Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة٠ مشاهدة

Kedudukan Hukum Berludah Ketika Sembahyang

الجواب

Air ludah ialah sesuatu yang dikeluarkan dari rongga mulut dan ia disebut dalam perkataan Arab sebagai al-bushâq “ ” atau al-buzâq “ ”. Kedudukan hukum berludah air ludah sama dengan kedudukan hukum berludah kahak sebagaimana menurut Imam Ibnu Hajar al-Asqalani Rahimahullâhu Ta‘âlâ. Kahak pula bererti sesuatu yang diturunkan dari rongga otak ataupun yang dikeluarkan dari rongga dada. Dalam perkataan Arab ia disebut an-nukhâmah “ ” atau an-nukhâ‘ah “ ”. Perkataan-perkataan al-bushâq “ ” atau al-buzâq “ ” dan an-nukhâmah “ ” ini boleh didapati di dalam beberapa hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam.

Tidak dinafikan adakalanya ketika mendirikan sembahyang seseorang itu terasa ingin berludah, membuang kahak atau membuang bekas sisa makanan di dalam mulutnya.

Dalam perkara ini, syara‘ telah menggariskan beberapa hukum tentang berludah ketika sembahyang. Pada dasarnya, hukum dan tatacara berludah ketika sembahyang adalah berbeza di antara sembahyang di dalam masjid dengan sembahyang di tempat selain masjid.

Berludah ketika Sembahyang di Dalam Masjid

Berludah di dalam masjid hukumnya adalah haram. Apabila orang yang sedang mendirikan sembahyang dalam masjid terasa ingin berludah haram ke atasnya berbuat demikian. Melainkan dia berludah pada pakaiannya di sebelah kiri dan menggosokkan pakaiannya itu dengan bahagian pakaian yang lain.

Imam an-Nawawi Rahimahullâhu berkata di dalam kitabnya al-Majmû‘:

Ertinya: Dan apabila orang yang mendirikan sembahyang terasa ingin berludah ketika berada di dalam masjid, maka haram hukumnya berludah di dalamnya. Bahkan hendaklah dia berludah pada hujung pakaiannya sebelah kiri seperti lengan bajunya dan seumpamanya.

Perkara ini juga adalah berdasarkan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya orang yang beriman apabila dia melakukan sembahyang, maka dia hanya bermunajat kepada Tuhannya. Oleh itu, dia tidak akan berludah ke hadapannya (arah qiblat), dan tidak juga ke sebelah kanannya, akan tetapi (dia akan berludah) ke sebelah kiri atau di bawah kakinya. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Walau bagaimanapun, menurut ad-Damiri Rahimahullâhu Ta‘âlâ, larangan ini terkecuali bagi mereka yang mendirikan sembahyang di Masjid an-Nabawi, maka lebih utama berludah ke sebelah kanan memandangkan kubur Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam berada di sebelah kiri. Bahkan makruh jika mereka berludah ke sebelah kiri.

Berludah ketika Sembahyang di Tempat Selain Masjid

Berludah di tempat selain masjid tidaklah haram, akan tetapi makruh jika berludah ke arah qiblat atau ke sebelah kanan. Oleh itu, jika seseorang itu melakukan sembahyang di tempat selain masjid dan merasa ingin berludah, maka hendaklah dia berludah pada pakaiannya di sebelah kiri ataupun di bawah tapak kaki kirinya atau di tepi kakinya sebelah kirinya. Hal ini dijelaskan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitab al-Majmû‘:

Ertinya: Dan sekiranya (orang yang mendirikan sembahyang itu) bukan di dalam masjid, tidaklah haram dia berludah ke tanah. Maka dia boleh berludah di sebelah kirinya sama ada pada pakaiannya (sebelah kiri) ataupun di bawah tapak kaki (kirinya) atau di tepi kakinya (sebelah kiri), namun yang lebih utama adalah berludah pada pakaiannya (sebelah kiri) dan dia gosokkan pakaiannya itu dengan bahagian pakaian yang lain.

Begitulah penjelasan mengenai kedudukan hukum berludah ketika sembahyang di dalam masjid dan ketika sembahyang di luar masjid dan cara-caranya.

Maka sebagai kesimpulan, jika seseorang itu merasa ingin berludah seperti membuang sisa makanan atau kahak ketika melakukan sembahyang di dalam masjid, adalah haram berludah di mana-mana bahagian masjid melainkan jika dia berludah pada pakaiannya di sebelah kiri.

Sementara itu, jika dia merasa ingin berludah seperti membuang sisa makanan atau kahak ketika melakukan sembahyang di tempat selain masjid adalah makruh berludah ke sebelah hadapan (arah qiblat) dan ke sebelah kanan. Maka hendaklah dia berludah ke sebelah kiri bajunya atau di bawah tapak kaki kiri atau tepi kaki kirinya. Namun yang lebih utama ialah dia berludah di sebelah kiri bajunya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-9766

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص