Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة٠ مشاهدة

Berdaham Dan Batuk Ketika Sembahyang

الجواب

Perbuatan berdaham dan batuk adalah perbuatan yang sering dihadapi oleh sebahagian orang. Kadang-kadang berdaham dan batuk itu terjadi kerana penyakit dan kadang-kadang juga ia terjadi kerana sebab lain atau tanpa sebab. Jadi apabila dikaitkan dengan ibadat khususnya sembahyang, maka setentunya ada isu-isu yang perlu diperjelaskan mengenainya.

Salah satu perkara yang membatalkan sembahyang itu ialah bercakap. Permasalahan berdaham dan batuk ketika sembahyang adalah termasuk di dalam perbincangan bercakap ketika sembahyang. Oleh itu, terlebih dahulu dihuraikan hukum bercakap ketika sembahyang sebelum penjelasan hukum berdaham dan batuk ketika sembahyang.

Bercakap ketika Sembahyang

Ibadat sembahyang menjadi batal atau tidak sah jika orang yang sedang mendirikan sembahyang itu bercakap dengan sengaja tanpa sebarang keuzuran. Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Mu‘awiyah bin al-Hakam as-Sulami Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Semasa aku (Mu‘awiyah) sembahyang bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, tiba-tiba seorang lelaki dari satu kaum telah bersin.

Aku pun mengucapkan: “Yarhamukallâh!” (semoga Allah merahmatimu). Lalu semua orang memandang tajam ke arahku. Aku pun berkata: “Oh! Ibuku kehilangan anaknya, kenapakah kamu memandangku begitu?” Mereka (marah) sehingga memukulkan tangan mereka ke paha mereka. Ketika aku melihat mereka mendesakku untuk diam (aku ingin bertelagah dengan mereka) akan tetapi aku berdiam diri. Namun setelah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam selesai sembahyang, demi Baginda (Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sebagai) bapaku dan ibuku, tidak pernah ku lihat seorang guru sebelum Baginda dan selepas Baginda yang lebih baik cara pengajaran daripada Baginda. Maka demi Allah, Baginda tidak bermasam muka kepadaku, tidak memukulku dan tidak menghinaku. Baginda bersabda: “Sesungguhnya sembahyang ini tidak boleh ada di dalamnya sesuatu daripada percakapan manusia. Hanya (sesuatu yang boleh ada dalam sembahyang) adalah tasbîh, takbîr dan bacaan al-Qur’an.” (Hadits riwayat Muslim)

Bercakap yang boleh membatalkan sembahyang itu ialah jika bercakap dengan kadar dua huruf yang dapat difahami ataupun tidak, ataupun satu huruf yang dapat difahami, ataupun satu huruf yang mamdûd (yang dibaca panjang) walaupun tidak difahami, sama ada bercakap dengan bahasa Arab ataupun bahasa yang lain sebagaimana disebutkan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitab Minhâj ath-Thâlibîn.

Contoh bercakap dalam bahasa Arab bagi dua huruf yang dapat difahami ialah seperti perkataan “ ”. Contoh dua huruf yang tidak dapat difahami pula ialah seperti perkataan “ ” atau “ ”. Sementara itu contoh satu huruf yang dapat difahami ialah seperti huruf “ ” atau huruf “ ” dan yang seumpamanya. Ini adalah kerana dalam bahasa Arab huruf “ ” adalah singkatan dari perkataan “ ” yang bererti pemeliharaan dan huruf “ ” adalah singkatan dari perkataan “ ” yang bererti kesedaran. Contoh huruf mâd pula ialah seperti “ ”.

Manakala contoh dalam bahasa Melayu bagi dua huruf yang dapat difahami ataupun tidak adalah seperti ‘o.k.’, atau satu huruf yang dapat difahami adalah seperti ‘k’ yang bermaksud okey atau setuju.

Bercakap ketika Sembahyang yang Dimaafkan

Perbuatan bercakap yang membatalkan sembahyang ialah jika dilakukan dengan sengaja dan tahu bahawa perbuatan bercakap itu hukumnya adalah haram dilakukan semasa sembahyang.

Namun jika bercakap itu dilakukan kerana terlupa, terlatah mulut, jahil akan kedudukan sembahyang dan jahil akan hukum haramnya kerana baru memeluk agama Islam atau berjauhan daripada para alim ulama, maka dalam keuzuran sebegini tidaklah membatalkan sembahyang asalkan bercakap itu pada jumlah yang sedikit. Kadar bercakap yang dianggap sedikit itu ialah tidak melebihi daripada enam kalimat.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu alaihi wa sallam berhenti sembahyang setelah dua rakaat (sembahyang Zhuhur atau Ashar), Maka berkata kepadanya Dzul Yadain: “Wahai Rasulullah! Adakah sembahyang telah dikurangkan (diqashar) atau tuan terlupa?” Lalu Baginda pun bertanya kepada (sahabat-sahabatnya): “Benarkah apa yang dikatakan Dzul Yadain?” Para sahabat lalu menjawab: “Ya.” Lalu Baginda pun bangkit sembahyang dengan menambah dua rakaat lagi dan Baginda memberi salam, kemudian Baginda bertakbîr untuk melakukan sujud (sahwi) seperti sujud (dalam sembahyang)nya atau lebih panjang (darinya). (Hadits riwayat al-Bukhari)

Hadits ini menunjukkan bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam terus menyambung rakaat sembahyang yang tertinggal setelah Baginda bertanyakan sahabat mengenai persoalan Dzul Yadain itu kepadanya. Imam Abu Qasim Rahimahullâhu Ta‘âlâ berkata bahawa persoalan Dzul Yadain sebanyak enam kalimat itu sebagai percakapan yang sedikit. Kadar kiraan enam kalimat itu telah dijelaskan oleh Imam asy-Syabramallisi Rahimahullâhu Ta‘âlâ dengan mengira perkataan “ ” dua kalimat, perkataan “ ” juga dua kalimat dan perkataan “ ” juga dua kalimat.

Walaupun keadaan yang disebutkan di atas dikira sebagai keuzuran dan tidak membatalkan sembahyang, namun demikian jika bercakap dengan jumlah yang banyak maka ia membatalkan sembahyang kerana keuzuran seperti terlatah mulut atau terlupa itu jarang sekali berlaku dengan jumlah yang banyak. Menurut pendapat yang muʻtamad, kadar bercakap yang dianggap banyak itu ialah melebihi dari enam kalimat sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Qalyubi Rahimahullâhu Ta‘âlâ.

Berdaham dan Batuk ketika Sembahyang

Terdapat beberapa keadaan berkenaan orang berdaham dan batuk ketika sembahyang seperti berikut:

1. Berdaham dan batuk tanpa sebab.

Berdaham dan batuk tanpa sebarang hajat ataupun keuzuran boleh membatalkan sembahyang jika ia mengeluarkan dua huruf yang difahami ataupun tidak, satu huruf yang dapat difahami atau satu huruf yang mamdûd.

Selain berdaham dan batuk, ini termasuk juga ketawa, mengerang, menghembus angin sama ada melalui mulut atau hidung dan menangis sekalipun menangis disebabkan rasa takutkan akhirat. Ia boleh membatalkan sembahyang jika ia mengeluarkan dua huruf yang difahami ataupun tidak, satu huruf yang dapat difahami atau satu huruf yang mamdûd.

Walau bagaimanapun tidak termasuk dalam kategori bercakap ketika sembahyang jika bunyi yang keluar dari mulut atau hidung itu tidak mengandungi dua huruf atau satu huruf yang dapat difahami selagi tidak ada niat untuk bermain-main.

2. Berdaham dan batuk yang tidak dapat ditahan (al-ghalabah)

Adakalanya batuk dan berdaham tidak dapat ditahan ketika sembahyang. Maka hukum berdaham dan batuk yang tidak dapat ditahan adalah seperti berikut:

• Jika berdaham dan batuk yang tidak dapat ditahan itu dengan kadar yang sedikit mengikut ‘urf, maka perbuatan itu dimaafkan dan tidak membatalkan sembahyang kerana tidak melebihi kadar yang sedikit walaupun menzahirkan dua huruf.

• Jika berdaham dan batuk yang tidak dapat ditahan itu dengan kadar yang banyak mengikut ‘urf, maka menurut pendapat yang mu‘tamad perbuatan itu tidak dimaafkan dan boleh membatalkan sembahyang kerana melebihi kadar yang sedikit.

Menurut al-Jurdani Rahimahullâhu Ta‘âlâ anggaran sedikit mengikut ‘urf itu ialah enam perkataan.

3. Berdaham supaya dapat membaca bacaan wajib.

Menurut Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâhu Ta‘âlâ dalam kitab al-Fatâwâ al- Kubrâ al-Fiqhiyyah bahawa jika berdaham kerana kesukaran membaca bacaan wajib seperti surah al-Fâtihah atau rukun qauli yang lain, maka tidaklah membatalkan sembahyang dan dimaafkan jika banyak sekalipun kerana hendak menghasilkan rukun. Hukum berdaham di sini berbeza antara berdaham supaya dapat membaca bacaan wajib dengan berdaham kerana tidak dapat ditahan sebagaimana disebutkan sebelum ini.

4. Berdaham supaya dapat membaca bacaan sunat.

Sementara itu, tidaklah dimaafkan jika berdaham supaya dapat membaca bacaan sunat ketika sembahyang, seperti supaya dapat membaca bacaan dengan nyaring, membaca surah-surah selepas al-Fâtihah, qunut dan takbîratul-intiqâl (mengucapkan ‘ ’ pada setiap kali hendak melakukan rukuʻ, sujud dan ketika hendak bangkit daripada sujud dan tasyahhud awwal). Kerana ia hanyalah perkara sunat dalam sembahyang dan tidak ada keperluan atau dharurat untuk berdaham kerananya. Berdaham bagi tujuan membaca bacaan sunat akan membatalkan sembahyang jika mengeluarkan dua huruf yang difahami ataupun tidak, satu huruf yang dapat difahami atau satu huruf yang mamdûd.

5. Kedudukan ma’mum apabila imam berdaham.

Jika ma’mum mendapati imam berdaham dengan mengeluarkan dua huruf yang difahami ataupun tidak, atau berdaham dengan mengeluarkan satu huruf yang dapat difahami atau berdaham dengan mengeluarkan satu huruf yang mamdûd maka tidaklah perlu ma’mum mufâraqah daripada imam bahkan boleh dia kekal mengikut imam kerana dengan sangkaan bahawa imam mempunyai keuzuran. Akan tetapi jika ada tanda yang imam melakukannya tanpa keuzuran maka wajib ma’mum mufâraqah.

6. Menghadapi penyakit batuk yang berterusan.

a) Jika seseorang menghadapi penyakit batuk yang dikategorikan sebagai batuk yang boleh membatalkan sembahyang secara berterusan dan tidak berhenti walaupun dia mempunyai tempoh waktu sembahyang yang panjang, maka melakukan sembahyang dengan keadaan batuknya itu tidak membatalkan sembahyang, bahkan dia tidak perlu mengulang sembahyangnya setelah sembuh sebagaimana hukum sembahyang orang yang mengalami penyakit masalah salis al-baul (kencing berterusan).

Akan tetapi, jika batuknya yang berterusan itu boleh berhenti dalam tempoh tertentu yang mencukupi baginya untuk mendirikan sembahyang tanpa batuk, tetapi dia tetap melakukan sembahyang dengan keadaan batuk yang sedemikian itu, maka itu boleh membatalkan sembahyang kerana melakukan batuk yang banyak.

b) Jika seseorang itu kuat sangkaannya bahawa penyakit batuknya akan sembuh dalam waktu sembahyang yang panjang dan sebelum berakhir waktu sembahyang maka wajib baginya menunggu sehingga waktu tersebut untuk melakukan sembahyang.

c) Sementara itu, jika seseorang yang menghidap penyakit batuk yang berterusan itu hilang batuknya di awal waktu sembahyang dan kuat sangkaannya batuknya akan kembali selepas itu, maka wajib dia menyegerakan sembahyangnya pada awal waktu itu.

d) Sekiranya seseorang itu apabila dia mandi, pada kebiasaannya batuknya akan reda dalam tempoh dia boleh mengerjakan sembahyang, maka dia wajib melakukan mandi tersebut.

Kesimpulannya, berdaham dan batuk ketika melakukan sembahyang itu mempunyai sukat-sukat hukum yang perlu diketahui. Ini kerana adakalanya berdaham dan batuk itu juga boleh membuatkan sembahyang yang kita lakukan itu tidak sah ataupun terbatal sebagaimana diterangkan sebelum ini. Dengan adanya pengetahuan mengenai hukum berdaham dan batuk ini, sudah tentu kita akan dapat mengelak daripada ibadat sembahyang yang dilakukan dalam keadaan berdaham dan batuk menjadi batal.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-9878

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص