Larangan Melakukan An-Najsy Dalam Jual Beli
الجواب
Jual beli adalah salah satu keperluan setiap individu yang sangat mustahak dalam kehidupan sehariannya. Oleh itu, Islam mensyariatkan berjual beli sebagai salah satu cara untuk memenuhi keperluan dan mencari rezeki melalui jalan yang baik dan halal. Kehalalan berjual beli itu adalah menerusi firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: (Padahal) Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. (Surah al-Baqarah: 275)
Ayat ini secara umum menjelaskan bahawa setiap jual beli adalah halal, yakni dibolehkan dalam Islam. Walau bagaimanapun, kita juga perlu menjaga tuntutan-tuntutan syari‘ah dalam perkara jual beli, serta wajib menjauhi perkara-perkara yang boleh mendatangkan dosa. Hadits-hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam secara khusus telah memperincikan lagi beberapa jual beli yang ditegah oleh syara‘, antaranya ialah jual beli an-najsy.
Pengertian An-Najsy dan Hukumnya
Perkataan an-najsy adalah berasal daripada bahasa Arab. Dari segi bahasa bermaksud perangsangan atau dorongan. Ini kerana ia merangsang atau mendorong ke arah suatu keinginan.
Manakala dari segi istilah syara‘ pula bermaksud seseorang menaikkan tawaran harga barang yang dipamerkan untuk dijual, bukan kerana bertujuan atau berkeinginan untuk membelinya, tetapi untuk menipu orang lain yang berkeinginan untuk membeli barang tersebut, supaya orang lain dapat membelinya dengan harga yang lebih tinggi.
Maksud “barang yang dipamerkan untuk dijual” itu ialah barang jualan yang harganya belum ditetapkan oleh penjual dan harganya akan ditentukan melalui tawaran harga antara penjual dan pembeli sehingga mencapai harga yang dipersetujui oleh kedua-duanya. Ia boleh berlaku dalam jual beli lelong dan selainnya.
Kenaikan harga itu berlaku ketika berlakunya sesi tawar-menawar harga antara penjual dan pembeli sebelum ada kata sepakat antara kedua-duanya dan bukan terjadi setelah ada kata sepakat antara kedua-duanya.
Hukum melakukan jual beli an-najsy adalah haram berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, bahawasanya beliau telah berkata:
Maksudnya: Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah melarang daripada melakukan jual beli an-najsy. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Pengharaman jual beli an-najsy ini juga tsabit dengan ijmâ‘ dan kesepakatan ulama. Adapun sebab larangannya itu ia merupakan suatu penganiayaan terhadap pembeli dan memberikan kemudharatan kepada pembeli dengan kenaikan harga tersebut dan ini adalah satu bentuk penipuan yang dilarang dalam Islam.
Al-Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam kitab beliau az-Zawâjir ‘an Iqtirâf al-Kabâ’ir telah mengklasifikasikan jual beli an-najsy sebagai salah satu dosa besar. Beliau menerangkan bahawa jual beli an-najsy itu menyebabkan kemudharatan yang besar kepada orang lain. Kemudharatan yang besar bagi orang lain itu selalunya menjadi penyebab dosa besar. Beliau menerangkan lagi bahawa jual beli an-najsy itu juga adalah daripada bentuk penipuan dan memperdaya orang lain yang juga merupakan antara dosa-dosa besar dalam Islam.
Bagaimana Terjadi An-Najsy Dalam Jual Beli?
Jual beli an-najsy boleh berlaku dalam tiga keadaan:
1. Dengan pengetahuan penjual dan adanya komplot atau pakatan sulit dengan pihak ketiga.
Sebagai contoh, penjual berkomplot dengan pihak ketiga yang menyamar sebagai pembeli walhal dia tidak berkeinginan untuk membeli, untuk menawarkan harga yang lebih tinggi ke atas suatu barang jualan bagi menggalakkan pembeli lain untuk membuat tawaran harga yang lebih tinggi dari apa yang ditawarkan oleh pihak ketiga yang berkomplot itu.
Dalam hal ini, penjual dan pihak ketiga yang berkomplot itu kedua-duanya telah melakukan maksiat dan mendapat dosa disebabkan perbuatan mereka melakukan an-najsy jika mereka mengetahui bahawa perbuatan mereka itu adalah suatu dosa dan maksiat pada pendapat yang mu‘tamad. Namun jika mereka tidak mengetahui bahawa perbuatannya itu adalah dilarang, maka mereka tidaklah berdosa.
Al-Imam asy-Syafi‘i Rahimahullâh telah berkata:
Ertinya: Dan barang siapa yang melakukan an-najsy maka dia telah berbuat maksiat dengan perbuatan an-najsy itu jika dia mengetahui tentang larangan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam (daripada melakukan an-najsy dalam jual beli).
Akan tetapi berlainan halnya jika seseorang itu jahil mengenai hukum an-Najsy ini namun dia alpa akan kewajipan mempelajari perkara tersebut, maka orang ini juga akan mendapat dosa.
2. Dengan perbuatan pihak ketiga tanpa pengetahuan penjual.
Sebagai contoh, pihak ketiga yang bertindak sendiri tanpa ada pakatan sulit dengan penjual, telah menawarkan harga yang lebih tinggi namun pada hakikatnya dia tidak berhasrat untuk membeli barang yang ditawarkan harga itu. Akan tetapi ia berbuat demikian atas dasar ingin membalas dendam supaya barang jualan tersebut akan dijual lebih mahal kepada pembeli lain yang berhasrat membeli barang jualan tersebut disebabkan wujud pertelingkahan dan permusuhan di antara pihak ketiga itu dan pembeli.
Dalam hal ini, hanya pihak ketiga itu mendapat dosa disebabkan perbuatannya melakukan an-najsy.
Contoh lain lagi, jika pihak ketiga itu menawarkan harga yang lebih tinggi dengan tujuan yang baik seperti ingin menolong memberikan keuntungan kepada penjual atau ingin menolong menjualkan harta anak yatim demi memberikan keuntungan yang lebih kepada anak yatim. Orang ini tidak berhasrat untuk membeli barang jualan tersebut dan tidak juga berniat untuk menipu namun pada masa yang sama memudharatkan pembeli lain yang berhasrat untuk membeli barang jualan tersebut. Perbuatan sedemikian meskipun niat dan tujuannya nampak baik pada zahirnya, akan tetapi ia memberikan kemudharatan dan penganiayaan kepada pembeli lain disebabkan harga yang melambung naik. Oleh itu, ia tetap dilarang kerana mendatangkan kemudharatan kepada pembeli disebabkan harga barang jualan yang lebih tinggi.
Dalam hal ini, jika dia tidak mengetahui bahawa perbuatannya itu adalah dilarang, maka dia tidaklah berdosa. Namun jika dia mengetahui bahawa perbuatannya itu adalah dilarang atau mengetahui bahawa ia adalah suatu bentuk an-najsy, maka dia akan mendapat dosa kerana telah melakukan perkara haram.
Begitu juga halnya jika pihak ketiga itu melihat tawaran harga seorang pembeli pada suatu barang jualan kurang daripada nilainya yang sebenar, walaupun pada harta anak yatim, lalu dia menawarkan harga yang lebih sehingga harganya itu mencapai nilainya yang sebenar, namun dia tidak berhasrat untuk membeli barang tersebut dan hanya bertujuan untuk menaikkan harga dan pada masa yang sama pembeli yang berhasrat untuk membeli barang tersebut terpaksa membayar harga yang lebih tinggi berbanding sebelumnya.
Ia juga dilarang pada pendapat yang ashah (lebih tepat) kerana ia juga adalah suatu bentuk penipuan yang boleh mendatangkan kemudharatan kepada pembeli disebabkan harga barang jualan yang lebih tinggi.
3. Dengan perbuatan penjual itu sendiri dengan cara yang tidak diketahui oleh pembeli.
Sebagai contoh, apabila seorang penjual memuji barang jualannya dengan pujian dusta yang akibatnya dapat menaikkan harga barang jualannya, supaya dapat menarik keinginan pembeli untuk membeli barang tersebut. Al-Imam ar-Ramli Rahimahullâh menukilkan kata al-Imam as-Subki Rahimahullâh dalam kitab beliau Nihâyah al-Muhtâj:
Ertinya: Dan memuji barang jualan bagi menjadikan (seseorang itu) berkeinginan kepadanya (barang jualan yang dipuji) dengan (pujian) dusta, (maka ia adalah sama) seperti an-najsy.
Dalam hal ini, penjual itu mendapat dosa disebabkan perbuatannya melakukan an-najsy dan penipuan.
Adakah Sah Jual Beli yang Terjadi dengan Berlakunya An-Najsy Itu?
Jual beli an-najsy ini diklasifikasikan oleh ulama fiqh sebagai jual beli yang dilarang, namun transaksi yang berlaku padanya an-najsy tidak dihukumkan sebagai tidak sah. Oleh itu, jika suatu jual beli yang berlaku padanya an-najsy itu telah dilaksanakan, iaitu pembeli telah membayar harga bagi suatu barang jualan yang telah ditawarkan, maka jual beli itu adalah sah, namun perbuatan an-najsy itu tetap haram dan pelaku an-najsy berdosa dengan perbuatannya itu.
Ini adalah kerana larangan melakukan an-najsy itu bukanlah ditujukan kepada transaksi itu sendiri, bahkan ia ditujukan kepada pelakunya, seperti sahnya jual beli yang berlaku ketika sembahyang Jumaat.
Adakah Tsabit Khiyâr bagi Si Pembeli?
Khiyâr bermaksud pilihan, iaitu menuntut yang terbaik daripada dua perkara, sama ada ingin meneruskan transaksinya atau membatalkannya.
Apabila an-najsy telah berlaku dalam jual beli, maka tidak tsabit khiyâr bagi pembeli pada pendapat yang ashah dalam ketiga-tiga keadaan yang telah diterangkan. Ini adalah kerana pembeli telah berlebih-lebihan dalam perbelanjaannya dan tidak membuat sebarang penyelidikan atau pertanyaan kepada pakar yang berpengalaman dalam penentuan harga barang. Dengan kata lain, jika suatu transaksi yang berlaku padanya an-najsy itu telah disempurnakan dengan berlakunya pembayaran dan penyerahan barang, maka pembeli tidak lagi mempunyai kuasa atau hak tuntutan untuk membatalkan transaksi itu kerana transaksi jual beli itu sudah pun berlaku dan hukumnya sah menurut syara‘.
Hikmah Larangan Melakukan An-Najsy dalam Jual Beli
Antara hikmah larangan dan pengharaman melakukan an-najsy dalam jual beli serta larangan-larangan yang lain, perbuatan tersebut boleh menjatuhkan kehormatan diri seseorang, melahirkan rasa cemburu di dalam hati, menanam sifat permusuhan antara manusia, mendorong perkelahian dan rasa dendam serta menyebabkan kekacauan dalam sesebuah masyarakat disebabkan terputusnya tali silaturrahim dan persaudaraan. Kesemuanya itu bertentangan dengan tujuan dan ajaran Islam yang ingin memelihara dan menjaga keharmonian sesebuah masyarakat dan mengukuhkan tali persaudaraan antara manusia serta memperbaiki segala perhubungan.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, jual beli an-najsy adalah haram dan dilarang dalam Islam kerana ia adalah suatu penganiayaan dan kemudharatan terhadap orang lain. Walaupun begitu, jual beli yang berlaku padanya an-najsy itu tetap sah dan tidak tsabit khiyâr bagi pembeli menurut pendapat yang ashah.
Sifat kejujuran dalam perniagaan wajib dimiliki oleh setiap peniaga agar keberkatan dalam perniagaan itu dapat dikecapi. Manakala pembeli pula hendaklah sentiasa mengamalkan sifat berpada-pada dalam perbelanjaan mereka agar dapat mengelak daripada pemborosan dan pembaziran yang tidak diingini.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-9887
دليل الألوان
