Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الأخلاق والآداب٠ مشاهدة

Hukum Anak-Anak Tidur Bersama Ibu Bapa

الجواب

Bagi sesetengah ibu bapa, berkongsi tempat tidur bersama anak, terutama anak damit atau anak yang masih kecil adalah satu perkara lumrah. Ia sememangnya lebih praktikal dan mendatangkan kesenangan kepada ibu bapa untuk mengurus anak kecil mereka terutama bagi anak yang masih menyusu dan masih memerlukan pemantauan sepanjang masa, contohnya anak yang masih memerlukan bantuan untuk mengurus diri seperti untuk ke tandas dan seumpamanya.

Walau bagaimanapun, apabila anak tersebut semakin mendekati usia mumayyiz atau sudah semakin cerdik dan memiliki sikap ingin tahu serta kerap bertanya setiap perkara yang berlaku di sekelilingnya, pastinya para ibu bapa akan mulai gusar dan kurang selesa berkongsi tempat tidur bersama mereka. Pastinya keberadaan anak di tempat tidur ibu bapa sedikit sebanyak mengganggu keharmonian dan privasi mereka dalam menjalani kehidupan sebagai suami isteri.

Bagaimana pula dari sudut syara‘? Adakah seorang anak dibenarkan untuk tidur bersama ibu bapa atau salah seorang daripada mereka? Adakah terdapat batas atau sukat-sukat syara‘ sekiranya syara‘ membenarkannya?

Kanak-kanak Berumur Sepuluh Tahun ke Atas

Secara umumnya, syara‘ menegaskan supaya tempat tidur kanak-kanak hendaklah dipisahkan dengan orang lain setelah mereka berusia sepuluh tahun. Ini berdasarkan sebuah hadits yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Amr Radhiallâhu ‘anhumâ, bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Perintahkanlah anak-anak kamu mengerjakan sembahyang sewaktu mereka itu berumur tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkannya sewaktu mereka itu berumur sepuluh tahun, dan pisahkanlah antara mereka pada tempat tidur mereka. (Hadits riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Berdasarkan hadits di atas, para ulama mengistinbâthkan bahawa wajib hukumnya atas para ibu bapa, wali atau penjaga untuk memisahkan tempat tidur kanak-kanak setelah mereka mencapai usia sepuluh tahun.

Menurut Imam an-Nawawi, Imam Taqiuddin Abu Bakar al-Hisni dan Imam al- Malibari Rahimahumullâh, perintah ini berbentuk muthlaq ke atas mana-mana kanak-kanak yang sudah mencapai usia sepuluh tahun. Maka oleh itu, wajib dipisahkan tempat tidur di antara kanak-kanak lelaki atau kanak-kanak perempuan dengan semua adik-beradik mereka. Bahkan wajib juga dipisahkan tempat tidur mereka dengan ibu bapa mereka.

Menurut para ulama mazhab asy-Syafi‘i, adapun sebab kenapa ibu bapa tidak terkecuali dalam perintah ini adalah kerana akal kanak-kanak pada usia sepuluh tahun masih lemah sedangkan dia boleh mencapai usia bâligh pada bila-bila masa dalam usia tersebut. Sekiranya tidak dipisahkan tempat tidur mereka dengan ibu bapa mereka, dikhuatiri boleh berlaku perkara yang terlarang dan tidak diingini, walaupun pada hakikatnya mereka itu adalah anak-beranak.

Tambahan lagi pada usia sebegini, besar kemungkinan kanak-kanak tersebut sudah mengetahui perkara-perkara yang dianggap sensitif dan sulit seperti maklumat mengenai seks, perkara aurat dan yang seumpamanya. Jadi tidak mustahil ada di kalangan mereka ini yang sudah mula memiliki kecenderungan terhadap lawan jenisnya dan sudah mula memiliki bayangan-bayangan seksual dalam pemikiran mereka.

Adalah dikhuatiri juga kanak-kanak yang tidur bersama ibu bapanya tanpa sebarang pengasingan akan melihat perilaku dan pergaulan suami isteri yang berlaku di antara kedua-dua ibu bapanya. Ini tidak syak lagi boleh menimbulkan perkara yang tidak diingini apatah lagi pada usia kanak-kanak yang belum matang dan belum benar-benar mendalami ilmu dan hukum-hakam agama. Ini ditambah lagi dengan sikap kanak-kanak yang suka meniru kelakuan orang lain tanpa mengetahui baik buruknya. Maka tidak hairanlah syara‘ memerintahkan supaya dilakukan pemisahan tempat tidur terhadap kanak-kanak yang berusia sepuluh tahun ini.

Bagaimana Pemisahan Tempat Tidur Dilakukan?

Dalam hadits yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Amr Radhiallâhu ‘anhumâ yang disebutkan sebelum ini, terdapat perintah supaya memisahkan tempat tidur kanak-kanak setelah mereka mencapai usia sepuluh tahun. Bagaimanakah pemisahan tempat tidur ini dapat dilaksanakan?

Perintah memisahkan tempat tidur ini boleh dilaksanakan dengan cara berikut:

i. Tidur berasingan dalam bilik masing-masing. Ini adalah cara yang terbaik bagi yang berkemampuan serta tidak ada halangan melakukannya.

ii. Jika terpaksa berkongsi bilik, hendaklah masing-masing mempunyai tilam sendiri.

iii. Jika terpaksa berkongsi satu tilam, hendaklah tidur berjauhan di antara satu sama yang lain. Umpamanya setiap mereka berada di sudut tilam yang berlainan. Ini bagi mengelakkan daripada terkena atau tersentuh di antara tubuh badan mereka.

Walau bagaimanapun, kaedah pengasingan di atas juga tertakluk kepada keadaan-keadaan yang tertentu. Ini kerana para ulama mazhab asy-Syafi‘i telah meletakkan sukat-sukat penting dalam perkara melakukan pemisahan tempat tidur, iaitu sama ada berlaku pendedahan aurat atau tidak. Sukat-sukat inilah yang akan menentukan bagaimana pemisahan tempat tidur itu perlu dilakukan.

Berikut dijelaskan kaedah pengasingan yang perlu dilakukan bagi kedua-dua keadaan tersebut, iaitu ketika tidur dalam keadaan menutup aurat dan ketika tidur tanpa menutup aurat:

i. Tidur dalam keadaan menutup aurat.

Sekiranya mereka tidur dalam keadaan menutup aurat, maka tidak menjadi kesalahan bagi seorang anak untuk tidur bersama ibu bapa atau salah seorang daripadanya dalam satu bilik menggunakan tilam yang berlainan.

Begitu juga tidak menjadi kesalahan bagi anak itu tidur di atas satu tilam bersama ibu bapa atau salah seorang daripadanya dengan syarat terdapat lapik atau penghadang yang menahan daripada bersentuhan tubuh di antara kedua-duanya. Tuntutan ini boleh dilaksanakan antaranya dengan cara anak itu memakai satu selimut yang berlainan dengan selimut ibu dan bapanya.

Sekiranya mereka berkongsi tilam, maka adalah disyaratkan juga supaya terdapat jarak di antara mereka supaya tidak berlaku sentuhan tubuh di antara satu dengan yang lain. Dengan melakukan perkara ini, maka tertunailah tuntutan memisahkan tempat tidur sebagaimana yang dikehendaki syara‘.

Walaupun seorang anak yang sudah berusia sepuluh tahun diharuskan untuk tidur bersama ibu bapa atau salah seorang daripadanya di atas satu tilam dalam keadaan menutup aurat dengan syarat-syarat tersebut di atas, keharusan ini adalah khusus dalam keadaan di mana perbuatan tersebut tidak mendatangkan fitnah. Sekiranya tidur dalam keadaan sedemikian boleh mengundang atau mendatangkan fitnah atau perkara yang tidak diingini, maka keharusan itu dengan sendirinya menjadi haram.

ii. Tidur dalam keadaan tidak menutup aurat.

Adapun jika mereka tidur dalam keadaan tidak menutup aurat pula, maka seorang anak tidak boleh tidur bersama ibu bapa atau salah seorang daripada ibu bapanya di atas satu tilam. Larangan ini adalah berbentuk muthlaq. Maka oleh itu, hukumnya tetap haram walaupun mereka tidur berjauhan serta tidak bersentuhan di antara satu dengan yang lain seperti kedua-duanya berada di atas satu tilam pada hujung atau sudut yang berlainan.

Ini kerana menurut syara‘, haram atas sesiapa sahaja yang sudah mencapai usia sepuluh tahun, untuk tidur bersama dengan seorang yang lain di atas satu tilam dalam keadaan tidak menutup aurat, melainkan jika mereka itu adalah pasangan suami isteri. Maka dapat difahami di sini bahawa pengharaman ini juga dikenakan ke atas anak-beranak serta sesama mahram.

Jika dipandang dari sudut akhlak, adab dan memelihara maruah, bukan sahaja tidak wajar tidur berkongsi tilam yang sama dalam keadaan salah seorang atau kedua-duanya tidak menutup aurat. Bahkan tidur bersama dalam satu bilik pun bukan satu perbuatan yang elok kerana mendedahkan aurat kepada orang lain adalah perbuatan yang dilarang. Ini boleh membuka pintu dosa dan maksiat serta mengundang perkara yang tidak diingini walaupun mereka itu pada hakikatnya adalah anak-beranak.

Pada kebiasaannya, orang yang sedang tidur tidak mempunyai kawalan akan pergerakan tubuh badannya. Dalam keadaan sedemikian, boleh jadi pergerakannya ketika tidur menyebabkan auratnya terbuka walaupun dia sudah menutup tubuhnya dengan selimut. Jika berkongsi bilik dengan seseorang ketika tidur tanpa menutup aurat, pastinya sangat sukar untuk mengelakkan daripada terlihat aurat masing-masing walaupun mereka tidak berkongsi tilam yang sama.

Tambahan lagi, menurut Imam Ibnu ‘Abidin Rahimahullâh, seorang ulama mazhab Hanafi, waktu tidur merupakan waktu rehat di mana pada waktu tersebut syahwat boleh terangsang dengan mudah dan aurat kedua-dua belah pihak boleh terdedah secara tidak sengaja.

Ini menambahkan lagi hal kekhuatiran akan berlaku perkara yang kurang elok sekiranya mereka tidur bersama dalam satu bilik dalam keadaan salah seorang atau kedua-duanya tidak menutup aurat.

Kanak-kanak Berumur di Bawah Sepuluh Tahun

Bagi kanak-kanak di bawah umur sepuluh tahun, tidak menjadi kesalahan sekiranya dia tidur bersama ibu atau bapanya atau kedua-duanya tanpa melaksanakan apa-apa bentuk pengasingan sekiranya terdapat hajat dan keperluan seperti kanak-kanak yang masih menyusu atau masih memerlukan pemantauan, penjagaan dan bantuan sepanjang masa.

Walau bagaimanapun, sekiranya ini boleh mengundang atau mendatangkan fitnah atau perkara yang tidak diingini, maka dengan sendirinya keharusan ini menjadi haram.

Penutup

Demikian penjelasan mengenai hukum anak-anak tidur bersama ibu bapa. Adalah penting segala hukum-hakam serta sukat-sukat syara‘ mengenai perkara ini difahami dengan baik dan dipatuhi dengan sempurna. Bimbingan syara‘ dalam perkara ini merupakan satu perintah yang bertujuan untuk menjaga maruah dan kehormatan sebuah keluarga dan menjaga keharmonian dan nama baik keluarga itu sendiri. Adalah penting diterapkan nilai-nilai akhlak dan diterangkan secara hikmah akan batas pergaulan termasuk pergaulan bersama ibu bapa bagi mengelak gejala negatif seperti sumbang mahram, rogol, zina, LGBT dan sebagainya.

Perlu ditekankan lagi di sini bahawa walaupun terdapat beberapa kelonggaran dalam keadaan-keadaan tertentu yang membolehkan seorang anak untuk tidur bersama ibu bapa atau salah seorang daripada ibu bapanya, semuanya ini tertakluk kepada wujud atau tidaknya unsur fitnah. Sekiranya terdapat unsur fitnah atau terdapat kekhuatiran perbuatan tersebut boleh membawa kepada sebarang perkara yang tidak diingini, maka semua keharusan itu dengan sendirinya menjadi haram.

Adalah lebih baik bagi mereka yang berkemampuan dan memiliki kemudahan supaya mengarahkan anak-anak mereka terutamanya yang sudah mumayyiz atau yang sudah memiliki kemampuan untuk meniru percakapan dan perbuatan orang lain supaya tidur di bilik masing-masing sekiranya tidak lagi ada apa-apa keperluan yang dharurat untuk tidur bersama ibu bapa walaupun mereka belum mencapai umur sepuluh tahun. Ini lebih mendatangkan keselesaan bagi kedua-dua belah pihak. Ini juga sebagai latihan awal bagi mendidik anak supaya mampu berdikari dalam mengurus diri dan sebagainya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-9807

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص