Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصيام٠ مشاهدة

Puasa Sebagai Ganti Dam Bagi Jemaah Yang Mengerjakan Haji Tamattu‘, Haji Qirân Dan Meninggalkan Ihrâm DIMîqât

الجواب

Dam at-tartîb dan at-taqdîr dikenakan ke atas sesiapa sahaja yang mengerjakan haji tamattu‘ dan haji qirân. Ia juga dikenakan ke atas sesiapa sahaja yang meninggalkan ihrâm di mîqât, meninggalkan melontar, meninggalkan mabît di Muzdalifah dan Mina dan meninggalkan thawaf al-wada‘.

Adapun dam bagi perkara-perkara di atas adalah menyembelih al-hadyu iaitu seekor kambing. Jika tidak mampu menyembelih al-hadyu oleh sesuatu sebab, maka wajib dia mengerjakan puasa sebanyak sepuluh hari sebagai ganti kepada dam menyembelih al-hadyu tadi. Iaitu tiga hari ketika haji dan tujuh hari setelah dia kembali ke tanah air.

Perlu difahami bahawa dam yang dikenakan iaitu puasa tiga hari kepada jemaah haji berkenaan, hanya boleh dikerjakan ketika mengerjakan haji dan dam tersebut berlaku sebelum hari nahar (10 Zulhijjah). Perkara-perkara yang boleh menyebabkan dam tersebut ialah kerana mengerjakan haji tamattu‘, haji qirân dan meninggalkan ihrâm di mîqât. Puasa tiga hari bagi sebab-sebab tersebut juga hendaklah dikerjakan setelah ihrâm.

Adapun bagi jemaah haji yang dikenakan dam atas sesuatu sebab yang terkemudian, iaitu kerana meninggalkan melontar atau meninggalkan mabît di Muzdalifah dan Mina pula, mereka hanya dapat mengerjakan puasa tiga hari ini selepas selesai hari tasyrîq. Ini kerana adanya tegahan mengerjakan puasa pada hari nahar dan hari-hari tasyrîq. Sementara itu, orang yang terluput mengerjakan thawaf al-wada‘ pula hanya boleh mengerjakan puasa tiga hari tersebut selepas dia sampai ke tempat yang wajib ke atasnya membayar dam, iaitu apabila perjalanannya telah mencapai jarak qashar sembahyang yakni dua marhalah atau lebih.

Di sini kita akan membincangkan mengenai hukum, cara dan beberapa permasalahan lain mengenai puasa sepuluh hari yang menjadi ganti kepada dam al-hadyu dengan memberikan tumpuan khusus kepada jemaah yang dituntut untuk mengerjakannya semasa mengerjakan haji iaitu jemaah yang mengerjakan haji tamattu‘, haji qirân dan meninggalkan ihrâm di mîqât. Dam Haji Tamattu‘, Haji Qirân dan Meninggalkan Ihrâm di Mîqât

Orang yang mengerjakan haji tamattu‘, haji qirân dan meninggalkan ihrâm di mîqât dikenakan dam berdasarkan ijmâ‘ ulama. Adapun dam bagi perkara-perkara di atas adalah menyembelih al-hadyu iaitu seekor kambing dengan syarat-syarat yang dikenakan dalam binatang korban dari segi sifat dan umurnya. Menurut ulama, dam al-hadyu juga tertunai dengan satu pertujuh unta atau satu pertujuh lembu iaitu bagi seekor unta atau lembu boleh dikongsi kepada tujuh bahagian. Jika satu bahagian unta atau lembu itu disembelih kerana dam dan enam bahagian lagi untuk sembelihan biasa, maka memadai bahagian sembelihan satu pertujuh itu sembelihan binatang dam al-hadyu.

