Melihat Rasulullah Shallallâhu ‘Alaihi Wa Sallam Dalam Mimpi Dan Adab-Adabnya
الجواب
Mimpi melihat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam itu adalah boleh berlaku sebagaimana disebutkan dalam beberapa hadits diriwayatkan oleh Imam al- Bukhari Rahimahullâh. Antaranya:
a. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu beliau berkata:
Maksudnya: Aku telah mendengar Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Sesiapa yang bermimpi melihatku dalam tidur, maka dia akan melihatku ketika dalam keadaan jaga, dan syaitan tidak boleh menyerupaiku.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Imam al-Bukhari Rahimahullâh setelah meriwayatkan hadits di atas menukilkan perkataan Ibnu Sirin Rahimahullâh yang bermaksud: “Bila dia melihatnya dalam rupa bentuk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam.”
b. Diriwayatkan daripada Anas Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa bermimpi melihatku dalam tidur, maka dia telah melihatku. Sesungguhnya syaitan tidak dapat menyerupaiku, dan mimpi seorang mu’min adalah sebahagian daripada empat puluh enam bahagian kenabian. (Hadits riwayat al-Bukhari)
c. Diriwayatkan daripada Abu Qatadah Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Mimpi yang baik daripada Allah dan mimpi yang buruk daripada syaitan. Sesiapa yang bermimpi melihat sesuatu yang tidak disukainya, maka hendaknya meludah ke sebelah kirinya tiga kali dan memohon perlindungan (kepada Allah) daripada syaitan. Sesungguhnya itu tidak memudharatkannya dan sesungguhnya syaitan tidak dapat menyerupaiku. (Hadits riwayat al-Bukhari)
d. Diriwayatkan daripada Abu Qatadah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa (bermimpi) melihatku, maka dia telah melihat kebenaran. (Hadits riwayat al-Bukhari) e. Diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallahu ‘anhu, katanya:
Maksudnya: Beliau telah mendengar Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Sesiapa yang (bermimpi) melihatku maka dia telah melihat kebenaran. Sesungguhnya syaitan tidak dapat menyerupaiku.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Hadits-hadits di atas menunjukkan bahawa mimpi melihat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam adalah perkara benar dan boleh berlaku ke atas manusia. Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ada kalanya boleh dilihat semasa tidur. Barang siapa yang melihat Baginda mengikut bentuk mulia Baginda, maka sesungguhnya dia telah melihatnya, kerana syaitan tidak berupaya menggambarkan bentuk Baginda yang mulia sebagaimana yang diterangkan dalam hadits-hadits shahîh.
Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin ‘Umar ‘Abdul ‘Aziz dalam fatwa beliau menyebutkan:
“Perkara melihat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam adalah boleh berlaku, bagaimana tersebut dalam kitab Shahîh al-Bukhari sebenar-benar kitab selepas al- Qur’an al-Karim. Mimpi melihat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam itu boleh berlaku ke atas orang Islam sama ada orang Islam itu salih atau tidak salih, sebagaimana telah berlaku kepada orang-orang salih, orang-orang yang dalam kecemasan dan keadaan terdesak di dalam suatu perkara. Begitulah juga orang-orang kafir boleh melihat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bagaimana tersebut di dalam kitab-kitab.”
Mimpi Melihat Rasulullah Shallallâhu ‘Alaihi wa Sallam Bukan Dalam Rupa dan Sifat yang Dimaklumi
Terdapat dua pendapat para ulama mengenai bermimpi melihat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bukan dalam rupa dan sifat yang dimaklumi:
Pendapat pertama: Sebahagian ulama, antaranya Ibnu Sirin Rahimahullâh mensyaratkan bahawa hendaklah orang yang mimpi melihat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam itu melihat Baginda dalam rupa asal atau dalam sifat-sifatnya yang dimaklumi/diketahui. Sekiranya dalam rupa yang selain daripada itu, maka yang dilihatnya itu bukanlah Baginda dan mimpi itu adalah iaitu igauan atau mimpi yang mengelirukan.
Imam al-Bukhari Rahimahullâh menyebutkan penegasan Ibnu Sirin Rahimahullâh tentang syaitan yang tidak dapat menyerupai Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam itu adalah dalam rupa bentuk Baginda yang sebenar-benarnya, sebagaimana ungkapan beliau (Ibnu Sirin Rahimahullâh) yang ertinya: “Apabila dia melihatnya dalam rupa bentuk Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.”
Dalam kitab Fath al-Bâri, Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh membawakan sebuah riwayat daripada sanad shahîh yang sampai dari jalur Isma‘il bin Ishaq al-Qadhi daripada Sulaiman bin Harb (beliau merupakan salah seorang guru Imam al-Bukhari Rahimahullâh) daripada Hammad bin Zaid daripada Ayyub, katanya:
Ertinya: Bahawa Muhammad iaitu Ibnu Sirin Rahimahullâh, apabila seseorang menceritakan kepada beliau bahawa dia telah bermimpi melihat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, maka Ibnu Sirin Rahimahullâh berkata: “Gambarkan secara terperinci kepadaku apa yang engkau lihat”. Jika orang itu menggambarkan suatu sifat yang beliau tidak ketahui maka beliau berkata: “Engkau tidak melihat Baginda (Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam).”
Disebutkan lagi dalam sebuah riwayat dengan sanad jayyid yang menguatkan lagi penegasan Ibnu Sirin Rahimahullâh. Al-Hakim meriwayatkan daripada jalur ‘Ashim bin Kulaib, beliau berkata:
Ertinya: Ayahku menceritakan kepadaku, beliau berkata: “Aku berkata kepada Ibnu ‘Abbas, aku bermimpi melihat Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dalam tidur”. Ibnu ‘Abbas berkata: “Gambarkan kepadaku”. Dia berkata: “Aku menyebutkan al-Hasan bin ‘Ali, lalu aku menyerupakannya dengan Baginda”. Ibnu ‘Abbas berkata: “Engkau benar telah melihat Baginda.”
Pendapat kedua: Sebahagian ulama antaranya Imam al-Maziri Rahimahullâh dan Imam an-Nawawi Rahimahullâh berpendapat bahawa sesiapa yang melihat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dalam mimpi adalah benar-benar telah melihat Baginda; sama ada melihat Baginda dalam rupa, sifat yang asal, dikenali atau diketahui ataupun dalam rupa atau sifat lainnya.
Dalam Kitab Syarh an-Nawawi ‘alâ Muslim, Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyebutkan:
Ertinya: Bahkan yang shahîh bahawa sesungguhnya orang yang (bermimpi) melihat Baginda itu adalah benar-benar telah melihat Baginda, sama ada dia melihat dengan rupa atau sifat Baginda yang diketahui ataupun dalam rupa atau sifat lainnya; sebagaimana yang disebutkan oleh al-Maziri.
Bagi menyelaraskan khilâf atau perselisihan dua pendapat di atas, Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh berpandangan bahawa kedua-duanya boleh digabungkan () sebagaimana yang dihuraikan oleh Imam al-Qadhi Abu Bakr al-‘Arabi Rahimahullâh. Beliau berkata:
Ertinya: Orang yang melihat Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dalam mimpi dalam rupa atau sifat yang dimaklumi atau diketahui, adalah dia benar-benar telah melihat Baginda, manakala orang yang melihat Baginda dalam keadaan rupa atau sifat yang lain adalah dia melihat kepada bayangan” (perlu kepada ta’wîl dalam memahaminya).
Seterusnya Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh juga membawakan beberapa perbahasan para ulama bagi menghuraikan khilâf dan perselisihan perkara bermimpi melihat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dalam kitab Fath al-Bâri.
Salah seorang ulama yang memberi huraian mengenai perkara ini juga adalah al- Qadhi ‘Iyadh Rahimahullâh. Beliau menjelaskan:
Ertinya: Berkemungkinan maksud hadits (bermimpi melihat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam) adalah apabila (seseorang) melihat Baginda dengan rupa atau sifat Baginda ketika hidup Baginda, bukan rupa atau sifat yang berlawanan dengan keadaan atau rupa (ketika hidup) Baginda. Dan jika (seseorang) dilihatkan dengan rupa atau sifat yang selain itu, ia adalah mimpi yang (memerlukan) ta’wîl, bukanlah mimpi (Baginda) yang hakiki. Maka sesungguhnya mimpi itu sebilangannya memperlihatkan rupa atau sifat Baginda, dan sebilangannya pula ada yang memerlukan kepada penta’wîlan.
Menurut Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh, pendapat yang dikatakan oleh Imam al-Qadhi ‘Iyadh Rahimahullâh adalah pendapat seimbang yang baik. Dibolehkan penggabungan pendapat Imam al-Qadhi ‘Iyadh Rahimahullâh dengan Imam al-Maziri Rahimahullâh (bagi menyelaraskan mengenai mimpi melihat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dalam rupa atau sifat lain) dengan menjadikan dua keadaan mimpi melihat Baginda (dalam rupa atau sifat Baginda yang diketahui mahupun yang tidak diketahui) adalah benar.
Imam al-Qurthubi Rahimahullâh pula menyebutkan:
Ertinya: Dan yang shahîh dalam penta’wîlan hadits ini bahawa sesungguhnya maksud hadits ini bahawa bermimpi melihat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dalam apa sahaja keadaan dan rupa sekalipun bukanlah mimpi yang bâthil dan adhghâsth (igauan), bahkan ia adalah mimpi yang hak walaupun sekiranya seseorang bermimpi melihat Baginda dalam rupa yang lain daripada yang dimaklumi atau diketahui.
Berdasarkan ini, yang betul menurut Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh bahawa sesiapa yang bermimpi melihat Baginda, maka dia sememangnya telah melihat Baginda, sama ada dalam rupa asal Baginda yang diketahui (rupa atau bentuk Baginda ketika remaja, dewasa, tua atau ketika akhir usia Baginda) atau dalam rupa yang lainnya. Akan tetapi, terdapat perbezaan di antara dua keadaan tersebut iaitu:
a. Mimpi melihat Baginda dalam rupa asal Baginda yang diketahui adalah tidak memerlukan kepada ta‘bîr dan ta’wîl.
b. Mimpi melihat Baginda tapi bukan dalam rupa asal Baginda memerlukan kepada ta‘bîr dan ta’wîl dan jangan diabaikan kerana ia berkemungkinan suatu khabar gembira atau suatu peringatan buruk, berkemungkinan teguran atau amaran buat dirinya mengenai agama atau kehidupannya.
Dibawakan pendapat asy-Syaikh Abu Muhammad bin Abi Jamrah Rahimahullâh bagi menguatkan kesimpulan yang diambil oleh Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh mengenai mimpi Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bukan dalam rupa atau sifat Baginda juga sebagai mimpi yang hak.
Menurut beliau sekiranya sesiapa yang melihat Baginda pada gambaran yang baik dalam mimpinya, maka baik agama orang yang bermimpi. Sekiranya terdapat sebarang kekurangan pada Baginda yang dilihatnya dalam mimpinya, ianya kembali kepada kekurangan agama orang yang bermimpi. Mimpi itu sendiri (mimpi melihat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam) adalah mimpi yang hak dan orang yang bermimpi benar-benar telah melihat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dalam mimpinya. Dengan yang demikian sebarang kekurangan dalam mimpinya adalah berupa cermin (reflection) terhadap diri atau keperibadian orang yang bermimpi itu sendiri.
Iblis dan Syaitan Tidak Mampu Menyerupai Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam
Berdasarkan huraian beberapa ulama dalam mensyarah maksud hadits bermimpi melihat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, dalam kitab Fath al-Bâri menjelaskan bahawa syaitan langsung tidak mampu menyerupai Baginda dalam mana-mana bentuk yang disandarkan kepada Baginda.
Antara para ulama yang menjelaskan sedemikian adalah asy-Syaikh Ibnu Abu Jamrah Rahimahullâh yang cenderung terhadap pendapat yang dipilih oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh setelah mengambil pendapat sebahagian ulama yang menyebutkan bahawa syaitan langsung tidak dapat menyerupai Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dalam mana-mana bentuk.
Menurut Imam ath-Thibi Rahimahullâh pula, mimpi melihat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dalam apa sahaja bentuk rupa, sifat dan keadaan adalah daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, bukan daripada syaitan.
Imam al-Qurthubi Rahimahullâh pula menyebutkan bahawa sekiranya seseorang itu bermimpi melihat Baginda dalam rupa yang lain daripada rupa yang diketahui atau dimaklumi, maka bayang rupa yang diperlihatkan itu bukanlah daripada perbuatan atau kerja syaitan, akan tetapi ia adalah daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ semata-mata. Inilah huraian yang dimaksudkan oleh al-Qadhi Abu Bakr at- Thayyib dan yang lainnya. Al-Qadhi ‘Iyadh Rahimahullâh menceritakan pandangan sebilangan ulama bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memberi pengkhususan kepada NabiNya di mana Baginda dapat dilihat dalam mimpi dalam bentuk umum secara keseluruhannya dan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ menghalang syaitan untuk membentuk dalam bentuk Baginda (atau mengaku sebagai Baginda) agar syaitan tidak berbohong (dengan menggunakan nama Baginda) dalam tidur (orang yang bermimpi). (Sebagaimana diketahui bahawa) Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ mengurniakan kejadian luar biasa kepada para nabi dengan muʻjizat, begitu juga Dia mengurniakan pengkhususan kepada Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dengan perkara mustahil (tidak boleh) bagi syaitan untuk menyerupai Baginda dalam apa juga keadaan termasuk keadaan yang berlawanan dengan Baginda (bukan rupa atau sifat Baginda yang diketahui atau dimaklumi). Ini kerana jika berlaku keadaan di mana syaitan mempunyai kemampuan untuk menyerupai Baginda, maka akan berlaku kekeliruan dan campur aduk di antara yang hak dengan yang bâthil serta akan berlaku keraguan (di kalangan orang ramai) terhadap nubuwwah (kenabian Baginda). Sesungguhnya Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memelihara syariat atau kebenaran nubuwwah NabiNya daripada syaitan, penyerupaannya (dengan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam), fitnahnya dan daripada tipu dayanya. Maka atas dasar itu Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memelihara (dengan menghalang) bukan nabi daripada menyerupai Nabi dalam mimpi (sama ada dalam rupa, sifat dan keadaan Baginda yang sebenar atau yang sebaliknya).
Berdasarkan huraian di atas, maka adalah jelas bahawa iblis dan syaitan tidak dapat menyerupai apa-apa yang disandarkan kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sama ada menyerupai Baginda dalam rupa atau bentuk Baginda yang diketahui atau rupa atau bentuk Baginda yang tidak diketahui. Begitu juga iblis dan syaitan tidak dapat berdusta atau berbohong secara khusus dengan nama Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam kerana Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memberi pengkhususan sedemikian kepada Baginda untuk memelihara nubuwwah (kenabian) Baginda daripada penyerupaan, fitnah dan tipu daya menggunakan nama Baginda.
Menceritakan Mimpi Melihat Rasulullah Shallallâhu ‘Alaihi wa Sallam kepada Orang Lain
Mimpi melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan rupa bentuknya yang asal dan mulia merupakan suatu perkara baik. Dalam Kitab Ta‘thiyah al- Anâm fî Ta‘bîr al-Manâm yang dikarang oleh al-‘Allâmah an-Nabulsi (iaitu sebuah kitab yang berupa intisari daripada apa yang ditulis oleh ulama terdahulu mengenai tafsir mimpi seperti Ibnu Sirin, Ibnu Shahin adz-Dzahiri dan lain-lain lagi), dibawakan pendapat Ibnu Abu Jamrah Rahimahullâh (seorang ulama periwayat hadits) bahawa syaitan tidak dapat menyerupai bentuk asal Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Maka siapa yang melihat Baginda dalam bentuk asal yang baik, maka dianggap baik agama orang yang bermimpi itu.
Terdapat faedah besar kepada sesiapa yang bermimpi melihat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam kerana Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam itu adalah nurani seperti cermin yang mencermin diri orang yang didatangkan mimpi itu. Inilah juga disebut oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh dalam Syarh Syamâ’il at-Tirmidzi.
Jelas bahawa sesiapa bermimpi melihat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam itu akan menganggapnya sebagai mimpi yang baik dan dia menyukainya.
Diriwayatkan daripada Abu Qatadah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Mimpi yang baik daripada Allah, maka apabila seseorang daripada kamu melihat apa yang disukai (dalam mimpi), maka janganlah menceritakannya kecuali kepada sesiapa yang menyukai. Dan apabila melihat apa yang tidak disukai, maka memohonlah perlindungan dengan Allah daripada keburukan mimpi dan daripada keburukan syaitan, dan berludahlah tiga kali serta tidak menceritakan mimpi tersebut kepada seorang pun. Maka sesungguhnya mimpi itu tidak memudharatkannya.
(Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam sebuah hadits yang lain pula, diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Janganlah diceritakan mimpi kecuali kepada orang alim atau orang yang memberi nasihat. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Menceritakan kepada orang ‘âlim’ di dalam hadits tersebut kerana orang alim (yang berilmu pengetahuan untuk mentafsir mimpi, dapat) menta’wîl mimpi ke arah kebaikan semana mampunya, sementara ‘nâshih’ iaitu orang yang memberi nasihat (dapat) memberi panduan kepada apa-apa yang bermanfaat (kerana mimpinya itu).
Disebutkan dalam kitab Tuhfah al-Ahwadzi bahawa adab bermimpi baik itu ada tiga perkara iaitu: Menyatakan rasa syukur kepada Allah kerana mendatangkan mimpi baik, bergembira dengan berita baik dan menceritakannya tetapi hanya kepada sesiapa yang menyukainya.
Manakala adab bagi mimpi yang tidak disukai pula ada enam perkara iaitu: Memohon perlindungan daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ daripada keburukan mimpi dan keburukan syaitan, berludah ketika sedar daripada tidur ke sebelah kirinya sebanyak tiga kali, sama sekali tidak menceritakannya kepada seseorang pun, mendirikan sembahyang dan berpaling daripada arah tempat tidur sebelumnya.
Berdasarkan penjelasan mengenai adab bermimpi sebagaimana disebut di atas, maka dapat disimpulkan bahawa sebaik-baiknya seorang yang bermimpi melihat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam atau merasakan bahawa dia melihat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dalam mimpinya untuk mengambil sikap mendiamkan diri dan tidak menceritakan mimpinya itu kepada orang lain. Ini kerana dengan menceritakannya ditakuti boleh menimbulkan fitnah atau menyebabkan perkara yang tidak diingini berlaku seperti salah faham orang lain terhadap mimpi tersebut dan yang seumpamanya.
Manakala isi mimpinya itu terpulang kepada orang yang melihat itu sendiri mentafsirkannya, kerana perkara itu perkara ghaib. Kalau sekiranya pun dia ingin mengetahui maksud mimpinya, maka boleh diceritakan hanya kepada orang alim iaitu orang yang berilmu kerana sesungguhnya orang alim itu sama ada menta’wîl (mimpi tersebut) dengan perkara-perkara yang disukai atau menenangkan orang yang bermimpi daripada perkara-perkara yang tidak disukai atau dibenci (hasil ta’wîl mimpi).
Percakapan dan Perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘Alaihi wa Sallam yang Dilihat di Dalam Mimpi Tidak Boleh Dijadikan Hujjah Dalam Hukum
Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab Shahîh Muslim bi Syarh an-Nawawi menyebutkan:
Ertinya: Sesungguhnya mimpi melihat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ketika tidur adalah benar dan bukan igauan buruk atau tipu daya syaitan. Akan tetapi, dalam menetapkan atau mentsabitkan suatu hukum syara‘ itu tidak diharuskan dengan mimpi tersebut.
Maka jelas bahawa percakapan dan perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang dilihat di dalam mimpi tidak boleh dijadikan sebagai ketetapan dan pentsabitan suatu hukum syara‘, bahkan tidak boleh menjadi hujjah dalam hukum.
Adapun jika dia bermimpi melihat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan dalam mimpi itu Baginda memerintahkannya untuk melakukan perkara-perkara yang dianjurkan ke atasnya, melarangnya daripada melakukan perkara-perkara yang ditegah ke atasnya, memberi panduan atau mengajarkannya perkara kemashlahatan atau perbuatan yang baik, maka dia (orang yang bermimpi) boleh beramal dengannya.
Imam an-Nawawi Rahimahullâh menyebutkan:
Ertinya: Adapun jika dia bermimpi melihat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan dalam mimpi itu Baginda memerintahkannya untuk melakukan perkara-perkara yang dianjurkan ke atasnya atau Baginda melarangnya daripada melakukan perkara-perkara yang ditegah ke atasnya, ataupun Baginda memberi panduan atau mengajarkannya perkara kemashlahatan atau perbuatan yang baik, maka tidak ada pertikaian dalam galakan untuk beramal dengannya, kerana yang demikian itu bukan hukum ekoran mimpi bahkan kerana kesemua itu adalah apa yang telah ditetapkan pada asalnya.
Walau bagaimanapun, orang yang bermimpi berjumpa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam perlu juga memperhati dan meneliti isi mimpinya. Jika isi mimpinya itu bercanggah dengan ajaran al-Qur’an dan hadits, maka sudah jelas isi mimpi itu tidak boleh dipercayai dan diamalkannya, apalagi diceritakan kepada orang lain.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sendiri tidak pernah mengatakan sesuatu yang bertentangan dengan kebenaran boleh dipakai, sama ada ketika hidup atau selepas wafat.
Sebagai contoh seseorang bermimpi melihat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan dalam mimpinya itu Baginda mengkhabarkan bahawa yang mula-mula sekali masuk syurga ialah umat Baginda, kemudian barulah Baginda sendiri. Apakah isi mimpi tersebut benar dan boleh diterima? Sedangkan kenyataan ini tidak selaras dengan apa yang disebut dalam hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sendiri bahawa penjaga pintu syurga mengkhabarkan kepada Baginda bahawa orang yang pertama dibukakan pintu syurga sebelum yang lainnya adalah Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sendiri sebagaimana yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Aku mendatangi pintu syurga pada Hari Kiamat, dan aku meminta agar dibukakan (pintu syurga tersebut). Maka penjaga pintu syurga bertanya: “Siapa engkau?” Dan aku menjawab: “Aku Muhammad.” Lantas dia (penjaga pintu syurga) berkata: “Untukmu (dibukakan pintu syurga sebelum nabi-nabi selainmu), aku diperintahkan agar tidak membukakan pintu untuk sesiapapun sebelum engkau.” (Hadits riwayat Muslim)
Begitu juga bagi orang yang mendengar isi mimpi yang diceritakan oleh orang yang bermimpi, tidak selaras dengan apa yang disampaikan dalam al-Qur’an dan hadits, maka sudah setentunyalah perkara yang disampaikan kepada mereka itu tidak boleh diterima sama sekali.
Walau bagaimanapun dalam perkara menerima isi mimpi orang yang mendakwa dirinya bermimpi itu sama ada berupa perkhabaran atau pesanan, maka pihak yang mendengar boleh menapis sama ada munasabah boleh berlaku begitu atau tidak munasabah.
Kesimpulan
Berdasarkan penjelasan di atas, dapat disimpulkan beberapa perkara, iaitu:
1. Bermimpi melihat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam adalah perkara benar dan boleh (harus) berlaku.
2. Para ulama berselisih pendapat sekiranya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dilihat dalam mimpi bukan dalam sifat atau bentuk yang diketahui/dimaklumi seperti berikut:
i. Sebilangan ulama menyatakan orang yang bermimpi sedemikian itu tidak melihat Baginda.
ii. Sebilangan ulama pula mengatakan bahawa dia melihat Baginda. Walau bagaimanapun, mimpi seperti itu memerlukan ta‘bîr dan ta’wîlan. Pendapat ini dicenderungi kebanyakan ulama.
3. Orang yang bermimpi melihat Baginda tidak wajar menceritakan mimpinya kepada orang lain. Para ulama ada yang melarang dan tidak menggalakkan untuk menceritakan mimpi itu kepada umum.
4. Dalam memahami isi mimpi melihat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, maka terpulang kepada orang yang bermimpi melihat Baginda itu sendiri memahaminya, kerana perkara itu adalah perkara ghaib. Sekiranya dia benar-benar ingin tahu, seeloknya dia merujuk perkara tersebut kepada orang alim bagi meminta pandangan dan nasihat tentangnya dari segi hakikat (rupa bentuk Baginda yang sebenar) atau mimpi tersebut perlu ta‘bîr, ta’wîl dan sebagainya.
5. Hukum syara‘ tidak boleh ditsabitkan berdasarkan mimpi. Ini kerana orang yang tidur bukan berada dalam keadaan sedar, tidak memiliki sifat dhabith dan dia tidak dapat memastikan dengan tepat apa yang didengarnya dalam mimpinya.
Sebagai irsyâd, bagi pihak yang mendengar, dalam perkara menerima isi mimpi yang diceritakan oleh orang yang bermimpi melihat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, adalah ditekankan supaya mengambil sikap berhati-hati dalam menyandarkan apa-apa sahaja perkara kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
Mempercayai atau tidak tentang cerita seseorang yang mengaku bermimpi bertemu atau melihat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bukanlah perkara yang menjejaskan keimanan atau tauhîd seseorang. Ia boleh sahaja diabaikan sekalipun isi mimpi berkenaan itu tidak mengandungi perkara-perkara yang bertentangan dengan syara‘.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-9891
دليل الألوان
