Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳النكاح والطلاق٠ مشاهدة

Hukum Isteri Mengiringi Jenazah Suami Ke Perkuburan Dan Menziarahi Kubur Suami Ketika Menjalani ‘Iddah

الجواب

Apabila seseorang kehilangan insan yang disayangi seperti suami, isteri, anak atau ibu bapa, pasti perasaan duka dan sedih begitu kuat menyelubungi hati. Pada hari kematian, bahkan adakalanya selang beberapa waktu selepasnya, air mata masih menemaninya kerana masih terasa kehilangan. Bagi golongan perempuan, lebih-lebih lagi perempuan yang kematian suami, perasaan kehilangan yang terlalu mendalam menyebabkan mereka seboleh-bolehnya mahu sahaja untuk terus bersama jenazah ketika jenazah masih di rumah, bahkan ada sebahagiannya pula turut serta mengiringi jenazah sehingga ke perkuburan dan kerap pula menziarahi kubur walaupun tempoh ‘iddahnya belum habis.

Melihat situasi tersebut, timbul persoalan mengenai isteri yang di dalam ‘iddah kematian suami. Adakah isteri tersebut dibolehkan mengiringi jenazah suami ke perkuburan? Adakah dia juga boleh berziarah ke kubur suami sepanjang waktu ‘iddahnya? Berikut penjelasan syara‘ mengenainya.

Kewajipan Isteri Menjalani ‘Iddah

Menurut hukum syara‘, apabila berlaku kematian suami, maka diwajibkan ke atas isteri untuk menjalani ‘iddah sejurus suaminya meninggal dunia. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan orang-orang yang meninggal dunia antara kamu sedang mereka meninggalkan isteri-isteri, hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (ber‘iddah) selama empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis masa ‘iddah mereka maka tidaklah ada dosa atas kamu (wali-wali) mengenai apa yang mereka lakukan terhadap diri mereka (seperti berhias dan menerima pinangan) menurut cara yang patut. Dan Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan. (Surah al-Baqarah: 234)

Tempoh ‘iddah dan ihdâd (berkabung) bagi isteri yang kematian suami adalah:

i. Isteri yang tidak mengandung (hamil): Empat bulan sepuluh hari dan malamnya berdasarkan kiraan bulan qamariyyah, bermula dari waktu kematian suami.

ii. Isteri yang mengandung: Bermula sejurus selepas kematian suaminya sehingga dia melahirkan anak dengan syarat anak itu keluar keseluruhannya dan anak dalam kandungan itu adalah daripada nasab keturunan suaminya yang meninggal dunia.

Terdapat beberapa perkara yang wajib dilakukan oleh perempuan yang ber‘iddah kerana kematian suami sepanjang tempoh ‘iddah iaitu menegah dirinya daripada berkahwin atau menerima pinangan lelaki lain dan tidak dibenarkan untuk keluar rumah atau berpindah dari rumah kediaman kecuali kerana hajat atau dharurat.

Selain itu diwajibkan juga ke atasnya berihdâd (berkabung) selama dalam tempoh ber‘iddah. Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyebutkan dalam kitabnya al- Minhâj:

Ertinya: Dan diwajibkan ihdâd (berkabung) ke atas perempuan yang ber‘iddah kematian (suami).

Hikmah pensyariatan ‘iddah adalah untuk memastikan rahimnya kosong daripada kehamilan atau sebagai menunaikan tuntutan ibadat kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Manakala hikmah ihdâd (berkabung) pula adalah untuk menzahirkan rasa kesedihan isteri yang bercerai kerana kematian suami dan paling utama sebagai penghormatan menjaga hak suami.

Kewajipan berkabung sepanjang tempoh ‘iddah juga ada disebutkan dalam satu riwayat daripada Ummu ‘Athiyah Radhiallâhu ‘anhâ. Beliau berkata:

Maksudnya: Kami dilarang (oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam) berkabung atas kematian seseorang melebihi tiga hari, melainkan (berkabung) ke atas kematian suami selama empat bulan sepuluh hari. (Dalam tempoh itu) kami tidak dibenarkan bercelak, berwangi-wangian dan memakai pakaian yang cantik melainkan ‘ashb (sejenis pakaian perempuan Arab). Diringankan bagi kami ketika bersih (dari haidh), apabila mandi setelah suci daripada haidh menggunakan sedikit minyak wangi. Dan kami juga dilarang untuk mengiringi jenazah. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadits di atas, wajib ke atas seorang isteri yang kematian suami itu meninggalkan perkara-perkara yang mempunyai unsur berhias sama ada pada pakaian atau tubuh badan sepanjang tempoh berihdâd (berkabung). Antaranya mereka dilarang:

▪ Memakai pakaian sama ada sutera atau tidak, yang dicelup dengan warna bagi tujuan untuk berhias (dan menarik perhatian) seperti baju berwarna kuning atau berwarna merah. Jika (warna pakaian) dicelup, bukan untuk tujuan berhias, maka terkeluar dari maksud berhias.

▪ Menghias diri dengan berinai, bercelak mata dan yang seumpamanya.

▪ Berhias dengan memakai perhiasan seperti emas, perak, permata dan sebagainya pada tubuh badan pada waktu siang. Sementara memakainya pada waktu malam makruh hukumnya tanpa ada hajat berbuat sedemikian.

▪ Memakai haruman pada pakaian atau tubuh badan. Kecuali perbuatan mengharumkan itu untuk tujuan bersuci atau membersihkan darah haidh, iaitu untuk menghilangkan bau daripada kesan darah haidh dan bukannya bagi tujuan berwangi-wangian.

Larangan-larangan berhias ini juga disebut dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Ummu Salamah Radhiallâhu ‘anhâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Perempuan yang kematian suaminya tidak boleh memakai pakaian yang berwarna kekuningan dan juga kemerahan, tidak boleh memakai barang kemas, tidak boleh berinai dan tidak boleh bercelak mata. (Hadits riwayat Abu Daud)

Jika seorang isteri yang mukallaf dan mengetahui hukum kewajipan berihdâd (berkabung), mengabaikan dan meninggalkan berkabung yang telah diwajibkan dan ditetapkan oleh syara‘ ke atasnya, sama ada mengabaikannya sepanjang tempoh berkabung (tidak menjalani ihdâd) atau pada sebahagian tempoh berkabung, maka dia telah melakukan dosa. Manakala, bagi isteri yang masih kecil atau isteri yang kurang sempurna akalnya (gila), wali adalah diwajibkan untuk memastikan si isteri berkabung. Jika si isteri mengabaikan berkabung sedangkan wali tidak menegahnya, maka walinya berdosa kerana membiarkannya.

Dalam keadaan isteri meninggalkan berkabung secara tidak disengajakan, seperti isteri yang tidak mengetahui mengenai kematian suami dan khabar mengenainya hanya sampai kepada isteri ketika telah berlalu empat bulan sepuluh hari daripada kematian suaminya, maka dalam perkara ini si isteri tidak berdosa. Manakala tempoh berkabungnya juga dikira tamat dan berakhir tanpa perlu memulakan tempoh yang baru atau menggantikannya.

Kewajipan Isteri Tetap Tinggal di Rumah Ketika Menjalani ‘Iddah

Seorang isteri yang dalam ‘iddah (kerana kematian suami) diwajibkan untuk tetap tinggal di rumah kediaman sepanjang tempoh menjalani ‘iddahnya sama ada rumah miliknya atau rumah yang disediakan oleh suaminya yang bersesuaian dengan isteri. Dia tidak boleh keluar daripada rumah tersebut kecuali kerana adanya hajat.

Perkara ini jelas disebut oleh al-Qadhi Abu Syuja‘ Rahimahullâh dalam kitab Matn Ghâyah wa Taqrîb:

Ertinya: Dan (wajib) ke atas perempuan yang kematian suaminya dan perempuan yang diceraikan suami (dengan tiga kali thalaq) mendiami rumah (sepanjang tempoh ‘iddah) kecuali (keluar) kerana ada hajat.

Hajat yang dimaksudkan ialah keluar pada siang hari untuk memenuhi keperluan dirinya dan anak-anaknya seperti membeli barang keperluan, berubat, bekerja dan seumpamanya. Ini kerana nafkahnya tidak lagi ditanggung oleh suami dan tidak ada orang lain yang dapat menolongnya dalam melaksanakan perkara-perkara tersebut.

Walau bagaimanapun isteri dilarang untuk keluar dari rumah pada waktu malam melainkan ada hajat atau keperluan yang tidak dapat dilaksanakan ketika siang hari, maka dalam hal ini dia dibolehkan keluar malam dengan syarat dia dalam keadaan aman iaitu tidak mendatangkan fitnah kepadanya.

Begitu juga harus dia keluar ke rumah jiran perempuan yang bersebelahan atau yang berdekatan dengan rumahnya jika dia yakin dirinya aman atau selamat daripada perkara-perkara yang tidak elok, sekalipun untuk menyenangkan hatinya, berbual-bual atau untuk menjahit dan sebagainya. Dengan syarat mestilah:

a) Keluarnya ke rumah jiran perempuan itu pada tempoh yang munasabah mengikut kadar adat atau kebiasaan.

b) Tidak ada bersamanya (di rumahnya) sesiapa yang boleh berbual dengannya atau menghiburkannya.

c) Pulang dan bermalam di rumahnya sendiri.

Maksud jiran di sini ialah orang yang berdekatan dengan rumahnya hingga jarak 40 buah rumah dari setiap sudut rumahnya.

Selain daripada itu, isteri diharuskan keluar rumah apabila berlaku dharurat dan sebab dharurat ini lebih utama daripada hajat. Umpamanya isteri yang dalam ‘iddah berpindah dari rumah kerana takut dan khuatir akan berlaku kebinasaan ke atas dirinya, anaknya atau hartanya seperti berlaku keruntuhan, ditenggelami air, ada pencuri atau ditakuti terjadi tohmah ke atas diri isteri jika dia berterusan tinggal di rumah tersebut.

Jika sekiranya isteri meninggalkan kewajipan untuk tetap tinggal di rumah tanpa ada hajat untuk melakukan sedemikian, maka dia telah melakukan dosa. Perkara ini disebutkan dalam kitab-kitab karangan ulama asy-Syafi‘iyyah, antaranya dalam kitab Asnâ al-Mathâlib, Tuhfah al-Muhtâj Syarh al-Minhâj dan Mughnî al-Muhtâj Syarh al-Minhâj. Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyebutkan secara jelas mengenai perkara ini dalam kitab Raudhah ath-Thâlibîn wa ‘Umdah al-Muftîn:

Ertinya: Jika isteri meninggalkan ihdâd yang diwajibkan ke atasnya pada keseluruhan tempoh (‘iddah) atau sebahagian tempoh (‘iddah), maka dia berdosa dan selesai ‘iddahnya (sebagaimana tempoh yang ditetapkan tanpa perlu mengulang disebabkan dia meninggalkannya). Begitu juga jika dia meninggalkan kewajipan tinggal di rumah dan keluar (rumah) tanpa ada hajat, maka dia berdosa dan selesai ‘iddahnya dengan berlalunya tempoh ‘iddah (tanpa perlu mengulang tempoh tersebut).

Mengiringi Jenazah ke Perkuburan dan Ziarah Kubur Bagi Isteri yang Menjalani ‘Iddah Kematian Suami

Imam Ibnu Hajar dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj menyebutkan bahawa hukum mengiringi jenazah bagi lelaki adalah sunat mu’akkadah dan makruh bagi perempuan jika tidak ditakuti timbul fitnah daripada perbuatannya mengiringi jenazah.

Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Ummu ‘Athiyah Radhiallâhu ‘anhâ, katanya:

Maksudnya: Kami dilarang untuk mengiring jenazah, dan tidaklah ditekankan (larangan tersebut) ke atas kami. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadits di atas, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melarang kaum perempuan untuk mengiringi jenazah dan larangan di atas berupa makruh tanzîh. Larangan ini disebabkan sifat perempuan yang kurang sabar iaitu kurang tenang dan tidak kuat untuk menahan kesedihan.

Walau bagaimanapun jika dengan perbuatan perempuan mengiringi jenazah itu boleh menimbulkan fitnah seperti terjadinya percampuran di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram atau mengandungi perkara-perkara haram seperti perempuan itu meraung, memekik dan meratap kerana terlalu sedih, maka hukum mengiringi jenazah bagi perempuan adalah haram.

Manakala hukum ziarah kubur bagi perempuan pula adalah bergantung kepada tujuan dan keadaannya ketika berziarah. Hukum asalnya adalah makruh sekalipun tujuannya untuk mengambil i‘tibâr, untuk mengingatkan kematian, alam barzakh dan alam akhirat.

Akan tetapi hukum makruh tersebut bertukar menjadi haram apabila perempuan tersebut keluar berziarah kubur tanpa izin suami atau wali, atau mereka melakukan perkara yang boleh mengundang fitnah seperti terjadinya percampuran di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, atau ziarah itu boleh menimbulkan semula perasaan dukacita dan untuk meratapi si mati.

Berbeza pula hukumnya menziarahi maqam Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Hukumnya adalah sunat bagi lelaki dan juga perempuan dengan izin suami atau wali. Begitu juga menurut sebahagian ulama, sunat berziarah ke kubur para nabi, para ulama dan para wali.

Khusus bagi isteri yang kematian suami, wajib baginya menjalani ‘iddah dan ihdâd (berkabung) sepanjang tempoh yang ditentukan sejurus kematian suaminya. Bahkan bagi si isteri itu berdosa apabila dengan sengaja dan mengetahui melakukan perkara-perkara yang dilarang ketika menjalani ‘iddah seperti keluar rumah tanpa hajat dan bukan kerana dharurat.

Dalam perkara mengiringi jenazah suami ke perkuburan pula, ia tidak termasuk dalam perkara hajat dan dharurat yang disebut oleh syara‘ yang membolehkan isteri yang menjalani ‘iddah untuk keluar rumah. Oleh itu isteri dilarang keluar dari rumah kediaman untuk mengiringi jenazah suami dan dia berdosa jika dia melakukannya tanpa hajat atau dharurat sebagaimana penjelasan syara‘ mengenainya.

Begitu juga larangan dalam perkara menziarahi kubur sepanjang menjalani tempoh ‘iddah kerana ziarah kubur tidaklah termasuk dalam maksud hajat yang membolehkan isteri ber‘iddah untuk keluar dari rumah.

Asy-Syaikh Ibrahim al-Baijuri Rahimahullâh menyebut dalam Hâsyiyah beliau berkaitan perkara ‘iddah:

Ertinya: (Dan haram ke atas isteri yang baru kematian suami) ziarah kubur para auliyâ’ dan orang-orang salih, hatta kubur suaminya yang meninggal. Imam al-Qalyubi Rahimahullâh juga menyebutkan mengenai perkara ini sebagaimana kata beliau:

Ertinya: Dan diharamkan (ziarah kubur) ke atas perempuan yang menjalani ‘iddah walaupun (‘iddah) kerana kematian suami.

Kesimpulan

Berdasarkan pendapat para ulama tentang keharaman meninggalkan kewajipan ‘iddah dan ihdâd (berkabung) kecuali kerana hajat atau dharurat, maka sudah jelas seorang isteri keluar rumah untuk mengiringi jenazah suaminya yang meninggal dunia sehingga ke perkuburan dan menziarahi kubur suaminya dari bermula kewajipan ‘iddah sehingga selesai adalah dilarang dan berdosa. Ini kerana mengiringi jenazah dan ziarah kubur tidak termasuk dalam perkara hajat dan dharurat yang membolehkan perempuan ber‘iddah untuk keluar rumah. Perlu diingat bahawa maksud hajat yang dibenarkan itu seperti keluar rumah untuk bekerja, manakala dharurat pula seperti isteri takut berlaku kemudharatan ke atas dirinya jika dia tetap mendiami rumah tersebut sepanjang tempoh ber‘iddah. Paling utama kewajipan ber‘iddah dan ihdâd (berkabung) yang dijalani isteri ini sebagai mentaati perintah syara‘ dan menghormati hak suami yang sudah tiada.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-9800

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص