Tidak Menyebut Mahar Dalam ‘Aqad Nikah
الجواب
Salah satu bukti betapa indahnya Islam itu adalah dengan pensyariatan mahar. Mahar atau dikenali dengan mas kahwin di kalangan masyarakat kita, bukan sukatan harga dalam pernikahan. Bukan dengan sejumlah wang atau barang berharga yang dijadikan sebagai mahar, seorang lelaki boleh memiliki seorang perempuan. Hakikatnya, mahar disyariatkan sebagai bukti yang menunjukkan akan kesungguhan seorang lelaki itu untuk bergaul dan hidup bersama seorang perempuan dengan menurut sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan mengikut lunas syara‘ agar terbina hubungan perkahwinan yang berkat, mulia dan sangat istimewa.
Mahar dipanggil juga shadaq kerana melambangkan kebenaran (shidq) dan kesungguhan seorang lelaki untuk menikahi seorang perempuan. Selain itu, mahar juga dipanggil nihlah, farîdhah, thaul, hiba’, ‘aqr, ajr dan ‘alaiq.
Islam menetapkan pemberian mahar daripada suami kepada isteri dan bukan sebaliknya. Ini adalah demi memelihara kemuliaan dan nama baik seorang perempuan, bukan untuk diperlecehkan, dipandang rendah apatah lagi dianiaya sebagaimana yang berlaku pada zaman jahiliyyah. Di samping itu, hikmah disyariatkan mahar juga adalah sebagai pernyataan yang menunjukkan bahawa lelaki itu benar-benar layak, berupaya dan berkemampuan untuk menanggung nafkah atau perbelanjaan majlis perkahwinan dan seterusnya kehidupan berumah tangga.
Hukum Pemberian Mahar
Antara hak isteri yang tertanggung ke atas suami sebaik sahaja berlaku pernikahan ialah mahar. Mahar ialah pemberian wajib daripada suami kepada isteri disebabkan pernikahan atau jimâʻ.
Pensyariatan diwajibkan mahar dalam Islam tsabit dinyatakan dalam al-Qur’an, sunnah dan ijmâ‘. Terdapat beberapa ayat al-Qur’an yang menyebut tentang mahar antaranya firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu mas kahwin mereka sebagai pemberian wajib. (Surah an-Nisâ’: 4)
Dalam sunnah pula, terdapat banyak hadits yang menyebutkan tentang mahar sama ada dalam bentuk perbuatan dan ucapan daripada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, antaranya yang diriwayatkan daripada Abu Salamah bin ‘Abdul Rahman Radhiallâhu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Aku telah bertanya kepada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ, isteri Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam: “Berapa mahar yang diberikan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam?” ‘Aisyah menjawab: “Mahar untuk isteri-isteri Baginda ialah dua belas uqiyyah dan satu nasy. Adakah kamu tahu apa itu nasy?” Berkata Abu Salamah: “Aku mengatakan: Tidak.” ‘Aisyah berkata: “(Satu nasy bersamaan) setengah uqiyyah, iaitu lima ratus dirham. Inilah mahar yang diberikan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam kepada para isteri Baginda.” (Hadits riwayat Muslim)
Sementara menurut ijmâ‘, ulama sepakat mengatakan wajib ke atas suami memberi mahar kepada isteri tanpa ada perselisihan pendapat di kalangan mereka.
Adakah Sah Nikah Tanpa Menyebut Mahar dalam ‘Aqad?
Sungguhpun diwajibkan, mahar bukan salah satu rukun dalam nikah. Imam an- Nawawi Rahimahullâh menyebut di dalam kitab Raudhah ath-Thâlibîn:
Ertinya: Berkata al-Ashhâb: “Mahar bukan rukun dalam nikah, berbeza dengan barang jualan dan harga dalam jual beli.”
Dalam surah al-Baqarah, Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Tidaklah ada dosa ke atas kamu (tidaklah wajib ke atas kamu membayar mas kahwin) jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu sentuh mereka (melakukan jimâʻ dengan mereka) atau sebelum kamu menetapkan mas kahwin untuk mereka. (Surah al-Baqarah: 236)
Ayat di atas ini menyatakan bahawa tidak diwajibkan ke atas seorang suami yang menceraikan isteri sebelum melakukan jimâʻ untuk membayar mahar atau mas kahwin yang belum ditetapkan atau disebutkan. Berdasarkan ayat ini, dapat difahami bahawa nikah tetap sah walaupun mahar belum ditetapkan atau disebutkan.
Sementara itu, ‘Uqbah bin ‘Amir Radhiallâhu ‘anhu pernah meriwayatkan sebuah hadits, bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah bersabda kepada seorang lelaki:
Maksudnya: Adakah kamu mahu aku kahwinkan kamu dengan si polan? Lelaki itu menjawab: “Ya”. (Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam) bertanya pula kepada perempuan berkenaan: “Adakah kamu mahu aku kahwinkan kamu dengan si polan?” Perempuan tersebut menjawab: “Ya”. Lalu Baginda pun menikahkan keduanya. Kemudian lelaki itu menyetubuhi isterinya sedang dia belum menentukan mahar isterinya dan belum memberi sesuatu pun kepada isterinya. Lelaki itu adalah termasuk orang yang menyaksikan (peperangan) Hudaibiyah dan (diberikan) bagi orang yang sempat menyaksikan peperangan Hudaibiyah itu bahagian (tanah) di Khaibar. Tatkala ajalnya menghampiri, dia lalu berkata: Sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah menikahkan aku dengan si polan; aku belum menentukan maharnya dan belum memberinya sesuatu pun (sebagai mahar). Sesungguhnya aku jadikan kamu saksi bahawa aku memberi bahagianku (tanah) di Khaibar sebagai mahar untuknya”. Maka dia (perempuan) itu pun mengambil bahagian (tanah suaminya) dan menjualnya dengan harga satu ratus ribu. (Hadits riwayat Abu Daud)
Menurut ulama mazhab asy-Syafi‘i, dibolehkan untuk tidak menyebut mahar dalam ‘aqad. Apabila selesai ‘aqad tanpa menyebut mahar, nikah adalah sah, akan tetapi hukum tidak menyebut mahar adalah makruh.
Sebaliknya, sunat disebutkan mahar dalam ‘aqad. Ini adalah kerana Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menyebut mahar dalam ‘aqad nikah. Tambahan lagi menyebut atau memperjelaskan mahar itu boleh menghindar daripada berlaku perselisihan dan pertelingkahan di antara kedua-dua suami dan isteri atau kedua-dua belah pihak.
Imam al-Malibari Rahimahullâh menyebutkan dalam kitab Fath al-Mu‘în:
Ertinya: Sah nikah dengan tidak menyebut mahar dalam ‘aqad, tetapi disunatkan menyebut mahar itu dalam ‘aqad dan makruh pula meninggalkannya.
Bila Diwajibkan Menyebut Mahar dalam ‘Aqad?
Dalam keadaan yang tertentu, mahar wajib pula disebut dalam ‘aqad sebagaimana berikut:
(i) Jika bakal isteri itu adalah seorang yang tidak mempunyai kuasa untuk mengurus dan melakukan transaksi ke atas hartanya (ghair jâ’izah at-tasharruf), seperti kanak-kanak atau perempuan yang gila, kemudian maharnya pula dipersetujui dengan melebihi kadar mahar mitsil, maka wajib disebutkan kadar mahar yang dipersetujui itu di dalam ‘aqad.
(ii) Jika bakal isteri itu seorang yang mempunyai kuasa untuk mengurus dan melakukan transaksi ke atas hartanya, kemudian dia mengizinkan walinya untuk menikahkannya dengan sejumlah mahar yang tertentu. Maharnya pula dipersetujui dengan melebihi kadar mahar mitsil, maka wajib disebutkan kadar mahar yang dipersetujui itu di dalam ‘aqad.
(iii) Jika bakal suami itu seorang yang tidak mempunyai kuasa untuk mengurus dan melakukan transaksi ke atas hartanya (ghair jâ’iz at-tasharruf), kemudian mahar pula dipersetujui dengan kadar yang kurang daripada mahar mitsil, maka wajib disebutkan kadar mahar yang dipersetujui itu di dalam ‘aqad.
Jika mahar yang dipersetujui itu tidak disebutkan dalam ‘aqad pada perkara (i), (ii) dan (iii) di atas, hukumnya adalah haram dan berdosa akan tetapi tidak membatalkan nikah.
Oleh yang demikian, nikah adalah sah dengan menyebutkan atau menentukan mahar sama ada ketika ‘aqad nikah, sebelum atau selepasnya.
Berdasarkan keterangan di atas, dapat disimpulkan bahawa mahar tetap menjadi kewajiban yang tertanggung ke atas para suami dan hak bagi isteri walaupun mahar itu boleh tidak disebut dalam ‘aqad dan nikah tidak menjadi batal dengan berbuat demikian. Begitu juga mahar tetap diwajibkan ke atas para suami dan tetap merupakan hak isteri walaupun penyerahan mahar itu dibolehkan bertangguh dalam bentuk hutang. Akan tetapi adalah lebih baik supaya mahar itu disebut dalam ‘aqad kerana hukumnya adalah sunat sebagai ittibâ‘ sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan bagi menghindar perkara yang boleh membawa kepada kekeliruan dan perselisihan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-9944
دليل الألوان
