Menyapu Keseluruhan Kepala: Salah Satu Sunnah Dalam Wudhu’
الجواب
Menyapu kepala merupakan salah satu tuntutan fardhu wudhu’. Ini berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: …Sapulah sebahagian daripada kepala kamu… (Surah al-Mâ’idah: 6)
Menurut mazhab asy-Syafi‘i, tuntutan fardhu menyapu kepala dikira tertunai dengan menyapu sebahagian daripada kulit kepala dan juga tertunai dengan menyapu sebahagian daripada rambut yang ada dalam sempadan kepala.
Menurut pendapat yang masyhûr serta merupakan pendapat jumhûr ulama mazhab asy-Syafi‘i, tidak terdapat batasan tertentu dalam menentukan kadar kepala yang wajib dibasuh itu. Oleh itu, adalah dikira sah dan memadai sekiranya orang itu mengusap sebahagian kepala, sama ada dia mengusap separuh daripada bahagian kepala, satu pertiga, satu perempat atau kurang daripada itu. Ia juga dikira sah dan memadai walaupun dia hanya menyapu pada sebahagian daripada satu helai rambut yang ada dalam sempadan kepala.
Ini berdasarkan sebuah hadits yang diriwayatkan daripada al-Mughirah bin Syu‘bah Radhiallâhu ‘anhu di mana beliau berkata:
Maksudnya: Bahawasanya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam berwudhu’, lalu Baginda mengusap pada nâshiah (rambut di kawasan tengah atas dahi) Baginda, dan (mengusap) atas serbannya... (Hadits riwayat Muslim)
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, hadits ini menunjukkan bahawa perbuatan menyapu kepala itu tetap dianggap sah dan memadai sama ada bahagian kepala yang disapu itu banyak atau sedikit. Ini kerana perbuatan Baginda menyapu pada nâshiah yakni rambut di kawasan tengah atas dahi itu menafikan sebarang penetapan kadar yang tertentu kerana nâshiah itu merangkumi kurang daripada satu perempat kepala. Maka yang diwajibkan dalam berwudhu’ itu adalah mengusap mana-mana kadar pada mana-mana bahagian kepala yang mana menurut adat sudah memadai dan sudah diterima sebagai perbuatan “mengusap”.
Menurut Imam al-Malibari Rahimahullâh dalam Fath al-Mu‘în, bagi mereka yang hendak menunaikan tuntutan fardhu sahaja, iaitu menyapu sebahagian kepala, bahagian kepala yang paling utama untuk dilakukan sapuan padanya adalah bahagian nâshiah. Adapun nâshiah itu adalah kawasan kepala yang paling hadapan, tempat tumbuh rambut di atas tengah dahi.
Satu perkara yang mungkin belum difahami orang ramai ialah mengenai tuntutan menyapu keseluruhan kepala. Jika kita lihat dan perhatikan di masjid-masjid umpamanya, hampir semua orang yang mengerjakan wudhu’ hanya membasuh sebahagian kepala sahaja. Tidak dinafikan bahawa dengan menyapu sebahagian kepala itu sudah memadai dalam berwudhu’. Akan tetapi, pastinya dia akan kerugian pahala dan belum mencapai kesempurnaan dalam berwudhu’. Ini kerana walaupun menyapu keseluruhan kepala hukumnya sunat, ia adalah cara yang paling afdhal dalam menunaikan tuntuan menyapu kepala. Menurut apa yang disebutkan oleh para ulama, antaranya Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam al-Majmû‘, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, pada kebiasaan dan kebanyakan waktu, menyapu keseluruhan kepala ketika Baginda berwudhu’ bagi menyatakan kelebihannya. Manakala pada sebahagian waktu, Baginda hanya membasuh sebahagian kepala sahaja bagi menunjukkan bahawa yang demikian itu adalah harus.
Ini bermaksud, walaupun menyapu sebahagian kepala itu sudah memadai bagi menunaikan tuntutan fardhu menyapu kepala, akan tetapi menyapu keseluruhannya adalah lebih utama dan lebih sempurna kerana ittibâ‘, iaitu mencontohi atau mengikuti Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Ini kerana kebanyakan riwayat mengenai wudhu’ Baginda mengkhabarkan bahawa Baginda menyapu keseluruhan kepala Baginda.
Menurut para ulama lagi, perbuatan ini adalah lebih baik sebagai jalan keluar daripada khilâf ulama yang menyatakan bahawa menyapu keseluruhan kepala itu adalah wajib. Tuntutan ini berbentuk umum sama ada bagi lelaki, perempuan ataupun khuntsâ dengan sedikit perbezaan dari segi kaifiyyah menurut keadaan rambut masing-masing.
Orang yang melaksanakan tuntutan sunat menyapu keseluruhan kepala dengan sendirinya telah melaksanakan dua tuntutan dalam satu masa iaitu tuntutan fardhu dan tuntutan sunat. Dalam perkara ini, tuntutan fardhu tertunai dengan menyapu mana-mana bahagian yang memadai pada kepala manakala bahagian yang selebihnya adalah sebagai tuntutan sunat. Dengan melakukan perkara sedemikian, dia mendapat dua bahagian pahala, iaitu pahala mengerjakan tuntutan fardhu bagi sapuan yang dikira memadai untuk menunaikan tuntutan fardhu, serta mendapat pahala mengerjakan tuntutan sunat bagi sapuan pada bahagian yang selebihnya.
Kaifiyyah Menyapu Keseluruhan Kepala Ketika Berwudhu’
‘Abdullah bin Zaid Radhiallâhu ‘anhu, salah seorang sahabat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang masyhur, ada menerangkan cara Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menyapu keseluruhan kepala Baginda dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim.
Dalam hadits berkenaan, ‘Abdullah bin Zaid Radhiallâhu ‘anhu telah diminta untuk menunjukkan cara Baginda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mengambil wudhu’. Setelah menerangkan satu persatu cara wudhu’ Baginda dari permulaan wudhu’ hingga bahagian membasuh tangan hingga siku, ‘Abdullah bin Zaid Radhiallâhu ‘anhu menunjukkan cara Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menyapu kepala Baginda secara praktikal sepertimana berikut:
Maksudnya: … Kemudian beliau (‘Abdullah bin Zaid Radhiallâhu ‘anhu) menyapu kepalanya menggunakan tangannya, lalu dia melalukan kedua-dua tangannya itu ke hadapan dan ke belakang, bermula dari bahagian hadapan kepalanya, lalu melalukan kedua-dua tangannya itu ke belakang kepalanya. Kemudian beliau mengembalikan semula kedua-dua tangannya ke tempat di mana dia memulainya (hadapan kepala) … (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan riwayat ini, para ulama mengajarkan kaifiyyah sunnah dan paling afdhal dalam melaksanakan tuntutan membasuh kepala secara terperinci dalam kitab-kitab mereka.
Menurut para ulama, adapun cara yang disepakati sebagai sunnah serta menepati ittibâ‘ adalah dengan mengambil sedikit air dengan membasahkan kedua-dua tangan dalam kadar yang mencukupi lalu menempelkan hujung jari telunjuk tangan kanan kepada hujung jari telunjuk tangan kiri dan meletakkan kedua-dua perut jari telunjuk tersebut pada bahagian hadapan kepala, manakala ibu jari kedua-dua tangan ditempelkan pada kiri dan kanan pelipis kepala (bahagian di antara dahi dan telinga). Setelah melakukan yang demikian, kedua-dua tangan tersebut hendaklah disapukan atau dilalukan ke bahagian tengkuk. Ketika menyapukan tangan ini, seluruh jari digerakkan bersama melainkan kedua-dua ibu jari. Setelah selesai dilalukan ke bahagian tengkuk, kedua-dua tangan tersebut disapukan atau dilalukan semula ke tempat dia mula-mula menyapukan tangannya tadi (bahagian hadapan kepala) tanpa mengangkat tangan dari kepala.
Perbuatan menyapu atau melalukan tangan dari hadapan kepala hingga ke bahagian tengkuk lalu mengembalikannya semula ke hadapan kepala ini dikira sebagai satu kali sapuan. Ini kerana perbuatan menyapu keseluruhan kepala itu belum lagi sempurna kecuali setelah dikembalikan semula tangan yang menyapu kepala itu ke tempat sapuan dimulakan memandangkan terdapat sebahagian tempat kepala yang tidak terkena sapuan kecuali semasa membalikkan semula tangan ke tempat dimulakan sapuan, iaitu ke hadapan kepala.
Bagaimanapun, perbuatan melalukan semula tangan ke hadapan kepala setelah melalukannya ke bahagian tengkuk ini hanya disunatkan kepada mereka yang memiliki rambut yang boleh bergerak ke atas dan ke bawah apabila disapukan tangan di atasnya. Ini bagi menyampaikan sapuan itu kepada semua bahagian atau sudut kepala.
Adapun bagi mereka yang tidak memiliki rambut, atau rambutnya bukan jenis yang boleh bergerak ke atas dan ke bawah apabila disapukan tangan di atasnya kerana sangat pendek seperti rambut yang baru tumbuh selepas bercukur, atau rambut yang sangat panjang, maka tidak disunatkan baginya untuk menyapu semula tangan ke hadapan kepala. Ini kerana dalam keadaan sedemikian perbuatan tersebut tidak lagi ada faedahnya. Begitu juga tidak disunatkan untuk melakukan yang sedemikian bagi mereka yang rambutnya ditocang dan yang seumpamanya. Sekiranya dia menyapu semula tangan ke hadapan kepalanya dalam keadaan-keadaan yang tidak dituntut seperti ini, maka sapuan tersebut tidak ada fungsinya dan tidak diambil kira kerana air yang membasahi tangan itu sudah berubah menjadi musta‘mâl. Ini kerana orang yang memiliki rambut sepertimana di atas, keseluruhan kepalanya sudah dikira tersapu ketika dia melalukan tangannya ke bahagian tengkuk. Sungguhpun demikian, perbuatan tersebut tidaklah sampai menjejaskan atau membatalkan sapuan yang telah dilakukan.
Kaifiyyah Menyempurnakan Tuntutan Menyapu Keseluruhan Kepala ketika Memakai Serban, Kopiah atau Topi
Sekiranya seseorang memakai sesuatu di atas kepalanya seperti serban, topi, kopiah dan sebagainya, lalu dia tidak berhajat untuk membukanya atau menghadapi kesukaran untuk berbuat demikian ketika berwudhu’, maka sekiranya dia hendak menunaikan tuntutan sunat menyapu keseluruhan kepala dalam keadaan sedemikian, bolehlah dia menyapu sebahagian daripada kepalanya, dan lebih utama menyapu pada seluruh kawasan nâshiahnya, kemudian menyempurnakan sapuan yang selebihnya pada serban, topi atau kopiahnya itu. Tidak kira sama ada dia memakai serban, topi, kopiah atau seumpamanya itu semasa dalam keadaan suci atau dalam hadats.
Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada al-Mughirah bin Syu‘bah Rahimahullâh, yang disebutkan sebelum ini di mana Baginda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah mengusap pada nâshiah Baginda lalu mengusap atas serbannya tanpa menanggalkan serban tersebut.
Ketika melakukan ini, dia hendaklah menyapu dahulu anggota kepala sebelum menyapu pada serban, topi atau kopiahnya. Sekiranya dia menyapu pada serban, topi atau kopiahnya terlebih dahulu maka perbuatan tersebut tidak menepati sunnah dan tidak tertunai tuntutan sunat tersebut.
Menurut Imam ‘Umairah Rahimahullâh, hendaklah orang tersebut tidak mengangkat tangannya dari kepala sebelum menyapu pada serban, topi atau kopiahnya bagi mengelakkan air yang ada pada tangan menjadi musta‘mâl.
Begitu juga disyaratkan supaya serban, topi atau kopiahnya itu tidak dikotori najis, walaupun najis yang dimaafkan seperti darah kutu dan seumpamanya. Sekiranya ia dikotori najis, maka tidak diharuskan untuk melengkapkan sapuan pada serban, topi atau kopiahnya itu.
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, perkara ini juga dituntut ke atas perempuan yang tidak membuka tudung dan sebagainya dari kepalanya ketika berwudhu’.
Demikian penjelasan mengenai salah satu tuntutan sunat ketika berwudhu’ iaitu menyapu keseluruhan kepala. Mudah-mudahan penjelasan ini dapat meningkatkan lagi kefahaman kita khususnya tentang perkara wudhu’ yang merupakan rutin harian yang sangat penting bagi seorang Muslim. Sewajarnya kita jangan sekali-kali melepaskan peluang untuk meraih kelebihan ittibâ‘ serta mencapai kesempurnaan dalam berwudhu’ dengan memenuhi tuntutan-tuntutan sunat ketika berwudhu’.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-9828
دليل الألوان