Jika dia tidak mampu, sama ada kerana ketiadaan binatang al-hadyu di tanah haram pada ketika itu atau ada halangan dari segi kewangan, kerana hartanya tidak cukup, hilang atau sebagainya, maka dam al-hadyu tersebut boleh digantikan dengan mengerjakan puasa sebanyak sepuluh hari. Iaitu tiga hari dikerjakan ketika mengerjakan haji dan baki tujuh hari lagi dikerjakan setelah dia kembali ke tanah air.

Dam ini dikenakan secara at-tartîb wa at-taqdîr iaitu tidak boleh dipilih atau diganti dengan yang lain kecuali tidak berkemampuan mengerjakannya dan hendaklah merujuk kepada kadar dam tersebut sebagaimana yang telah ditetapkan oleh syara‘. Oleh itu, tidak boleh berpindah kepada dam yang kedua kecuali jika tidak mampu menunaikan dam yang pertama.

Perintah berpuasa ini tsabit berdasarkan al-Qur’an dan hadits. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman dalam surah al-Baqarah, ayat 196:

Tafsirnya: Tetapi sesiapa yang tidak dapat (mengadakan dam itu) maka hendaklah dia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan haji dan tujuh hari lagi apabila kamu kembali ke tempat masing-masing, semuanya itu sepuluh hari cukup sempurna. (Surah al-Baqarah: 196)

Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ meriwayatkan bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Maka sesiapa yang tidak memiliki al-hadyu, maka hendaklah dia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan haji dan tujuh hari (lagi) setelah dia kembali kepada ahlinya. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Cara Pelaksanaan Puasa Bagi Dam al-Hadyu

Bagi jemaah yang mengerjakan haji tamattu‘, haji qirân dan mereka yang meninggalkan ihrâm di mîqât, sekiranya mereka tidak mampu melaksanakan dam al-hadyu, mereka hendaklah berpuasa sepuluh hari. Puasa ini dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu tiga hari untuk dikerjakan ketika waktu haji dan tujuh hari untuk dikerjakan di tanah air atau tempat dia bermastautin. Bagi menerangkan cara mengerjakan puasa sepuluh hari ini, dijelaskan kedua-dua pembahagian puasa tersebut:

1. Puasa tiga hari ketika mengerjakan haji.

i. Bagi jemaah haji tamattu‘, haji qirân dan mereka yang meninggalkan ihrâm di mîqât, puasa tiga hari ini hanya boleh dikerjakan setelah berihrâm haji dan tidak harus dikerjakan sebelum itu. Ia juga tidak boleh dikerjakan pada hari nahar, iaitu 10 Zulhijjah.

Pada hari-hari tasyrîq tidak diharuskan berpuasa bagi jemaah haji qirân dan jemaah yang meninggalkan ihrâm di mîqât. Adapun bagi jemaah haji tamattu‘, ada dua pendapat dalam mazhab asy-Syafi‘i iaitu qaul qadîm dan qaul jadîd.

Menurut qaul qadîm, jemaah haji tamattu‘ yang tidak dapat mendatangkan binatang dam al-hadyu diharuskan untuk mengerjakan puasa tiga hari ini pada hari-hari tasyrîq tersebut. Ini merupakan pendapat yang dipilih oleh Imam Ibnu as-Shalah dan Imam an-Nawawi Rahimahumullâh.

Manakala menurut qaul jadîd pula, larangan puasa pada hari-hari tasyrîq juga dikenakan bagi jemaah haji tamattu‘. Maka menurut pendapat ini, jemaah haji tamattu‘ tidak diharuskan untuk mengerjakan puasa tiga hari ini pada hari-hari tasyrîq. Jika dikerjakan juga, maka puasanya itu tidak sah. Oleh itu, hendaklah dia menangguhkan puasa tiga hari ini sehingga selesai hari-hari tasyrîq. Pendapat ini merupakan pendapat yang mu‘tamad dalam mazhab asy-Syafi‘i.

ii. Sekiranya dia bermusafir selepas dia berihrâm haji itu, dia tetap wajib mengerjakannya dalam pelayarannya kerana bermusafir pada ketika itu tidak dianggap sebagai keuzuran untuk meninggalkan puasa tiga hari tersebut. Sebagai contoh, seorang jemaah haji tamattu‘ yang menanggung puasa ganti dam al-hadyu telah berihrâm pada 6 Zulhijjah. Sekiranya dia bermusafir pada 7 Zulhijjah dia tetap wajib menunaikan puasa pada hari tersebut kerana bermusafir pada ketika itu tidak dianggap sebagai keuzuran untuk meninggalkannya.

iii. Puasa tiga hari ketika haji ini dituntut supaya dikerjakan sekurang-kurangnya sebelum hari nahar dan tidak harus dilewatkan walaupun satu hari daripadanya. Maksudnya di sini hendaklah ia sempurna dikerjakan kesemuanya selewat-lewatnya pada hari ‘Arafah.

iv. Puasa tiga hari ini tidak wajib dikerjakan secara berturut-turut bahkan boleh dikerjakan secara berselang-seli. Akan tetapi menurut jumhûr ulama, mengerjakannya secara berturut-turut adalah sunat dan lebih afdhal, tidak kira sama ada ia dikerjakan secara tunai ataupun qadha’. Ini kerana mengerjakannya secara berturut-turut itu merupakan satu perbuatan menyegerakan perkara wajib dan sebagai jalan keluar daripada khilâf yang diutarakan sebahagian ulama yang menyatakan bahawa ia wajib dikerjakan secara berturut-turut.

v. Hukum sunat berturut-turut ini adalah bagi mereka yang berihrâm haji lebih awal di mana dia mempunyai lebih daripada tiga hari untuk melaksanakan puasa tiga hari itu, contohnya orang yang berihrâm haji pada 4 Zulhijjah. Orang yang berihrâm haji pada 4 Zulhijjah mempunyai peluang lima hari untuk melaksanakan puasa tiga hari itu sebelum hari nahar, iaitu 5, 6, 7, 8 dan 9 Zulhijjah. Adapun bagi mereka yang berihrâm haji pada 6 Zulhijjah contohnya, maka wajib dia mengerjakan puasa secara berturut-turut bagi melaksanakan tuntutan mengerjakan puasa itu sebelum hari nahar kerana dia hanya ada tiga hari untuk melaksanakannya iaitu 7, 8 dan 9 Zulhijjah.

vi. Puasa tiga hari ini sunat dikerjakan sebelum hari ‘Arafah kerana jemaah haji disunatkan supaya berbuka dan tidak mengerjakan puasa pada hari ‘Arafah. Jadi dapat difahami di sini bahawa sunat dan lebih utama dia berihrâm haji lebih awal iaitu sebelum 6 Zulhijjah supaya dia dapat mengerjakan puasa tiga hari itu dan menyelesaikannya sebelum hari ‘Arafah. Contohnya, dia berihrâm haji pada 5 Zulhijjah lalu mengerjakan puasanya pada 6, 7 dan 8 Zulhijjah. Ini adalah cara yang sunat dan paling afdhal.

Menurut Imam al-Wana’i Rahimahullâh pula, adalah elok juga sekiranya dia berihrâm sekira-kira dia dapat menyelesaikan puasa itu sebelum 8 Zulhijjah. Ini kerana pada 8 Zulhijjah itu ramai jemaah haji yang sudah mula sibuk bersiap sedia berangkat meninggalkan Makkah menuju ke ‘Arafah. Dengan menyelesaikan puasa tiga hari itu sebelum 8 Zulhijjah, dia tidak perlu lagi untuk berpuasa pada hari tersebut. Dengan yang demikian dia tidak berasa lemah dalam membuat persiapan serta tidak keletihan semasa membuat perjalanan.

Berlainan halnya dengan orang yang mampu mengerjakan dam menyembelih al-hadyu di mana mereka ini disunatkan supaya berihrâm pada hari tarwiyah iaitu 8 Zulhijjah.

vii. Sekiranya dia tidak mengerjakan puasa tiga hari itu ketika haji, maka wajib dia mengqadha’nya tidak kira sama ada dia terluput menunaikannya atas sebab keuzuran atau sebaliknya. Dia dikira luput mengerjakan puasa tiga hari itu secara tunai dengan berakhirnya hari ‘Arafah. Ini kerana dia tidak dapat lagi mengerjakan puasa tiga hari itu secara tunai ketika mengerjakan haji kerana larangan berpuasa pada hari nahar dan hari-hari tasyrîq.

viii. Tidak wajib atas seseorang supaya berihrâm haji lebih awal agar dia dapat mengerjakan puasa tiga hari itu sebelum hari nahar. Menurut ulama, walaupun dia terluput mengerjakannya secara tunai sebelum hari nahar kerana dia belum berihrâm haji, dia tidak dikira berdosa. Apa yang dituntut daripadanya hanyalah untuk menqadha’nya sahaja selepas selesai hari-hari tasyrîq.

Bagaimanapun, sekiranya dia berihrâm haji lebih awal dalam kadar dia sempat menyempurnakan puasa tiga hari itu sebelum hari nahar, contohnya dia berihrâm haji sebelum 7 Zulhijjah, maka dalam hal ini wajib dia melaksanakan ketiga-tiga hari puasa itu sebelum hari nahar. Jika dia tidak berbuat demikian, dia berdosa dan wajib dengan serta merta mengqadha’nya selepas berlalu hari-hari tasyrîq.

Dalam keadaan seperti ini juga, sekiranya dia berihrâm haji pada hari keenam Zulhijjah, maka wajiblah dia mengerjakan puasa tiga hari itu berturut-turut pada hari ketujuh, lapan dan sembilan Zulhijjah bagi menunaikan perlaksanaannya sebelum hari nahar. Hukum wajib berturut-turut yang disebutkan di sini bukanlah kerana berturut-turut itu wajib, akan tetapi kerana kesempitan waktu menunaikannya. Ini kerana sepertimana yang disebutkan tadi bahawa sekiranya seseorang itu berihrâm haji lebih awal dalam kadar dia sempat menyempurnakan puasa tiga hari itu sebelum hari nahar, maka wajib dia melaksanakan ketiga-tiga hari puasa itu sebelum hari nahar dan berdosa jika dia tidak menyempurnakan ketiga-tiga hari itu sebelum hari nahar.

Sekiranya dia berihrâm haji dalam kadar dia sempat mengerjakan sebahagian daripada tiga hari puasa tersebut sebelum hari nahar, maka wajib dia mengerjakan hari-hari puasa yang sempat dikerjakannya itu. Sebagai contoh, orang yang berihrâm haji pada 7 Zulhijjah, dia wajib mengerjakan puasa berkenaan pada hari kelapan dan sembilan Zulhijjah. Sementara baki satu hari lagi itu dikerjakan selepas hari-hari tasyrîq.

ix. Puasa tiga hari ketika haji ini hanya dapat dilaksanakan oleh mereka yang mengerjakan haji tamattu‘, haji qirân dan orang yang dikenakan dam kerana meninggalkan ihrâm di mîqât. Adapun orang yang menggantikan dam al-hadyu dengan puasa sepuluh hari atas sebab-sebab seperti meninggalkan melontar, meninggalkan mabît di Muzdalifah dan Mina, mereka wajib melaksanakan puasa ini selepas selesai hari-hari tasyrîq.

Adapun bagi mereka yang meninggalkan thawaf al-wadâ‘ pula, maka dia bolehlah mula mengerjakan puasa tiga hari itu setelah sampai ke tempat dia hendak bermastautin atau setelah perjalanannya sudah sampai ke tempat yang dibolehkan qashar sembahyang.

2. Puasa tujuh hari setelah kembali ke tanah air.

i. Bahagian kedua bagi puasa ganti dam al-hadyu ini ialah mengerjakan puasa tujuh hari setelah kembali ke tanah air. Maksudnya di sini ialah di mana sahaja tempat dia hendak bermastautin setelah kembali daripada mengerjakan haji, sama ada tempat itu adalah tempat dia mula bertolak untuk mengerjakan haji ataupun di tempat lain. Bahkan sekiranya dia hendak bermastautin di Makkah selepas itu dia hendaklah berpuasa di Makkah dan sah puasanya.

Bagaimanapun, sekiranya dia merancang untuk bermastautin di Makkah, lalu dia mengerjakan sebahagian daripada puasa tujuh hari itu di sana, kemudian dia menukar fikiran untuk bermastautin di Brunei misalnya, lalu dia pergi meninggalkan Makkah menuju Brunei sebelum sempurna puasa tujuh hari itu, maka puasa yang telah dikerjakannya di Makkah itu tidak memadai. Oleh itu hendaklah dia mengerjakan semula puasa tujuh hari itu di Brunei setelah sampai ke Brunei kelak. ii. Menurut ulama, disyaratkan supaya puasa tujuh hari itu dikerjakan di tempat dia bermastautin dan bukannya di tempat dia hanya menetap untuk suatu tempoh atau hanya mendiaminya untuk sementara waktu.

Oleh itu, orang yang singgah untuk menetap atau mendiami suatu tempat sebelum kembali ke negeri tempat dia bermastautin lalu dia meninggal dunia sebelum dia sempat menyelesaikan puasa tujuh hari itu, menurut Imam Ibnu Qasim Rahimahullâh hendaklah diberi makan orang miskin bagi pihaknya sebanyak satu mudd untuk setiap hari puasa atau ditunaikan puasa bagi pihak dirinya. Ini kerana orang yang meninggal dunia itu dikira tidak bersegera untuk kembali ke negeri tempat dia bermastautin untuk mengerjakan puasa tujuh hari itu.

iii. Puasa tujuh hari setelah kembali ke tanah air ini hanya harus dikerjakan setelah sampai ke tempat dia hendak bermastautin dan tidak harus serta tidak sah dikerjakan ketika masih dalam perjalanan dan tidak harus dikerjakan pada musim haji termasuk hari-hari tasyrîq walaupun dia sudah bertahallul.

iv. Puasa tujuh hari ini waktunya luas dan boleh dikerjakan pada bila-bila masa setelah dia kembali ke tanah air dan ia tidak akan luput sehinggalah ke akhir hayatnya. Oleh itu, ia tetap dikira tunai walaupun tidak dikerjakan serta-merta dan dia tidak berdosa sekiranya dia melewat-lewatkannya. Bagaimanapun, sunat puasa ini dikerjakan sesegera yang mungkin dan makruh melewatkannya.

Begitu juga tidak diharuskan dia mengerjakan puasa tujuh hari ini sekiranya dia belum lagi mengerjakan thawaf al-ifâdhah atau belum mengerjakan sa‘i atau belum bergunting atau bercukur kerana dia dikira belum selesai daripada mengerjakan haji walaupun dia sudah pulang ke tanah air atau tempat dia bermastautin. Tidak ada beza di sini sama ada tempat dia menetap atau bermastautin itu adalah di Makkah atau lainnya.

v. Sepertimana halnya dalam mengerjakan puasa tiga hari yang dijelaskan sebelum ini, puasa tujuh hari ini juga tidak wajib dikerjakan secara berturut-turut bahkan boleh dikerjakan secara berselang-seli. Akan tetapi menurut jumhûr ulama, mengerjakannya secara berturut-turut adalah sunat dan lebih afdhal, tidak kira sama ada ia dikerjakan secara tunai ataupun qadha’.

vi. Perlu diingat juga bahawa hendaklah dia berniat puasa pada malam hari sepertimana halnya puasa Ramadhan dan hendaklah ditentukan ketika berniat itu bahawa puasa yang dikerjakan itu adalah kerana mengerjakan haji tamattu‘, atau kerana mengerjakan haji qirân atau kerana sebab-sebab lainnya.

Bolehkah Puasa Tiga Hari Dikerjakan di Tanah Air?

i. Orang yang terluput mengerjakan puasa tiga hari ketika haji dan belum mengerjakannya sehingga dia kembali ke tanah air dengan sendirinya masih menanggung puasa tiga hari itu dan wajib dia mengqadha’nya. Sekiranya ia terluput secara sengaja, maka wajib dikerjakan qadha’nya itu dengan segera.

Walau bagaimanapun, qadha’ puasa itu boleh ditunda atas sebab musafir sepertimana halnya qadha’ puasa Ramadhan. Maksudnya di sini, tidak wajib dia mengerjakan qadha’ puasa tiga hari itu dalam perjalanannya menuju ke tanah air walaupun dari segi tuntutannya dia wajib mengerjakan qadha’nya dengan segera. Ini kerana perbuatan bermusafir merupakan salah satu keuzuran yang membolehkan seseorang menunda qadha’ puasa yang wajib dikerjakan dengan segera.

ii. Walau bagaimanapun, dalam keadaan seperti yang disebutkan di atas, kedua-dua bahagian puasa ini tidak boleh digabungkan atau disambungkan di antara kedua-duanya. Menurut pendapat yang paling shahîh dalam mazhab asy- Syafi‘i, sekiranya dia mengerjakan puasa tiga hari itu di tanah air secara qadha’, maka wajib dia memisahkan puasa tiga hari tersebut dengan puasa tujuh hari di tanah air yang dikerjakannya secara tunai dengan menjarakkan di antara kedua-duanya sebanyak empat hari (sebagai mengambil kira hari nahar dan tiga hari tasyrîq) dan mencampurkannya dengan tempoh perjalanan menuju ke tanah airnya menurut kebiasaan.

Sebagai contoh, sekiranya perjalanannya dari Makkah ke tanah airnya menurut kebiasaannya mengambil masa dua hari, maka jumlah dua hari itu dicampur lagi dengan empat hari (sebagai mengambil kira hari nahar dan tiga hari tasyrîq). Menurut kiraan ini, setelah selesai orang tersebut mengerjakan puasa tiga hari yang diqadha’nya di tanah air, hendaklah dia berbuka dahulu sebanyak enam hari kemudian barulah dia mengerjakan puasa tujuh hari.

Menurut ulama, tidak disyaratkan untuk berbuka pada hari-hari yang dijadikan pemisah jarak di antara kedua-dua puasa itu. Bahkan boleh dia mengerjakan puasa sunat yang lain pada hari-hari tersebut.

Sekiranya disambung puasanya itu sepuluh hari berturut-turut, maka hanya tiga hari puasa yang pertama sahaja diterima dan baki tujuh hari selepas itu tidak dikira.

Semua yang disebutkan dalam permasalahan ini adalah bagi mereka yang menetap di luar Makkah. Adapun bagi mereka yang menetap di Makkah selepas mengerjakan haji, lalu dia tidak mengerjakan puasa tiga hari itu sebelum hari nahar dan hanya mengerjakannya selepas hari-hari tasyrîq, maka dalam hal ini, menurut Imam asy-Syibramalissi Rahimahullâh dan lainnya, dia wajib memisahkan di antara puasa tiga hari dengan puasa tujuh hari itu dengan jarak empat hari sahaja.

Bagaimanapun, sekiranya penduduk atau orang yang bermastautin di Makkah itu sudah mengerjakan puasa tiga hari sebelum hari nahar, maka dia boleh mengerjakan puasa setelah selesai hari tasyrîq tanpa perlu memisahkan di antara kedua-dua puasa tersebut.

iii. Adapun bagi jemaah haji yang dikenakan dam kerana sebab-sebab yang terkemudian daripada hari nahar seperti kerana meninggalkan melontar, meninggalkan mabît di Muzdalifah dan Mina, lalu dia tidak mampu menyembelih dam al-hadyu, maka sekiranya dia belum mengerjakan puasa tiga hari ketika di Makkah sehinggalah dia kembali ke tanah air, dia diwajibkan supaya memisahkan di antara puasa tiga hari dengan puasa tujuh hari itu dengan jarak sehari, kemudian mencampurkannya dengan tempoh perjalanan menuju ke tanah airnya menurut kebiasaan. Manakala bagi penduduk dan mereka yang bermastautin di Makkah pula, adalah memadai memisahkan di antara puasa tiga hari dengan tujuh hari itu dengan jarak satu hari sahaja.

iv. Menurut Imam asy-Syarwani Rahimahullâh, sekiranya seorang jemaah itu diwajibkan atasnya dua dam, sebagai contoh dia dikenakan dam kerana mengerjakan haji tamattu‘ serta dam kerana tidak mengerjakan mabît, lalu dia belum mengerjakan puasa tiga hari bagi kedua-dua dam tersebut sehingga dia kembali ke tanah air, maka ketika mengqadha’nya di tanah air nanti, memadai dipisahkan di antara puasa tiga hari dengan puasa tujuh hari dengan sekali kiraan hari-hari pemisah di antara dua jenis puasa itu.

Oleh yang demikian, ketika mengerjakannya dia hanya perlu mengerjakan qadha’ puasa enam hari (gabungan tiga hari bagi puasa kerana mengerjakan haji tamattu‘ serta tiga hari kerana tidak mengerjakan mabît), kemudian berbuka sebanyak empat hari, lalu dicampur lagi dengan tempoh hari pelayaran, kemudian barulah dia menyambung lagi puasa sebanyak empat belas hari (gabungan tujuh hari bagi puasa kerana mengerjakan haji tamattu‘ serta tujuh hari lagi kerana tidak mengerjakan mabît).

Kedudukan Dam al-Hadyu Sekiranya Mampu Mengerjakannya Setelah Berpindah kepada Denda Puasa Sepuluh Hari

Sepertimana yang dijelaskan sebelum ini bahawa puasa ganti dam al-hadyu adalah bagi mereka yang tidak dapat mengadakan dam al-hadyu kerana tidak mampu atau ketiadaan binatang al-hadyu di tanah haram pada ketika itu. Sekiranya dia mampu mengadakan dam al-hadyu ketika dia sudah mula mengerjakan puasa sepuluh hari itu, adakah berpindah semula kewajipannya kepada menyembelih al-hadyu?

Menurut ulama mazhab asy-Syafi‘i, orang yang sudah memulakan puasanya kemudian baru dia mampu menyediakan dam al-hadyu, tidak kira sama ada ketika sedang mengerjakan puasa yang tiga hari atau puasa yang tujuh hari, adalah tidak diwajibkan untuk melaksanakan dam al-hadyu. Walaupun tidak wajib, adalah lebih afdhal dan sunat dia melaksanakan dam al-hadyu itu.

Bagaimanapun, sekiranya ketika dia berihrâm haji dia belum mampu mendatangkan binatang dam al-hadyu, kemudian sebelum dia mula mengerjakan puasa sepuluh hari dia memiliki kemampuan untuk mendatangkan dam al-hadyu tersebut, maka dalam hal ini wajib dia mengerjakan al-hadyu.

Kesimpulannya di sini, orang yang pada asalnya tidak mampu mengadakan dam al-hadyu, lalu dia memiliki kemampuan untuk mengadakannya selepas itu, tertakluk kepada dua keadaan:

1. Sekiranya dia memiliki kemampuan mengadakan dam al-hadyu sebelum dia mula mengerjakan puasa sepuluh hari, maka wajib dia melaksanakan dam yang pertama itu iaitu dam al-hadyu.

2. Sekiranya dia hanya memiliki kemampuan mengadakan dam al-hadyu setelah dia mula mengerjakan puasa sepuluh hari, maka tidak wajib dia melaksanakan dam yang pertama itu iaitu dam al-hadyu. Bagaimanapun, sunat dan lebih afdhal sahaja sekiranya dia berbuat demikian.

Tidak Mampu Mengerjakan Puasa

Sekiranya orang yang tidak mampu melaksanakan dam al-hadyu itu juga tidak berkemampuan mengerjakan puasa kerana sakit dan sebagainya, maka hal ini sama kedudukannya dengan mereka yang tidak mampu mengerjakan puasa Ramadhan. Oleh itu, hendaklah dia mengeluarkan satu mudd makanan bagi setiap hari puasa.

Sekiranya dia tidak juga mampu mengeluarkan satu mudd bagi setiap hari puasa, tuntutan ini tetap dalam tanggungannya. Maka apabila dia mampu selepas itu untuk mengerjakan salah satu daripada dua tuntutan tersebut, iaitu mengerjakan puasa sepuluh hari atau mengeluarkan satu mudd makanan bagi setiap hari puasa, hendaklah dia menunaikannya.

Meninggal Dunia Sebelum Melunaskan Puasa

Orang yang tidak dapat melaksanakan dam al-hadyu sama ada kerana faktor kewangan atau lainnya seperti disebabkan ketiadaan binatang yang dapat dijadikan dam al-hadyu di tanah haram pada ketika itu, lalu atas sebab itu dia berpindah kepada denda puasa sepuluh hari, kemudian dia meninggal sebelum dia berkesempatan mengerjakan puasa tersebut kerana belum ada masa atau ketidakmampuan dari segi kesihatan dan seumpamanya, maka menurut pendapat yang ashah (lebih shahîh), gugurlah dam itu daripada tanggungannya.

Bagaimanapun, sekiranya dia meninggal sebelum melaksanakan puasa ganti dam al-hadyu itu sedangkan dia mampu dan mempunyai kesempatan untuk melaksanakannya, maka hendaklah walinya mengerjakan puasa bagi pihak orang tersebut atau dikeluarkan satu mudd makanan bagi setiap hari puasa yang ditinggalkannya itu.

Maksudnya di sini ialah satu mudd bagi setiap hari puasa yang ditinggalkannya ketika dia mampu dan mempunyai kesempatan untuk melaksanakan puasa tersebut dan sunat ia dibahagikan kepada golongan fakir dan miskin di tanah haram. Walau bagaimanapun, harus hukumnya sekiranya ia diberikan kepada golongan fakir dan miskin yang berada di luar tanah haram.

Kesimpulannya, sesiapa yang meninggal dunia lalu dia masih menanggung puasa ganti dam al-hadyu ini dan sebelum dia meninggal dia tidak mampu dan tidak berpeluang untuk melaksanakannya, maka gugurlah tuntutan puasa itu daripada tanggungannya. Bagaimanapun, sekiranya sebelum dia meninggal dia mampu dan berpeluang melaksanakannya, maka walinya hendaklah mengerjakan puasa bagi pihak si mati itu atau hendaklah diberi makan orang miskin satu mudd makanan bagi setiap hari puasa yang ditinggalkannya itu.

Demikian beberapa penjelasan mengenai hukum, cara dan permasalahan puasa ganti dam al-hadyu bagi jemaah yang mengerjakan haji tamattu‘, haji qirân dan meninggalkan ihrâm di mîqât. Mudah-mudahan penjelasan ini dapat memantapkan ilmu dan kefahaman kita serta membantu kita melaksanakan tuntutan-tuntutan agama dengan lebih baik dan sempurna.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-9784

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص