Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة٠ مشاهدة

Bagaimana Menghadapi Wabak COVID-19?

الجواب

Wabak berasal daripada perkataan Arab iaitu wabâ’, yang bermaksud penyakit yang merebak (berjangkit).

Apa jua jenis penyakit berbahaya dan menular ia dikategorikan sebagai wabak seperti wabak taʻun, wabak SARS, wabak selesema babi atau wabak influenza A (H1N1).

Baru-baru ini, dunia dikejutkan lagi oleh satu wabak yang menular dengan begitu cepat ke seluruh dunia, iaitu wabak COVID-19 yang telah diisytiharkan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

COVID-19 ialah sejenis penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus SARS – CoV-2 yang boleh menyebabkan demam panas dan gejala pernafasan seperti batuk, selesema dan sesak pernafasan.

Virus ini boleh berjangkit melalui cecair pernafasan semasa batuk atau melalui sentuhan dengan cecair pernafasan.

Hikmah Ditimpakan Wabak

Wabak yang ditimpakan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kepada hamba-hambaNya di muka bumi ini mempunyai hikmah dan tujuan di sebaliknya. Hikmah wabak yang melanda manusia adalah berupa azab dan hukuman dan pada saat yang sama ia juga merupakan rahmat Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ ke atas mereka, tergantung ke atas siapa wabak itu diturunkan.

Ini berdasarkan sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ketika Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ditanya oleh Sayyidatuna ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ mengenai penyakit taʻun:

Maksudnya: Ia (penyakit taʻun) adalah azab yang diturunkan Allah ke atas sesiapa yang dikehendakiNya. Allah menjadikannya (penyakit taʻun) rahmat bagi orang-orang yang beriman. Tidak seorang pun daripada hamba yang berada di suatu negeri sedang ada di dalamnya (penyakit taʻun) - dan dia tetap tinggal di negeri itu tanpa keluar daripadanya dalam keadaan sabar dan mengharap pahala daripada Allah dan dia tahu bahawa dia tidak akan menghidapinya (penyakit taʻun) kecuali apa yang Allah telah tulis baginya - melainkan baginya pahala seperti orang syahîd. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Menurut kitab Fath al-Bâri, maksud hadits “ke atas sesiapa yang dikehendakiNya” ialah orang kafir atau orang yang berbuat dosa besar. Apabila wabak taʻun itu melanda orang kafir, ia adalah azab dan hukuman yang disegerakan ke atas mereka di dunia sebelum di akhirat.

Adapun jika wabak taʻun itu melanda orang Islam yang berbuat dosa besar, maka ia adalah sebagai hukuman ke atas mereka disebabkan maksiat dan perbuatan dosa-dosa besar yang mereka lakukan. Manakala bagi orang Islam yang sempurna imannya, maka ia adalah rahmat dan syahîd bagi mereka.

Bagaimana Menghadapi Wabak Menurut Ajaran Agama Islam?

Islam telah mengajar umatnya untuk melakukan beberapa perkara untuk diambil tindakan dan peringatan apabila mereka dilanda wabak. Perkara-perkara yang diajarkan oleh Islam sebagai garis panduan untuk kita orang-orang Islam dalam menghadapi wabak ialah:

1. Munajat kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Antara perkara yang boleh dilakukan dalam hal ini ialah:

(i) Membaca qunut Nâzilah.

Umat Islam disunatkan untuk membaca qunut nâzilah di dalam sembahyang lima waktu apabila berlaku perkara yang ditakuti dan memudharatkan umat Islam seperti; kemarau, diserang belalang, hujan yang merosakkan bangunan atau tanaman, rasa takut kerana orang alim atau pahlawan yang dipenjara oleh musuh, dizalimi oleh orang-orang kafir dan termasuklah juga membacanya supaya dihindarkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ daripada wabak.

(ii) Mendirikan sembahyang sunat Hajat.

Sembahyang Hajat ialah sembahyang sunat yang didirikan jika ingin memohon suatu hajat yang dibenarkan oleh syaraʻ (bukan perkara maksiat) kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ atau meminta supaya Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ kabulkan dan permudahkan sesuatu hajat daripada manusia.

Maka jika dikehendaki sesuatu hajat termasuklah dalam situasi penularan wabak ini supaya dihindarkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, sayugianyalah seseorang itu muhâsabah diri dengan bertaubat dan memohon ampun atas dosa-dosa yang telah dilakukannya sebelum mendirikan sembahyang Hajat supaya permohonannya yang baik itu dikabulkan oleh Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

(iii) Memperbanyakkan doʻa dan zikir.

Terdapat banyak doʻa dan zikir yang boleh diamalkan dan khususnya diniatkan agar dilindungi daripada dijangkiti apa jua wabak, serta disembuhkan daripada segala penyakit. Antara doʻa dan zikir yang boleh dibaca ialah:

• Berlindung dengan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ daripada segala kejahatan:

Ertinya: Aku berlindung dengan (kebesaran) kalimah-kalimah Allah yang sempurna daripada segala kejahatan makhluk (yang Dia ciptakan).

• Berlindung dengan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ daripada syaitan, binatang perosak dan penyakit ‘ain:

Ertinya: Aku berlindung dengan (kebesaran) kalimah-kalimah Allah yang sempurna daripada segala syaitan, binatang perosak dan daripada segala penyakit ‘ain yang jahat.

• Membaca doʻa ini di waktu pagi dan petang sebanyak tiga kali agar tidak ditimpa kemudharatan:

Ertinya: Dengan nama Allah yang tidak memberi mudharat bersama namaNya apa yang ada di bumi dan jua di langit, dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

• Berlindung dengan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ daripada penyakit gila, sopak, kusta dan seburuk-buruk penyakit:

Ertinya: Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada penyakit gila, sopak, kusta dan seburuk-buruk penyakit.

• Membaca doʻa penyembuh:

Ertinya: Ya Allah! Tuhan (yang memelihara) manusia, yang menghilangkan kesusahan (sakit), sembuhkanlah. Engkaulah yang menyembuhkan, tidak ada yang dapat menyembuhkan kecuali Engkau. Sembuh yang tidak meninggalkan penyakit lain.

• Membaca doʻa pelindung, iaitu dengan meletakkan tangan pada tempat yang sakit, seterusnya membaca sebanyak tiga kali:

Ertinya: Dengan nama Allah.

Kemudian membaca doʻa ini sebanyak tujuh kali:

Ertinya: Aku berlindung dengan (kemuliaan) Allah dan kekuasaanNya daripada kejahatan yang aku dapat dan aku waspadai.

• Memperbanyakkan berdoʻa dengan doʻa Nabi Yunus ‘Alaihissalâm ketika baginda berada di dalam perut ikan paus. Apabila seseorang membaca doʻa ini, maka segala permintaannya akan dimakbulkan:

Ertinya: Tiada Tuhan (yang dapat menolongku) kecuali Engkau. Maha Suci Engkau (daripada melakukan penganiayaan). Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang yang menganiaya diri sendiri.

• Berlindung dengan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ daripada bala bencana, kebinasaan, qadha’ yang buruk dan kegembiraan musuh:

Ertinya: Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada kesusahan bala bencana dan ditimpa kebinasaan dan qadha’ (ketentuan)

yang buruk, dan kegembiraan musuh-musuh (atas bencana yang menimpa orang yang memusuhi mereka).

• Memohon keafiatan dengan membaca doʻa ini di waktu pagi dan petang:

Maksudnya: Ya Allah! Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu keafiatan di dunia dan di akhirat. Ya Allah! Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu keampunan dan keafiatan dalam agama, dunia, ahli keluarga dan hartaku. Ya Allah! Tutupilah segala keaibanku, serta tenteramkanlah aku daripada segala ketakutan. Ya Allah! Peliharalah aku (daripada ditimpa bala) dari depanku, dari belakangku, dari kananku, dari kiriku, dari atasku, dan aku berlindung dengan keagunganMu daripada dibelenggu dari bawahku.

2. Bersangka Baik Kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Seorang Islam hendaklah sentiasa bersangka baik kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam setiap keadaan sama ada ketika susah ataupun senang dengan bersangka bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sentiasa melimpahkan rahmat padanya dan mengampuninya.

Diriwayatkan dalam sebuah hadits daripada Jabir bin ‘Abdullah al-Anshari Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Jangan sampai salah seorang daripada kamu mati, kecuali dia bersangka baik kepada Allah ‘Azza wa Jalla. (Hadits riwayat Muslim)

Tidak terkecuali dalam keadaan yang menimbulkan rasa risau dan cemas seperti situasi penularan wabak ini. Jika ditakdirkan seseorang itu ditimpa musibah penyakit, tidak kira sama ada sakit yang menimpanya itu dalam tahap ringan ataupun kronik, maka sunat dan dituntut baginya supaya bersangka baik kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Bagi mewujudkan sangka baik itu, hendaklah dia menghadirkan pada fikirannya bahawa sesungguhnya dia hanyalah seorang hamba yang hina dan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ Maha Kaya dan dia tidak meminta keampunan, belas kasih, kesenangan dan pemberian kecuali daripada Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Apabila seseorang itu bersangka baik terhadap Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ ketika menghadapi ujian seperti sakit ini, maka akan timbullah perasaan redha dengan setiap qadha’ dan qadar Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Perasaan redha inilah yang akan menenangkan jiwanya dan membantu meringankan apa jua beban dan ujian yang menimpanya kerana dia tahu dan yakin bahawa kehendak dan ketentuan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ itu adalah yang terbaik.

3. Sabar dan Tawakkal.

Apabila ditimpa oleh suatu penyakit atau wabak, maka selaku seorang Islam yang beriman, wajar dia bersabar. Dia hendaklah tenang, tidak merasa cemas dan gelisah, bahkan menerima dengan redha tanpa menyalahkan qadha’ dan qadar Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Perintah dan keutamaan untuk bersabar ada disebutkan dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan yang menyebabkan kamu merasa gentar dan kekuatan kamu hilang dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar. (Surah al-Anfâl: 46)

Bersabar diutamakan dalam setiap tempat mahupun keadaan, lebih-lebih lagi dalam jihâd menghadapi peperangan. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sentiasa bersama orang yang sabar iaitu dengan memberi pertolongan dan kemenangan. Apa yang dapat diambil pengajaran, bersabar itu sangat diutamakan dalam apa jua keadaan termasuk dalam menghadapi penyakit atau wabak yang menular.

Bagi seseorang yang ditimpa wabak, disunatkan ke atasnya untuk bersabar dengan kesakitan atau penderitaan yang dihadapi. Dia hendaklah bertawakkal kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ iaitu kepercayaan kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan berkeyakinan bahawa ketetapanNya pasti terjadi, juga mengikuti sunnah NabiNya dengan berusaha pada apa-apa yang mesti diusahakan. Perintah bertawakkal ada disebutkan dalam al-Qur’an sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan (jika demikian) hanya kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang beriman itu bertawakkal. (Surah Âli-‘Imran: 122)

Adapun ganjaran bagi orang yang terkena wabak kemudian dia redha dan sabar dengan apa yang ditimpakan kepadanya lalu meninggal dunia, maka dia akan mendapat ganjaran syahîd di akhirat.

Dalam hadits ada menyatakan bahawa orang yang mati disebabkan wabak taʻun adalah mati syahîd, sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Orang-orang yang syahîd (akhirat) itu ada lima: Orang yang mati kerana menghidap penyakit taʻun, orang yang mati kerana menghidap penyakit perut, orang yang mati lemas, orang yang mati keruntuhan dan syahîd di jalan Allah ‘Azza wa Jalla. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda lagi:

Maksudnya: Taʻun itu adalah syahâdah (syahîd akhirat) bagi setiap orang Islam. (Hadits riwayat al-Bukhari)

4. Bersedekah dan Berbuat Ma‘rûf.

Bersedekah adalah salah satu daripada apa yang disebut sebagai membelanjakan harta pada jalan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Bersedekah antara amalan yang diutamakan ketika sakit dan apabila berlaku wabak penyakit. Ini kerana bersedekah merupakan antara cara atau ikhtiar dalam merawat orang yang sakit sebagaimana jelas disebutkan dalam sebuah hadits mursal yang diriwayatkan daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, Baginda bersabda:

Maksudnya: Dan ubatilah orang-orang yang sakit di kalangan kamu dengan sedekah. (Hadits riwayat Abu Daud dalam al-Marâsil)

Sedekah itu boleh menghapuskan dosa dan melepaskan diri daripada seksa api neraka serta menjauhkan kemurkaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Begitu juga, dengan bersedekah dapat menghindarkan daripada kesudahan atau mati yang buruk serta menghindarkan daripada ditimpa bala atau musibah. Tersebut di dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya sedekah itu memadamkan kemurkaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan menolak daripada kematian yang tidak baik. (Hadits riwayat at-Tirmidzi) Selain itu, berbuat perkara-perkara ma‘ruf juga dapat melindungi daripada ditimpa bala sebagaimana tersebut di dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Abu Umamah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Perkara-perkara ma‘rûf itu melindungi (daripada ditimpa) kematian yang buruk (bala). (Hadits riwayat ath-Thabarani)

5. Jangan Mendedahkan Diri kepada Kebinasaan.

Umat Islam dilarang mendedahkan diri kepada kebinasaan dengan memasuki atau mendatangi kawasan yang dilanda wabak penyakit. Dalam hal ini Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Maka sesiapa yang mengetahui berlakunya wabak di suatu tempat janganlah sekali-kali dia datang ke sana... (Hadits riwayat Muslim)

Hadits di atas melarang seseorang daripada masuk ke kawasan yang dilanda wabak penyakit yang menular. Ini kerana jika seseorang itu masuk ke kawasan tersebut nescaya dia mencampakkan atau mendedahkan dirinya dan orang lain ke dalam kebinasaan, sedangkan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ melarang yang sedemikian itu. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan janganlah kamu sengaja menjerumuskan diri kamu sendiri ke dalam kebinasaan. (Surah al-Baqarah: 195) Dalam menghadapi COVID-19, dilarang berada di tempat perkumpulan yang ramai sebagaimana yang dinasihatkan oleh pihak yang berautoriti. Umat Islam hendaklah mengambil langkah berjaga-jaga dalam menghadapi wabak daripada berlaku ke atas mereka perkara yang tidak diingini itu, sebagaimana yang diperintahkan dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Berwaspada dan berhati-hatilah (terhadap musuh kamu)... (Surah an-Nisâ’: 71)

6. Tanamkan Keyakinan Bahawa Kematian Terletak Pada Kekuasaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, Bukan Kuasa Wabak.

Ajal dan maut terletak pada kekuasaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, maka orang yang berada di kawasan atau di tempat yang menularnya wabak hendaklah tidak meninggalkan tempat itu semata-mata untuk melarikan diri.

Larangan ini adalah berdasarkan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Baginda bersabda:

Maksudnya: Dan sesiapa yang berada di tempat berlakunya wabak itu, maka janganlah dia keluar untuk lari daripada wabak itu. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh di dalam kitabnya az-Zawâjir menyatakan bahawa tindakan keluar dari negeri yang dilanda wabak semata-mata untuk melarikan diri daripada wabak tersebut kerana percaya wabak itulah yang berkuasa menjangkitinya adalah satu dosa besar.

Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ telah mengazab kaum Bani Israel kerana mereka melarikan diri supaya selamat daripada kematian akibat dijangkiti wabak kerana mereka menyangka wabak itulah yang berkuasa menyebabkan kematian.

Imam al-Qurthubi Rahimahullâh menceritakan dalam kitab tafsirnya bahawa satu kaum daripada Bani Israel dilanda wabak taʻun di sebuah kampung yang dikatakan daripada penduduk Dawardan

Mereka yang dikatakan seramai 4000 orang melarikan diri daripada kampung itu lalu mereka berkata: “Kita datang ke tempat yang tidak ada kematian padanya.” Sehinggalah mereka sampai ke sebuah lembah, lalu Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ mematikan mereka sebelum sampai ajal mereka sebagai hukuman ke atas mereka.

Apabila seorang Nabi (dikatakan namanya Syam‘un) melintas di kawasan itu, lalu baginda berdoʻa agar mereka dihidupkan semula, maka Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ menghidupkan mereka untuk menjadi tauladan dan pengajaran kepada mereka dan orang-orang sesudah mereka bahawa kematian itu di bawah kekuasaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ, bukannya di bawah kekuasaan selainNya. Dikatakan mereka mati selama lapan hari dan dikatakan juga tujuh hari.

Kaum Bani Israel inilah yang dimaksudkan dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Tidakkah engkau mengetahui (wahai Nabi Muhammad) mengenai orang-orang (segolongan Bani Israel) yang keluar (melarikan diri) dari kampung halaman mereka kerana takutkan mati dan mereka itu beribu-ribu orang ramainya. Maka Allah berfirman kepada mereka: “Matilah kamu” (maka mereka pun mati). Kemudian Allah menghidupkan mereka semula. Sesungguhnya Allah mempunyai kurnia (yang dilimpahkanNya) atas manusia tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.

(Surah al-Baqarah: 243)

Kematian yang Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ timpakan kepada mereka itu adalah kematian dalam bentuk ‘uqûbah (hukuman) dan kematian dalam bentuk hukuman ini disusuli dengan kehidupan selepasnya. Ia berbeza dengan kematian disebabkan datangnya ajal, ia tidak disusuli dengan kehidupan selepasnya.

Kematian tersebut adalah untuk memperlihatkan dan memberi pengajaran kepada mereka dan umat selepas mereka bahawa kuasa mematikan itu adalah kuasa mutlak Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan bukan pada kuasa selainNya.

Hikmah larangan ini adalah kerana jika seseorang itu melarikan diri daripada wabak itu nescaya dia melarikan diri daripada qadar Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Ia juga serupa dengan orang yang melarikan diri daripada peperangan, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:

Maksudnya: Orang yang lari daripada (wabak) taʻun seperti orang yang lari daripada peperangan dan orang yang sabar padanya (taʻun) seperti orang yang sabar dalam peperangan. (Hadits riwayat Ahmad)

Larangan ini juga adalah bertujuan untuk mengukuhkan sifat tawakkal dan penyerahan diri kepada kekuasaan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam mendatangkan kebaikan dan keburukan kepada manusia. Suatu penyakit itu tidak akan berjangkit kecuali dengan izin Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:

Maksudnya: Tidak ada penyakit yang berjangkit (dengan sendirinya melainkan dengan izin Allah) dan tidak ada ramalan hal-hal buruk... (Hadits riwayat al-Bukhari)

Pengarang kitab Hâsyiyah al-Bujairimi ada menyebutkan tentang wabak taʻun bahawa haram masuk ke kawasan yang dilanda wabak taʻun dan haram keluar melarikan diri daripadanya tanpa sebarang hajat.

7. Mendoʻakan Kesihatan Orang yang Ditimpa Wabak.

Tidak dikira sempurna iman seseorang itu kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ melainkan jika dia mengasihi saudara Islamnya yang lain tanpa ada perasaan dengki, marah dan benci. Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Anas Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehinggalah dia menyayangi saudaranya sebagaimana dia menyayangi dirinya sendiri. (Hadits riwayat al-Bukhari) Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menyebutkan perumpamaan bagi orang Islam sesama orang Islam lain yang saling menyayangi seperti satu jasad yang mana jika salah satu anggota tubuh mereka sakit, maka seluruh anggota yang lainnya turut merasa sakit. Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Nu‘man bin Basyir Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Perumpamaan orang-orang yang beriman dalam belas kasihan mereka, kasih sayang mereka dan kelembutan mereka adalah seperti satu jasad (tubuh badan), apabila salah satu anggota tubuh merasa sakit, maka seluruh tubuh akan turut merasa sakit, tidak dapat tidur dan merasa demam. (Hadits riwayat Muslim)

Antara bentuk kasih sayangnya adalah dengan mendoʻakan kebaikan dan kesejahteraan bagi saudaranya sesama Islam.

Orang Islam digalakkan berdoʻa untuk saudara Islam yang lain, selain berdoʻa untuk dirinya sendiri. Malahan mendoʻakan saudaranya ketika dia tidak bersamanya adalah lebih baik, bahkan mustajâb doʻa tersebut.

Diriwayatkan daripada Abu ad-Darda’ Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Doʻa seorang Islam kepada saudara Islamnya secara ghaib (tanpa pengetahuan saudaranya) adalah mustajâb (diterima), di sisinya ada malaikat yang diutus Allah. Setiap kali dia mendoʻakan saudara Islamnya dengan doʻa yang baik, berkatalah malaikat itu, “Âmîn! Engkau juga beroleh manfaat yang sama.” (Hadits riwayat Muslim)

Bagi orang bukan Islam pula, tidak harus mendoʻakan mereka agar beroleh keampunan dan rahmat daripada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Tetapi harus mendoʻakan mereka agar mendapat hidayat, sihat tubuh badan dan apa-apa yang selayak boleh disebut untuk mereka seperti beriman kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Oleh yang demikian, berdoʻa bagi kesembuhan orang yang ditimpa atau dijangkiti penyakit, sama ada penyakit biasa atau wabak, adalah disunatkan.

Antara doʻa memohon kesembuhan dan keafiatan yang boleh dibaca:

Ertinya: Aku memohon kepada Allah Yang Maha Agung, Tuhan yang memiliki ‘Arasy yang agung, semoga Dia menyembuhkanmu.

Atau boleh dibaca:

Ertinya: Ya Allah! Tuhan (yang memelihara) manusia, yang menghilangkan kesusahan (sakit), sembuhkanlah. Engkaulah yang menyembuhkan, tidak ada yang dapat menyembuhkan kecuali Engkau. Sembuh yang tidak meninggalkan penyakit yang lain.

Khusus bagi orang yang ditimpa penyakit berjangkit yang berbahaya seperti pesakit yang dijangkiti COVID-19 ini, doʻa dan sokongan moral sangat diperlukan daripada saudara mara, sahabat handai mahupun orang ramai bagi menguatkan perjuangan mereka untuk sembuh.

Seperkara lagi, dalam sama-sama menghadapi cabaran penularan COVID-19 ini, sewajarnya ahli masyarakat memelihara lidah dan tangan daripada mengeluarkan atau menulis perkataan yang boleh menyinggung perasaan orang lain, lebih-lebih lagi terhadap pesakit yang dijangkiti. Elakkan daripada melakukan perbuatan atau mengeluarkan perkataan yang saling salah menyalahkan, mencaci, menyumpah, memaki hamun, mengaibkan dan lain-lain perbuatan atau perkataan keji. Perbuatan dan perkataan seumpama ini boleh menimbulkan marah dan kebencian dalam masyarakat, bahkan membawa kepada perpecahan dan kekacauan.

8. Membudaya Sikap Bersih dan Menjaga Kebersihan.

Agama Islam mementingkan perkara kebersihan dan kesihatan. Bagi seorang Islam, menjaga kesucian dan kebersihan itu merupakan kewajipan syara‘. Dalam Tafsîr al-Qurthubi disebutkan bahawa Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ memberikan pujian kepada sesiapa yang suka menyucikan diri dan menjaga kebersihan sebagaimana firmanNya:

Tafsirnya: … Dan Allah mengasihi orang-orang yang suka membersihkan diri. (Surah at-Taubah: 108)

Mengekalkan tahap kebersihan yang tinggi adalah antara langkah pencegahan penularan jangkitan penyakit yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Negara Brunei Darussalam dan sentiasa mengamalkan cara hidup sihat.

Dalam Islam, terdapat beberapa tuntutan yang berkaitan dengan kebersihan yang dapat dijadikan amalan dan panduan bagi memelihara diri dan orang sekeliling daripada dijangkiti wabak dan seterusnya mencegah dan mengawal penularannya. Antaranya:

(i) Sentiasa dalam keadaan berwudhu’.

Bagi seorang Islam, satu amalan yang boleh dipraktikkan dalam langkah menjaga kebersihan diri ialah dengan berwudhu’. Wudhu’ dari segi bahasa bermaksud bagus, dan bersih daripada kotoran atau najis. Manakala dari segi syara‘ pula bermaksud membasuh dan menyapu anggota tertentu dengan niat tertentu.

Berwudhu’ untuk sembahyang merupakan perintah Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ sebagaimana firmanNya dalam surah al-Mâ’idah, ayat 6. Pelaksanaannya sebelum melakukan sembahyang adalah dari konteks ‘ta‘abbudi’ (sebagai ibadat). Namun mengamalkan diri supaya sentiasa berada dalam keadaan berwudhu’ itu hukumnya adalah sunat.

Al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dan as-Sayyid al-Bakri Rahimahullâh menyebutkan bahawa mengamalkan diri berwudhu’ atau amalan mengekalkan wudhu’ mendatangkan manfaat kepada orang yang sentiasa mengamalkannya. Antaranya meluaskan rezekinya, disukai oleh malaikat-malaikat Hafazhah, menjadi benteng (pendinding) dan juga memelihara dirinya daripada melakukan perkara atau perbuatan maksiat.

Manakala dari perspektif kesihatan khususnya dalam usaha menjaga kebersihan berikutan penularan wabak melalui batuk, bersin mahupun sentuhan, maka amalan berwudhu’ boleh dipraktikkan. Ini kerana anggota-anggota rukun dan sunat wudhu’ seperti mulut, hidung dan tangan termasuk dalam anggota tubuh badan yang perlu sentiasa dalam keadaan bersih. Selain itu penggunaan air muthlaq iaitu air suci lagi menyucikan ketika membersihkan najis. Oleh itu, mengambil wudhu’ adalah selaras dengan apa disarankan dalam usaha menangani jangkitan wabak.

(ii) Menjaga adab bersin.

Dalam kitab Fath al-Bâri Syarh al-Bukhari dan kitab Tuhfah al-Ahwadzi Syarh at-Tirmidzi disebutkan adab-adab ketika bersin yang dituntut Islam berdasarkan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Antaranya:

a. Sunat bagi orang yang hendak bersin menutup mulutnya sama ada dengan meletakkan tangan atau pakaian ke arah mukanya.

b. Sunat merendahkan suaranya ketika bersin.

Kedua-dua adab di atas adalah sebagai mencontohi perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, katanya:

Maksudnya: Bahawasanya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam apabila bersin menutup muka Baginda dengan tangan atau pakaian Baginda dan merendahkan suaranya ketika bersin. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Selain daripada menutup mulut dan hidung, sayugia tidak menoleh ke kanan atau ke kiri ketika bersin bagi mengelak kesannya daripada terkena pada orang lain. Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh menyebutkan antara adab orang yang bersin adalah merendahkan suaranya ketika bersin dan menyaringkan menyebut hamdalah, menutup muka agar tidak keluar dari mulutnya atau hidungnya apa-apa yang membahayakan orang yang bersamanya dan tidak memusing lehernya ke kanan atau ke kiri agar tidak memudharatkan dengan yang demikian.

Menurut Ibnu al-‘Arabi Rahimahullâh, adapun hikmah bagi tuntutan merendahkan suara ketika bersin itu kerana dengan melepaskan bersin secara kuat akan menyebabkan anggota badan yang lain terasa gegaran (yang menyulitkan). Manakala hikmah menutup muka dan tidak menoleh ke kanan atau ke kiri ketika bersin itu pula untuk menjaga kebaikan kepada orang di sebelahnya atau yang berdekatan dengannya.

Dalam Islam, adab-adab bersin dituntut tidak kira bagi orang yang mengalami sakit atau tidak. Adab-adab itu mengandungi kebaikan dari segi pencegahan berlaku mudharat sebagaimana yang dijelaskan di atas. Oleh sebab menutup muka (terutama bahagian hidung dan mulut) ketika bersin berkait dengan pencegahan berlaku mudharat, maka demikian juga adab ini boleh dipraktikkan ketika batuk.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pakar kesihatan, antaranya Coronavirus Research Centre Harvard Medical School bahawa wabak COVID-19 boleh disebarkan dari seseorang kepada seseorang yang lain melalui titisan yang dihasilkan apabila seseorang yang sudah dijangkiti wabak itu batuk atau bersin lantas terkena pada mulut atau hidung orang yang berdekatan.

Kerana itu sebagai langkah pencegahan penularan penyakit berjangkit, Kementerian Kesihatan Negara Brunei Darussalam menyarankan untuk mengamalkan etika batuk dan bersin. Antaranya, memalingkan muka daripada orang lain dan makanan yang berdekatan ketika hendak batuk atau bersin, menutup mulut dan hidung dengan tisu ketika batuk atau bersin lantas membuang tisu tersebut dengan segera ke dalam tong sampah yang tertutup, mengelakkan daripada menyentuh mata, hidung dan mulut. Sekiranya seseorang itu mengalami demam, batuk dan selesema, hendaklah menjarakkan diri sekurang-kurangnya satu meter dari orang lain atau menggunakan penutup mulut dan hidung untuk melindungi orang sekeliling.

(iii) Pemilihan dan penyediaan makanan yang halal, bersih dan berkhasiat.

Amalan atau sikap memilih makanan yang halal lagi baik (bersih, selamat, berkhasiat dan menyelerakan) merupakan suruhan agama. Dalam Islam, larangan memakan yang haram tidak terbatas hanya kepada daging babi atau bangkai binatang yang tidak disembelih.

Pemilihan makanan halal juga dilihat pada kandungan bahan makanan. Sebagai contoh makanan yang mengandungi ekstrak daripada serangga. Maka ia dihukumkan najis dan haram dimakan. Ini kerana serangga adalah termasuk dalam sesuatu yang dianggap buruk dan menjijikkan sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: …dan dia (Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam) menghalalkan bagi mereka yang baik-baik dan mengharamkan ke atas mereka (segala) yang buruk... (Surah al-A‘râf: 157)

Hikmah memakan makanan yang halal juga antaranya menjadi penawar atau ubat. Imam asy-Syafi‘i Rahimahullâh pernah berkata kepada Imam Ahmad Rahimahullâh:

“Wahai Ahmad! Adapun aku makan banyak, kerana aku tahu makananmu adalah daripada yang halal. Dan sesungguhnya engkau juga seorang pemurah, makanan orang pemurah adalah ubat, sedang makanan orang bakhil pula racun atau penyakit. Aku tidak makan (hanya) untuk kenyang, tetapi aku makan (juga) untuk berubat dengan makananmu itu, wahai Ahmad! Supaya aku sembuh (sihat), kerana makananmu daripada yang halal…….

Selain pemilihan makanan halal, cara penyediaan makanan juga perlu dilihat aspek kebersihannya. Sebagai contoh membuang atau membersihkan isi perut ikan yang besar kerana isi perutnya adalah najis dan haram dimakan. Begitu juga dalam penyediaan daging yang terkena najis, maka ia hendaklah dibersihkan terlebih dahulu sebelum dimasak dengan mencurah, menjirus atau menuangkan air yang suci ke atasnya sehingga najis itu hilang.

Selain itu perlu diambil perhatian khusus dalam perkara penyediaan makanan ini, saranan Kementerian Kesihatan Negara Brunei Darussalam kepada orang ramai untuk mengelak daripada memakan daging atau telur yang tidak masak atau tidak dimasak dengan sempurna juga tidak boleh diabaikan. Ia bersangkut-paut dengan perkara kebersihan bagi mengelak sesuatu yang mudharat kerana memakan makanan yang tidak masak atau tidak sempurna dimasak. Orang ramai juga disarankan untuk membanyakkan minum air dan makan makanan berkhasiat sebagai langkah penjagaan kesihatan.

(iv) Tutup segala bejana dan tempat minuman.

Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bukan sahaja menekankan tentang kehalalan makanan dan minuman, malahan juga memastikan kebersihan makanan dan minuman. Antaranya dengan memastikan tempat menyimpan makanan atau minuman ditutup agar tidak tercemar oleh apa-apa pun termasuk wabak.

Diriwayatkan oleh Jabir bin ‘Abdullah Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Aku pernah mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Kamu tutuplah bejana, dan kamu ikatlah tempat air minum, kerana sesungguhnya dalam setahun ada suatu malam turunnya wabak. Tidak melewati (wabak itu) bejana yang tidak ada penutup atau tempat air yang tidak ada pengikat, melainkan hinggap padanya wabak itu.” (Hadits riwayat Muslim)

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, para ulama menyebutkan bahawa anjuran menutup (tempat menyimpan makanan atau minuman) itu banyak faedahnya. Antaranya:

a. Menjaga makanan daripada (disentuh) syaitan kerana syaitan tidak membuka dan masuk ke dalamnya. b. Menjaga daripada terkena wabak yang turun pada satu malam dalam setahun. c. Memelihara daripada najis dan kekotoran. d. Memelihara daripada (didatangi) serangga dan cacing. Boleh saja ada sesuatu yang terjatuh ke dalam minuman dan apabila dia minum akan memudharatkannya.

9. Mematuhi Arahan Dan Nasihat Daripada Pihak Berautoriti.

Dalam menangani penularan wabak serta memelihara keselamatan diri dan orang lain, hendaklah sentiasa mematuhi segala arahan dan nasihat daripada pihak yang berkuasa dan berautoriti. Segala arahan serta nasihat yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh pihak yang berkuasa dan berautoriti hendaklah dipatuhi atas dasar mentaati ulil-amri. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ulil-amri (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu. (Surah an-Nisâ’: 59)

Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Wajib atas seorang Islam untuk mendengar dan taat (kepada para penguasa) sama ada pada perkara yang disukai atau tidak disukai, kecuali jika dia diperintahkan untuk melakukan kemaksiatan. Jika dia diperintahkan untuk melakukan kemaksiatan, maka tidaklah (wajib) dia mendengar dan tidaklah (wajib) dia mentaati. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Menurut ijmâ‘, mentaati perintah ulil-amri dalam semua perkara, selain perkara-perkara maksiat, adalah wajib. Kegagalan untuk berbuat demikian akan menjejaskan ketenteraman dan kesejahteraan dalam sesebuah negara.

Dalam usaha untuk mencegah dan mengawal penularan wabak COVID-19 ini, pihak yang berkuasa dan berautoriti telah mengeluarkan beberapa panduan yang berupa nasihat dan arahan tentang langkah-langkah yang perlu dipatuhi bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua. Antara panduan tersebut ialah:

(i) Mengelakkan daripada berada di tempat tumpuan ramai jika tidak sihat. Jika tidak dapat dielakkan maka hendaklah menggunakan penutup hidung dan mulut (face mask).

(ii) Jangan menziarahi pesakit atau saudara mara yang berada di hospital sekiranya merasa kurang sihat atau mempunyai tanda-tanda jangkitan.

(iii) Mengelakkan daripada berada di hospital atau tempat-tempat di mana penyiasatan kontek sedang dilakukan bagi mengelakkan kesesakan dan melindungi diri sendiri dari terdedah kepada jangkitan, terutamanya bagi mereka yang tidak ada keperluan untuk berada di tempat tersebut.

(iv) Segera melapor atau mendaftarkan diri untuk mendapatkan pemeriksaan sekiranya dikehendaki oleh pihak yang berautoriti untuk menjalani pemeriksaan kesihatan (medical examination) ataupun rawatan perubatan sama ada di hospital atau mana-mana tempat yang ditentukan oleh Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan.

(v) Ditegah keluar negara kecuali dalam keadaan-keadaan tertentu seperti mendapatkan rawatan perubatan yang mendesak, menghadiri perbicaraan mahkamah atau menyambung sesi pengajian di luar negara. Ini adalah tertakluk kepada kebenaran Jabatan Perdana Menteri.

(vi) Mematuhi dasar-dasar serta arahan untuk menjalani kuarantin dan self isolation (pengasingan diri).

(vii) Bersikap bertanggungjawab jika menghidapi tanda-tanda jangkitan pernafasan dengan segera mendapatkan rawatan dan berehat di rumah serta mengelakkan daripada mengunjungi tempat-tempat awam dan menghadiri acara-acara keramaian.

Adalah menjadi kewajiban orang ramai supaya sentiasa menanamkan sikap bertanggungjawab dalam sama-sama berusaha mencegah dan mengawal penularan wabak COVID-19 ini. Jika orang ramai kurang peka atau mengabaikan arahan serta nasihat pihak-pihak yang memiliki kepakaran dan berautoriti, pastinya ini akan menjejaskan segala usaha pihak berkenaan untuk mencegah dan mengawalnya.

Maka dari itu, orang ramai hendaklah sentiasa peka tentang situasi terkini wabak COVID-19 ini dan mengenal pasti segala arahan serta nasihat terkini yang dikeluarkan dari masa ke semasa oleh pihak yang berkuasa dan berautoriti dan hendaklah sentiasa mematuhinya untuk kebaikan bersama.

Kesimpulan

Panduan yang digariskan oleh Islam dalam menghadapi wabak merupakan panduan yang mengambil kira seluruh aspek dan merangkumi pemeliharaan menyeluruh terhadap individu, masyarakat, persekitaran dan lainnya. Bahkan lebih daripada itu, ia tidak membelakangkan nilai-nilai ‘aqidah dan akhlak. Ia tetap valid dan sesuai dijadikan sebagai amalan menangani penularan wabak sampai bila-bila. Ini terbukti dengan keselarasan yang terdapat antara panduan yang dikeluarkan oleh pihak yang berkepakaran dengan panduan yang telah digariskan oleh Islam sejak berkurun lagi. Maka dari itu patuhilah segala panduan yang diajarkan Islam dalam menghadapi wabak dengan menanamkan sepenuh keyakinan kepada qadha’ dan qadar Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan sentiasa menyakini bahawa panduan serta ketentuan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ adalah yang terbaik.

Satu perkara penting ketika menghadapi wabak ini ialah sikap bertolak ansur dan tidak sekali-kali mementingkan diri. Sikap mementingkan diri dalam situasi seumpama ini, bukan sahaja akan memudharatkan orang lain, bahkan lambat laun akan memudharatkan diri sendiri.

Tindakan seseorang yang mendedahkan diri kepada bahaya dengan sengaja melanggar panduan Islam atau pihak berkuasa dalam menangani wabak juga satu perbuatan yang tidak wajar serta bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar. Perbuatan ini adalah satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab kerana perbuatan tersebut bukan sahaja boleh membahayakan diri bahkan boleh mencetuskan mudharat kepada orang lain.

Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi (dengan syirik dan maksiat) sesudah (Allah) memperbaikinya (dengan mengutus rasul-rasul dan menetapkan syariatNya). (Surah al-A‘râf: 56)

Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman lagi:

Tafsirnya: …Dan janganlah kamu sengaja menjerumuskan diri kamu sendiri ke dalam kebinasaan. Dan berbuat baiklah kamu kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan. (Surah al-Baqarah: 195)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-9898

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص