanak

Perintah supaya memisahkan tempat tidur kanak-kanak menunjukkan bahawa Islam sangat memelihara akan kehormatan, maruah dan kesucian diri. Atas sebab itulah Islam sentiasa menanamkan segala nilai-nilai luhur kepada umatnya sebelum mereka dipertanggungjawabkan dengan kewajiban syara‘ lagi.

Pada usia sepuluh tahun, ada di kalangan kanak-kanak yang sudah mula memiliki kecenderungan terhadap lawan jenisnya dan sudah mula memiliki bayangan-bayangan seksual dalam pemikiran mereka.

Pada peringkat ini, kefahaman mereka tentang suruhan dan larangan agama belum mantap dan sempurna. Kemampuan mereka untuk berfikir juga masih lagi pada tahap yang lemah. Semua faktor ini merupakan penyebab kenapa syara‘ memerintahkan supaya dipisahkan tempat tidur mereka sekalipun dengan adik-beradik yang lain pada usia sepuluh tahun kerana dikhuatiri adanya dorongan untuk menggoda dan melakukan kerosakan pada mereka.

Adapun hikmah dan sebab kenapa perkara ini diperintahkan syara‘ antaranya:

i. Menghindari godaan syahwat walaupun mereka itu adalah adik-beradik.

Ini kerana usia sepuluh tahun, menurut Imam as-Subki, Imam ath-Thibi dan Imam al-Munawi Rahimahumullâh merupakan usia terbit dorongan dan gejolak syahwat.

Perkara ini ada kebenarannya kerana realiti kehidupan membuktikan bahawa godaan syahwat itu tidak mengenal sesiapa. Ini terbukti dari paparan berita dan sebagainya mengenai kes dan gejala sumbang mahram yang banyak berlaku di merata dunia.

ii. Bagi mendidik peradaban dan nilai-nilai murni sejak dari kecil.

Mendidik dan mendisiplinkan anak hendaklah dilakukan ketika usia mereka masih kecil. Pepatah ada menyebutkan ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Apabila kanak-kanak sudah dididik dan dibiasakan dengan adab-adab Islam seperti ini, pastinya ia akan sebati dengan jiwa mereka. Hasilnya, adab yang dititipkan itu akan menjadi tabiat dan keperibadian kanak-kanak itu sendiri kerana ia sudah dijadikan rutin dan kebiasaan dari awal usia mereka.

iii. Memelihara perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan menjauhi segala laranganNya.

Dengan mentaati perintah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam supaya memisahkan tempat tidur kanak-kanak sepertimana dalam hadits berkenaan, bererti dia juga dengan sendirinya telah mentaati perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

iv. Mendidik anak tentang etika dan batas pergaulan sesama ahli keluarga serta orang lain.

v. Memelihara keharmonian, maruah serta nama baik keluarga.

vi. Membiasakan anak untuk menghindari ruang-ruang tohmah dan fitnah sejak kecil.

Apabila mereka biasa menghindari jurang-jurang terlarang ini dari usia kecil lagi, mereka pasti terdidik untuk sentiasa menjauhi perkara-perkara yang haram dan terlarang pada masa hadapan.

Sunat Memisahkan Tempat Tidur Kanak-kanak Seawal Usia Tujuh Tahun

Pendapat yang paling kuat dalam mazhab asy-Syafi‘i mengatakan bahawa pemisahan tempat tidur kanak-kanak wajib dilakukan setelah mereka berusia sepuluh tahun. Walau bagaimanapun, terdapat juga pendapat bahawa perintah ini bermula seawal kanak-kanak itu berusia tujuh tahun sepertimana pendapat yang dicenderungi oleh Imam az-Zarkasyi Rahimahullâh. Pendapat ini berdasarkan sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Sabrah bin Ma‘bad Radhiallâhu ‘anhu, bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:

Maksudnya: Apabila usia anak-anak kamu sudah sampai tujuh tahun, maka pisahkanlah di antara tilam-tilam mereka… (Hadits riwayat al-Hakim dan ad-Daraquthni)

Maka berdasarkan hadits ini, Imam az-Zarkasyi Rahimahullâh serta ulama-ulama lain yang sependapat dengannya mengambil kesimpulan bahawa perintah ini juga dikenakan ke atas kanak-kanak yang sudah mencapai usia tujuh tahun.

Apa yang menjadi beza adalah dari segi hukum sahaja. Ini kerana memisahkan tempat tidur kanak-kanak ketika mereka berusia tujuh tahun adalah sunat sahaja dan bukan wajib. Oleh itu, jika ada kemudahan serta tidak ada halangan, eloklah perintah ini dilaksanakan juga sebaik sahaja kanak-kanak tersebut memasuki usia tujuh tahun.

Kesimpulan

Memisahkan tempat tidur kanak-kanak apabila mereka sudah berusia sepuluh tahun merupakan kewajipan ibu bapa serta penjaga yang mesti ditunaikan sebagaimana tuntutan syara‘. Bagi adik-beradik sesama jenis yang terpaksa berkongsi satu tilam, sekiranya mereka tidur dalam keadaan menutup aurat, maka hendaklah dipastikan supaya tidak berlaku sentuhan di antara mereka iaitu dengan memakaikan lapik atau penghadang seperti selimut dan seumpamanya yang dapat menutupi tubuh masing-masing. Di samping itu, hendaklah dipastikan supaya mereka itu berjauhan di antara satu dengan yang lain. Ini sekiranya keadaan tersebut tidak menimbulkan fitnah.

Jika mereka tidak menutup aurat pula, maka mereka tidak boleh berkongsi tilam, bahkan hendaklah mereka tidur dalam bilik yang berasingan.

Pemisahan ini walaupun wajib dilakukan pada usia kanak-kanak sepuluh tahun, akan tetapi sunat melakukannya seawal usia tujuh tahun. Ia juga boleh dilakukan lebih awal daripada usia tersebut jika keadaan mengizinkan.

Adapun bagi adik-beradik berlawanan jenis pula, wajib dipisahkan dalam semua keadaan di antara lelaki dengan perempuan apabila mereka berusia sepuluh tahun. Bagi mengelakkan daripada berlaku perkara yang tidak diingini, hendaklah dipisahkan di antara bilik kedua-duanya. Adalah elok juga diusahakan supaya memisahkan bilik kanak-kanak lelaki dengan kanak-kanak perempuan pada usia yang lebih awal daripada itu sebagai salah satu kaedah menutup pintu-pintu maksiat dan kemungkaran.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-9705

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص