Hadits Memelihara Lidah Dan Tangan: Hayati Maksud Dan Pengajarannya
الجواب
Islam menekankan akan peri pentingnya memelihara kekukuhan ukhuwwah dan menggariskan irsyâd rabbâni bagi memastikan ukhuwwah ini sentiasa terjalin dan terpelihara daripada segala anasir yang boleh melemahkan atau menghancurkannya.
Salah satu daripada panduan dan bimbingan bagi memelihara ukhuwwah ini sebagaimana yang telah digariskan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ melalui lisan NabiNya adalah dengan memerintahkan kita supaya sentiasa memelihara diri daripada menyakiti orang lain dengan kejahatan lidah dan tangan.
‘Abdullah bin ‘Amr Radhiallâhu ‘anhumâ meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Seorang Muslim (yang sejati) itu ialah (apabila) orang-orang Muslim yang lain selamat daripada (kejahatan) lidah dan tangannya. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadits ini merupakan asas yang sangat penting dalam memelihara perpaduan dan kekuatan umat.
Maksud dan Pengertian Hadits
Secara umumnya, hadits ini bermaksud seorang Muslim yang memiliki ciri-ciri yang baik dan mulia ialah mereka yang tidak menyakiti saudara Muslimnya yang lain dengan kata-kata dan segenap perbuatannya.
Memelihara lidah dan tangan merupakan salah satu nilai dan ciri-ciri utama seorang Muslim yang sempurna. Ini kerana ia merupakan antara petanda yang menunjukkan bahawa seseorang itu adalah seorang Muslim yang sebenar-benarnya. Menurut Imam al- ‘Aini Rahimahullâh, memelihara kedua-dua anggota ini merupakan salah satu daripada cabang-cabang iman. Oleh itu, tidak sempurna iman dan agama seseorang jika dia tidak memelihara lidah dan tangannya daripada menyakiti orang lain.
Menurut Imam al-Khaththabi Rahimahullâh, hadits ini juga membawa maksud bahawa sebaik-baik golongon Muslim itu adalah mereka yang memelihara kedua-dua hak secara bersamaan, iaitu hak-hak Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan hak-hak kaum Muslimin. Beliau menambah bahawa barang siapa yang bersifat sedemikian, yakni memelihara hak Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan memelihara hak kaum Muslimin dengan tidak menyakiti mereka, maka dia adalah seorang Muslim yang terpuji.
Menurut Imam al-‘Aini Rahimahullâh, pengkhususan memelihara kedua-dua anggota ini juga boleh membawa maksud bahawa menjauhi daripada menyakiti dengan kedua-duanya itu adalah sangat dituntut dan sangat diperkuatkan.
Walaupun dalam hadits ini secara zahirnya menyatakan bahawa larangan daripada menyakiti itu dikhususkan terhadap sesama Muslim, pada hakikatnya, perintah ini juga merangkumi tegahan daripada menyakiti golongan bukan Muslim yang dilarang syara‘ untuk disakiti dan diperangi seperti golongan kafir dzimmi.
Maksud Memelihara Lidah Daripada Melakukan Kejahatan
Memelihara lidah dalam hadits ini disebut secara khusus kerana lidah merupakan cerminan, ungkapan dan ekspresi jiwa serta luahan perasaan dan pemikiran yang dipendam dan terbuku di hati.
Kejahatan lidah sangat banyak dan sukar untuk disebutkan keseluruhannya satu persatu. Antara kejahatan lidah ialah ghîbah, mengumpat, mengadu domba, menghina, memfitnah, menghasut, mempersenda, memperlekeh, berdusta dan banyak lagi. Pada asasnya, apa sahaja perbuatan lidah yang boleh menyakiti atau menzalimi orang lain tanpa hak, maka yang demikian itu adalah termasuk dalam kategori kejahatan lidah.
Kejahatan lidah ini, selain menyakiti orang yang dizalimi, ia juga boleh menyakiti dan menyusahkan orang yang langsung tidak ada kaitan dalam urusan antara orang yang menyakiti dan orang yang disakiti. Contohnya, orang yang mendengar umpatan atau ghîbah, dia boleh sahaja turut mendapat dosa sekiranya dia tidak mengelakkan diri daripada mendengar umpatan atau ghîbah tersebut. Ini kerana sepertimana diharamkan untuk mengumpat dan melakukan ghîbah, mendengarnya juga sama-sama diharamkan.
Banyak hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang menyatakan perintah supaya sentiasa memelihara lidah. Selain itu, banyak juga hadits berupa kecaman dan amaran mengenai bahaya lidah, serta tegahan daripada mengatakan sesuatu yang tidak mendatangkan sebarang manfaat dan faedah.
Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sungguh seorang hamba mengucapkan suatu kata yang Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ redhai, dalam keadaan dia tidak memikirkan tentang baik buruk atau akibat daripada perkataan itu, lalu dengan kata tersebut Allah mengangkatnya beberapa darjat. Dan sungguh seorang hamba mengucapkan suatu kata yang Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ murkai dalam keadaan dia tidak memikirkan tentang baik buruk atau akibat daripada perkataan itu, lalu dengan kata tersebut dia terjatuh ke dalam neraka jahannam. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Antara perkara yang paling dikhuatirkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam terhadap umat Baginda adalah kelalaian memelihara lidah. Sufyan ats-Tsaqafi Radhiallâhu ‘anhu pada suatu hari bertanya kepada Baginda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam tentang apakah yang paling Baginda takuti dan risaukan terhadap diri beliau (Sufyan ats-Tsaqafi Radhiallâhu ‘anhu). Baginda lalu memegang lidah Baginda sendiri lalu menjawab: “Yang ini”.
Jika ini merupakan kekhuatiran Baginda terhadap seorang sahabat yang tinggi darjat kemuliaannya, maka apatah lagi diri kita yang mungkin tidak akan mampu untuk sampai ke tahap mereka itu.
Menurut Malik bin Dinar Rahimahullâh, lidah yang tidak dipelihara dengan baik akan mengakibatkan berbagai kesusahan serta kesan yang buruk terhadap hidup tuannya. Dia berkata: “Sekiranya engkau mendapati kekerasan pada hatimu, rasa lemah pada tubuh badanmu serta kesempitan pada rezekimu, maka ketahuilah bahawa (semua itu berlaku kerana) engkau pernah mengatakan sesuatu yang tidak ada kena mengena dengan dirimu.”
Dahsyatnya penangan lidah serta bahaya yang boleh dibawanya itu sehinggakan Imam Ibnu al-Qayyim Rahimahullâh menyatakan bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah menjadikan lidah seorang manusia ditutup dan dilindungi oleh dua anggota lain iaitu gigi dan kedua bibir sebagai isyarat akan bahaya yang akan terjadi sekiranya lidah itu tidak diawasi dan tidak dipelihara dengan sewajarnya. Ini merupakan suatu rahsia dan hikmah Ilahi yang perlu disedari dan diambil perhatian.
Maksud Memelihara Tangan Daripada Melakukan Kejahatan
Menurut ulama, rahsia disebut tangan secara khusus dalam hadits berkenaan adalah kerana kebanyakan perbuatan dan pekerjaan seseorang, sama ada yang baik atau sebaliknya, dilakukan menggunakan anggota berkenaan. Melakukan perkara yang baik dan diharuskan seperti bersalaman, menghulurkan bantuan, makan minum yang halal, menulis ilmu dan seumpamanya dikerjakan menggunakan tangan. Begitu juga perbuatan seperti memukul, mencuri, merosakkan harta benda awam dan banyak lagi perbuatan lain yang buruk dan terlarang, kebanyakan juga adalah hasil perlakuan tangan. Kejahatan tangan ini boleh sahaja berlaku sama ada secara langsung atau sebagai suatu sebab berlakunya sesuatu kejahatan.
Apa yang dimaksudkan dengan kejahatan tangan di sini adalah apa-apa kejahatan yang dilakukan oleh tangan tanpa apa-apa hak yang mengharuskannya. Adapun perlakuan seperti melaksanakan hukuman hadd atau ta’zîr terhadap orang yang bersalah dan berhak menerima hukuman, seperti orang yang ditugaskan untuk melaksanakan potong tangan ke atas pencuri, atau pukulan untuk melatih dan mendidik dalam perkara-perkara yang dibenarkan, seperti memukul anak yang tidak menunaikan sembahyang setelah berusia sepuluh tahun adalah tidak termasuk dalam tegahan ini. Ini kerana perlakuan tersebut dilakukan bukan atas tujuan menyakiti atau membalas dendam, akan tetapi untuk melaksanakan perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ bagi menegakkan keadilan, memperbaiki dan memberi pengajaran bagi kemashlahatan dunia dan akhirat.
Ia juga tidak terhad kepada perbuatan menyakiti dengan anggota tangan secara lahiriah semata-mata, bahkan ia merangkumi kejahatan yang dikaitkan secara simbolik terhadap tangan seperti perbuatan menzalimi hak orang lain tanpa hak, membuli, menindas, salah guna kuasa, memperalatkan orang lain bagi kepentingan diri serta kaum keluarga dan seumpamanya. Semua ini termasuk dalam kategori kejahatan-kejahatan tangan kerana perbuatan tersebut juga dikategorikan sebagai perbuatan yang menyakitkan dan menzalimi orang lain.
Salah satu kejahatan yang menggabungkan kedua-dua anggota lidah dan tangan adalah kejahatan dalam bentuk penulisan, sama ada melalui medium bercetak seperti buku, akhbar dan sebagainya, atau melalui medium lain seperti internet dan sebagainya. Ia termasuk juga penulisan-penulisan tidak beretika yang berbentuk fitnah, mencaci, mengumpat dan menyebarkan maklumat kurang tepat dan tidak shahîh.
Kejahatan seumpama ini boleh menyakiti orang lain secara berpanjangan selagi mana belum diperbetulkan atau belum dihapuskan penulisan tersebut daripada sumber-sumbernya. Untuk menghapuskan penulisan yang menyakiti orang lain sememangnya satu perkara yang sangat sukar apatah lagi pada zaman ini di mana penyebaran sangat meluas sehinggakan apa sahaja penulisan yang ditulis atau dikongsikan dengan mudah sahaja menjadi tular (viral) dan boleh dibaca oleh sesiapa sahaja tanpa kawalan dan tapisan.
Menurut Imam as-Safiri Rahimahullâh, iaitu salah seorang ulama mazhab asy-Syafi‘i, satu lagi bentuk penulisan yang dikira menyakiti orang lain adalah semua tulisan, dokumen atau penandatanganan yang tidak jujur dari pemegang amanah. Contohnya yang berbentuk penipuan, persaksian palsu serta lain-lain kezaliman dan pelanggaran terhadap hak orang lain, seperti membuat surat pengakuan palsu atau menandatangani satu dokumen yang menzalimi, memutuskan rezeki orang lain tanpa hak, menipu dan menganiaya atau yang tidak menunaikan hak-hak yang sepatutnya. Apatah lagi jika ia dilakukan oleh mereka yang dipertanggunjawabkan atau diamanahkan untuk memelihara kebajikan dan kemashlahatan orang ramai. Ini jelas merupakan suatu kejahatan besar terhadap orang lain yang mana kesannya boleh menjadi lebih besar dan lebih menyakitkan daripada kata-kata.
Rahsia Digandingkan Anggota Lidah dan Tangan
Dalam kitab ‘Umdah al-Qâri’ disebutkan bahawa rahsia kenapa dua anggota ini disebut secara beriringan dalam hadits berkenaan adalah kerana perbuatan menyakiti orang lain dengan lidah dan tangan adalah lebih banyak berlaku daripada perbuatan menyakiti orang lain dengan anggota-anggota yang lain. Maka dengan mengkhususkan kedua-dua anggota ini, ia seolah-olah merangkumi semua bentuk kejahatan yang dilakukan anggota-anggota tubuh badan yang lain.
Selain itu, menurut asy-Syaikh Abu Dzarr Ibnu asy-Syaikh Burhanuddin Rahimahullâh ketika beliau mensyarah hadits ini, kedua-dua anggota ini tidak diasingkan, bahkan disebutkan bersama-sama dalam hadits berkenaan kerana seorang Muslim yang benar-benar sempurna itu hendaklah mampu mengawal kedua-dua anggota tersebut secara bersamaan. Ini kerana boleh jadi seseorang itu menahan diri daripada menyakiti orang lain dengan tangannya kerana takut, lemah, tidak memiliki kuasa dan sebagainya. Sekiranya dalam masa yang sama dia juga mampu mengawal lidahnya daripada melakukan kejahatan, maka terbuktilah di sini bahawa dia menahan kejahatan tangannya semata-mata kerana memelihara perintah agama dan mentaati suruhan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan RasulNya, bukan atas sebab takut, lemah dan seumpamanya.
Adapun sebab kenapa lidah disebut terlebih dahulu sebelum tangan adalah kerana menyakiti dengan lidah lebih banyak berlaku dan lebih mudah dilakukan daripada menyakiti dengan tangan dan lainnya. Ia juga lebih kuat kesannya dalam mendatangkan kemarahan, sakit hati, perseteruan dan kesedihan.
Kesimpulan dan Pengajaran Hadits
Dari penjelasan para ulama mengenai hadits yang memerintahkan untuk memelihara lidah dan tangan ini, dapat difahami bahawa hadits ini merupakan anjuran dan perintah supaya tidak menyakiti kaum Muslimin serta semua golongan yang tidak berhak untuk disakiti, dengan apa sahaja cara sekalipun. Bahkan menurut Imam al-‘Aini Rahimahullâh, ia juga membawa maksud supaya sentiasa memelihara akhlak dan perlakuan terhadap seluruh alam dan tidak membuat sebarang kezaliman dan kerosakan terhadap mana-mana makhluk hatta kepada binatang sekalipun. Ini sepertimana kata-kata Imam al-Hasan al-Bashri Rahimahullâh: “Orang-orang yang baik adalah mereka yang tidak menyakiti walau semut-semut kecil sekalipun.” Bahkan hendaklah dia juga tidak melakukan kerosakan terhadap harta benda apatah lagi harta benda awam. Ini kerana perbuatannya itu akan menyakiti dan menyusahkan pengguna-pengguna yang lain yang berhajat kepada harta benda berkenaan.
Hadits ini juga menganjurkan untuk menyatupadukan hati, jiwa, mahabbah dan kesatuan kaum Muslimin dan mencari apa sahaja jalan yang dapat merealisasikannya. Ini kerana kesatuan serta jalinan mahabbah antara sesama Muslim merupakan salah satu rukun dan tunjang syariat dan salah satu unsur terpenting ajaran agama Islam.
Menurut Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh, hadits berkenaan juga merupakan saranan dan petunjuk bahawa seorang Muslim itu hendaklah berlaku baik terhadap Tuhannya. Ini kerana walaupun hadits ini secara lahirnya menyuruh supaya sentiasa berlaku baik sesama makhluk terutamanya sesama kaum Muslimin, sebenarnya tersirat satu tuntutan yang lebih besar iaitu suruhan berlaku baik terhadap Tuhan. Ini jelas kerana apabila seseorang itu dituntut untuk berlaku baik terhadap saudaranya, maka adalah lebih utama juga baginya berlaku baik terhadap Tuhannya.
Oleh itu, dalam memelihara hak sesama manusia, jangan sekali-kali diabaikan hak yang lebih utama daripada itu iaitu hak terhadap Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-9875
دليل الألوان
