Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳النكاح والطلاق٠ مشاهدة

Adakah Perempuan Dalam ‘Iddah Menjadi Ahli Waris Jika Suami Meninggal Dunia?

الجواب

Apabila seseorang meninggal dunia, maka semua harta yang tsabit miliknya ketika hidupnya adalah menjadi hak kepada ahli-ahli warisnya. Harta peninggalan wajib dibahagikan kepada ahli waris yang berhak. Orang-orang yang berhak menjadi ahli waris kepada harta peninggalan si mati pula antaranya disebabkan adanya hubungan kekerabatan atau nasab.

Selain daripada sebab adanya pertalian kerabat, salah satu lagi sebab perwarisan ialah kerana hubungan pernikahan iaitu suami dan isteri. Apa yang dimaksudkan dengan sebab pernikahan dalam perkara pewarisan ialah ‘aqad perkahwinan yang sah di antara lelaki dan perempuan walaupun belum terjadi persetubuhan mahupun khalwat (bersunyi-sunyian) di antara kedua-duanya. Maka dalam keadaan ini, isteri berhak mewarisi kadar yang ditentukan oleh syara‘ daripada harta suaminya yang meninggal dunia, begitu juga suami berhak mewarisi kadar yang ditentukan daripada harta isterinya yang meninggal dunia.

Namun bagaimana pula keadaan seorang perempuan dalam ‘iddah perceraian dan suaminya meninggal dunia ketika dia dalam ‘iddah tersebut? Adakah perempuan itu menjadi ahli waris iaitu berhak menerima bahagian daripada harta suaminya yang meninggal dunia atau tidak?

‘Iddah Perceraian dan ‘Iddah Kematian Suami

‘Iddah adalah jangka masa yang ditetapkan bagi seorang perempuan (yang berpisah dengan suami disebabkan perceraian atau kematian suami) menunggu bagi memastikan rahimnya bersih daripada kehamilan atau sebagai tuntutan ibadat kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ atau untuk menzahirkan rasa kesedihan isteri yang kerana kematian suami.

‘Iddah terbahagi kepada dua bahagian iaitu ‘iddah disebabkan perceraian dan ‘iddah disebabkan kematian suami.

i. ‘Iddah disebabkan perceraian.

‘Iddah disebabkan perceraian bergantung mengikut keadaan tertentu iaitu perceraian selepas berlaku persetubuhan atau sebelum berlaku persetubuhan.

- Jika berlaku perceraian setelah persetubuhan, sama ada pada pernikahan yang sah atau syubhah, sama ada bercerai disebabkan thalaq atau fasakh kerana keaiban (pasangan) atau kerana sesusuan atau kerana li‘ân, sama ada thalaq raj‘i atau thalaq bâ’in, maka perempuan itu wajib ber‘iddah. Tempoh ‘iddahnya pula bergantung pada keadaannya sama ada hamil atau tidak hamil.

Sekiranya dia hamil, maka tempoh ‘iddahnya ialah sehingga dia melahirkan anak. Dengan syarat anak itu keluar keseluruhannya.

Sekiranya dia tidak hamil, maka tempoh ‘iddahnya ialah tiga quru’ iaitu tiga kali suci daripada haidh bagi perempuan yang masih mempunyai haidh.

Namun sekiranya perempuan tersebut tidak mempunyai haidh secara asal kerana masih kecil atau menghidap sakit ataupun terputus haidhnya disebabkan menopaus, maka tempoh ‘iddahnya adalah selama tiga (3) bulan berdasarkan kiraan bulan qamariyyah daripada tarikh perceraian.

- Jika berlaku perceraian sebelum persetubuhan, maka tidak wajib ke atas perempuan itu menjalani ‘iddah walaupun berlaku khalwat (bersunyi-sunyian antara suami isteri). Ini berdasarkan firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang beriman, kemudian kamu menceraikan mereka sebelum kamu menyentuh (melakukan jimâʻ dengan mereka), maka tidaklah ada kewajiban ke atas mereka ber‘iddah buat mereka. Oleh itu berilah mut‘ah kepada mereka dan lepaskanlah mereka dengan cara yang baik. (Surah al-Ahzâb: 49)

ii. ‘Iddah disebabkan kematian.

Sekiranya perpisahan berlaku disebabkan kematian suami walaupun sebelum berlaku persetubuhan, maka dalam keadaan ini isteri wajib melaksanakan ‘iddah dan ihdâd kematian suami iaitu selama empat bulan sepuluh hari. Ini kerana perlaksanaan ‘iddah kerana kematian suami bukanlah semata-mata memastikan rahimnya bersih daripada kehamilan sahaja malahan bertujuan untuk menzahirkan rasa kesedihan kerana kematian suami serta menjaga hak suami.

Bagaimana Kedudukan ‘Iddah Perempuan yang Sedang Menjalani ‘Iddah Perceraian Apabila Suaminya Meninggal Dunia?

Apabila suami meninggal dunia sedang perempuan itu menjalani ‘iddah thalaq (perceraian), maka kedudukan ‘iddah perempuan itu sebagaimana keadaan berikut:

i. Jika dia sedang menjalani ‘iddah thalaq raj‘i (thalaq di mana dalam tempoh tersebut suami boleh merujuk kembali isteri tanpa perlu memperbaharui ‘aqad) kemudian suaminya meninggal dunia, maka gugur ‘iddah thalaq raj‘i dan berpindah ‘iddah tersebut kepada ‘iddah kematian suami, iaitu selama empat bulan sepuluh hari atau sehingga melahirkan jika dia sedang hamil.

ii. Jika perempuan itu sedang menjalani‘iddah thalaq bâ’in (thalaq yang melepaskan ikatan pernikahan dengan serta merta) sama ada menjalani‘iddah thalaq bâ’in shugrâ seperti perempuan yang dithalaq satu atau dithalaq dua setelah berlaku (persetubuhan) atau menjalani‘iddah thalaq bâ’in kubrâ seperti perempuan yang diceraikan dengan thalaq tiga, kemudian suaminya meninggal dunia, maka dia tetap menjalani ‘iddah thalaq bâ’in tersebut. Dalam keadaan ini ‘iddah thalaq bâ’innya itu tidak berpindah kepada ‘iddah kematian suami bahkan hendaklah dia menyempurnakan waktu ‘iddah thalaq bâ’in itu dan tidak perlu dia berihdâd kerana dia tidak lagi ada ikatan dengan bekas suami.

Adakah Perempuan dalam ‘Iddah Menerima Bahagian Daripada Harta Peninggalan Suami?

Pernikahan yang sah antara suami isteri adalah sebab yang membolehkan suami atau isteri mewarisi harta peninggalan apabila salah seorang daripada mereka meninggal dunia sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:

Tafsirnya: Dan bagi kamu seperdua (separuh) daripada harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak. Tetapi jika mereka mempunyai anak (sama ada anak daripada kamu atau daripada bekas suami), maka kamu mendapat seperempat (sesuku) daripada harta yang mereka tinggalkan sesudah dilaksanakan wasiat yang mereka wasiatkan dengan harta itu dan sesudah dibayarkan hutangnya. Dan untuk isteri-isteri itu pula ialah seperempat (sesuku) dari harta yang kamu tinggalkan jika kamu tidak mempunyai anak. Tetapi jika kamu mempunyai anak (sama ada anak daripada isteri kamu yang masih bersama kamu ketika kamu mati atau anak daripada bekas isteri) maka bahagian isteri ialah seperlapan daripada harta yang kamu tinggalkan itu sesudah dilaksanakan wasiat yang kamu wasiatkan dengan harta itu dan sesudah dibayarkan hutang kamu. (Surah an-Nisâ’: 12)

Berdasarkan ayat di atas, maka jelas bahawa isteri yang kematian suaminya sama ada sebelum atau selepas persetubuhan adalah layak untuk mewarisi harta peninggalan suami.

Berkenaan perempuan yang menjalani ‘iddah thalaq raj‘i dan suaminya meninggal dunia dalam tempoh tersebut, maka dia mewarisi kadar yang ditentukan baginya daripada harta peninggalan suaminya itu. Begitulah juga sebaliknya.

Imam al-Qalyubi Rahimahullâh menyebutkan dalam Hâsyiyah beliau:

Ertinya: Dan pada kebiasaannya (suami isteri) saling mewarisi (harta peninggalan) antara satu sama lain, sekalipun (isteri) dalam thalaq raj‘i.

Ini kerana perempuan yang sedang menjalani ‘iddah thalaq raj‘i masih dianggap isteri dan masih mempunyai hubungan pernikahan dengan suami sepanjang tempoh dia menjalani‘iddah. Disebabkan itulah, isteri yang dalam ‘iddah thalaq raj‘i berhak menerima nafkah dan tempat tinggal sepanjang tempoh menjalani ‘iddah thalaq raj‘i. Manakala bila suaminya meninggal dunia, ‘iddah thalaq raj‘i itu berpindah kepada ‘iddah kematian suami dan wajib berihdâd.

Manakala bagi perempuan yang sedang menjalani ‘iddah thalaq bâ’in sebagaimana penjelasan di atas, dia tidak mewarisi harta peninggalan dari suami yang menceraikan kerana dia tidak lagi ada mempunyai ikatan dengan bekas suami. Bagi yang menjalani ‘iddah thalaq bâ’in seperti perempuan yang dicerai secara khulu‘ hendaklah meneruskan baki ‘iddah thalaq bâ’innya tanpa perlu menjalani ihdâd.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-9939

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص