Pelihara Tuntutan Syaraʻ Ketika Pengagihan Daging Korban
الجواب
‘Iduladha dikenali juga sebagai Hari Raya Korban atau Hari Raya Haji. ‘Iduladha ini adalah hari kegembiraan bagi fakir miskin kerana pada hari tersebut, mereka memperolehi daging korban. Ini berdasarkan maksud ibadat korban itu sendiri iaitu menyembelih binatang ternakan seperti unta, lembu, kerbau atau kambing dengan tujuan mendekatkan diri dan taat kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ. Menurut hukum syara‘, ibadat korban merupakan ibadat sunat mu’akkadah, iaitu sunat yang sangat dituntut dalam Islam.
Alhamdulillâh kesedaran masyarakat kita tentang kemuliaan dan keutamaan ‘Iduladha amat ketara. Ini kerana pada hari tersebut dan hari-hari tasyrîq pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah, umat Islam di negara ini menyambutnya dengan melaksanakan ibadat korban serta melakukan pengagihan daging-daging korban kepada mereka yang patut menerimanya.
Pada kebiasaannya dalam sebuah keluarga atau di peringkat kampung atau jabatan, persediaan untuk majlis korban sudah dirancang dan diatur lebih awal lagi. Sebagai contoh, perancangan dibuat dari segi atur cara majlis, kaedah atau cara pengagihan daging-daging korban untuk golongan tertentu, menentukan hari, tarikh dan tempat berkorban, bahkan menubuhkan tabung kewangan bagi mereka yang bercadang untuk berkorban dan seumpamanya.
Perkara seumpama ini adalah bertepatan dengan kehendak syara‘ sebagaimana yang telah disebutkan dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Dan tolong-menolonglah kamu dalam kebajikan dan ketaqwaan dan janganlah tolong-menolong dalam dosa dan permusuhan (melanggar hukum-hakam Allah). (Surah al-Mâ’idah: 2)
Perlu diingat, proses ibadat korban yang bermula dari pemilikan binatang sehinggalah kepada pengagihan daging korban hendaklah diberi perhatian agar selari dengan kehendak syara‘. Namun apa yang ingin ditumpukan di sini ialah bagaimana daging tersebut diagihkan kepada penerima-penerima yang berkelayakan.
Hukum Daging Korban
Udhhiyyah atau korban itu terbahagi kepada dua iaitu udhhiyyah wâjibah (korban wajib) dan udhhiyyah mandûbah (korban sunat). Adapun korban wajib itu seperti korban yang dinazarkan atau diwasiatkan.
Pembahagian daging korban wajib dan korban sunat adalah berbeza mengikut syara‘:
1. Korban wajib.
Jika sembelihan binatang korban itu sebagai korban wajib, maka daging tersebut wajib disedekahkan kesemuanya kepada golongan fakir miskin yang beragama Islam dalam keadaan mentah.
Haram bagi orang yang berkorban itu dan orang-orang yang di bawah tanggunggannya memakan daging tersebut. Jika dimakannya daging itu, wajib dia mengganti kadar daging yang dimakannya dan kemudian disedekahkannya, tetapi tidak wajib dia menyembelih semula binatang yang lain sebagai ganti.
2. Korban sunat.
Jika sembelihan binatang korban itu sebagai korban sunat, adalah afdhal atau lebih utama bagi orang yang berkorban untuk menyedekahkan semua daging korban sunatnya, kecuali sedikit sahaja diambilnya untuk dimakan iaitu kadar beberapa suap untuk mengambil berkat daripadanya. Ini kerana yang demikian itu lebih mendekatkan diri kepada taqwa dan menjauhkan diri daripada sifat mementingkan diri sendiri.
Walau bagaimanapun, sunat juga bagi orang yang berkorban sunat itu membahagikan daging korban sunatnya kepada tiga bahagian seperti berikut:
i. Sepertiga (1/3) untuk dirinya.
Disunatkan bagi orang yang berkorban itu memakan sebahagian daripada sepertiga sembelihan korbannya sebagai mengambil berkat. Afdhal baginya memakan hati binatang tersebut kerana mengikut sunnah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam.
ii. Sepertiga (1/3) untuk disedekahkan kepada golongan fakir miskin.
Setiap korban sunat, sebahagian dagingnya wajib diperuntukkan dan diagihkan kepada golongan fakir miskin sebanyak sepertiga daripada daging korban berkenaan. Daging yang disedekahkan kepada golongan fakir miskin itu wajib dalam keadaan mentah (tidak dimasak). Menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh, maksud fakir miskin di sini ialah sesiapa yang berhak dan layak baginya menerima agihan daripada dana zakat.
Perlu diketahui, hak orang fakir miskin pada daging tersebut adalah untuk dimiliki. Adapun maksud ‘milik’ di sini ialah diharuskan bagi orang fakir miskin tersebut memakan daging, menjual dan seumpamanya.
iii. Sepertiga (1/3) untuk dihadiahkan kepada orang kaya.
Sepertiga yang terakhir pula dihadiahkan kepada golongan kaya yang beragama Islam, sama ada masih dalam keadaan mentah, ataupun daging tersebut dimasak kemudian dijemput golongan kaya tadi dan dijamu makanan tersebut kepada mereka.
Menurut Imam ar-Ramli Rahimahullâh, maksud orang kaya di sini ialah mereka yang diharamkan menerima zakat. Mereka boleh jadi terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara, jiran-tetangga, sahabat-handai, para pekerja dan yang seumpamanya (yang bukan daripada golongan fakir miskin).
Berdasarkan penjelasan di atas, pembahagian daging korban ini menunjukkan adanya hak golongan fakir miskin pada kedua-dua daging, sama ada daging korban wajib mahupun korban sunat. Perkara inilah yang patut diambil perhatian oleh setiap pengendali majlis ibadat korban.
Pengagihan Daging Korban untuk Golongan Fakir Miskin adalah Suatu Amanah
Amanah bermaksud tanggungjawab yang diterima oleh seseorang yang kepadanya diberikan kepercayaan bahawa dia dapat melaksanakannya sebagaimana dituntut tanpa mengabaikannya.
Berdasarkan pengertian ini, pengagihan daging korban untuk golongan fakir miskin itu adalah merupakan amanah yang wajib disempurnakan oleh pengendali-pengendali korban. Perkara amanah ini disebut dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan amanah-amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya). (Surah an-Nisâ’: 58)
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, bahawasanya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Tunaikanlah amanah kepada orang yang memberi amanah kepada kamu dan janganlah kamu berlaku khianat kepada orang yang mengkhianatimu. (Hadits riwayat at-Tirmidzi dan Abu Daud)
Oleh yang demikian, pengendali-pengendali majlis ibadat korban hendaklah melaksanakan pengagihan daging korban itu dengan penuh cermat dan berhati-hati. Perkara utama yang diambil perhatian ialah menjaga dan memenuhi tuntutan syara‘ agar tidak mencuaikan amanah yang ditanai.
Pelihara Tuntutan Syara‘ ketika Pengagihan Daging Korban
Pengagihan daging korban biasanya akan dilakukan secara persendirian atau secara berwakil. Pengagihan yang dilakukan secara berwakil itu adalah seperti menerusi pengendali majlis ibadat korban atau menerusi syarikat-syarikat yang mengendalikan penyembelihan dan pengagihan daging korban.
Dalam beberapa keadaan ketika pengagihan daging korban, pengendali diingatkan untuk berhati-hati agar tidak berlaku kesilapan sehingga menyebabkan daging korban yang sepatutnya diagihkan kepada golongan fakir miskin diagihkan pula kepada golongan kaya. Begitu juga pengendali hendaklah berhati-hati agar tidak berlaku keadaan bercampur-aduk sehingga tidak dapat dikenalpasti daging daripada korban wajib dan korban sunat.
Demikian juga ketika majlis pengagihan daging korban itu, apabila terdapat daging korban untuk golongan fakir miskin tidak habis diagihkan semasa majlis, maka pengendali majlis mengagihkannya pula kepada golongan kaya dalam majlis tersebut. Sedangkan menurut syara‘, daging yang tidak habis diagihkan itu sebenarnya wajib diserahkan juga kesemuanya kepada golongan sasaran fakir miskin. Jika ini berlaku, ia adalah suatu kesilapan yang perlu diambil perhatian oleh para pengendali berkenaan agar golongan yang berhak menerima daging korban dapat meniʻmati daging korban tersebut dan hajat orang yang berkorban dapat direalisasikan atau ditunaikan dengan sempurna.
Kesilapan tersebut dapat dielakkan ketika pengagihan daging korban sama ada pengagihannya itu dilakukan secara persendirian ataupun secara berwakil dengan melaksanakan langkah-langkah berikut:
a) Pengendali hendaklah memastikan niat orang yang berkorban, sama ada yang diniatkannya itu korban wajib atau korban sunat. Jika ia korban sunat, hendaklah dipastikan juga sama ada orang yang berkorban itu hendak memberikan kesemuanya sebagai sedekah atau membahagikan daging korban sunatnya kepada tiga bahagian seperti yang telah diterangkan sebelum ini.
b) Ketika pengagihan daging korban dilakukan, pengendali hendaklah menyediakan suatu ruang khas sebagai tempat penyimpanan yang boleh membezakan daging-daging untuk golongan sasaran fakir miskin dan golongan kaya agar tidak bercampur-aduk.
c) Ketika majlis pengagihan daging korban dijalankan, pengendali majlis hendaklah memastikan daging yang dibahagikan untuk golongan fakir miskin itu tidak diagihkan kepada golongan kaya. Jika daging yang diagihkan untuk golongan fakir miskin itu tidak semuanya habis diagihkan semasa majlis, maka pengendali majlis hendaklah mengagihkannya kepada mana-mana golongan fakir miskin sebagaimana yang dituntut oleh hukum syara‘.
Oleh itu, orang yang diberi amanah sebagai pengendali pengagihan daging korban hendaklah bijak mengatur cara pembahagian dan pengagihannya serta mengambil langkah-langkah yang bersesuaian demi mencegah daripada berlakunya kesilapan. Bagi mencapai tujuan ini, pengendali-pengendali ibadat korban hendaklah mengetahui dan memahami hukum-hakam ibadat korban atau memohon nasihat kepada pihak-pihak berautoriti dalam bidang agama mengenainya agar tuntutan-tuntutan syara‘ tidak dilangkahi ketika pengagihan daging korban.
Sebagai kesimpulan, pelaksanaan ibadat korban yang bermula dari pemilikan binatang sehinggalah kepada pembahagian dan pengagihan daging korban hendaklah berpandukan sepertimana yang disyariatkan. Khusus dalam aspek pengagihan daging korban, pengendali adalah bertanggungjawab dan berkewajiban untuk menunaikan pengagihannya dengan sempurna dan memelihara serta memenuhi segala tuntutan syara‘ agar amanah yang digalas tetap dilaksanakan dan hak golongan fakir miskin tidak terabai.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-9964
دليل الألوان
